Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 17

SSS… Kesakitan yang tiba-tiba sahaja menyerang di bahagian perutnya terasa semakin mencucuk-cucuk. Berkerut-kerut dahinya menahan rasa sakit yang semakin kuat itu. Aduh, sakitnya! desis hatinya.

Iqram berdecit. Kenapa perut aku ni tiba-tiba aje rasa sakit? Ada apa-apa yang tak kena ke ni? Sekali lagi hatinya berdesis sendirian.

Jam yang terikat di pergelangan tangannya dilihat. Jarum jam sudah pun berubah ke angka 5.00 petang. Oh, patutlah aku rasa sakit perut sangat! Rupa-rupanya, aku belum makan apa-apa lagi dari pagi tadi. Hisy, kan penyakit gastrik datang menyerang balik! Aduh! Dia mula menyesali keterlanjuran dirinya.

Tidak semena-mena, bayangan figura mama menerpa ke ruang matanya. Sekali gus, bait-bait kata mama yang pernah singgah ke telinganya meresap masuk ke dalam ingatannya. “Ingat pesan mama ni, Am. Jangan skip waktu makan! Kalau penyakit gastrik menyerang kamu masa kat sana nanti, tak ada siapa yang boleh tolong kamu. Faham?”

Dia mengeluh. Kalaulah mama tahu, tak pasal-pasal aku kena menadah telinga mendengar bebelan mama selama 7 hari 7 malam. Sudah berbuih mulut wanita itu menasihatinya agar menjaga kesihatan dan makan ikut waktu. Namun, dia tidak pernah endah akan nasihat itu. Bila penyakit gastrik ini datang menyerang, haa… tanggunglah! Padan dengan muka kau, Iqram Fattah!

Demi melihat gelagat Iqram, Maira berkerut dahi. Dia hairan dengan tingkah laku lelaki itu. Wajah itu kelihatan sedang berkerut-kerut, seolah-olah sedang menahan kesakitan. Lantas, dia menegur, “Bos?”

Iqram seraya menoleh demi mendengar namanya dipanggil. “Hmm?” balasnya dengan suara lemah. Berulang kali dia menggosok perutnya yang semakin sakit bak dihiris dengan pisau tajam itu. Sedaya upaya dia cuba menahan kesakitan yang semakin menjalar ke segenap sanubari.

“Bos okey ke ni?” tanya Maira ingin tahu.

Iqram spontan mengangguk. “Saya okey, Maira!” balasnya beria-ia. Tidak mahu Maira mengesan kesakitan yang sedang dirasanya kala ini.

“Betul?” Maira menduga.

“Betul!” Cepat sahaja Iqram membalas.

Maira terus terdiam. Bola matanya tidak ralit dari merenung figura Iqram. Dia dapat rasa, ada sesuatu yang tidak kena dengan lelaki itu.

Sebaik sahaja sesi seminar tamat, Iqram terus bangun lalu bergegas keluar dari dewan seminar. Meninggalkan Maira yang termanggu sendirian.

Maira menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Dia ni dah kenapa?”

IQRAM terus meluru masuk ke dalam biliknya. Lalu, dia menghempaskan tubuhnya ke atas katil. “Aduh, sakitnya!” Dia menggosok perutnya yang semakin sakit. Dahinya berkerut-kerut menahan kesakitan. Argh! Dia benci dengan penyakit ini. Sakit ini sungguh menyeksakan!

Sekali lagi kata-kata mama menerjah masuk ke gegendang telinganya. “Ingat pesan mama ni, Am. Jangan skip waktu makan! Kalau penyakit gastrik menyerang kamu masa kat sana nanti, tak ada siapa yang boleh tolong kamu. Faham?”

“Mama…” Hampir menitis air matanya tatkala wajah mama menyerbu ruangan matanya. Dia teramat memelukan kehadiran seorang wanita bergelar ibu di sisi. Dia amat mendambakan perhatian dan belaian mama.

“Kalaulah mama ada…”

Sss… Iqram berdesis kesakitan apabila kesakitan kembali mencengkam sanubari. Terasa perutnya bagai disiat-siat bak pisau tajam yang sedang memotong daging. Sakitnya… subhanallah! Hanya ALLAH S.W.T sahaja yang Maha Mengetahui.

