CEPAT sahaja masa berlalu. Semester baru sudah
bermula. Sejak semalam ramai pelajar sudah mula membuat pendaftaran subjek. Tak
terkecuali juga kepada Zahra dan Ida. Sejak awal pagi lagi mereka sudah terpacak
di situ. Kalau boleh mereka nak uruskan semuanya secepat yang mungkin. Malas
nak tunggu sampai petang.
“Sem akhir ni kita kena pilih
satu subjek elektif, kan?” tanya Ida.
“Yup, apa dalam fikiran kau?” Zahra bertanya pula.
“Kau?” Soalan dibalas soalan.
“Orang tanya dia, dia tanya kita balik.”
Lagak Ida seperti orang yang tengah memikirkan sesuatu. “Rasa macam nak
ambil subjek Islamic
Accounting.”
“Kau?” Ida bertanya pula.
“Aku ingat nak ambil subjek tu juga.”
“Aku dengar subjek tu Puan Ummu Khadijah yang ajar, your favourite lecturer.”
“Aku pun ada dengar juga. Betul la kot.” Seronok Zahra sebab pensyarah tu
pandai mengajar. Ditambah dengan keperibadiannya yang baik dan mudah mesra,
membuatkan para pelajar gemar menghadiri kelasnya.
Keputusan telah dibuat. Tanpa membuang masa lagi mereka terus membuat
pendaftaran melalui online di makmal komputer. Selesai dengan pendaftaran online, mereka menuju ke pejabat untuk mengambil slip
pendaftaran subjek pula. Siap.
“Alhamdulillah, leganya dah selesai. Zahra, kau punya slip ok?” Ida dan
Zahra baru saja melangkah keluar dari pejabat pusat pengajian mereka. Mereka
mendapatkan tempat duduk di kerusi yang tersedia di lobi. Hendak memastikan
agar tiada sebarang kesilapan pada slip mereka.
“Alhamdulillah, ok.” Zahra menyelitkan slipnya ke dalam fail sebelum menyimpan fail itu ke
dalam beg galasnya. “Kita nak ke mana sekarang?”
“Kau dah lupa? Kita kena pilih hari dan register
kelas tutorial. Takut clash dengan subjek kita. Kalau lambat nanti penuh hari yang
kita nak.”
Zahra garu kepala. “Lupa pulak. Jom.” Zahra bangkit dari duduknya dan
menyandang beg pada bahunya. Elok saja memulakan langkah, tiba-tiba bahunya
berlaga dengan seseorang. Dia tersentak. Nyaris nak terjatuh ke belakang
dibuatnya.
“Hoi! Buta ke!” tempelak Sheila. Mencerlung matanya memandang Zahra. Dia
menolak kasar rambutnya ke belakang.
“Cantik bahasa kau! Aku yang buta atau kau?! Jomlah Ida.” Zahra menarik
tangan Ida untuk berlalu pergi. Malas dia nak bertekak dengan Sheila. Tak
fasal-fasal hilang mood dia pada hari tu.
Belum sempat nak pergi, Sheila menarik kasar bahu Zahra. “Kau ingat kau
boleh blah macam tu je ke!” bentaknya lagi. Dia bercekak pinggang. Tak peduli
dengan mata-mata yang memandang.
“Apa kau nak lagi hah!” Suara Zahra naik satu oktaf. Bahunya yang terasa
sengal diurut. Hatinya semakin membara.
“Kau tahu tak dari dulu lagi aku benci tengok muka kau! Kau
tu tak layak untuk Encik Arif la! Jangan harap kau akan dapat dia!” Sheila
mengherdik kasar.
Tiba-tiba Zahra rasa berdebar-debar. Seolah-olah dia merasakan ada seseorang
sedang merenungnya. Tak jauh daripada mereka, Arif sedang merenung tajam ke
arahnya. Riak mukanya jelas menunjukkan bahawa dia tak suka Zahra terus melayan
amarah Sheila.
Astaghfirullahal’azim! Sabar Zahra, sabar. Tak berbaloi bergaduh dengan orang
macam Sheila ni. Tak lupa juga ayat-ayat dalam surah Toha yang pernah dipesan
oleh Arif. Setiap kali jumpa minah ni, aku boleh jadi stress gila. Dalam masa yang sama dia terus menarik tangan Ida
semula dan berlalu pergi.
“Woi! Aku belum habis lagi dengan kau la!” Sheila bertempik.
“Dah la tu Sheila. Tak malu ke? Semua orang tengah tengok ni. Encik Arif pun tengah tengok
tu.” Seorang rakannya yang sedari tadi diam mula menegur. Malu dengan mata-mata
yang memandang.
Terkejut beruk minah tu. “Hah! Apesal
kau tak bagi tau awal-awal.” Dia mengetap giginya. Makin nipis harapannya
untuk tackle Arif jika Arif melihat perlakuannya sebentar tadi.
