Seman mengeluh keras. Dia mundar-mandir di ruang dapur. Sesekali
mengusap dagunya. Matanya memandang
tajam anak perempuannya yang sedang duduk menunduk. Tahu takut! Detik hati kecilnya. Rasa nak dihumban Rose ke dalam tali air.
Manalah tahu boleh putih melepak macam cerita Dayang Senandung. Kalau ikutkan hati marahnya, nak sahaja dia
menghaburkan rasa marah. Lain yang
disuruh, lain pula yang dilakukan oleh
anaknya itu. Buat malu keluarga sahaja. Sudahlah diberhentikan kerja. Ini, bergaduh pula. Bagaimana nak berjaya. Kejap lagi adalah yang datang menyerang. Belum apa-apa sudah melahirkan musuh.
“Rose! Rose!” laung seseorang dari
laman rumah.
“Hah! Kan…” Hanum melangkah
keluar. Dia pasti tidak lain, tidak
bukan siapa lagi yang akan datang bertandang.
Wajah yang cemberut, mencekak pinggang, mulut dijuihkan, renungan yang
tajam bagaikan orang kelaparan yang sudah tidak berjumpa makanan
berbulan-bulan.
“Mana anak kau, Hanum? Berani dia lumur cili kat mulut anak aku, siap pukul lagi! Kau tak ajar anak kau adab sopan ke?” marah Mak Cik Limah, keras dan kasar
suaranya. Bergema di laman rumah itu.
“Ala, Kak Limah, budak-budak bergaduh, kejap
saja. Nanti mereka berbaiklah,” pujuk Hanum.
“Berbaik? Jangan harap!
Anak kau tu memang dengki dengan anak perempuan aku. Dia sakit hati
tengok anak aku cantik, berjaya dan bertunang pula dengan kawan baik dia. Itu sebab dia tak senang hati! Aku akan buat
laporan polis, anak kau dah melampau, Hanum! Kali ini aku tak boleh biarkan!” jerkah
Mak Cik Limah. Dia tidak akan beri
peluang kepada Rose. Habis lebam badan
dan muka anak perempuannya. Mulut anak
perempuannya merah akibat dilumur cili.
“Buat laporan polis? Kenapa nak memanjangkan perkara Kak
Limah? Kitakan sekampung, biarlah mereka
selesaikan masalah mereka sendiri,”
sampuk Seman. Dia sendiri tidak
suka perkara itu berlaku.
“Maafkan anak kami Kak Limah,” rayu Hanum.
Dia tahu dan kenal sangat dengan sikap jirannya itu. Kalau A cakapnya, Alah yang akan
dilakukan. Parah!
“Mana anak kau! Mana si hitam legam tu!” laung Mak Limah dengan hati yang panas membara.
Rose tidak dibenarkan keluar oleh
kedua orang tuanya. Kalau ikutkan hati
ingin sahaja dia menjawab. Ain yang
menyerangnya dahulu, bukan salah dia pun, bebelnya dalam hati. Panas sahaja telinganya mendengar suara Mak Limah memuntahkan maki hamunnya. Langsung tidak mahu bertanya duduk
perkara. Hanya mendengar sebelah pihak,
dengarlah cerita versinya dahulu, baharu buat pertimbangan. Dia buruk sangatkah? Orang hanya tahu
menghina dirinya, tidak seorang pun mahu menyelami hati dan perasaannya. Dia sedar dirilah, dengusnya sendiri.
“Kak Limah, kami berdua memohon maaf
atas sikap anak perempuan kami,” pinta
Seman. Matanya memandang tepat wajah
cemberut jiran sekampungnya itu.
“Mana boleh? Anak kau tu harus diajar! Kalau kau tak boleh
ajar, biar aku yang ajar!” tempelak Mak Limah tidak mahu kalah. Anak dia teruk dibelasah. Mana boleh dia mendiamkan diri. Teruk anaknya kena belasah. Tidak pasal-pasal muka bengkak, bibir merah
menyala. Mana boleh diam!
“Kak, tolonglah. Hanya salah faham saja tu,” rayu Hanum.
“Aku nak dia melutut minta
maaf! Dasar perempuan tak tahu
malu. Kalau begini perangai, tak ada
siapa akan buat menantu! Sudahlah hitam,
perangai pun buruk! Sama hitam dengan tubuh badannya!” sindir Mak Limah.
“Kak Limah… bercakap tu biarlah
berlapik, kami sedar siapa anak kami,”
kata Hanum penuh kesal.
Asyik-asyik mereka mempersoalkan tentang kulit anak perempuannya. Memanglah tidak cantik tetapi tidaklah
seburuk mana pun.
“Peduli apa aku!” Mak Limah menjegilkan mata. Dia mengetap bibir. Matanya liar mencari kelibat Rose.
“Hoi si hitam, keluarlah!” laung Mak
Limah.
“Kalau kau tak keluar juga, aku akan
terus buat laporan polis. Biar merengkuk dalam penjara!” lengking Mak Limah. Dia langsung tidak menghiraukan Hanum
dan Seman yang masih berdiri di hadapannya.
Hilang hormatnya terhadap jiran sekampungnya itu. Anak punya pasal boleh bergaduh orang tua.
