Hari pertama, pengalaman pertama.
Rupanya bekerja di restoran ini banyak tugasannya. Jam 7.00 pagi dia sudah terpacul di muka
pintu hadapan restoran. Tukang masak pula lebih awal dari waktu itu.
Maznah menerangkan tugasan yang terpaksa dia
lakukan selain daripada menjadi juruwang.
Dia kena mengemas meja dan menyusun kerusi agar kemas. Lap semua bahagian restoran yang ada, sapu
sampah dan membersihkan bilik air. Bilik
air? Oi! Dia hanya bersihkan bilik air sendiri. Aduhai, pengalaman yang
menakutkan. Tidak pasal-pasal kena
bersihkan bilik air juga.
Mop lantai… uhuhu… banyakkan kerja,
bebelnya dalam hati. Padanlah ramai yang
tidak mahu bekerja di restoran. Tidak
ada tugas yang khusus. Kena buat semua,
dan wajib buat. Tidak boleh membebel,
tidak mungkin dia berhenti. Ini
pengalaman yang menarik. Baharulah dia
faham bagaimana tugas dan tanggungjawab pekerja sebuah restoran, mungkin bekerja di kedai tepi jalan pun sama
agaknya. Cuma tiadalah kerusi meja yang
banyak atau terpaksa mencuci tandas. Minyak
wangi yang dia pakai sudah bau semacam, campur dengan keringat yang mengalir
keluar. Tidak pernah berpeluh bagaikan
orang berlari sepuluh kilometer. Mahu
dia duduk mengadap kipas angin yang terarah kepadanya bagi menghilang peluh
yang membasahi setiap inci tubuhnya.
Maznah pula sibuk di dapur. Siap satu masakan, terus dihantar ke
hadapan. Terus menyusun. Lagi setengah jam restoran akan dibuka pintu
depannya. Bersedia untuk sarapan
pagi. Masakan tengahari juga sudah siap
sedia. Rose mengesat peluh dengan kain
tuala good morning. Memang penat betul. Sabar sahajalah, baharu beberapa jam
bekerja. Dia perlu kuat untuk belajar
sesuatu yang baharu. Tidak boleh patah semangat. Perlu terus berjuang untuk meneruskan
hidup. Jangan susahkan mak bapa, detik
hati kecilnya.
Usai memastikan segala susun atur di
dalam restoran kemas dan bersih. Rose
duduk di tempatnya bertugas. Jam 7.30
pagi, restoran Masakan Melayu terus dibuka sepenuhnya. Pagi itu yang bertugas, seorang pembancuh
air, dua orang tukang masak bersama Maznah, tukang basuh pinggan, juruwang dan
seorang pelayan. Ramai jugalah. Rose memasang kipas kecil yang terdapat tidak
jauh dari tempat dia bertugas. Lega
sedikit rasa tubuhnya. Mampu bernafas setelah dibasahi peluh yang
mengalir. Terasa nyaman. Segelas air kosong menjadi habuan perutnya.
Lega, memang dia kehausan setelah
bertungkus lumus tadi.
“Rose, sambil-sambil tu pergilah
sarapan dulu. Nanti ambil pesanan
pelanggan sekali ya. Tulis ikut pesanan
mereka, terutama minuman. Makanan pelanggan boleh ambil sendiri. Nanti akak ajar cara nak letak harga makanan
yang diambil oleh pelanggan,” terang Maznah usai memasak semua makanan untuk
sarapan pagi dan tengahari. Sejak pukul
5.00 pagi dia sudah tercongok di restoran itu.
Lenguh kakinya. Penat tubuhnya,
rasa nak patah pinggangnya.
“Akak duduklah dulu.” Rose menarik
kerusi dan menghulurkan kepada Maznah yang duduk di sebelahnya. Hari ini terpaksa jugalah Kak Maznah
mengajarnya bagaimana mengira makanan yang diambil oleh pelanggan restoran itu.
“Selama ini saya hanya masuk
restoran atau kedai makan, buat pesanan dan terus makan, tidak pernah ambil
kisah akan kerja dan tugas mereka.
Rupanya penat juga ya kak Maznah,” luah Rose dengan wajah penuh minat.
“Ya Rose, banyak kerjanya. Itu sebab tidak ramai anak muda kita yang
minat kerja seperti ini, maklumlah kerja yang tiada kelas. Macam kuli agaknya mereka rasa. Sedangkan banyak perkara yang mereka boleh
belajar jika bekerja di restoran. Dari
dapur sehinggalah ke luar. Kalau ada
yang rajin bolehlah belajar memasak juga.
Buat air pun kena ada skilnya juga.
Bukan main buat macam di rumah.
Kalau buat milo kena pandai sukatannya. Kalau tidak air itu akan rasa
tawar, terutama milo ais. Nampak mudah
tetapi tidak senang juga,” jelas Maznah panjang lebar. Ramai beranggapan kerja di restoran satu
kerja remeh dan mudah. Tetapi sukar juga
rupanya.
“Pengalaman pertama buat saya Kak
Maznah. Harap boleh bersabar dengan
saya, ya?” Rose tersenyum.
“Harap tidak bosan atau cepat
mengalah bekerja di sini. Kerja banyak, imbuhan kecil,” ucap
Maznah sambil mengelap peluh yang ada di dahi dan lehernya yang
bertudung.
“Insya-ALLAH kak,sedang menyesuaikan
diri.” Rose menyengih. Berharap sangat
dia mampu bertahan dan menyesuaikan diri.
Hari ini dia menjamu tekaknya dengan
nasi lemak berlaukkan ayam goreng berempah.
