Mulut kata benci tapi hati kata cinta ♥
“NAMPAKNYA orang tu betul-betul tersilap hantar e-mel kot?”
Selepas menunaikan solat isyak, Zahra terus menghadap laptopnya yang berjenama Compaq Presario CQ42. Sehingga kini Zahra tak terima apa-apa e-mel lagi daripada orang itu. Dia juga tak tergerak hati untuk membalasnya. Buat apa? Buatnya tersilap, malu je.
Tanpa mempedulikan e-mel itu lagi, lagu bertajuk Aku Ingin Engkau dipasang. Tak jemu-jemu Zahra mendengarnya. Dah termasuk dalam senarai lagu kegemarannya. Kadang-kadang lagu itu sendiri akan bermain-main dalam kepalanya. Bagus juga kerana liriknya yang penuh dengan makna boleh menyedarkan kekhilafan dia. Di samping itu dapat mengingatkan dia kepada ALLAH agar sentiasa dekat di hati. Sesungguhnya tiada TUHAN melainkan DIA.
Sambil memainkan lagu tersebut pada laptopnya, Zahra mengeluarkan tote beg yang dipulangkan oleh Arif. Buku-buku yang dibelinya tempoh hari masih belum diusik. Sejak akhir-akhr ini, Zahra gemar membeli dan membaca buku-buku ilmiah. Perasaan mendalam terhadap bidang islamik membuatkan dia teringin untuk memahami dan mempelajarinya. Tambahan dengan membaca dia dapat mengisi masa lapangnya daripada terbuang begitu sahaja.
Teringat akan Zahra satu tazkirah selepas subuh yang didengarinya di masjid. Menurut ustaz yang menyampaikan tazkirah itu, beliau mengatakan betapa pentingnya sesuatu ilmu agama itu sehingga ALLAH s.w.t mengangkat darjat seseorang itu kerana ilmu tersebut. Hal ini benar menurut surah Mujadillah dalam ayat 11 yang bermaksud, “...ALLAH meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), ALLAH Maha Mendalam Pengetahuan-NYA tentang apa yang kamu lakukan.” Kerana ilmu juga, seseorang itu dapat mendidik dan membaiki dirinya untuk menjadi hamba-NYA yang lebih baik.
Dengan bersila di atas katil, dia mula membelek buku-bukunya. Hmm... nak baca yang mana dulu eyh? Buku ni jelah. Cover pun cantik.
Buku yang bertajuk Srikandi-Srikandi yang Benar menjadi pilihannya pada malam itu. Ia mengisahkan tiga cerita indah srikandi terdahulu iaitu mengenai Aminah bonda Rasulullah s.a.w, Fatimah puteri bongsu kesayangan Rasulullah s.a.w dan Rabiatul Adawiyah yang hidup hanya untuk ILAHI.
Apabila Zahra menyelak beberapa muka surat, ada sesuatu terjatuh daripada buku itu. Eh? Apa ni? Macam penanda buku je. Macam mana la aku boleh tak perasan penanda buku sebesar ni? Zahra membelek-belek penanda buku berukir corak bunga yang disadur dengan warna perak. Ada bentuk rama-rama pada hujungnya. Cantik. Getus Zahra dalam hati. Tapi Encik Arif ke yang bagi?
Kemudian dia menyelak lagi. Sekeping kad bersaiz B4 terjatuh. Zahra terus mengambil dan membaca kad yang terlukis gambar bintang-bintang.
For someone who loves to read
Enjoy the bookmark☺
p/s: Doa untuk pening/sakit kepala:~
1)surah al-fatihah 1x,
2)ayat kursi 1x,
3)selawat syifa' 7x,
4)surah al-waaqiah:ayat 19"mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya." 7x
Wah! Siap ada smiley face lagi. Zahra tarik senyum. Macam mana dia tahu aku pengsan sebab pening kepala? Sah abah dan ibu yang beritahu. Tapi betul ke Encik Arif yang bagi kat aku? Siapa lagi kalau bukan dia, kan? Dia je yang pegang tote beg aku.
