ZAHRA sedang
meniarap di atas katil. Majalah Cleo diselak, satu persatu. Rasa bosan pula
baca majalah ni. Majalah ditutup. Daripada meniarap, Zahra tukar posisi
menelentang pula. Mata dipaku pada siling.
Sejenak kemudian, kata-kata Ida
siang tadi bermain di fikiran. ‘Kau ada
buat solat istikharah?’ Dialog mereka tentang istikharah mengundang rasa
minat dalam diri Zahra. Nak buat ke? Tak salah kot mencuba.
Malam itu Zahra berhajat untuk melakukan solat sunat istikharah. Ajaib. Itu
yang Zahra rasakan apabila dia berhasrat untuk melaksanakan solat sunat. Tapi
sejak menginjak ke alam remaja tak pernah dia melakukan solat sunat. Hanya masa
aktiviti qiamullail di sekolah sahaja. Itu pun sebab abah dan ibunya suruh
pergi.
Nak buat macam mana erk? Niat pun
tak tahu? Kepala yang tak gatal digaru. Jap, jap, rasanya ibu
pernah belikan buku panduan solat sunat. Mana erk? Diselongkar rak bukunya untuk mencari buku itu. Jumpa
pun. Tersorok di celah-celah majalah rupanya. Keadaan buku tersebut masih elok
seperti baru dibeli. Pada hal sudah bertahun lamanya dia memiliki buku
tersebut. Helaian demi helaian dibuka dan dibaca.
Dengan berpandukan buku itu, Zahra mendirikan solat sunat
istikharah. Dalam doanya, dia memohon kepada Allah s.w.t agar diberikan
petunjuk yang sebenar bagi arah hubungannya dan Johan. Selesai
mengaminkan doa, tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Aku belum buat solat sunat
taubat lagi. Kata abah itu amanah namanya. Berdosa kalau tak buat. Tak naklah
menjawab di akhirat nanti.
‘Awak boleh tipu saya. Tapi Allah tahu.’ Kata-kata Arif masih segar dalam ingatannya. Tanpa
membuang masa lagi, Zahra bingkas bangun lalu melaksanakan amanah itu. Malam itu juga sebelum masuk
tidur, dengan tasbih pemberian arwah neneknya, dia beristighfar sebanyak lima
ratus kali.
Allah s.w.t berfirman dalam surah Nuh ayat 10-12, 'Maka aku (Nabi Nuh a.s.) berkata kepada mereka: Mintalah ampun
(istighfar) kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, (dan
nescaya) Dia akan mengirimkan hujan (rezeki) kepadamu dengan lebat, dan
banyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untuk kamu kebun-kebun dan
mengadakan (pula di dalamnya) untuk kamu sungai-sungai.'
Bahkan Rasulullah s.a.w juga telah bersabda, mafhumnya, ‘Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya
Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi
setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya.’
(Riwayat Abu Daud)
Dia yang bersandar pada kepala katil, tersengguk-sengguk beristighfar sambil ibu jari mengira biji-biji tasbih. Tanpa disedari, Zahra terlena juga. Istighfar entah ke mana, tasbih pun entah ke mana.
“AKU KAT mana
ni?” Segalanya nampak begitu asing baginya. Terdampar seorang diri di padang
pasir membuatkan dia menggigil ketakutan. Keadaan malam yang dingin dan sepi
menambahkan lagi rasa takut yang semakin menjalar dalam hati. Hanya lautan langit yang
dihiasi kerdipan bintang-bintang ciptaan Yang Maha Pencipta menyinari suasana
malam yang sepi itu. Air mata Zahra mula mengalir deras.
Tiba-tiba dia ternampak kelibat seseorang. Berdiri tidak jauh daripadanya.
Seperti amat dikenalinya. Johan! Tanpa melengahkan masa, dia terus bangun dan berlari
ke arah Johan. Belum sempat mendapatkan Johan, dia tersungkur. Apabila Zahra
hendak bangun semula, Johan semakin menghilang dari pandangannya.
