“ZAHRA, BANGUN.” Puan Sofea mengejutkan anaknya.
“Hmmm ibu.” Zahra menggosok-gosok
matanya yang separuh terbuka.
“Shuuu.” Puan Sofea meletakkan
jari telunjuk pada bibir, tanda supaya Zahra rendahkan suaranya. Dia menunjukkan
ke arah Aleeya yang masih lagi tidur lena seperti dibuai mimpi.
Perlahan-lahan Zahra bangun dari katil. Badan yang terasa tegang dipusingkan ke kiri dan kanan.
“Pukul berapa ni ibu?” Muka masih lagi kelihatan mamai.
“Dah dekat lima setengah petang. Dah asar ke belum ni?”
“Belum.”
“Pergi solat cepat. Tak elok lambat-lambatkan solat. Nak turun
nanti jangan lupa pakai tudung. Arif ada kat
bawah.” Sempat lagi Puan Sofea berpesan.
“Kenapa dia datang?” Zahra buat muka pelik. Blur sekejap.
“Ya Allah, Zahra ni. Mestilah dia datang. Nak jemput Aleeya. Dah, dah,
pergi solat cepat. Nanti kamu bawa Aleeya turun sekali,” pesan Puan Sofea lagi
sebelum keluar dari bilik Zahra.
“Lupa pulak.” Zahra tersengih
mengenangkan keterlupaannya itu. Itu
la orang kata jangan tidur selepas waktu asar. Kan dah mamai. Terus dia masuk
ke bilik air untuk menyegarkan badan dan berwuduk sekali.
Setelah siap bersolat, Zahra terus menyarung jubah dan
tudung Ariani. Dilihatnya Aleeya masih sedap terlena di
atas katilnya. Tanpa sebarang bunyi, Zahra duduk di tepi katil.
Nak kejut macam mana eyh? Comelnya rupa dia masa dia tidur.
Zahra menatap wajah mulus Aleeya untuk seketika. Anak rambut yang menutupi dahi
dialih sedikit. Lembut dan licin rambut dia. Macam pakai conditioner. Anak aku nanti comel macam ni juga ke? Apa yang aku
berangan ni? Kena kejut Aleeya ni.
“Aleeya.” Dengan lembut Zahra memanggil Aleeya. Namun mata Aleeya masih
tertutup rapat. Cuma badannya sahaja yang bergerak sedikit. Masih belum ada
tanda-tanda mahu bangun. Oleh kerana takut Aleeya meragam, Zahra terus mengangkat
Aleeya perlahan-lahan dan mendukungnya bersama-sama dengan teddy
bearnya. Boleh tahan berat
juga budak ni.
Terus Aleeya dibawa turun ke ruang tamu. Apabila tiba di bawah, semua senyap
memandang Zahra. Abah, ibu dan termasuk Arif. Semua tertumpu ke arahnya. Yang
paling membuatkan dirinya terasa sesak ialah pandangan Arif. Jantungnya
berdegup pantas melihat panahan mata Arif.
Apa kena dengan aku ni? Rasa macam
jantung ni nak tergolek keluar je. Tak
pernah-pernah macam ni. Dulu pun tak macam ni. Ish! Tak boleh jadi ni.
“Erm, puas saya kejut tapi Aleeya
macam tak nak bangun je.” Apesal semua pandang aku macam tak
pernah tengok aku je ni. Pelik ke tengok aku dukung budak ni? Nak kata aku pakai tudung terbalik, rasanya tak?
“Aleeya ni memang liat sikit nak bangun,” ujar Arif yang mula bangun dari
duduknya untuk menuju kepada Zahra yang masih lagi berdiri di tepi tangga.
“Terima kasih Zahra.” Sempat Arif mengucapkan terima kasih semasa mengambil
Aleeya daripada Zahra. Dalam beberapa saat matanya bertemu dengan mata Zahra.
Berhati-hati dia mengambil Aleeya agar tak bersentuhan dengan Zahra.
Zahra garu pelipis kanannya.
“Erm,
Asyraf takde sekali? Tangan dia macam
mana?” Sengaja Zahra melontarkan soalan kerana hendak menutup
perasaannya yang tak keruan ketika itu. Matanya melilau ke sana sini. Hatinya tak kuat untuk terus menatap
wajah Arif.
“Asyraf ada dengan mama dia. Alhamdulillah doktor cakap tak serius.
Insya-Allah dalam seminggu boleh sembuh.” Terlakar senyuman manis pada bibir
Arif. Aleeya yang sedang terlentok di bahunya mula merengek sedikit. Arif
menepuk perlahan belakang Aleeya.
“Pak cik, mak cik, saya kena balik dulu. Nak kena hantar Aleeya pulang.”
“Kalau ada masa datanglah lagi. Jangan lupa bawa Aleeya dengan Asyraf
sekali,” pesan Encik Rahman.
“Insya-Allah.”
Apabila kereta Arif semakin menghilang dari pandangan, Zahra baru
teringat soalan berani mati yang dia ajukan kepada Aleeya. Alamak! Macam mana
kalau Aleeya bagi tau Encik Arif. Mati aku macam ni! Rasanya Aleeya takkan bagi
tau Encik Arif kot. Zahra cuba meyakinkan dirinya. Tak kot? Daripada fikir
fasal hal ni, baik aku sambung kemas bilik aku. Dah rupa tempat kucing beranak.
KEDENGARAN BUNYI derap kaki yang sedang menuruni tangga. Arif panggung kepala.
Kelihatan Ikram sedang menuju kepadanya. Dia melabuhkan punggungnya di atas
sofa berdepan dengan Arif. Baju kerja masih tersarung di badan.
Apabila
mengetahui tentang anaknya Asyraf, cepat-cepat abangnya itu bergegas balik ke
rumah. Segala kerja di opis ditinggalkan. Bagi Ikram sesibuk mana pun dia,
anaknya harus diutamakan. Arif benar-benar kagum dengan abangnya.
“Asyraf macam mana? Menangis lagi?” tanya Arif.
“Dah tidur. Aleeya pun sama. Sedih dia tengok tangan abang dia kena balut.
Arif juga tahu betapa akrabnya mereka ni. Kalau seorang menangis, seorang lagi
mesti ikut sama.” Ikram tergelak kecil memikirkan anak-anaknya.
“Semua salah Arif along sebab tak jaga baik-baik.” Arif mempamerkan rasa
bersalahnya.
“Along tak salahkan Arif. Along tahu Asyraf tu kadang-kadang dia lasak
sikit. Budak-budak Arif. Insya-Allah lepas ni dia tak nakal-nakal sangat dah.
Along dah bagi nasihat tadi.”
Sementara itu Roslinda muncul dari dapur. Tangannya sedang menatang dulang
berisi air teh. “Betul tu Arif. Kami sikit pun tak salahkan Arif. Lagipun Arif
dah banyak tolong akak dengan abang Ikram. Selalu tolong jagakan anak-anak
kami. Sepatutnya kami berterima kasih dengan kamu.”
“Arif sayangkan budak-budak tu macam anak Arif juga.”
“Kalau macam tu cepat-cepat la kahwin. Boleh ada anak sendiri. Along tahu kamu
tu sukakan budak-budak.” Ikram mencadangkan. Air teh yang dihulurkan oleh
isterinya dihirup sedikit.
Arif membalas kata-kata Ikram dengan senyuman.
“Minumlah ni Arif. Akak tak sempat nak sediakan apa-apa,” pelawa Roslinda.
Cawan yang berisi air teh dihulurkan kepada Arif.
“Susah-susahkan akak je. Takpe, ni pun dah cukup,” balas
Arif.
“Tadi Arif ada sebut tentang keluarga Encik Rahman? Siapa tu?” Roslinda
yang sudah mengambil tempat di sebelah suaminya mula bertanya.
“Encik Rahman tu kenalan Arif. Arif selalu terserempak dengan dia kat masjid. Lagipun anak dia student Arif.” Ada nada ceria semasa Arif bercerita.
“Aik? Lain benar cara Arif
bercerita ni. Macam ada ehem ehem. Betul tak Ros?” Ikram mula mengusik.
“Anak dia tu mesti perempuan kan abang?” Roslinda turut sama mengusik.
Ikram dipandang dari tepi.
“Abang setuju.” Ikram angkat tangan.
“Perempuan ke, lelaki ke? Janji keluarga dia baik.” Arif membalas. Kena defend diri sendiri. Dua lawan satu ni.
“Alah Arif. Nak sembunyi-sembunyi pulak.
Cakap jelah Arif suka pada anak dia. Molek benar kamu kenal dengan
ayah dia dulu. Orang cakap nak kenal anak mesti kenal dan ambil hati parents dia dulu. Macam along dulu,” ujar Ikram dengan penuh bangga.
Roslinda menjeling kepada Ikram. “Betul ke abang buat macam tu dulu?”
“Tak betul ke? Ayah awak garang tau. Misai panjang. Kecut betul perut abang
masa first time jumpa dia. Bersusah payah abang buat itu ini, semata-mata
nak tackle hati dia tau.” Ikram kenyit sebelah mata.
“Misai panjang yang abang cakap tu ayah saya, bapa mentua abang juga.” Roslinda
mencebik.
“Abang gurau jelah.”
Betapa bahagianya Arif melihat pasangan suami isteri di hadapannya ini.
Alhamdulillah Allah telah memberikan kebahagiaan buat along dan kakak iparnya.
Semoga kebahagiaan ini kekal sehingga ke alam abadi. Serta-merta fikirannya
kembali mengingati arwah Ati. Sesungguhnya dunia ini hanyalah persinggahan
sementara buat seluruh umat manusia.
Arif berdeham.
“Ros, ada orang jealous la pula. Tulah Arif, orang suruh kahwin tak nak.” Ikram
mengusik lagi.
Arif hanya tergelak kecil. “Takde
maknanya nak jealous. Okeylah Arif nak minta diri dulu. Banyak kerja nak
disiapkan.” Terus dia bangun dan mengorak langkah untuk pulang.
“Nak larilah tu. Oh ya lupa pula. Insya-Allah walid dan umi nak datang
bulan depan. Kamu tahu?”
“Tahu. Umi call semalam. Kalau along dengan akak sibuk. Arif boleh jemput walid
dengan umi di airport nanti.” Arif menawarkan dirinya.
“Kita tengok macam mana nanti. Kalau kami tak ke mana-mana, kami jemput,” cadang
Ikram.
Arif mengangguk. “Pergi dulu, along, Kak Ros.” Lalu pintu kereta
dibuka.
“Baik-baik drive tu.” Roslinda memesan.
“Insya-Allah. Assalamualaikum.”
Serentak mereka menjawab. “Wa’alaikumussalam.”
“Abang, saya doa sangat-sangat Arif akan bertemu dengan pengganti arwah.
Kesian dia. Harap-harap dia takkan terus hidup keseorangan.”
Ikram yang sedang menutup pintu pagar memandang isterinya dengan senyuman.
“Insya-Allah ada jodoh dia nanti. Kita doa sama-sama. Jom masuk. Abang lapar la. Awak nak masak apa hari ni?”
“Makan je abang ni. Perut abang
tu dah nak buncit.” Roslinda menunjuk-nunjuk perut Ikram.
Ikram meletakkan tangan di atas bahu isterinya sambil tersengih.
“Buncit-buncit ni lah yang awak peluk malam-malam. Sape suruh awak masak sedap-sedap.” Dia menarik hidung Roslinda.
Perut Ikram dicubit. “Ish! Abang
ni. Tak kuasa saya nak layan. Abang kena tolong saya masak.”
“Yelah tuan puteri sayang.”
Sambil berpimpin tangan, mereka mengatur langkah masuk ke dalam rumah.
Ikram dan Roslinda telah mendirikan rumah tangga sejak enam tahun yang
lalu. Alhamdulillah, selepas dua tahun bersama, Allah s.w.t telah mengurniakan
kepada mereka anak kembar yang sangat comel iaitu Asyraf dan Aleeya.