Fikirannya menerawang kepada kejadian di Aeon tempoh hari. Kenapa aku asyik teringatkan Ustaz Pink je ni? Zahra mengeluh. Cepat-cepat dia menggeleng. Kad tadi ditutup dan disimpan rapi bersama penanda buku dalam laci meja kecil di sisi katil. Kemudian dia menyambung semula pembacaannya yang tergantung. Namun satu pun tak masuk dalam kepalanya. Lantas dia menutup buku tersebut dan diletakkan di tepi bantal.
Nak hantar SMS ke tak nak? Hantar jelah. Bukannya apa pun. Cuma nak ucapkan terima kasih je. Lagipun nak kena pulangkan sapu tangan dia lagi. Zahra membuka semula laci tadi. Sapu tangan milik Arif dikeluarkan. Lama dia membeleknya. Terdapat satu simbol yang dikait kemas dengan benang emas pada hujung sapu tangan itu. Ni tulisan Korea kan? Ape ek ni?
Tanpa mengusutkan kepala otak lagi, Zahra mencapai telefon bimbitnya yang terdampar di tepi bantalnya.
-Assalamualaikum En.Arif, saya Zahra, saya cuma nak ucapkan terima kasih sebab bagi penanda buku. It’s lovely.
Message sent. Daripada elok bersila, dia berbaring-baring sambil mendepakan kedua-dua tangannya. Sepasang matanya merenung pada siling bilik. Tangan kanannya masih memegang telefon bimbit. Tak pernah dilepaskan walaupun sekejap. Detik demi detik Zahra menunggu.
Setelah hampir empat puluh minit, ada mesej masuk. Cepat-cepat Zahra bangun dan membacanya. Ustaz Pink balas!
+Wa’alaikumsalam, u r most welcome. Glad u like it. Who say I didn’t give u a present;)
Zahra mencebik. Ceh! Nak berlagak pula sebab bagi hadiah. Laju saja jarinya menaip pada skrin dan membalas.
- Ok,it’s my mistake:p
Sesaat kemudian, Zahra menerima SMS daripada Arif lagi. Wah! Cepatnya dia reply. Macam shinkansen. Dalam erti kata lain bullet train. Cakap orang, Zahra pun dua kali lima.
+How’s my handkerchief. Sihat?
Ada ke tanya sapu tangan sihat ke tak?
-Alhamdulillah, sapu tangan En.Arif sihat walafiat. Siap rendam semalaman dalam Comfort Ultra Anti Bac lagi. Macam mana saya nak pulangkan?
Seketika kemudian, Arif membalas.
+No need. Just keep it. Saya suruh cuci je. Tak suruh pulangkan pun;)
Apa! Zahra bengang giler. Dahlah dia terpaksa beli Comfort Ultra Anti Bac sebab ibunya hanya menggunakan pelembut fabrik berjenama Softener. Malah dia terpaksa kelentong apabila Puan Sofea tanya. Kononnya nak tukar bau. Nasib baik tak perlu keluarkan duit untuk sabun Attack Colour Ultra sebab detergen tu sememangnya menjadi pilihan ibunya.
Belum sempat Zahra membalas, Arif terlebih dahulu menghantar SMS baru.
+ P/s:Sila turunkan sikit berat badan tu eyh. Lenguh tangan saya angkat awak;) Sleep well. Good nite. Assalamualaikum.
Eeee! Geramnya aku dengan Ustaz Pink ni! Meluat! Menyampah! Apa?! Sleep well? Good nite? Podah! Walaupun dalam keadaan marah Zahra tetap membalas. Tak baik kalau tak jawab salam.
- Suka hati syalah,nak kurus ke, nak gemuk ke:/ Wa’alaikumsalam.