“Mana Johan? Mana semua orang? Abah, ibu, Ida...” Zahra terus-menerus
menangis teresak-esak.
“Humaira.” Seseorang memanggil lembut namanya dari arah belakang. Zahra
pantas menoleh. Zahra berasa kaget. Seumur hidupnya belum ada yang pernah
memanggilnya dengan panggilan itu. Kelihatan seorang pemuda sedang tersenyum
manis kepadanya. Tapi dia amat pasti itu
bukan Johan. Zahra bingung tapi dia berasa selamat dengan adanya pemuda itu.
Kehadiran pemuda itu menenteramkan hatinya. Pemuda itu menghulurkan tangannya.
Zahra baru berkira-kira untuk menyambutnya...
Kedengaran azan Subuh berkumandang dari masjid berdekatan. Zahra tersedar
daripada tidurnya. Manik-manik peluh sudah membasahi dahi. Astaghfirullahal’azim!
Ya Allah adakah ini satu petunjuk daripadaMu? Jika benar, petunjuk apakah yang
hendak kau berikan kepada ku? Siapakah pemuda itu? Berdebar-debar dadanya saat
mengingati mimpi itu semula. Dia bingkas bangun untuk membersihkan diri dan
mengambil wuduk. Muncul perasaan luar biasa dalam hati Zahra semasa mendirikan
solat subuh pada pagi itu. Seolah-olah dia berasa nikmat bersolat kepadaNya.
USAI sahaja solat subuh, para jemaah mula mengorak
langkah keluar dari perkarangan masjid untuk pulang ke rumah masing-masing. Ada
juga yang masih berada di masjid untuk bertadarus al-Quran. Arif yang turut
menyertai solat secara berjemaah itu masih lagi bersila elok di tempatnya.
Mulutnya sedang mengucapkan ayat-ayat zikrullah. Sedang asyik memuji kebesaran
Ilahi, dia disapa oleh seseorang.
“Assalamualaikum nak.” Encik Rahman memberi salam.
“Wa’alaikumsalam.” Dengan penuh kesopanan Arif menjawabnya.
“Serasa pak cik anak ni bukan orang sini kan?” soal Encik Rahman yang sudah
bersila di sebelah Arif.
“Saya dari Seremban. Baru beberapa bulan saya pindah ke sini,” ujar Arif.
“Patutlah pun. Anak ni tinggal dekat kawasan kampung ini juga ke?”
“Tak, luar sikit daripada kawasan kampung ni. Dekat dengan Aeon Jusco.”
“Tak jauh tu. Kerja dekat mana?”
“Dekat USM pak cik.”
“Ya ke? Pak cik tengok, kamu ni tentu pensyarah, kan? Anak pak cik sedang
belajar di USM. Belajar dalam jurusan perakaunan. Lupa pula pak cik. Anak ni siapa
nama?” tanya Encik Rahman.
Arif mengangguk seraya tersenyum. “Saya memang pensyarah, pak cik. Pak cik
boleh panggil saya Arif saja. Anak pak cik belajar degree atau master?” Perkataan perakaunan menarik minat Arif untuk bertanya
lebih lanjut.
“Sedap nama kamu tu. Anak pak cik tengah ambil degree. Zahra namanya.” Tanpa dipinta Encik Rahman siap menyebut
nama anaknya sekali. Apa lagi tertegun sebentar la si Arif ni. Dia sedang
berbual dengan ayah Zahra rupanya. Lagipun hanya ada seorang sahaja pelajar
yang bernama Zahra dalam course itu. Tapi pandai juga Arif cover supaya riak mukanya tak nampak terkejut.
