Hadiri temuduga lagi, dia mengeluh
berat. Bulan ini sahaja sudah lima
syarikat dia pergi. Bukan sahaja meminta
kerja sebagai setiausaha, malah kerani biasa pun dia tidak diberi peluang. Rasa sedih menghempap hatinya. Terasa kesal jauh di sudut hatinya. Berkali-kali dia membelek tubuhnya di cermin. Membandingkan dirinya dengan orang lain. Ini adalah temuduga terakhir. Kalau tidak dapat juga, terpaksalah dia
bungkus kain baju dan pulang ke kampung.
Biarlah kedua orang tuanya berleter sekalipun. Biarlah orang kampung
mengutuk dan mengata dirinya. Tidak mahu
lagi memeningkan kepala. Sejak pagi
tadi, berkali-kali Zaiton mengingatkannya.
Hampir naik marah jadinya. Bukan
dia tidak ingat, tetapi dalam hati terbit rasa malas. Malas berhadapan dengan manusia yang tidak
tahu menghargai orang lain. Malas
menghadapi manusia yang hanya memandang
cantiknya sesuatu yang cerah. Gelap juga
menawan. Bukanlah malam itu gelap dan
hitam? Ah! Sakit hati memikirkannya.
Di
satu tempat di Kuala Lumpur…
Tiga orang gadis, cantik manis dan
bergaya duduk dengan penuh yakin di kerusi berhampiran bilik mesyuarat yang
digunakan untuk menemuduga calon-calon yang berkelayakan, samalah dirinya. Langsung tidak beramah mesra dengan
calon-calon yang lain. Kadangkala
terdetik juga di hatinya, adakah dirinya kelihatan cerah di dalam gambar? Apabila berhadapan dengan mereka yang
menemuduganya, mereka terus berubah fikiran, memandangnya sebelah mata pun
tidak mahu. Hina benar dirinya.
Kerana Zaiton dia hadir juga. Mata-mata yang memandang tidak
dipedulikan. Dia perlu kuat semangat,
perlu yakin dengan dirinya sendiri. Dapat
atau tidak bukan dia yang menentukannya.
Dia redha sahaja. Syarikat
Bernama Sdn Bhd. Sebuah syarikat
korporat yang terkenal di negara itu.
Sebuah syarikat yang besar. Dalam
hati langsung tidak mengharap apa-apa akan kehadirannya di situ.
Usai ketiga-tiga calon ditemuduga,
maka tibalah saat untuk dirinya pula.
Tiada lagi rasa debar di hati, tiada lagi rasa bimbang akan bertemu
dengan para penemuduga. Tidak kira berapa
orang sekalipun, dia tidak akan membiarkan dirinya dihina kali ini. Sakitnya hati hanya ALLAH sahaja yang tahu. Dia cuba kuatkan diri dan semangat. Jangan mengalah dengan sindiran dan
penghinaan.
Seperti biasa, dia membuka daun
pintu dengan penuh sopan. Duduk ketika di suruh. Tiga orang penemuduga duduk di hadapannya. Wajah selamba mereka menjadi santapan
matanya. Dalam ketiga wajah itu,
kelihatan seseorang yang amat dikenalinya.
Pernah dekat denganya. Aduhai,
kenapa lelaki ini ada di sini? Dia
bekerja di sinikah? Pertanyaan yang
tiada jawapan dan jawapannya ada di hadapan mata.
“Roseyatimah bt. Seman?” tanya salah
seorang penemudaga yang memakai nama Fairuz, berkumis nipis, segak dengan blazernya.
“Ya saya,” jawab Rose dengan penuh
hormat. Dia tidak langsung memandang wajah lelaki yang dikenalinya itu. Sakitnya masih terasa.
Seperti biasa mereka akan
bertanyakan soalan, selain melihat sijilnya.Soalan yang diberi berkisar tentang
pengetahuan am. Dia jawab apa sahaja
yang dia tahu dan mampu menjawabnya.
Tidak perlu tunjuk pandai. Segala
soalan dijawab dengan penuh yakin, bertubi-tubi soalan diberi. Jika tahu dia akan menjawabnya. Jika tidak,
jawab sahaja tidak. Hampir lima belas
minit dia menghadap wajah mereka. Usai
selesai dia tidak menunggu lagi. Setelah
mengucapkan terima kasih dia terus keluar.
Nasib baik tiada perkataan yang menyakitkan hati keluar daripada mulut
mereka.
“Rose!” panggil Haikal. Dia mendekati Rose yang sudah pun sampai di
pintu lif. Mata mereka bertembung.
“Haikal.” Rose mengerutkan dahi.
“Kau tak payah mengharap untuk
bekerja di sini, mereka sudah ada calon yang sesuai,” terang Haikal.
Rose tersenyum sinis. Tidak beritahu pun dia sudah tahu. Faktor fizikalnya menjadi masalah. Dia faham dan mengerti. Tidak perlu berasa hati.