Memang sedap masakan Maznah, itu
sebab agaknya dia buka restoran. Kalau
dialah yang masak, entah-entah hari ini buka, esok sudah tutup, seperti
kejadian yang lepas. Rose mengeluh
sendiri. Sejak buka pagi tadi, restoran
itu tidak henti-henti pelanggan masuk
dan menjamu selera. Maznah
tekun mengajarnya mengira makanan yang diambil pelanggan. Nasib baiklah otakknya tidak beku sangat,
kalau tidak mahu pengsan Maznah
mengajarnya.
Hari ini dia terpaksa bekerja
sehingga lewat malam. Aduhai, berhenti
untuk solat dan makan sahaja. Mahu patah pinggang. Baharu hari pertama sudah mengeluh kesah,
sakit sana sini. Eee... tuanya dia. Jangan mengalah, jangan mengeluh, bukan senang
nak senang dan tidak susah nak susah. Rose
berusaha memujuk hati sendiri.
Upacara tutup kedai pula. Aduhai…
mahu dia mengeluh berbakul-bakul hari ini. Siang tadi mengemas, tengahari mengemas, nak
tutup kedai pun kena kemas juga. Siap
basuh meja dengan air panas lagi. Bilik air juga begitu. Di dapur pun sama. Nampaknya Maznah memang
seorang yang pembersih. Patutnya ramai
pelanggan suka makan di restorannya.
Memang bersih dan kemas.
Mahu tidur mati dia malam ini akibat
keletihan. Lauk pauk habis terjual. Malam ini pelanggan pun ramai juga. Malam ini dia ada kerja lebih masa. Berbaloilah
juga dia membantu sehingga restoran tutup. Banyak perkara dia belajar hari
ini. Semoga dia terus bertahan. Rasa tebal tapak kaki kerana terlalu lama
berdiri, sakit juga betisnya akibat tekanan daripada tubuhnya. Biarpun kurus
tetapi berat. Bukan berat dosa ya. Jangan salah faham. Rose memandu Myvinya pulang ke rumah yang
terletak beberapa kilometer dari kawasan tempat tinggalnya. Perut sudah
kenyang, dia hanya perlu mandi, solat isyak dan terus tidur. Esok kena datang awal lagi.
***
Daun pintu dibuka perlahan. Tentu
Zaiton sudah diulit mimpi. Hari ini seharianlah dia tidak tengok rupa paras
sahabatnya yang sentiasa jelita itu.
Entah berapa kali dia menguap, habis air mata mengalir, menahan kantuk
yang keterlaluan. Nasib baik tempat
kerjanya tidak jauh dari rumah, kalau tidak mahu sahaja dia menelefon Zaiton
mengambilnya di tempat kerja lantaran tidak mampu memandu jauh. Sakit habis segala urat saraf, tulang
belulang. Padanlah anak-anak muda di
Malaysia tidak suka bekerja di sector perkhidmatan di restoran. Letihnya usah
ceritalah. Kalau nak tahu pergilah bekerja di restoran seminggu dua, baharu
tahu.
Dalam kesuraman malam, ruang tamu
gelap-gelita. Biasalah mereka jarang
membiarkan pembaziran berlaku. Hanya buka lampu di bahagian dapur sahaja. Tekaknya terasa haus. Dia melangkah ke dapur.
Peti sejuk dibuka, sebotol mineral 500ml diambil, dia duduk di kerusi dan terus
meneguk minuman tersebut setelah dibuka penutupnya.
“Kau baru balik Rose!’ sapa Zaiton
sambil menguap.
“Kus semangat! Kau ni bagilah
salam. Kau tak tidur lagi?” Hampir dia
tersedak. Buat orang terkejut
sahaja.
“Wa’alaikumsalam!” usik Zaiton. Dia
tersenyum dan duduk di kerusi meja makan.
“Lambat kau balik?” Zaiton tergaru-garu kepala dan muka. Dia sebenarnya mengantuk, tetapi nak juga
menunggu kepulangan sahabatnya itu.
“Tak ada pekerja, kenalah kerja
lebih masa,” jelas Rose. Dia
menghabiskan sebotol air mineral 500ml itu.
Hilang dahaga yang menjalar di
tekaknya.
“Hari pertama dah kena kerja lebih
masa? Kasihannya kau!” Zaiton memandang dengan wajah simpati.
“Tak payah buat muka poyo dan kesian
tu. Aku tak apa-apalah.” Rose mencebik.
“Betul ni?” Zaiton bagaikan tidak
percaya.
“Betullah, aku cuma penat saja,”
luah Rose meyakinkan.
“Aku risaukan kau, tengok jam dah lewat malam tapi tak balik-balik
lagi. Aku telefon kau tak angkat
pun,” jelas Zaiton, itu sebab dia tidak
tidur lagi. Kalau sampai pukul 2.00 pagi rakannya itu masih tidak balik lagi,
dia akan buat laporan polis.
“Laa… aku tak perasanlah! Sibuk
sangat. Malam ni ramai pula orang.” Rose
meregangkan tulang belulang tubuhnya.
Dia nak mandi dan terus tidur.
Esok aawal-awal pagi sudah nak ke tempat kerja.
“Kau rehatlah. Kalau ada masalah bagi tahu aku ya. Kalau tak sesuai kerja di situ pun bagi tahu
aku. Nanti aku tolong carikan kerja yang
sesuai buat kau,” kata Zaiton dengan muka simpati.
“Yalah! Pergilah tidur,” arah Rose. Langkah Zaiton dipandang dengan
senyuman. Ada juga orang yang sayang
dengannya selain daripada keluarganya sendiri.
Rasa hiba menghenyak hatinya. Dia
menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan.