Home Cerpen Islamik Ferris Wheel
Ferris Wheel
Pistacia Vera
10/4/2013 15:27:51
3,789
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

Hidup ini umpama ferris wheel

SAAT semua telah pergi meninggalkan tanah perkuburan, Ray masih berteleku di situ. Masih setia di sisi kubur isterinya yang telah pulang ke Rahmatullah. Seolah-olah sedang menanti isterinya untuk kembali semula. Penantian yang sia-sia.

Kekhilafan dan kejahilannya telah menyebabkan dia kehilangan isteri yang tak pernah dicintainya walau sekelumit rasa. Sebelum dia sempat memohon maaf, Allah s.w.t telah menjemput isterinya, pergi dari hidupnya. Melihat isterinya yang kaku terbaring di atas sejadah pada pagi subuh, telah menyedarkan dia akan perbuatannya selama ini. Tidak tergambar rasa kekesalan yang terbit dalam hati.

Disebabkan rasa marah yang membuak-buak terhadap papanya dulu, dia telah bertindak membiarkan arwah hidup berseorangan di rumah agam tanpa sebarang nafkah zahir dan batin. Sengaja hendak menyeksa jiwa dan raganya.

Namun, tak pernah sekali pun allahyarhamah merungut atau menunjukkan kekecewaan. Jauh sekali menunjukkan kekesalan kerana telah berkahwin dengannya. Siang malam isterinya terus berdoa agar Allah s.w.t akan mengembalikan dia ke jalan yang benar. Jalan yang penuh dengan cahaya hidayahNya. Yakni jalan yang diredaiNya.

“Ray, banyakkan beristighfar. Semua ini adalah suratan takdir.” Tengku Idris yang masih berada di situ, memberikan kata-kata nasihat. Bahu anaknya ditepuk perlahan.

“Pa…papa…Ray jahat…Ray berdo…sa…pada isteri Ray. Ray berdosa…” Dalam keesakan yang semakin menjadi-jadi, Ray menuturkan kata-kata bersalahnya. Hati terasa sayu dan hiba. Ya Allah, kenapa Kau ambil dia sebelum sempat untuk aku memohon maaf?

Mendengar kata-kata Ray, Tengku Idris hanya mampu mengeluh. Sementara tangan kiri memegang payung, tangan kanan masih di bahu kiri anaknya. Dengan harapan untuk memberikan semangat.

“Nurin… maafkan abang…” Kedua-dua tangan menggenggam tanah yang masih merah. Itulah kali pertama dan kali terakhir dia membahasakan dirinya abang. Tak mungkin lagi ada yang kedua untuk Nurin Ardini.

Seperti titisan-titisan hujan yang sedang gugur membasahi bumi, air mata Ray turut sama jatuh berderai membasahi pipi. Seolah-olah alam turut menangisi permergian Nurin.

***

“PAPA! Sampai mati pun Ray tak setuju!” Ray bingkas bangun dan menuju ke atas. Pintu bilik berdentum kuat. Menunjukkan ketidakpuasan hati. Dirinya memberontak apabila Tengku Idris mahukan dia berkahwin dengan wanita yang tidak dicintainya langsung. Bagi dia, hidupnya masih muda. Berkahwin akan menyekat segala keseronokan. Keseronokan di dunia.

“Papa ni dah hilang akal ke?! Entah perempuan mana dia kutip? Dah la bertutup litup, menjengkelkan betul! Tak selera aku!” Ray mendengus kasar. Hati terus memberontak.

“Kau tengoklah Nurin Ardini. Ini Tengku Zahir Rayyan lah. Jangan mimpi aku nak mengaku kau sebagai isteri aku! Sampai mati pun aku takkan mengaku!” Tangan kanan mengenggam kuat sebelum dia melepaskan satu tumbukan pada cermin di bilik air. Rasa sakit di hati tidak mampu mengatasi rasa sakit di tangan. Darah dibiarkan mengalir.

***

“SAYA berdosa ustaz. Selama ini saya tinggalkan segala perintah Allah tapi tak pula saya tinggalkan apa yang dilarangNya. Adakah Allah masih mahu terima taubat saya ini?” Ray berkata sayu. Diri dirasakan amat kotor dan hina. Dirinya penuh dengan dosa. Hatinya penuh dengan titik-titik hitam. Ya Allah, bagaimana harus aku membasuh dosa-dosaku ini?

“Zahir, pintu taubat Allah ini tersangatlah luas. Lebih luas daripada lautan, lebih luas daripada padang pasir, lebih luas daripada langit, lebih luas dari segala hamparan yang ada di muka bumi ini. Selagi mati belum menjemput kita, pintu taubat sentiasa terbuka. Jangan sampai waktu Malaikat Izrail datang, baru kita nak bertaubat. Pada masa itu, taubat kita takkan diterima lagi. Percayalah, Allah masih sayangkan Zahir. Bertaubatlah dengan sepenuh hati dan bersungguh-sungguh dari sekarang. Insya-Allah, Dia akan menerimanya.” Ustaz Hamdan, ustaz yang berada dalam lingkungan lima puluhan itu, bertutur dengan penuh hemah dan lemah-lembut. Sejuk hati bagi sesiapa yang mendengarnya.

Mata Ray mulai berkaca-kaca mendengar kata-kata mutiara Ustaz Hamdan. Esakan semakin kedengaran.

Mulai dari hari itu, habis sahaja waktu kerja, Ray pasti akan ke rumah Allah untuk berguru dengan Ustaz Hamdan. Dia mahu membasuh dosa-dosa lalu agar dia dapat kembali kepada Allah s.w.t dengan keadaan diri yang bersih daripada dosa-dosa.

Betapa bersyukurnya Tengku Idris tatkala melihat anaknya mahu berubah. Pasti arwah mama Ray akan berasa gembira melihat perubahan ini.

***

ALLAHUAKBAR! Lantas Ray bersujud, mencium lantai marmar Masjidil Haram. Pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci ini, membuatkan diri terasa semakin kerdil. Hati terasa semakin sebak.

Terima kasih Ya Allah kerana telah memberi aku peluang untuk menjadi tetamuMu. Lama dia bersujud di hadapan Kaabah bersama linangan air mata. Air mata kesyukuran.

Setelah beberapa bulan berguru dengan Ustaz Hamdan, Ray menyampaikan hasratnya untuk menunaikan umrah. Entah kenapa hatinya tergerak untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Dengan adanya bimbingan daripada Ustaz Hamdan, mudah bagi dia untuk menunaikan umrah.

“Papa, Ray nak bermalam di masjid malam ni. Papa nak ikut?”

Tengku Idris menarik segaris senyum seraya mengangguk. Alhamdulillah. Sejak kedatangan mereka ke sini, tidak pernah sekali pun Ray tidak bermalam di masjid. Setiap hari dimanfaatkan dengan beribadat kepada Allah. Qiamulail tidak pernah ditinggalkan. Menyertai solat secara berjemaah pun tidak pernah ditinggalkan walau satu waktu pun. Awal-awal lagi dia akan berada di rumah Allah itu kerana ingin bersolat betul-betul depan Kaabah. Kerinduan untuk melihat Kaabah sentiasa terasa walaupun diri sudah berada di Mekah.

Di Jabal Rahmah, Ray membuang pandang ke tanah Arafah yang terbentang luas. Melihatnya mengingatkan Ray keadaan di Padang Masyar kelak, tempat yang bakal menjadi tempat berkumpulnya semua manusia saat dibangkitkan semula dari mati.

‘Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat.’ (al-Mu’minuun 23:16)

Ray mendongak pula ke arah langit biru lalu bermonolog dalam hati. Ya Allah, Aku pernah melupakanMu, namun Kau tetap menungguku di sini. Kau tetap menjemputku ke mari. Air mata bergenang lagi.

Sedang asyik melihat kawasan sekeliling, pandangan matanya tertancap pada kelibat seseorang yang berdiri tidak jauh daripadanya. Seorang wanita. Pemakaiannya sama seperti wanita-wanita Arab lain, lengkap berpurdah. Namun wanita itu mempunyai aura yang cukup istimewa. Jarak antara mereka hanya terpisah beberapa langkah sahaja.

Ada sesuatu pada diri wanita itu yang menarik diri Ray untuk mendekatinya. Langkah kaki dibuka. Perlahan dia menapak menuju ke arah wanita itu. Belum pun sempat menghampirinya, seseorang memanggil namanya dari arah belakang. Ray menoleh.

“Zahir, kita harus turun sekarang.” Ustaz Hamdan memanggil Ray untuk turun dari Jabal Rahmah.

Ray mengangguk dengan segaris senyuman nipis. Dia berpaling semula untuk melihat wanita tadi. Mata meliar mencari. Kecewa. Wanita itu telah tiada di situ.

Astaghfirullah hal’azim, aku datang ke sini untuk beribadat. Ya Allah, ampunkan kekhilafanku ini.

***

ASTAGHFIRULLAH HAL'AZIM! Ray terjaga dari tidurnya. Nafas tercungap-cungap sedikit dengan peluh di dahi. Dia yang sedang bersandar pada salah satu tiang Masjidil Haram, meraup wajahnya. Keadaan sekeliling diperhatikan. Tiada yang aneh. Seperti kebiasaan, cuma ada pengunjung-pengunjung Masjidil Haram yang sedang beribadat, bermalam di sini untuk qiam seperti dirinya juga.

Jam pada pergelangan tangan dilirik sekilas. Sudah hampir pukul tiga setengah pagi.

Sebentar tadi dia didatangi dengan sebuah mimpi. Kalau diikutkan sudah tiga malam berturut-turut dia mimpikan perkara yang sama. Dalam ketiga-tiga mimpi itu, Nurin muncul dengan wajah yang amat tenang. Hanya sebaris kata-kata dari bibir merah isterinya itu, yang membezakan ketiga-tiga mimpi itu.

Mimpi di malam pertama. Abang…

Mimpi di malam kedua. Sambutlah tangannya…

Mimpi di malam ketiga. Insya-Allah abang akan bahagia…

Nurin, permainan apakah ini? Apa yang ingin Nurin sampaikan?

Ya Allah, adakah ini bermaksud… kata-kata dalam hati mati di situ.

Paling mengejutkan dirinya ialah wanita yang sedang berada di sisi Nurin. Walaupun wanita itu menundukkan wajahnya, Ray tetap mengenalinya.

‘Marsya Lidiya.’ Hati menyebut semula nama yang telah lama mati dalam hidupnya.

‘Dya…’

***

bersambung dalam Antologi Orang Berdosa^-^

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Pistacia Vera