Separuh hari dia menangis, pelbagai lagu sudah didengari, naik rimas
Zaiton dibuatnya. Rasa hendak diambil plaster atau apa sahaja yang mampu
ditekup mulut teman serumahnya itu.
Apalah punya buruk menangis macam budak kecil. Hendak kata hilang duit, tidak? Hendak kata hilang maruah, ops! Tidak mungkin. Zaiton menggeleng laju, lihat
fizikal kawannya itu tiada siapa yang sudi hatta diberi percuma, dia tersenyum sendiri. Bukan
mengejek, tetapi itulah hakikatnya.
Kalau sudah tidak cantik, takkan dia hendak mengatakan cantik, tidak
begitu? Zaiton mencebik. Geram pula dia mendengar tangisan temannya itu. Sakit telinga, sakit
hati, sakit segala-galanya.
“Hoi! Dahlah tu… sakit jiwa aku
dengar suara kau! Kalau merdu tak apa! Ini sama dengan katak yang panggil hujan
turun sebab, ular nak makan aku! Ular
nak makan aku!” tempelak Zaiton dengan mata dijegilkan ke arah Roseyatimah yang
menangis di hadapan televisyen sambil memeluk bantal busuknya. Paling buruk,
mulutnya menguncah keropok kentang.
Apalah punya teruk teman serumahnya itu. Ini bukan kes gagal dalam
bercinta tetapi kontraknya sebagai setiausaha tidak diperbaharui, terpaksalah
dia mencari kerja lain. Itu yang beria-ia gadis itu menangis. Boleh banjir rumah sewa mereka kalau
berterusan Roseyatimah menangis.
“Kau tahu, aku sedih tau!” kata Roseyatimah dengan nada sedih. Pilu
benar suaranya.
“Aku tahulah, aku nampak, tu… ada
air mata!” usik Zaiton.
“Mereka langsung tak kasihan kat
aku! Ingat senang nak cari kerja
sekarang ni? Aku tak nak tanam
anggur!” luah Roseyatimah dengan mata yang
digenangi air mata. Hiba benar hatinya.
“Tanam anggur?
Kau nak tanam kat mana pula? Kau ingat boleh hidup subur ke kalau kau
tanam anggur? Aku tahulah ada ladang
anggur di Perlis, tapi bukan senang nak jaga!” kata Zaiton.
Roseyatimah terus berhenti
menangis. Wajah teman serumah dan pernah
sekuliah dengannya itu dipandang seketika. Kering air matanya.
“Tanam anggur apa pula? Aku cakap tanam anggur tu, maknanya
mengganggur@ kan sama dengan anggur!”
kering air matanya. Apalah punya
teruk temannya itu, bahasa kiasan pun tidak tahu.
“Erk…” Zaiton ketawa. Terasa kebodohan diri sendiri. Semakin galak dia ketawa.
“Aku ingatkan kau nak tanam
anggur!” Zaiton gelak lagi. Terasa geli
hati mendengar kata-kata sendiri.
Roseyatimah menyambung
tangisannya. Terbayangkan dirinya yang
tidak bekerja. Hendak balik
kampung? Buat malu sahaja. Satu kampung sudah tahu, dia seorang
setiausaha di sebuah syarikat yang besar, usai tamat belajar. Yang mereka tidak tahu, dia hanya kerja
kontrak sahaja di situ.
“Sudahlah Rose, teruk aku tengok
muka kau! Kau sendiri tahu wajah kau
yang tidak jelita tu, bila menangis, aduhai!”
Zaiton menggeleng laju. Penat
memujuk. Jenis keras kepala, susah betul
hendak berkira.
“Kau hina aku Ton? Aku sedar diri Ton, aku tak cantik. Tak macam kau, putih melepak, alis lentik,
bibir bak delima mekar, pipi pauh dilayang.
Mana nak sama dengan aku yang lebih kurang Dayang Senandung. Kulit aku sajalah yang macam Dayang
Senandung, yang lain macam wajah kera kat dalam hutan tu!” tutur Roseyatimah dengan rasa sedih yang
masih berbaki.