“Pak cik ni sebenarnya senang hati tengok orang-orang muda macam kamu rajin
ke masjid. Semakin berkurangan anak-anak muda seperti kamu hadir ke masjid. Pak cik
sedih tengok anak-anak muda zaman sekarang. Mereka lebih suka menghabiskan masa
di pusat membeli belah, konsert-konsert hiburan yang melalaikan dan macam-macam
lagilah. Sedih betul pak cik tengok budak-budak sekarang lebih meminati
perkara-perkara yang lagha. Mengimarahkan
suasana masjid kan satu amalan yang mulia. Kerana kita menghidupkan dan
menceriakan rumah Allah di samping mendekatkan diri kepadaNya,” bicara Encik
Rahman lagi.
“Saya pun setuju dengan pak cik. Semoga Allah s.w.t membimbing mereka
ke jalan yang Dia redai.” Sebagai seorang Muslim, Arif sentiasa mendoakan agar
mereka yang semakin jauh daripada Allah diberikan petunjuk hidayah olehNya.
Mereka hanya nama pada Islam sahaja tapi pada perbuatan, hati dan lisan bagaimana?
“Arif, pak cik kena gerak dulu. Selalu-selalulah datang ke sini. Banyak
aktiviti yang dijalankan di sini. Tambahan penduduk di sini rajin melakukan
usrah. Boleh juga pak cik dengar pandangan kamu.”
“Insya-Allah pak cik.” Selepas bersalaman, Encik Rahman meminta diri untuk
pulang. Dekat USM jumpa anak. Dekat masjid pula jumpa ayah. Arif, Arif, ada
juga jodoh engkau dengan ayah Zahra.
SETELAH melipat telekung berserta sejadah, Zahra menyidainya pada tempat khas untuk sejadah dan kain telekung. Baru saja Zahra hendak berbaring di atas katil, pintu kamarnya diketuk. Zahra terus menuju ke pintu dan membukanya. Dia tahu itu pasti ibunya. Seperti kebiasaan Puan Sofea akan mengejutkan dia untuk bangun dan bersolat subuh.
“Eh? Zahra dah bangun. Dah solat?” Puan Sofea mengerutkan dahi. Buat pertama kali dia tidak perlu mengejut anaknya. Kalau tidak, liat sungguh anaknya itu hendak bangun untuk solat subuh. Ada masa terlajak terus sampai matahari tegak di kepala.
“Dah ibu, baru saja habis,” balas Zahra.
“Ibu ingatkan Zahra masih belum bangun lagi. Ibu turun dululah kalau macam tu. Jangan Zahra sambung tidur lagi dah. Tak elok. Nanti rezeki tak masuk,” pesan Puan Sofea.
Zahra tersengih. Kepala tak gatal digaru. Memang dia rancang nak sambung tidur semula. Nak ke kampus pun lambat lagi sebab hari ini kuliah start pukul sepuluh pagi. Sebaik sahaja pintu ditutup, Puan Sofea mengucap alhamdulillah. Ada tanda-tanda anaknya mahu berubah.
“KITA duduk sini jelah. Tempat lain macam dah penuh,” ajak Ida. Biasalah kalau time lunch macam ni, kafe mesti penuh.
Zahra mengangguk. Dia dan Ida baru saja keluar dari dewan kuliah. Oleh kerana kafe di Desasiswa Bakti Permai adalah paling dekat dengan mereka, jadi mereka rancang untuk makan di situ saja. Malas nak berjalan kaki ke tempat lain.
“Kau pergi beli dulu. Aku tunggu.” Ida mencadangkan.
“Aku beli air dulu. Dahaga gila. Nak air apa?”
“Macam biasa. Air buah mata kucing.”
Zahra mengeluarkan dompet dari beg sandang dan menuju ke kedai minuman.
“Mau apa miss?” Tauke cina jual air tu bertanya.
“Air buah mata kucing satu, honeydew satu.”
“Sekejap ha,” kata tauke cina tu lagi.
“Mmm jus honeydew.” Ada suara garau menegur Zahra di sebelah.
Zahra menoleh. Tak berkelip-kelip mata Zahra. What?! Kenapa la dalam ramai-ramai orang, aku mesti terserempak dengan Ustaz Pink ni? Macam dah takde orang lain atas muka bumi ni! Urgh!
