Home Novel Komedi/Romantik Komedi Ustaz Pink
Bab 24 : Arif kan ada:)

EH? Macam ada orang datang je. Ni bukan ke kereta Ustaz Pink? WTD 111. Sah ni kereta dia.

Zahra yang baru pulang dari bandar memasuki perkarangan rumah. Handbrake dinaikkan dan enjin kereta dimatikan. Lalu Zahra membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Tadi dia ke Queensbay Mall bersama Ida. Sebelum itu, dia menolong Ida untuk mengangkut barang ke bilik sepupunya itu.

Dari sem satu sampailah terakhir, Ida masih menghuni di Desasiswa Tekun. Bilik yang sama seperti sem lepas. Duduk seorang lagi tu. Jenuh juga sebab kena naik sampai ke tingkat lima. Lif pun ramai yang nak guna. Disebabkan semester baru dah nak mula, para pelajar mula pulang semula ke kampus.

Habis saja kemas, mereka jalan-jalan di Queensbay Mall. Pusing-pusing dua jam pun tak beli apa-apa. Akhirnya Ida saja yang beli. Itu pun dia hanya membeli sepasang pin peniti untuk tudung yang berjenama Tiffany. Cantik dan simple. Sebab ada batu-batu kecil berwarna biru muda yang disusun menjadi bentuk bunga. Warna kegemaran Ida.

Melihat kepulangan Zahra, Encik Rahman menyambut anaknya itu di muka pintu. Zahra pantas menyalami tangan abahnya itu. “Abah macam ada ramai tetamu je. Luar tu kereta Encik Arif kan?” Zahra ternampak beberapa pasang kasut yang belum pernah dilihatnya sebelum ini.

Encik Rahman menghadiahkan senyuman buat anaknya. “Masuk dulu Zahra.”

Zahra kelihatan terpinga-pinga apabila Encik Rahman memperkenalkan kedua-dua orang tua Arif kepadanya. Arif pun ada sama.

“Zahra, kenapa tercegat lagi di situ? Salam dengan mak cik Kalsom.” Puan Sofea menegur.

Zahra baru sedar dia masih lagi berdiri di sebelah Encik Rahman. Apa la aku ni boleh blur pulakBetul apa yang aku fikir sebelum ni. Sebelum ni Ustaz Pink yang datang. Lepas tu Aleeya. Sekarang mak bapak dia pulak.

Usai menyalami dan mencium tangan Hajah Kalsom yang duduk bersama ibunya pada sofa berangkai tiga, Zahra mendapatkan tempat di sebelah ibunya. Berhadapan dengan bapa Arif sekali dengan Arif yang duduk di sofa berangkai dua. Encik Rahman kembali duduk di tempatnya pada sofa berangkai satu.

“Jadi ni lah Zahra rupanya. Besar dah anak kamu ya, Man,” ujar Haji Daud kepada Encik Rahman.

“Zahra, Haji Daud ni kawan lama abah masa sekolah dulu. Hajah Kalsom ni pula kawan lama ibu kamu. Kami berempat satu sekolah dulu.”

Zahra hanya mengangguk sambil memberikan senyuman kepada Haji Daud dan Hajah Kalsom. Sebetulnya dia kehilangan kata-kata untuk bercakap. Jadi lebih baik dia mendiamkan diri.

“Cantik anak kamu ni Sofea.” Hajah Kalsom memuji.

“Anak kamu Arif ni pun apa kurangnya. Segak,” balas Puan Sofea.

Mereka di situ ketawa. Kecuali Zahra dan Arif. Masing-masing hanya tersenyum nipis dan melayan perasaan. Ada perasaan yang hadir tanpa diundang.

Sudah! Umi dah kenal Zahra. Pasti lepas ni umi akan sentiasa bertanyakan fasal Zahra. Arif teringat akan anak buahnya Aleeya yang tiba-tiba menyebut ‘anak atuk Rahman’. Mana la si kecik tu belajar cakap macam tu? Arif bermonolog sorang-sorang.

“Nasib baik saya ke masjid dengan Arif tadi. Kalau tak, tak jumpalah kita. Tak tahu pula kamu dah pindah ke sini. Patut la cari dekat KL tak jumpa,” kata Haji Daud. Seronok dapat jumpa kawan yang dah lama terpisah.