Ceh! Apa punya ustaz. Zahra mencebik lagi. Pada mulanya teringin juga nak tanya fasal tulisan unik pada sapu tangan itu tapi terus dimatikan sahaja niatnya itu dek geram dengan Ustaz Pink. Namun yang demikian, Zahra tak sedar bahawa kebahagiaan sedang menyelinap dalam hatinya sewaktu dia bermesej dengan Arif.
***
YA ALLAH, budak ni betul-betul menguji hatiku. Arif masih lagi merenung pada telefon bimbit yang berada di tangan kanannya. Mesej akhir daripada Zahra masih terpapar pada skrin. Mata dipejamkan. Kemudian nafas panjang ditarik sebelum dihela perlahan-lahan. Hatinya berdetik lagi. Am I in love again?
Pada mulanya Arif hanya membiarkan sahaja telefon bimbitnya berbunyi. Hatinya tak tergerak untuk membaca mesej yang baru masuk. Tambah-tambah lagi dia sedang memandu pulang dari rumah along ke apartmennya. Sampai sahaja di bilik, dia terus merebahkan diri di atas katil kerana rasa kantuk semakin menguasai diri. Kelopak matanya terasa semakin berat.
Baru sahaja ingin melelapkan mata, telefon bimbitnya berbunyi lagi. Menunjukkan ada mesej yang belum dibaca. Lambat-lambat dia bangun dan mengambil telefon bimbitnya yang diletakkan di atas meja kerja. Saat jari telunjuknya menyentuh skrin telefon bimbit, matanya membulat sikit. Terasa segar pula. Mesej Zahra terpapar pada skrin. Tidak mempercayai bahawa Zahra akan menghantar mesej kepadanya.
Sejak dari tadi Arif masih berdiri di tepi tingkap di kamar tidurnya. Tidak berganjak langsung dari tempatnya. Matanya ditala keluar tingkap. Memerhati keadaan di luar yang semakin diselubungi kesunyian dan kedinginan malam. Jam pada telefon bimbitnya sudah menunjukkan hampir pukul dua belas tengah malam. Rasa kantuknya tadi terus hilang dimamah oleh kedatangan mesej daripada Zahra sebentar tadi. Hatinya seperti dilanda ribut kebahagiaan. Walaupun dia sendiri tidak menyedarinya.
Fikirannya mula menerawang kepada kejadian di Aeon Bandar Perda tempoh hari. Hatinya terasa sayu melihat Zahra menangis teresak-esak. Tak ubah seperti budak kecil. Semakin kuat dia menangis semakin kencang sedu-sedannya. Menunjukkan betapa lukanya hati Zahra ketika itu. Walaupun begitu hatinya turut tercuit dengan kelucuan tatkala melihat wajah tangis Zahra. Wajah yang putih kemerahan dihiasi dengan mata merah yang berair dan hidung pun merah. Mengalahkan badut sarkas. Nampak cute.
Berbanding Encik Rahman yang kelihatan seperti kuning langsat, Zahra lebih mewarisi wajah Puan Sofea yang berkulit putih. Ketinggian pun sama dengan ibunya. Cuma bentuk mukanya dan keningnya sahaja sama dengan Encik Rahman.
Astaghfirullahal’azim! Ya ALLAH, aku masih memikirkan tentang dia lagi. Arif meraup mukanya dengan tangan kiri.
Bunyi pintu dibuka dan ditutup semula mematikan lamunannya. Iqbal tak tidur lagi ke? Bukan bilik dia gelap ke tadi? Arif melangkah keluar dari biliknya.
“Aku ingat kau dah tidur.” Arif menegur. Dilihatnya Iqbal sedang duduk di sofa sambil menyemak beberapa helai kertas. Terdapat juga laptop kepunyaannya dan beberapa fail pada meja bulat yang terletak di antara sofa berangkai tiga dan TV plasma mereka. Pasti kertas kerja Iqbal.
“Aku tengah semak semula modul pembelajaran ni,” balas Iqbal. Cermin mata yang tergantung pada telinganya dibetulkan sedikit.
Arif mengangguk tanda faham.