“Hmm… terima kasihlah kerana puji
aku. Sedar pun diri! Cuma… aku peliklah. Kenapa kau pilih bidang
kesetiausahan, takkanlah kau tak tahu, kerja seperti ini hanya untuk mereka
yang cantik-cantik sahaja. Kau… hish…
kalau aku jadi majikan pun, rasanya aku fikir berpuluh kali sebelum ambil
kau. Atau pun tunggu sehingga tiada
manusia di dunia ini, yang ada hanya kau!”
Zaiton memandang wajah Roseyatimah yang tidak habis-habis lagi menyanyi. Ops! Menangis.
“Kau ni nak pujuk aku ke, atau nak perli?”
Roseyatimah mula mencekak pinggang.
Bantal busuknya yang sudah hampir bertukar warna dicampakkan ke muka
Zaiton.
“Ala… nak gurau sikit pun tak
boleh?” ngomel Zaiton dengan wajah kelat.
“Aku tengah sedih, kau ajak aku
bergurau?” Roseyatimah rasa hendak bunuh
sahaja temannya itu. Bukan hendak
memujuk hatinya yang lara, malah sengaja menambah perahan asam limau di atas hatinya yang
terluka parah itu.
“Aku nak ceriakan kau! Takkan aku nak menangis meraung macam kau,
nanti tak pasal-pasal jiran sebelah kata ada langsuir dalam rumah ni, tak
naklah aku!” Zaiton menyengih.
“Langsuir? Langsoya adalah!” jerkah Roseyatimah.
“Dahlah tu, nak marah pula? Jom pergi makan… aku dah lapar ni. Separuh hari kau nenangis sambil mengunyah
keropok kentang goreng tu, minum pula air mata Dayang Sulu, teruk betullah
kau!”
“Aku dah kenyang!” Roseyatimah menolak ajakkan Zaiton. Dia benar-benar sedih. Bukan main-main.
“Mana tak kenyang! Satu bekas
keropok Mister Potato kau ngap sampai habis!” cebik Zaiton. Dia bingkas bangun. Baiklah dia cari benda
makan untuk mengisi perutnya yang sudah
mula mengikur rentak lagu nyanyian Roseyatimah.
Nama sudahlah seperti pelakon
era-50an. Kalau pelakon Roseyatimah,
seorang yang ayu, lembut dan sedap mata memandang. Tetapi,Roseyatimah di hadapannya, boleh mati
tercekik kerana terkejut melihat rupanya.
“Kau nak ke mana?” tanya Roseyatimah.
“Jalan-jalan, cari makan!”nyanyi
Zaiton mengikur rentak lagu satu program TV3, Jalan-Jalan Cari Makan.
“Kau nak tinggal aku sendirian di
dalam rumah ini, Ton? Kalau aku mati
kerana tercekik air mata, macam mana?” soal Roseyatimah.
“Tercekik air mata? Kau biar betul Rose? Agak-agaklah nak bergurau? Kalau tercekik
gigi palsu, biasalah aku dengar! Ini air mata?
Kalau kau kumpul air mata kau
sejak pukul 12.30 tengahari tadi sehingga sekarang pukul 7.00 malam, aku
rasalah setengah mug yang ada di hadapan
mata kau tu pun tak penuh!”Zaiton mengetap gigi. Hendak saja dia telan teman,
sahabat dan kawannya itu. Kenapalah
dapat kawan seperti ini. Sengal dan poyo
tidak kena tempat. Bukan dia yang mati
tercekik air mata, tetapi dia yang mati kerana kebulur.
“Jomlah pergi makan! Selepas maghrib kita pergi ya? Kau berhentilah menangis. Sakit telinga aku dengar suara kau seperti
speaker rosak!” Zaiton mengeluh. Baharu separuh hari dia melayan kerenah
Roseyatimah yang telah diberhentikan perkhidmatannya. Kalau berhari-hari
begini, Roseyatimah tidak gila, dia yang dihantar ke Tanjung Rambutan.