“Saya pun tak sangka dapat jumpa dengan kamu semula. Alhamdulillah, ALLAH temukan kita semula.”

Zahra mengerling pada jam di dinding. Hampir pukul tiga setengah petang. Dia baru sedar bahawa dia belum menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH. Astaghfirullahal’azim. Boleh terleka pula. “Erm ibu. Zahra nak ke bilik dulu eyh,” bisik Zahra perlahan.

Sebelum berlalu pergi, Zahra sempat mengerling ke arah Arif. Rupa-rupanya Arif sedang memerhatikan dia juga. Masing-masing terkedu buat seketika. Entah apa yang dirasai kedua-duanya. Apa yang pasti setiap kali bertatapan mata dengan Arif, Zahra merasakan jantungnya berdegup pantas. 

Apa hal mamat ni pandang aku? Aku cucuk mata tu karang baru tau. Sah, sah jadi Kassim Selamat. Ish! Tak baik la aku cakap macam ni. Sorry erk Ustaz Pink. Rasa pelik pulak. Masa SMS boleh pula bergaduh. Sekarang ni nak buka mulut pun tak boleh. Dia pun nampak senyap je tadi. Hari tu beria-ria kenakan aku kaw kaw. Zahra teringat sewaktu dia dan Arif berbalas SMS.

Usai menunaikan solat zohor, Zahra mundar-mandir di dalam biliknya. Tak pasti sama ada mahu turun semula atau duduk senyap-senyap di bilik je. Malu pula nak turun. Dahlah nak menghadap Encik Arif pun susah. Ada saja yang tak kena dengan diri dia. Akhirnya dia hanya turun semasa Arif dan ibu bapanya hendak pulang. Itu pun Puan Sofea yang ajak dia turun.

***

BOSAN memerap dalam bilik sorang-sorang, Zahra turun ke bawah. Melihat kedua-dua ibu bapanya sedang asyik menonton televisyen, Zahra pun join sekali. Dia terus duduk di sisi Puan Sofea. Lalu baring dan meletakkan kepala di atas riba ibunya itu.

“Cerita apa ni?” Mata dipaku pada skrin TV.

Tanpa menjawab soalan Zahra, Encik Rahman mula mengusik. “Manjanya anak awak seorang tu.”

“Abang baru tahu ke?” Puan Sofea ikut sama.

Zahra menyengih. “Kalau bukan pada ibu dan abah, dengan siapa lagi Zahra nak bermanja-manja.” Mata masih tumpu pada kaca televisyen. Tak pasti drama apa yang sedang ditonton oleh kedua orang tuanya. Apa yang dia tahu, tiba-tiba je majikan dengan pekerja dia tengah berperang mulut. Fasal apa pun dia tak tahu. Bos dia siap sebut fasal kopi terlalu manis. Sah hero dia yang bos tu. Heroin dia pembantu kepada bos dia. Macam kelakar je cite ni. Macam dalam novel pun ada.

“Nanti-nanti ada orang lain dalam hidup Zahra juga. Tempat Zahra bermanja,” tutur Encik Rahman lagi dengan penuh makna.

“Ada meh?” Zahra mengerutkan keningnya. Dengan siapa lagi aku nak manja kalau bukan dengan parent aku. Pelik ni. Apa maksud abah?

“Zahra ni buat-buat tak faham ke atau memang tak tahu?” Giliran Puan Sofea mengusik. Dia sememangnya faham apa hendak disampaikan oleh suaminya itu.

“Tak fahamlah Zahra.” Zahra semakin blur.

“Sampai masa nanti Zahra akan tahu juga.” Puan Sofea membelai rambut Zahra.

“Ala ibu ni cakap jelah terus. Nak tahu juga.” Zahra mendesak. Selagi tak tahu tak boleh duduk diam. Nanti nak tidur pun tak boleh.

“Siapa lagi kalau bukan dengan suami Zahra. Tak faham lagi.”

Muka Zahra bertukar menjadi merah. Terasa kehangatan pada pipinya. “Apa la ibu dan abah ni. Ke situ pulak.” Zahra buat-buat merajuk.

“Betul apa yang ibu Zahra cakapkan tu. Dah kahwin nanti, Zahra tak manja-manja dengan kami dah. Muka Zahra merah ni kenapa?” Encik Rahman terus-menerus mengusik anaknya itu.