***
ZAHRA
terus menuju ke tandas yang berdekatan. Hatinya sedih mengenangkan sikap kurang
ajar rakan sekuliahnya itu. Mengherdiknya tak tentu fasal. Dah la ramai orang di
lobi tu. Memalukan sahaja. Matanya makin dikaburi dengan air mata. Bila-bila
masa sahaja empangan air matanya akan pecah. Ida turut menyusuli Zahra.
“Zahra, kau ok?” Ida melabuhkan tangan pada bahu Zahra. Dilihatnya Zahra
tersedu-sedan menahan tangisan.
“Sabar Zahra. Tak berbaloi kau menangis sebab orang tak bertamadun tu.” Ida
bersuara lagi, memujuk sepupunya.
Zahra menyapu air matanya. Ya, memang tak berbaloi. Tapi dia hanya manusia
biasa yang mempunyai hati dan perasaan juga. Siapa yang tak terasa apabila
diherdik sedemikian rupa. Diherdik dengan perkara yang tak berasas lagi.
Apa dia
cakap tadi? Aku tak layak untuk Encik Arif? Jangan harap aku boleh dapat dia?
Sejak bila aku terhegeh-hegeh nakkan ustaz tu?! Bentak Zahra dalam hati. Air
mata yang masih mengalir diseka.
Melihat Zahra berdiam diri, Ida turut sama mendiamkan diri. Kesian Zahra.
Kenapa la Sheila tak habis-habis nak cari fasal dengan sepupu aku ni?
***
SEDARI tadi Arif masih termenung pada mejanya. Direnungnya
komputer riba yang baru sahaja dihidupkan. Entah apa yang direnungkan pun dia
sendiri tak sedar. Tangan
kanannya sedang asyik bermain-main dengan pen. Sehinggakan telefon
bimbitnya berdering pun dia tak sedar. Mindanya masih terbayang-bayangkan
perbalahan di lobi sebentar tadi. Sememangnya hatinya tak senang melihat Zahra
dimarahi sedemikian rupa. Mujur Zahra mampu menahan dirinya daripada terus
bergaduh dengan Sheila.
Namun, apa yang menyayat hatinya ialah saat Zahra lalu di hadapannya,
matanya sempat menangkap wajah keruh Zahra. Sepasang mata gadis itu mula
berair. Dia percaya pada saat itu Zahra pasti sedang menahan diri daripada menangis.
Lamunannya mati apabila telefon bimbitnya berdering buat kali kedua. Tanda
ada mesej sedang masuk. Arif menghela nafasnya. Dia tak seharusnya membiarkan
dirinya terus memikirkan perihal Zahra. Ya ALLAH, ampunkan hamba-MU ini kerana
membiarkan diri ini memikirkan sesuatu yang tidak halal bagiku. Tetapi aku tak
mampu menghalang rasa yang sedang bertamu di hatiku ini. Aku tak mampu. Ya ALLAH,
KAU berikanlah petunjuk kepada hamba-MU ini.
Telefon bimbit yang terdampar di atas meja dicapai. Ada satu panggilan tak
dijawab dan satu pesanan ringkas baru. Kedua-duanya daripada Iqbal. Mesej
tersebut dibaca.
+ Assalamualaikum, kau sibuk
ke?
Tanpa melengahkan masa, Arif terus membuat panggilan. Panggilannya dijawab.
“Kau sibuk ke ni?” tanya Iqbal sejurus selepas menjawab salam.
“Tak sangat. Aku ada kat opis aku. Ada kerja sikit. Sorry tak jawab panggilan kau tadi.” Dia menolak kerusi ke
belakang dan bangun dari duduknya. Lalu memusingkan dirinya ke belakang.
Mata ditala keluar tingkap.
“Takpe, faham, faham. Dah time
lunch ni. Kata nak lunch sama.” Iqbal mengingatkan. Sebetulnya pagi tadi mereka
dah berjanji untuk makan tengah hari bersama.
Arif menepuk dahinya. Jam pada pergelangan tangan dipandang. “Lailahaillallah!
Tak sedar pula dah pukul satu. Nasib
baik kau ingatkan aku.”
“Kau ni, orang lain pun kerja juga tapi tak la sampai lupa nak ma...”
“Ok, ok, sebelum kawan aku ni membebel jom kita pergi sekarang,” cantas
Arif.
Di hujung talian, kedengaran suara Iqbal sedang ketawa. “Tau takut. Aku
tunggu kat tempat biasa.”
Talian dimatikan. Arif
geleng kepala. Iq, Iq. Dah rupa macam Ustaz Slumber Rock. Ada masa sahabatnya
itu tak ada rupa seperti seorang ustaz. Selamba, suka mengusik dan membebel.
Sesiapa yang tidak mengenalinya, pasti tidak akan tahu bahawa sahabatnya itu
adalah seorang ustaz. Lailahaillallah! Berangan lagi. Pantas Arif mengambil
kunci kereta yang berada di dalam beg kerja dan keluar dari opisnya.
Terima kasih kerana sudi mengikuti e-novel ini. Enjoy^-^v
Hint untuk bab seterusnya: *angkat-angkat kening* :)