Home Novel Komedi/Romantik Komedi Ustaz Pink
Bab 7 : Kebenaran terbongkar.

TIGA malam berturut-turut Zahra melakukan solat istikharah. Dan tiga malam berturut-turut itu juga, dia didatangi mimpi yang sama. Zahra mula kerisauan. Hatinya mengatakan ada sesuatu bakal berlaku. Adakah ini petunjuk dari Allah?

“Hari ini Zahra tak ada kuliah kan?” soal Puan Sofea sewaktu dia dan anaknya bersarapan.

“Takde. Kenapa ibu?”

“Tengah hari nanti ibu bapa Johan nak datang. Ada hal penting yang nak dibincangkan. Zahra tahu?”

Zahra tersentak sedikit. “Tahu ibu. Johan ada call malam semalam,” tutur Zahra perlahan. Pandangannya tertunduk ke bawah sikit. Tidak betah untuk dia menatap ibunya dalam keadaan menipu. Ya Allah, ampunkan hambaMu ini. Aku tak mahu ibu risaukan aku. Zahra cuba menyembunyikan perkara yang sebenar. Dia tidak mengetahui sebenarnya. Johan sendiri pun tak bagi tau apa-apa semasa dia menelefon Zahra semalam. Zahra benar-benar berasa kecil hati dengan sikap Johan.

“Kenapa ni Zahra? Macam ada yang tak kena?” Bimbang dengan anaknya yang tiba-tiba nampak muram. Wajah anaknya bertukar menjadi mendung.

“Tak ada apa-apalah ibu. Nak Zahra tolong apa-apa tak untuk makan tengah hari nanti?” Zahra cuba untuk menceriakan keadaan. Tubir matanya terasa semakin panas. Namun ditahan juga agar air mata tidak menitis.

“Selepas sarapan ni, ibu nak ke pasar sekejap. Zahra nak ikut?”

“Erm, boleh juga. Lagipun hari ini tak ada kelas.” Walaupun, empangan air matanya hampir pecah, Zahra gagahkan diri untuk tidak menangis di hadapan ibunya.

“Kalau macam tu Zahra siap dulu.” Zahra berkata lagi sebelum Puan Sofea buka mulut. Dia terus bangun dan menuju ke atas. Sebaik sahaja pintu bilik dikunci, Zahra berlari masuk ke dalam bilik air. Pili air di singki, dipulas sampai habis. Sepuas-puasnya dia menangis. Sedih dengan tunangnya sendiri. Sampai hati Johan tak bagi tahu. Mustahil Johan tak tahu ibu dan ayahnya nak bertandang ke rumahnya pada hari itu. Zahra mula teringat akan mimpinya. Ya Allah... air mata turun dengan deras. Sama deras dengan air paip yang mengalir keluar dari kepala pili. Zahra mula sedar, Johan semakin jauh daripadanya. Allah s.w.t sudah memberikan petunjuk kepadanya.


“APA... apa... salah Zahra ibu? Ke... kenapa... Johan buat Zahra... macam ni?” Teresak-esak Zahra menangis di pangkuan ibunya. Menyukarkan dia untuk mengeluarkan kata-kata. Air matanya semakin deras mengalir. Segala kebenaran yang tersembunyi selama ini telah terbongkar. Puan Sofea tetap setia berada di sampingnya sejak kedatangan ayah dan ibu Johan tengah hari tadi. Membelai dan mendakap anaknya yang benar-benar memerlukannya pada saat itu. Menangislah sayang sekiranya itu yang dapat melegakan hati sayang.

“Zahra... ingat Allah. Allah tak pernah tinggalkan Zahra. Banyakkan bersabar. Mungkin ada hikmahnya.” Puan Sofea memujuk dan memeluk erat anaknya. Ya Allah, berikan kekuatan kepada anakku ini untuk menempuh dugaan yang Engkau berikan kepadanya. Tabahkanlah dia dalam menghadapi ujianMu ini.

Mengapa Johan sendiri yang tak datang? Tak sangka dia seorang yang pengecut! Benarlah telahan Zahra. Perubahan Johan selama ini sudah terjawab. Johan sudah meninggalkannya. Johan sudah berubah hati dan berkahwin dengan orang lain. Sedangkan mereka masih bertunang. Zahra benar-benar berasa sakit hati diperlakukan begitu. Bagi dia Johan telah mengkhianati cinta dan hubungan yang pernah mereka ciptakan bersama suatu ketika dahulu.

Encik Rahman yang hanya mendiamkan diri turut merasai kesedihan yang melanda anaknya tika itu. Hatinya turut sama menangis melihat keadaan anaknya. Tiada sepatah perkataan pun yang keluar daripada mulutnya. Tidak sudah-sudah ayah dan ibu Johan memohon maaf atas apa yang telah dilakukan oleh anak mereka. Mereka berasa amat kesal.


“KAU okey ke ni?” Sejak dari tadi Zahra tak bersuara. Berkutik sedikit pun tidak. Hanya membuang pandang ke arah lautan yang terbentang luas di hadapannya. Sudah hampir seminggu Zahra putus tunang. Dalam seminggu itu juga air mata menjadi peneman setianya. Terutamanya apabila dia berseorangan.

“Macam mana aku nak okey Ida...” Suaranya kedengaran sayu. Hatinya sebak. Tubir matanya mula bergenang dengan air mata lagi.

“Sabar Zahra. Aku ada. Abah dan ibu kau pun ada. Yang paling penting Allah sentiasa ada.” Ida mendakap erat bahu sepupunya itu. Cuba untuk menenteramkan hati Zahra yang dah remuk.

“Ida... aku sedih. Susah aku nak lupakan dia. Kalau aku tahu aku takkan terima dia.” Zahra kembali teresak-esak. Dia menyapu air mata yang semakin jatuh berderai-derai ke pipi.

“Aku faham Zahra. Kau kena berdoa pada Allah untuk lupakan dia. Sekurang-kurang kau tahu sekarang. Kalau masa nak nikah nanti dia tak muncul, bertambah lara hati kau Zahra. Alhamdulillah, Allah berikan petunjuk dari awal lagi,” pujuk Ida lagi.

“Sampai hati dia buat aku macam tu. Aku ni tunang dia. Kenapa mudah benar dia berubah arah? Apa salah aku Ida? Apa salah aku pada dia? Aku tak boleh nak maafkan dia,” luah Zahra dengan hati yang luruh.

“Sabar Zahra, sabar. Mungkin ada hikmat di sebalik semua ini. Allah lebih mengetahui Zahra.” Ida menggenggam tangan Zahra untuk menyalurkan kekuatan dan semangat.

“Tolong aku Ida. Aku nak buang semua kenangan aku bersama dia.” Zahra nekad dia tidak mahu ditenggelamkan kedukaannya lagi. Dia mahu menjadi kuat. Biarlah Johan dengan kehidupan dia sekarang. Apa yang pasti dia mahu melupakan segala kenangan pahit manisnya bersama Johan.

“Aku akan sentiasa berada di samping kau. Don’t worry.” Ida berasa lega dengan kata-kata yang terluah dari mulut Zahra.

‘Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahui.’ (Surah al-Baqarah:216)


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Pistacia Vera