“Abah ni. Mana ada.” Zahra memuncungkan mulutnya.

“Malu la tu.” Sambung Encik Rahman lagi.

“Ibuuu tengoklah abah ni.” Zahra merengek, buat-buat mengadu.

“Zahra belum lahir lagi ibu dah tengok abah kamu. Tiap-tiap hari ibu tengok.” Seronok Puan Sofea bersekongkol dengan suaminya menyakat anak mereka.

“Nak merajuklah. Takde geng.” Tak boleh jadi ni. Huhu.

“Siapa cakap Zahra takde geng, kan Sofea?” Encik Rahman membalas sambil tersengih. Kopi o yang disediakan oleh isterinya diteguk perlahan sebelum meletakkan semula cawan beralaskan piring di atas meja di hadapannya.

“Betul tu bang. Arif kan ada.” Puan Sofea menjawab dengan menarik senyum.

“Apa kena mengena pula dengan Encik Arif?” Habis la kalau ibu dah mula sebut nama Encik Arif. Aduh!

“Aik? Sejak bila Zahra dah pandai panggil Encik Arif? Sebelum ni ibu tengok, Zahra asyik panggil dia, Ustaz Pink.”

“Tu dulu ibu. Ibu juga cakap tak baik ejek orang. Dahlah. Asyik kena buli je. Naik tidur lagi bagus.” Zahra bangun dari perbaringan. Lalu menapak menuju ke tangga.

“Merajuk dah anak kita Sofea. Zahra nak abah panggilkan Arif? Dia boleh tolong pujukan Zahra.” Encik Sofea menoleh kepada anaknya.

“Abah!” Zahra terjerit kecil sebelum naik ke atas. Tahu abahnya hanya bergurau. Encik Rahman dan Puan Sofea ketawa kecil.

“Abang, saya suka kalau Zahra dengan Arif. Boleh juga Sofea berbesan dengan Kalsom.” Puan Sofea menyatakan hasratnya.

“Abang pun suka. Tapi Zahra kan baru putus tunang. Tak elok pula kalau kita mendesak dia.” Ada sedikit nada sedih dalam suara Encik Rahman. Sedih mengenangkan ketidaksetiaan Johan pada anak kesayangannya. Namun, jauh di sudut hatinya, dia amat bersyukur kerana ALLAH s.w.t telah melindungi anaknya dengan menunjukkan kebenaran. Agaknya apa la yang akan terjadi sekiranya Johan dan Zahra jadi berkahwin. Ada kemungkinan Johan akan menduakan Zahra secara rahsia. Sesungguhnya semua ibu bapa di dunia ini hanya mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak mereka.

“Kita berdoa sahaja ya bang. Sofea percaya Arif boleh jaga Zahra dengan baik.” Puan Sofea masih mengharap kalau-kalau Zahra ada jodoh dengan Arif.

“Abang juga akui Arif tu memang baik orangnya. Tak ada cacat cela sikit pun. Solat pun sentiasa dijaga. Pandangan dia dalam Islam pun amat meluas. Abang kagum kebolehan dia dalam berusrah.” Encik Rahman teringat kembali semasa aktiviti usrah di masjid baru-baru ini. Setiap kali ingin menyuarakan pandangan, Arif pasti akan merujuk kepada Al-Quran dan hadis. Anak muda itu juga pernah mengatakan kepadanya bahawa dia amat meminati cara berdakwah dan karya ulama terkenal iaitu Dr. Yusuf Al-Qardhawi.

“Sofea, kopi o awak ni sedap bebenor.” Encik Rahman menunjukkan teko yang dipegangnya.

“Cakap jelah abang nak lagi.” Puan Sofea bangun dari duduknya dan mengambil teko tersebut sebelum berlalu ke dapur.

“Terima kasih,” ucap Encik Rahman dengan sengihan. Sebagai seorang suami, dia tidak pernah kekok mengucapkan terima kasih kepada isterinya. Kata-kata penghargaan buat isteri tercinta. Menunjukkan bahawa dia adalah seorang suami yang amat menghargai apa yang dilakukan dan disediakan oleh isterinya.

p/s : enjoy^-^v

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Pistacia Vera