Rose tidak tahan dihina. Dia pantang dihina. Langkah diatur mendekati pintu. Tidak dihiraukan larangan kedua orang tuanya. Dia juga ada maruah dan harga diri. Sebak dadanya. Orang kampung hanya tahu menyindir dan
mengusiknya dengan pelbagai gelaran, bukan baharu sekarang, tetapi sejak dahulu
lagi. Ketika waktu kecil, dia akan hanya
tersenyum sahaja jika dia digelar si hitam, si buruk, Dayang Senandung. Sekarang, dia sudah cukup dewasa, sudah cukup
mengerti. Kata-kata itu satu penghinaan kepadanya. Tidakkah mereka tahu isi hatinya? Dia
menangis dalam hati, perit dan pedih hanya dia yang rasa.
“Anak Mak Limah yang mulakan
dulu! Bukan saya!” kata Rose
mempertahankan diri sendiri. Dia sudah
puas menjadi mangsa keadaan. Dia tidak
mahu lagi menjadi pemangsa. Letih menjaga perasaan orang lain. Di mana-mana
sahaja, orang hanya tahu menilai rupa parasnya.
Kenapa tidak ada yang mahu menilai hatinya?
“Amboi! Sedap saja kau nak menuduh,
kan? Kalau sudah bersalah tu, mengaku
sajalah! Jangan nak menegakkan benang yang basah!”
“Rose!” Hanum menarik tangan anak perempuannya. Bukan dia tidak tahu perangai anak
perempuannya itu. Mulut bagaikan laser
terlebih kuasa. Tidak pasal-pasal
terbakar hati jirannya itu. Silap
haribulan nak bawa ke balai polis, dibawa terus ke penjara. Haru jadinya nanti.
“Betul apa? Mak Limah ingat, anak Mak Limah tu baik
sangat? Sejak di bangku sekolah lagi dia
membuli saya. Selama ini saya tak pernah
melawan, biarkan saja saya dihina dan dicaci. Kalau Mak Limah nak laporkan kepada
pihak polis, pergilah! Saya tak takut
sebab saya tak salah!” jelas Rose, tegang.
Dia bercakap benar. Langsung
tidak takut dengan ugutan emak musuh tradisinya itu.
“Rose!” jerit Seman. Kurang senang dengan nada suara anak
perempuanya. Terasa begitu kasar.
Terutama bila berhadapan dengan orang lebih tua. Apatah lagi Mak Cik
Limah jiran sekampung mereka.
“Mak dan ayah tak perlu nak marah
Rose, pagi tadi Rose duduk baik saja nak berniaga, entah dari mana datang
langsuir terus memerli Rose! Hina Rose! Tak ada siapa pun bela Rose, asyik
Rose kena pertahankan diri sendiri! Mak Limah pun suka sindir Rose! Mak Limah
tak tahu ke, yang Mak Limah sindir ni hamba ALLAH. ALLAH yang
jadikan Rose macam ni, takkan Rose nak salahkan ALLAH!” geram bertahta di hati. Galau hatinya. Benaknya sudah penat menahan rasa, tidak
terluah dengan kata-kata demi menjaga air muka orang tuanya. Siapa yang nak
menjaga perasaannya sendiri? Ah! Buat penat sahaja bercakap dengan orang yang
tiada hati dan perasaan dan tidak memikirkan kejadian ALLAH itu ada
hikmahnya. Dia sendiri sudah dapat
menerima diri seadanya.
“Langsuir? Siang-siang hari ada hantu ke?” Hanum garu kepala.
Rose memandang wajah emaknya. Dia
menggeleng. Emaknya tidak faham rupanya.
Dia gelar anak Mak Limah langsuir. Dia mencebik.
“Sedap mulut kau panggil anak aku
langsuir ya?” Semakin marah Mak Cik Limah.
“Eerk… perasan ke?” sinis.
Rose menjeling. Hilang rasa
hormatnya terhadap Mak Limah. Biarpun
mengenali orang tua itu sejak dia lahir
ke dunia ini lagi. Tetapi kalau orang
itu langsung tidak tahu menghormati dirinya, haruskah dia menghormati orang
itu? Hati mudanya tidak mahu mengalah.
“Anak kau ni memang kurang ajar, tak
makan dek ajar! Sudahlah rupa hitam,
hati pun hitam legam!” jerkah Mak Limah
bagaikan orang hilang akal.
“Mak Limah! Sebelum nak nasihat
saya, nasihatlah anak Mak Limah tu!” sindir Rose.
“Rose!” satu tamparan singgah di
muka Rose. Seman mengetap bibir. Dia tidak pernah mengajar anak-anaknya
bersikap kurang ajar dengan orang tua.
Dia mengajar adab sopan, agama kepada anak-anaknya.
“Ayah!” Rose tergamam, terkejut dan tidak
terkata. Sampai hati ayahnya sanggup
menamparnya.
“Abang!” Hanum terkejut juga, tindakan spontan
suaminya itu benar-benar menghiris hatinya.
Biarpun dia marah dengan anak perempuannya, tetapi janganlah sampai
ringan tangan.
“Padan muka kau! Sepatutnya Seman,
dari dahulu lagi kau ajar anak hitam kau ni!
Menyusahkan orang lain saja!” Mak
Limah sendiri terkejut sebenarnya,
tetapi buat selamba, bagaikan tiada apa-apa. Dalam hati terbit juga rasa gembira.
Kalau boleh biar Seman pukul anaknya seperti mana perempuan hitam itu
memukul anak perempuanya, Ain.
Rose berlari masuk ke dalam
bilik. Sampai hati ayahnya. Dia tidak bersalah, kenapa dia dihukum?