“Aku nak buat nescafe o. Kau nak?” tanya Arif sambil berlalu ke dapur.
“Tak berjaga ke nanti kalau minum nescafe?” Memandangkan Arif berada di dapur, Iqbal meninggikan sedikit suaranya.
Arif menjengulkan kepala dari dapur. “De-caf punya. Nak tak?”
“Boleh juga.”
Arif kembali dari dapur dengan dua muk putih berisi air nescafe o panas tanpa kafein. “Nah.” Dihulurkan satu kepada Iqbal yang nampak sibuk dengan kerja-kerjanya.
“Syukran.” Iqbal menyisip sedikit sebelum meletakkan di atas meja bulat. Arif pula mengambil tempat duduk di sebelah Iqbal. Badan yang terasa lenguh disandarkan pada sofa. Dia melepaskan lelahnya. Mata dipejamkan.
“Penat melayan anak buah ke?” Melihatkan keadaan Arif, Iqbal mula bertanya.
“Makin aktif budak-budak tu.” Matanya masih terpejam rapat.
“Nama pun budak-budak. Kau dulu pun bukan main nakal. Sampai lastik angsa orang.” Iqbal mengusik dengan membuka cerita zaman silam mereka.
Mata yang terpejam rapat dibuka. “Kau pun sama. Terjun sungai macam tak ingat dunia,” cantas Arif.
Lantas ketawa mereka bergabung.
Tanpa melihat ke arah Arif, Iqbal membuka bicaranya semula. “Kau dan Zahra macam mana?”
“Macam mana apa? Macam tulah. Aku pensyarah dia. Dia pelajar aku.” Mendatar suara Arif.
“Tak lebih dari itu?” Iqbal mengerling sedikit.
“Nak lebih apanya?” Arif tahu apa yang hendak disampaikan oleh sahabatnya itu. Namun dia malas hendak membicarakan hal itu dengan lebih mendalam.
“Dah tiba masa untuk kau mula hidup baru. Zahra tu ok apa. Masa sem baru ni, aku selalu nampak dia dekat Masjid USM. Tengah hadiri ceramah Ustaz Syed Ali dengan sepupu dia. Alhamdulillah, nampak macam dah banyak berubah.” Penampilan Zahra yang dilihatnya sekarang berbeza daripada dulu. Pertama kali bertemu, gadis itu mengenakan blaus pendek dan seluar jeans yang agak ketat sikit dengan bertudung sekadar nak tutup rambut saja.
Kata-kata Iqbal membuatkan Arif turut sama mengucapkan kata-kata syukur kepada ILAHI dalam hati. Zahra ternyata dah banyak berubah.
“Buat masa ni aku malas nak fikir dulu bab-bab kahwin ni.” Arif masih dalam intonasi yang sama.
“Jangan macam ni Rif. Aku tak nak kau menyesal pulak kalau ada yang berkenan dengan budak tu nanti. Mutiara indah macam tu selalunya menjadi rebutan,” kata Iqbal penuh makna.
Arif menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan. Dia memberikan senyuman nipis. “Aku doakan agar dia boleh dapat pembimbing yang soleh dan beriman.”
“Dan aku berdoa agar pembimbing itu adalah sahabat sematiku ini. Amin.” Iqbal senyum sambil menepuk-nepuk perlahan bahu Arif.
Arif tergelak kecil mendengarnya. “Apa-apa jelah kau, Iq. Aku nak masuk tidur dulu.” Muk di atas meja dicapai. Air nescafe yang berbaki separuh diteguk sehingga habis sebelum dia bangun dan menuju semula ke dapur. Setelah muk dicuci, dia melangkah masuk ke kamar tidurnya. Mata mula terasa berat semula.
Iqbal pula hanya memerhati dan menggeleng. Ya ALLAH, KAU berikan kebahagiaan kepada sahabatku ini. Andai Zahra tercipta untuknya, KAU mudahkan penyatuan mereka dengan ikatan suci yang KAU restui.
p/s:Enjoy^-^/