“Ok boss, you punya air sudah siap.” Tauke cina tadi meletakkan dua gelas berisi air mata kucing depan Arif.
Setelah bayar, Arif mengatur langkah untuk pergi bersama dua gelas air tadi. Sebelum itu, sempat dia berpesan sesuatu kepada Zahra. “Tak elok minum susu dengan buah. Try search diet dan makan ikut sunnah nabi.”
Kata-kata Arif membuatkan Zahra melongo. Rahang jatuh ke bawah. Agaknya Arif ni suka sangat buat rahang Zahra jatuh.
“Miss, tadi you mau apa?”
“Err...”
“AIK? Bukan kau suka jus honeydew ke?” Pelik Ida. Tiba-tiba aja Zahra tak minum air kegemaran dia.
“Saja nak try air lain.” Wajah Zahra masam mencuka.
Ida angkat bahu. Macam ada yang tak kena aja. Apa-apa jelah. Yang penting dia ada sesuatu nak bagi tau pada Zahra. “Kau nak tahu aku nampak siapa tadi?”
“Siapa?” Acuh tak acuh Zahra bertanya.
“Ustaz Pink kau tu la.” Teruja Ida menjawab.
Zahra berdecit. “Kau tak sebut kuat-kuat tak boleh ke?!”
“Alah bukan ada orang tau pun?” balas Ida bersahaja.
“Habis yang tengok aku gaduh dengan si Sheila hari tu, bukan student sini ke? Buatnya ada yang ingat.” Zahra berdecit lagi.
“Yelah, tak sebut dah. Aku nampak dia dengan Ustaz Iqbal.” Ida menyengih.
“Tak heran. Balik-balik dia aja. Masa beli air pun bertembung dengan dia. Macam dah takde orang lain.” Zahra menggumam seorang diri.
“Kau cakap apa tadi? Kau bertembung dengan dia masa beli air tadi?” Ida bertanya laju. Benda menarik, mestilah dia nak tanya. Mana boleh ketinggalan.
Ish! Tajam sungguh telinga Ida ni. “Haah.” Malas-malas Zahra jawab. Jus epal hijau asam boi disedut laju. Sedapnya masuk ke tekak. Melegakan dahaga.
“Patut la muka kau ni masam je lepas beli air tadi. Wait a minute. Kau tak jadi beli air honeydew susu sebab dia kan? Mesti ada kena-mengena dengan dia.” Ida dah bertukar menjadi penyiasat pula. Persis Detective Conan.
“Mana kau tahu?” Zahra terlepas tanya. Sebenarnya dia tak nak Ida tahu. Boleh kecoh jadinya.
“Aku kan ada kuasa psikik.”
“Psikik kepala hang. Cepat la pergi beli makanan. Tadi bukan main, cakap lapar.”
“Nak mengelat la tu. Ok, takpe. Nanti aku tahu jugak. Nak apa? Mai aku belikan sekali.” Ida offer diri.
“Nak bodek la tu supaya aku cerita kat kau. Apa-apa jelah. Sama dengan kau pun takpe.”
Ida tarik sengih lagi. Tau takpe.
Dari kejauhan, Zahra ternampak Arif dengan Iqbal. Cepat-cepat Zahra mengambil satu buku. Buat-buat baca. Padahal nak tutup muka. Tak nak bagi nampak.
Arif pula, dah lama dia perasan dengan Zahra. Nak tergelak dia dengan gelagat Zahra tu. Senyuman tersungging di bibir. Namun cepat-cepat dia mengusirnya. Takut ianya hanya mainan hati.
“Kau senyum apa tadi?” Kening Iqbal bertemu.
“Nothing.” Arif menggeleng. Air mata kucing yang berbaki separuh dihabiskan.
Iqbal pun dah perasan cuma buat-buat tak perasan. Budak berdua ni. Kalau aku boleh nikahkan mereka ni, kat sini juga aku nikahkan.