KRINGGG!!! Deringan
jam yang datangnya dari arah meja mengganggu lena Maira Qaisarah, sekali gus
membuat gadis itu menggeliat panjang. “Argh…”
Sebelah
matanya dicelikkan. Seminit dua kemudian, matanya terpejam semula. “Huwwaa… mengantuknya! Kenapa pagi cepat
sangat? Kalau malam berpanjangan sampai bila-bila, kan syok. Bolehlah membuta
lama-lama,” ngomel Maira sendirian.
Ketukan
pintu bertalu-talu yang kedengaran dari arah luar membuat Maira melompat turun dari katilnya. Tegak gadis itu berdiri
dek terkejut badak. “Hisy! Tangan siapalah yang gatal nak ketuk pintu bilik aku pagi-pagi buta ni?
Tak tahu ke yang aku tengah mengantuk?” bebel Maira geram.
“Maira…
oh, Maira?” jerit Mak Uda Harlina dari luar. “Hang tak mau bangun ka? Hang tau dak,
la ni dah pukul berapa? Hang tak kerja ka hari ni?”
Maira
berdecit geram. Wajahnya masam bak ternampak tikus mondok melintas di hadapan.
“Hisy!” bentak Maira sambil mengusap kepalanya berulang kali. Geram. “Tu dia. Speaker utara dah mai. Siap boleh jadi
ahli speaker Dewan Rakyat lagi. Huh, bingit telinga aku!”
“Oii Maira, hang dengaq
tak aku panggil hang ni?” laung Mak Uda Harlina lagi.
Maira
mendengus geram. “Orang dengarlah, mak uda! Orang belum pekak lagi! Telinga
orang belum bersumbat dengan earphone
lagi!” balas Maira panjang lebar. Telinga orang ni macam telinga gajah tau. Agaknya,
kalau tambah ayat ni, mak uda membebel tak? Mesti berasap telinga ibu saudaranya
itu. Tak pasal-pasal dia kena kejar dengan batang penyapu.
Mak Uda
Harlina mencebik. “Haa…
dengaq pun. Aku
ingat dah pekak
badak.”
Buntang
biji mata Maira mendengar sindiran itu. Merah padam mukanya. Aku punyalah
cun-melecun macam pelakon Anzalna Nasir, mak uda boleh samakan aku dengan badak? “Haa…
awat hang diam? Hang dok membungkam atas katil lagi ka?” jerit Mak Uda Harlina lagi.
Hisy!
Bisinglah mak uda ni! “Orang dah bangunlah! Mak uda pergilah turun. Kejap lagi
orang turunlah, orang nak mandi kejap,” balas Maira geram.
“Haa…
baguih! Aku turun bawah na. Pi mandi cepat! Dalam masa setengah jam hang tak
siap, aku terjah masuk bilik hang,” laung Mak Uda Harlina lagi.
“Hisy,
yalah!” bentak Maira.
Maira
menarik muka cemberut. “Hisy!” Walaupun hatinya memprotes geram dengan tindakan
Mak Uda Harlina yang menganggu tidurnya, namun dia tetap menggagahkan diri
untuk bangun juga. Tidak sanggup rasanya hendak mendengar speaker Kedah membebel lagi. Bingit!
Maira
berjalan ke arah penyidai baju. Tuala berwarna merah jambu yang tergantung
bersama-sama kain telekung dan sejadah bingkas dicapai. Serentak itu, dia
berjalan menuju ke arah bilik air.
Sebelum
kakinya menapak masuk ke bilik air, dia sempat mengerling jam berbentuk hati
yang tergantung di tepi dinding.
Bulat
biji matanya apabila melihat jarum jam. Ternganga sedikit mulutnya. “Haa… dah
pukul 7.30 pagi? Patutlah speaker
Kedah membebel bagai nak terkeluar anak tekak. Rupa-rupanya aku dah lambat,”
ngomel Maira sendirian.
Mengenangkan
muka setiausaha Pengurus Operasi Hakim Holdings yang berlagak bos itu,
cepat-cepat Maira berjalan masuk ke dalam bilik air. Tidak sanggup rasanya
hendak mendengar sindiran umpama pisau belati setiausaha berlagak bos itu.
TERBELIAK biji mata Maira apabila melihat jam digital berwarna biru cair
yang terletak kemas di sebelah telefon meja itu. Mulutnya ternganga. “Alamak,
dah pukul 8.10.”