“Terima kasih.” Rose terus
meloloskan diri sebaik sahaja pintu lif terbuka. Sebak dada mencengkam hatinya. Haikal langsung tidak menunjukkan kemesraan
selayak seorang sahabat. Di mana kemesraan mereka selama ini? Ke mana perginya? Sudah hilang ditelan waktukah atau dia bukan
lagi sahabat buat Haikal. Air mata tidak
sabar-sabar nak mengalir keluar. Jangan
menangis kerana lelaki, neraka tempatnya, dia memujuk dirinya sendiri. Semakin laju langkahnya. Datang mengejarnya hanya untuk memberitahu
jangan berharap dengan kerja yang ditawarkan tadi. Dia tidak aka nada peluang. Tidak perlu beritahulah, aku sedar diriku!
Jeritnya dalam hati. Air mata sudah
bercucuran mengalir. Merawat hatinya
yang walang, meredakan seketika perasaannya yang gundah-gulana. Jangan sesekali fikir untuk berjauh hati
dengan manusia, jangan sesekali fikir untuk menyalahkan takdir yang ada. Inilah dirinya, Rose Seman, gadis berkulit
hitam gelap. Gelap-gelap si tampuk
manggis, bisik jauh di sudut hatinya.
Merawat luka di hati. Tiada siapa
yang mampu memujuk, jika bukan dirinya sendiri.
Di rumah sewa…
Dia memasak seringkas yang
boleh. Apa sahaja yang terhidang akan
ditelan oleh sahabatnya merangkap teman serumah, mantan rakan sekerja. Sambal kentang goreng campur ikan bilis,
masak lemak kobis dan ikan goreng. Cukuplah hanya mereka berdua. Dia membersihkan diri, solat dan terus
berehat di sofa sambil menonton. Hatinya
sudah kembali tenang.Tidak mahu melayan
perasaan yang kecewa, menangis air mata darah sekalipun dirinya tidak akan
berubah. Lainlah kalau dia pergi buat
pembedahan plastik, memutihkan dirinya seperti mendiang Michael Jackson. Tidak mahulah! Itu mengubah kejadian ALLAH SWT namanya. Tidak perlu menyesal dengan kurniaan
ILAHI. Dia cukup sempurna menjadi
manusia, tiada cacat cela, hanya kulitnya sahaja tidak menarik. Apa masalah?
Cari sahajalah kerja yang sesuai. Jadi tukang cucikah, kalau polis
trafik sesuai agaknya, berdiri di tengah panas dengan kulit begini? Mana ada masalah, dia tersenyum sendiri.
Tenanglah hati, tabahlah hati, terus memujuk diri sendiri.
Bunyi daun pintu ditolak membuatkan
dia melepaskan segala lamunan di hati.
Pasti Zaiton dan sudah tentu soalan yang bertubi-tubi akan singgah di
telinganya. Mahu berdarah dengar
bebelan sahabatnya itu.
“Macam mana tadi? Boleh dapat ke?” tanya Zaiton, teruja sangat nak
tahu keputusan temuduga tadi.
Rose mengeluh. Tangan Zaiton ditarik
dekat dengan dirinya. Dia menyuruh
Zaiton duduk di sebelahnya.
“Ton, tak payahlah carikan aku kerja
sebagai setiausaha ya, aku sedar diri.
Aku akan cari kerja lainlah. Tak
naklah lagi pergi temuduga untuk jawatan seperti itu. Kau jangan bimbang ya,” jelas Rose.
Dia tidak mahu Zaiton risau tentang dirinya. Dia sudah dapat menerima hakikat yang dirinya
tidak sesuatu bekerja sebagai seorang setiausaha.
“Sayanglah, kau penat belajar nak
jadi setiausaha, alih-alih terpaksa lupakan impian kau tu.” Zaiton muram.
“Jangan bimbanglah, aku okey
saja.” Rose tersenyum.
“Kau pergi mandi, solat lepas tu
kita makan sama-sama. Aku dah
masak,” beritahu Rose.
“Kau okey ke tak ni?” tanya Zaiton
sekali lagi.
“Ya… aku tak apa-apa,” jawab Rose penuh yakin. Dia sudah dapat menerima takdir dirinya.
Bukan rezekinay bekerja sebagai seorang setiausaha. Mungkin ada rezeki di tempat lain yang lebih baik.
Kalau terpaksa hanya menggunakan keputusan SPMnya pun dia tidak kisah.
“Kalau begitu, aku masuk mandi dan
solat. Kita makan sama-sama ya. Esok
cuti, kita keluar sarapan di luar,” kata Zaiton riang. Lega hatinya melihat wajah ceria Rose. Tidak lagi monyok seperti dahulu, sewaktu
dibuang kerja.
Rose memerhatikan langkah Zaiton
sehingga hilang di sebalik pintu biliknya.
Dia tersenyum sendiri. Hatinya
semakin tenang, setenang air di laut, kalau gelora dan angin sampai berombaklah
ia. Tidak mahu mengocakkan hati
sendiri. Biarlah ia tenang sepenuhnya. Dia akan berusaha untuk mengubah nasib
hidupnya. Tidak mahu bergantung dengan
orang lain.