MALAM itu,
Zahra bercadang menonton Cerekarama TV3 seorang diri di ruang tamu. Sejak dari tadi matanya terarah pada kaca televisyen tapi mindanya entah
melayang ke mana. Mengimbau masa silam. Eceh silam la sangat. Tak silam mana
pun. Hanya mengimbau detik-detik pertemuan dia dengan Arif siang tadi. Nak
tergelak juga apabila mengingati semula dialog antara dia dengan Arif, di hadapan
rumah Zahra.
Sebelum itu, sempat juga Arif membawa anak-anak saudaranya bermain di
taman permainan di kawasan perumahan Zahra. Aleeya beria-ia suruh
Zahra ikut sekali. Tanpa mengecewakan Aleeya, Zahra ikut juga.
“Err... Zahra boleh kita keluar lagi?” Teragak-agak Arif bertanya. Haih? Mana
ketenangan yang Arif ada selama ini? Asyraf dan Aleeya dah keh keh keh dalam
kereta.
“Hah?” Tercengang Zahra mendengar permintaan Arif. Biar betul pak cik ni.
Nak ajak aku keluar date ke?
“I mean Aleeya
and Asyraf. For
sure mereka nak keluar dengan Zahra lagi.” Arif membetulkan ayatnya. Nak mati ke apa, keluar berdua aja
dengan Zahra.
“Ooo... insya-ALLAH boleh,” balas Zahra. Segaris senyuman terlakar di
bibir.
“Tak takut ke duduk seorang ni?” tanya Arif yang mempamerkan kerisauannya.
Mana tak risau. Anak dara duduk seorang diri di rumah. Dengan zaman
sekarang ini, macam-macam boleh terjadi. Jenayah semakin berleluasa. Ya ALLAH, ENGKAU
jauhilah kami dari sebarang bahaya. Sesungguhnya hanya ENGKAU sahaja yang dapat
melindungi kami dari sebarang kejahatan.
Zahra pandang Arif.
“Yelah, zaman sekarang ni bukan boleh percaya sangat. Tiap-tiap hari ada
aje berita yang kurang enak untuk didengari.” Arif masih lagi dengan
kerisauannya.
“Kalau ada orang jahat, apa lagi, saya karate la dia nanti. Haiya!” Zahra
siap buat aksi dengan tangan. Selamba benar si Zahra ni buat aksi macam tu
depan Arif.
Loyar buruk pula budak ni. Badan tak padan dengan kecik, ada hati nak
karate orang. Ni yang buat aku bertambah-tambah risau. “Cik Zahra, awak tu dah
la kecik. Masih ada hati nak karate orang lagi?”
Zahra ketawa. “Hehe. Encik Arif, insya-ALLAH saya tak ada apa-apa. ALLAH
kan ada? Dia boleh menjadi Pelindung saya.” Sebenarnya awal-awal lagi Zahra dah
minta Ida temankan dia. Takut juga kena tinggal berseorangan.
“Baca kalimat ‘hasbunallah wa ni’mal
wakil’ sebagai pelindung. Maksudnya cukuplah ALLAH bagi kami sebagai PENOLONG
dan ALLAH adalah PELINDUNG paling baik. Amalkan sepanjang masa. Dan jangan lupa
baca bismillah masa nak tutup pintu dan tingkap. Make
sure semua berkunci,”
pesan Arif serius. Dah mengalahkan ibu dan abah Zahra.
Kalimat mulia yang Arif maksudkan merupakan salah satu pintu kelapangan
terbesar yang biasa diamalkan oleh orang-orang yang soleh. Malah diucapkan oleh
Nabi Ibrahim a.s saat beliau dilemparkan ke dalam api yang marak menggunung
dengan arahan Raja Namrud. Bukalah al-Quran, pasti akan menjumpai
sirah ini dalam surah al-Anbiya’. Tatkala Nabi Ibrahim a.s masuk ke dalam api
yang sedang marak menjulang itu, dengan kekuasaan-NYA, sifat semula jadi api
yang panas bertukar menjadi sejuk dan nyaman buat Nabi Ibrahim. Semuanya atas
arahan ILAHI yang memberi arahan kepada api, ‘Hai api, jadilah engkau sejuk dan selamat kepada Ibrahim.’(al-Anbiya’
21:69)
Mendengar pesanan Arif membuatkan Zahra ketawa lagi. Lucu kerana kerisauan
Arif melebihi kerisauan kedua orang tuanya. “Encik Arif ni, abah
dan ibu pun tak risau
macam ni. Don’t worry, malam sikit, Ida akan datang tidur sini,”
kata Zahra bagi menghilangkan kegusaran di hati Arif.
“Kalau ada apa-apa, call saya,” pesan Arif lagi.
Wah! Ambil berat juga Ustaz Pink ni. Risau benar dia dengan aku. Zahra hanya mengangguk.
Terasa diri dihargai dan dilindungi pula. Macam dah ada bodyguard pula.
Secara jujurnya, Zahra dah mula rasa senang hati dengan Arif. Boleh
bercakap dan berlawak dengan bersahaja. Tak seperti sebelum ni. Pantang bertemu
mesti berperang. Zahra je yang selalu melancarkan perang. Arif pula dengan coolnya yang semula jadi.
Lamunan Zahra mati tatkala dia mendengar sesuatu yang kurang menyenangkan
hati di luar rumahnya. Sepantas kilat dia bangun dari sofa. Terketar-ketar dia
ke dapur untuk mencari sesuatu yang boleh dibuat sebagai pertahanan diri. Dalam
banyak-banyak barang, kayu penggelek milik ibunya menjadi pilihan.
