Keadaan tenang di kawasan rumah
kedai yang menjadi tempat dia menunggu seseorang langsung tidak menenangkan
hatinya yang kacau bilau. Resah
menunggu. Ain mengerut dahi. Dia menunggu dengan sabar di hadapan restoran
tempat Rose bekerja. Dia ingin menyiasat
sendiri, siapa musuhnya di situ. Tidak
mungkinlah rakan kongsi? Mana perempuan
gelap itu ada duit! Bukan keluar senang pun.
Biasa-biasa sahaja. Lainlah dirinya.
Boleh buka restoran sendiri, bebel Ain dalam hati. Sengaja dia mengambil cuti hari ini,
semata-mata ingin menjadi penyiasat. Ain
mencebik. Terintai-intai dan tercongok
sahaja di tempat letak kereta berhampiran restoran.
Ain
terpandang seorang lelaki sedang membersihkan ruang hadapan restoran.
Dia tidak nampak bayang Rose. Datang lewatkah? Fikirnya sendiri. Ah! Dia bukan nak bertemu perempuan hitam
itu. Dia cuma nak tahu benarkah
perempuan itu menjadi rakan kongsi di restoran itu. Itu sahaja.
Kalau benar, dia tidak boleh kalah sama sekali. Dia perlu buat sesuatu. Rose tidak boleh menang dan lebih
daripadanya. Ain mengetap bibir.
Ain menyeberang jalan. Lankahnya semakin mendekati lelaki itu.
Mungkin usia lelaki itu dalam hujung belasan
tahun. Masih kelihatan muda. Tetapi kerja
di restoran. Malas belajarlah agaknya, kata
Ain dalam hati. Hanya mereka yang tidak
berpelajaran sahajalah bekerja di restoran, termasuklah lelaki itu. Dia mencebik.
“Akak nak sarapan ke? Restoran baru buka, lagi lima belas minitlah
kak,” sapa lelaki itu bila ternampak kelibat Ain.
Ain menggeleng. Dia memandang ke
kiri dan ke kanan, memerhati jika ternampak Rose.
“Habis tu?” lelaki itu
kehairanan. Gelagat Ain agak
mencurigakan.
“Majikan adik mana?” tanya Ain.
“Ada kat dapur, memasak. Kenapa?” soal lelaki itu semula.
“Perempuan yang hitam tu?” Ain
memandang kiri dan kanan sekali lagi, nada suaranya diperlahankan.
“Hitam? Yang mana?” Lelaki itu kehairanan.
“Ala… yang jaga kaunterlah!”
“Ooo… Kak
Rose?”
“Ya… Rose! Siapa dia di sini?”
Semakin teruja Ain ingin tahu.
“Juruwanglah!” jawab lelaki itu
perlahan. Dahinya berkerut semula.
“Bukan rakan kongsi di restoran ini,
kan?” tanya Ain laju.
“Entahlah, hal tu saya tak tahulah pula,” jawab lelaki itu jujur. Memang dia tidak tahu
dan tidak pernah diberitahu. Malah tidak
perlulah dia mengambil tahu.
“Takkanlah tak tahu?” Ain tidak
percaya.
“Betul kak, kalau akak tak percaya,
akak pergilah tanya majikan saya sendiri.
Dia ada di belakang tu,” jelas
lelaki itu.
Ain menjeling. Jawapan yang belum diperolehi dari soalan
yang ditanyakan tadi.
“Kau buat apa kat sini Ain? Pagi-pagi
ni?” Rose memandang wajah Ain tidak berkelip. Sejak dia sampai, dia
memerhatikan sahaja Ain mendekati rakan sekerjanya. Dia sengaja mencuri dengar
perbualan rakan sekerjanya dengan Ain. Perempuan ini memang tidak pernah kenal
putus asa. Nak juga dia mencungkil
rahsia dirinya. Pasti masih tidak berpuas hati lagi.
“Erk… nak sarapanlah! Kau sibuk
kenapa?” Ain pucat. Bila pula perempuan
hitam ini muncul? Kenapa tak nampak? Sedangkan dia berhati-hati tadi.
“Lagi sepuluh minit baharu
buka. Kau datang kawasan ni kenapa?
Bukankah pejabat kau di daerah lain?” soal Rose. Dia memeluk tubuh dan melayan Ain
yang sedang terpinga-pinga, kena tangkap, kantoilah!
“Ikut suka akulah! Kau peduli
apa?” Aian mencebik.
“Pergi restoran lainlah! Kau memang
sengaja nak cari nahas dengan aku, kan?
Kau suka sangat ganggu aku?
Cerita zaman sekolah, dah lama berlalulah! Lupakanlah. Lagipun kau dah berjaya, lainlah aku, masih
ditakuk lama. Tak payahlah kau nak rosakkan hati kau tu, cemburukan aku!”
leter Rose. Bertambah meluat dia melihat perangai Ain. Kenapalah berdengki dengan dirinya?