Berulang kali dia menarik nafas panjang, lalu menghembusnya keluar secara perlahan-lahan. Sedaya upaya dia mencuba untuk meredakan kesakitan yang sedang dialaminya kala ini. Namun ternyata usahanya itu tidak membuahkan hasil. Kesakitan itu tetap terasa, malah semakin kuat.

“Ya ALLAH…” Iqram merintih dengan suara lirih. Air matanya sudah mula jatuh berlinangan di kedua-dua belah pipi.

Tidak semena-mena, bayangan wajah Maira menerkam ruangan matanya. “Maira…” serunya. “Nak minta tolong ke tak nak?” Teragak-agak dia hendak meminta pertolongan pada gadis itu.

Namun memikirkan kesakitan yang semakin kuat itu, otaknya segera mengarahkannya agar segera menghubungi Maira dan meminta pertolongan gadis itu. Namun egonya itu segera menepis rasa itu pergi. “Aduh, nak minta tolong ke tak nak?” Dia semakin keliru.

Auw! Sekali lagi rasa sakit itu datang menyerang. Kali ini lebih teruk dari kebiasannya. “Ya ALLAH… sakitnya!”

“Tak boleh jadi ni! Kalau ikut rasa ego, kau juga yang tanggung sakit ni! Nak ke… tak nak ke… kau tetap kena minta tolong Maira!” Akhirnya, dia menepis tembok keegoaan diri.

Serentak itu, dia mencapai telefon bimbitnya yang berjenama Iphone 6s di atas meja. DIa menekan punat phonebook lalu mencari nama Maira di butang search. Setelah nama yang dicari sudah dijumpai, dia segera menekan punat dial.

BARU sahaja keluar dari bilik air, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering nyaring. Terkocoh-kocoh Maira berjalan ke arah katil. Telefon bimbit berjenama Samsung Galaxy 5s itu segera dicapai. Dia melihat ke skrin. Demi melihat sebaris nama yang muncul di skrin, dahinya terus berkerut seribu.

“Encik Iqram?”

Dahi Maira semakin berkerut. “Erk, buat apa dia call aku malam-malam macam ni?” desisnya dengan muka hairan.

Lantas, punat berwarna hijau ditekan. Telefon bimbit itu segera diletakkan ke telinga kanannya. “Hello, bos?” sapa Maira. “Ada apa bos callsaya ni?”

“Saya…” Sss… Iqram berdesis panjang. Sakit gastriknya itu semakin mencucuk-cucuk perutnya. Air matanya semakin deras mengalir. Sakitnya!

Maira semakin hairan. “Err… bos okey ke ni?”

“Ssa… saya sa… sakit, Mai… Maira!” rintih Iqram dengan suara tersekat-sekat.

Maira terkesima. Ternganga sedikit mulutnya. “Haa… bos sakit apa ni? Dia mula jadi kelam-kabut. Erk, takkan dia diserang penyakit jantung? Aik, umur muda macam dia ni ada penyakit orang kaya ke? desis hatinya. Dia segera berdecit panjang tatkala menyedari ketelanjurannya. Hisy, jahatnya mulut kau ni, Maira! Tak baik berprasangka buruk macam tu tau!

“Bos sakit apa ni?” Maira menyoal lembut.

“Awak ken… kena tolong saya, Maira! Sa… saya betul-betul sak… sakit ni!” Iqram membalas bersungguh-sungguh.

Maira semakin kalut! Alamak, dia ni buat aku saspen aje tau! Lantas, dia segera mematikan talian. Cepat-cepat dia melangkah keluar dari biliknya lalu berjalan ke bilik sebelah.

Pintu bilik bernombor 329 itu ditenung. “Kalau aku ada kuasa wonderwomen, memang dah lama aku tendang pintu bilik ni tau!” gerutunya sendirian.

Lalu, dia mengetuk kuat daun pintu bilik itu. Bagai hendak pecah pintu bilik itu dikerjakannya. “Bukak pintu bilik ni cepat, bos!” laungnya dengan suara nyaring.

Demi mendengar laungan itu, Iqram segera bangun. Dengan langkah lemah, dia berjalan ke muka pintu. Daun pintu bilik itu diselak sedikit. Tersembul figura Maira di muka pintu. “Maira…” rintihnya dengan suara lemah.

Maira semakin risau. “Err… bos tak apa-apa ke ni?”

“Saya sakit, Maira!” tambah Iqram semakin lemah.

Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.