Perlahan-lahan Zahra melihat melalui tingkap rumahnya. Belum apa-apa, terdengar
pula suara orang mengerang kesakitan di halaman rumahnya.
Serta-merta Zahra menyarung jubah dan tudung sebelum bergegas membuka
pintu. Lampu di perkarangan rumahnya sudah terang benderang. Alangkah terperanjatnya
dia apabila melihat dua orang lelaki. Seorang tu dia amat kenal. Mana tak
kenal. Siang tadi baru jumpa. Di tepinya terdampar seorang lelaki asing. Tak
pernah dilihatnya. Sikit pun tak kenal. Nampak macam dah pengsan.
“Zahra ok?”
Arif bertanya. Renungannya cukup tajam. Pucat juga muka Zahra melihat situasi
ini. Mujur ada pensyarahnya.
“Ok. Encik Arif tak apa-apa?” Zahra pula bertanya dengan kerisauan. Manalah tau, takut tercedera ke apa?
Arif mengangguk. Tanda dia tak apa-apa. “Saya nampak dia panjat pagar rumah Zahra. Rasanya dia nak pecah masuk
rumah Zahra.” Ada kerisauan dalam nada suaranya
yang tegas.
Zahra hanya tergamam. Mindanya kosong. Blur.
Melihat keadaan Zahra, Arif menyeluk poket seluarnya.
Telefon bimbit dikeluarkan. Hendak membuat panggilan polis.
“Sekejap lagi polis datang. Lebih baik Zahra tunggu dekat dalam,” kata Arif
sesudah mematikan talian. Dia menarik nafas panjang. Dalam hati, beristighfar panjang
dia tengok Zahra pegang kayu penggelek. Budak ni betul-betul buat orang risau.
Ingat kayu tu boleh menyelamatkan diri ke? Dahlah siang tadi bukan main lagi
cakap nak karate orang. Apa pun syukur alhamdulillah Zahra tak apa-apa. Andai
kata dia tiada di situ, rasanya dia akan menyesal tak sudah. Sesudah solat
isyak di masjid tadi, hatinya tergerak untuk meninjau keadaan Zahra. Ternyata ALLAH
telah mengerakkan hatinya untuk ke rumah Zahra. Syukur alhamdulillah.
“Takpe, saya duduk dekat pangkin.” Agak terketar-ketar kaki Zahra semasa berjalan
ke pangkin.
Dalam masa yang sama jiran-jiran yang terdekat sudah mula membanjiri rumah
Zahra. Mahu melihat apa yang terjadi. Kesal sungguh sebab dalam kawasan
perumahan yang selama ini aman telah dicemari dengan kejadian sebegini. Apabila
segala urusan selesai, masing-masing beredar pulang. Sempat juga berpesan pada
Zahra supaya lebih berhati-hati.
“Are you sure you will
be fine alone? Bukan
ke sepatutnya Ida temankan Zahra malam ni?” tanya Arif yang tak sudah-sudah meminta kepastian.
Wajahnya masih serius dari tadi.
“Ida tak boleh datang sebab kawan dia masuk hospital. Jadi dia ada di sana
sekarang ni. Insya-ALLAH saya ok. Encik Arif tak perlu risau. Lagipun esok ibu
dan abah dah nak pulang,” balas Zahra perlahan. Sepasang matanya hanya menekur
pada selipar di kakinya.
“Zahra pergi masuk dulu. Kunci semua pintu,” suruh pensyarahnya.
Zahra mendongak. Wajah Arif menyapa mata. “Encik Arif?”
“Saya akan balik selepas saya pastikan semuanya selamat,” ujar Arif apabila
melihat Zahra masih lagi tercegat di luar. Akhirnya Zahra akur juga.
Perlahan-lahan dia menapak masuk ke rumah. Lampu kalimantang di luar dibiarkan
terpasang. Kemudian dia naik ke bilik tidurnya. Zahra hanya membiarkan biliknya
malap dengan lampu di tepi katil. Badan yang terasa semakin letih direbahkan di
atas katil.
Eh? Aku lupa nak ucap terima kasih dekat dia la. Tanpa membuang masa, Zahra
mengirim SMS kepada Arif.
- Lupa pulak. Terima kasih sebab
dah tolong saya tadi. Tq☺
+My pleasure☺ Now go to bed. Is
already midnight.
“Ceh! Ingat aku ni budak lima tahun ke? Nak suruh pergi tidur pula,” getus
Zahra seorang diri. Walhal dalam hati dah berbunga-bunga masa baca mesej
tersebut. Sukar bagi Zahra melelapkan matanya pada malam itu. Hatinya kuat
mengatakan Arif masih berada di halaman rumahnya. Zahra bangun dari katil dan
menuju ke jendela. Memang benar. Arif masih berada di luar rumahnya. Tanpa
disedari lelaki itu, Zahra mengintai sebentar. Dilihatnya Arif sedang memeluk
tubuh sambil bersandar pada pintu kereta dan merenung ke arah langit.
Terasa selamat apabila
Arif ada di sini walaupun jauh. Apa la yang dilihatnya? Ada shooting star ke? Zahra pun ikut sama
mendongak ke langit. Wah! Cantiknya bintang-bintang ni. SubhanALLAH! Seperti pasir-pasir
halus yang berkilau di pantai. Pencinta alam rupanya pak cik seorang ni? Hehe. Lama
juga dia berkeadaan begitu sebelum matanya berair. Tanda dia sudah mengantuk giler.
Zahra menguap dan menuju ke katil. Boleh juga dia tidur dengan lena malam itu.
Dibuai mimpi nan indah.
Hint bab seterusnya: aku yang tersalah rumah ke ustaz ni yang tersalah rumah *garu kepala*?