“Hey, perempuan… selagi aku tak mati, selagi itulah
dendam aku dengan kau takkann padam, tahu tak?”
jerkah Ain dengan mata membutang memandang Rose.
“Apa yang aku dah buat kat kau? Kalau setakat kena gantung sekolah, tak ada
maknanya. Kau tak tamatkan persekolahan kau ke? Yang kau
marah kat aku sampai ke lubang kubur?”
tempelak Rose.
“Bagi kau kecillah! Bagi aku
besar!” Ain menjegilkan mata. Malu dia
dengan rakan-rakan sekolah yang lain.
Dia digantung seminggu oleh pihak sekolah kerana mencuri kertas soalan
milik gadis hitam itu.
“Aku minta maaf, okey. Lupakan saja,” pinta
Rose.
“Minta maaf? Kau ingat cukup
ke?” Ain memuncungkan bibirnya.
“Habis tu? Kau nak aku buat
apa? Sembah kau! Rayu dan bersujud pada
kau? Hey.. kau ingat tak kenapa kau digantung sekolah?”
“Ah!
Peduli apa aku!” Ain tidak mahu
mengingatkan kejadian itu. Dia telah
mencuri kertas jawapan Rose dan menukarnya dengan kertas jawapannya yang tidak
berjawab. Kosong. Sebab perkara itu Rose
kalah di tangannya. Dia mendapat tempat
pertama dalam sekolah. Rose tempat
kedua, tetapi kena marah dengan cikgu kerana menghantar kertas kosong.
Tidak berapa lama kemudian, kejadian
itu bocor, Rose mengamuk dan menyebabkan dia digantung persekolahannya. Malu
dia dengan orang kampung juga. Sejak itulah api dendam membara di hati. Tidak pernah padam.
“Pergilah baliklah! Buang masa saja kau kat sini,” halau Rose. Orang seperti Ain
tidak akan tahu memaafkan orang lain.
“Aku pun tak ingin nak tengok muka
kau yang hitam macam bontot kuali, bikin hati panas saja!” bentak Ain sambil
berlalu pergi. Tidak sampai tujuannya ke
situ. Kenapalah dia tidak nampak Rose datang? Budak lelaki itu pun satu, jawapan sahajalah
soalahnya, ini tidak, soal dia semula.
Habis gagal rancangannya. Ini
semua budak itu punya pasal, bentaknya dalam hati. Dia terus masuk ke dalam keretanya dan
memandu laju meninggalkan kawasan rumah kedai itu.
Dia menghentak stering kereta. Wajah Rose yang berani melawannya itu
membuatkan dia kecut perut juga. Tidak
padan dengan kecil, dia lebih tinggi
daripada si hitam itu. Haikal pula ke
mana? Sudah dua hari tidak menghubunginya, sejak dia ajak
menyiasat tentang Rose. Kalau tidak setiap malam mereka akan berbual mesra,
bergurau ketawa, berjanji setia, tanpa dibayangi wajah si hitam legam itu. Sejak dia tahu si hitam itu jadi rakan
kongsi pemilik restoran serba besar itu, buat hatinya panas. Kalau nak bercakap
dengan Haikal pun dia akan membentak
keras. Langsung hilang kelembutan yang
ada dalam dirinya. Kenapalah perempuan
hitam itu masih hadir dalam hidupnya. Erk.. si hitam itukan sekampung
dengannya. Kalau balik pada hari raya,
pasti bertemu muka ada ketika duduk
sebelah menyebelah waktu solat sunat
hari raya. Memang bikin hatinya panas menggelegak.
Keretanya dipandu perlahan membelah jalan raya yang semakin
sesak dengan kenderaan. Dia terus
kepejabat tempatya bekerja. Dia tidak
akan membiarkan Rose berjaya. Dia jauh lebih hebat daripada Rose. Ucapan yang
sering berlegar di akal fikiran. Boleh
membunuh rasa ketenangan dalam diri. Giginya saling berlaga. Berkeriut bunyinya. Kalau boleh dilapahnya si hitam
itu, sudah lama dilapah dan disiat-siat.
Kenalah hatinya sakit sangat dengan si hitam itu pun dia tidak
tahu. Yang pasti dendam lama masih
bertahan dalam diri. Sukar betul nak
dinyah jauh-jauh. Macam badi pula, asyik
mengekor.
Rasa benci membuak-buak dalam
hati. Telefon bimbit dicapai. Dia
mendail nombor Haikal. Tiada jawapan. Ke
mana pula lelaki ini pergi? Takkan
larikan diri kut? Fikirnya dalam
hati. Sekali lagi stereng kereta menjadi mangsa
tangannya, melepaskan geram yang membuku di hati. Penghawa dingin yang terpasang tidak mampu
menyejukkan hatinya. Wajah Rose yang
dapat menangkap dirinya tadi membuat hatinya bertambah geram. Perkara itu tidak akan selesai, detik hati
kecilnya.