Dengan
langkah tergesa-gesa, gadis comel sederhana tinggi ala-ala Izara Aishah itu
menderum laju ke ruang makan.
Puan
Fadilah yang sedang menatang mangkuk berisi mi goreng bingkas meletakkannya ke
atas meja. Dia tersenyum kecil. “Haa Maira, meh duduk dulu. Sarapan sebelum pi kerja,”
ajaknya.
“Tok
sahlah, mak. Mai dah lambat nak pi kerja ni. Karang tak pasal-pasal Mr. singa
tu naik angin sebab Mai lambat,” dalih Maira beria-ia. Sekeping roti yang sudah
pun disapu dengan coklat dicapai. Cawan berisi milo suam diteguk sedikit.
Sekadar hendak membasahkan tekak.
“Duduk
dulu, Mai. Jamah sikit,” balas Puan Fadilah lagi. Hisy, awat ketegaq sangat?
Suruh makan pun, susah ka?
“Ala…”
Maira menggaru kepalanya yang tidak gatal, umpana dijangkiti beribu lemon kutu.
“Mai dah lambat ni, mak. Nanti jalan jammed
pulak. Lagipun Mai kan dah ambil sekeping roti? Haa… sarapan pagi jugak namanya
tukan?”
“Tulah.
Tiduq mampuih tak ingat dunia sampai tak sedaq dah siang. Rasa!” perli Mak Uda
Harlina bersama cebikan di bibirnya. Sengaja hendak menyindir anak saudaranya
itu.
Maira
menarik muncung panjang. “Mak uda!”
Mak
Uda Harlina tidak membalas. Wanita jelita itu hanya menayang muka selamba,
seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Dengan selamba badak dan tidak
berperasaan, dia menyuap mi goreng ke dalam mulut.
Maira
menjeling tajam. Tanda protes. Hisy, tak ada perasaan sungguh mak uda aku ni!
Selamba badak aje dia sindir aku. Agak-agaknya, dia terjangkit dengan perangai
selamba aku, kot, desis hatinya.
“Tulah.
Lain kali, kunci jam hang tu. Tak dak la jadi kelam kabut. Hang tak ndak, hang
ni dah serupa macam pelesit jalanan tau,” celah Encik Azmil berupa sindiran
pedas.
Semakin
buntang biji mata Maira. “Ayah!” bentaknya dengan muka tidak puas hati. “Hisy,
mana adil! Tiga lawan satu, jawabnya tigalah yang menang.”
“Laa…
hang terasa hati ka, Mai? Hang tu kalau tiduq, memang tiduq mati. Letak bom kat
sebelah hang pun, bukannya hang sedaq. Silap hari bulan, siap boleh berpeluk
sakan dengan bom. Mati pun hang tak sedaq.” Sempat lagi Mak Uda Harlina
menyindir Maira.
Maira
menarik muka cemberut. “Hisy, bab-bab menyindir orang ni kan, ayah, mak dan mak
uda memang superb,” bentaknya geram.
“Dahlah, malas orang nak layan. Orang nak pi kerja, lagi baguih.”
Puan
Fadilah senyum sinis. “Aik, dah merajuk ka?”
Maira
mencebik. “Tak merajuk, tapi suka sangat.” Dia berloyar buruk.
Encik
Azmil sudah menggeleng kepala melihat gelagat keanak-anakan Maira. Umur hampir
mencecah ke 30, tapi perangai masih gila-gila remaja lagi. Maira… Maira…
Sejurus itu, Maira
bingkas menghabiskan saki-baki milo suam di dalam cawan. Sesudah itu, dia
bangun lalu berjalan ke muka pintu. Namun, langkahnya terhenti sejenak apabila
mak menegurnya.
Spontan Maira menoleh
ke belakang. “Haa… mak, apa dia?” tanyanya ingin tahu.
“Hang
tak mau makan dulu ka?” tanya Puan Fadilah.
Tiba-tiba,
satu idea nakal meresap masuk ke kotak mindanya. Membuat bibirnya tersengih
lebar. “Tak maulah mak, nanti…”
Berkerut
dahi Puan Fadilah. “Nanti apa?”
Maira
melirik mata ke arah Mak Uda Harlina. Dia tersenyum penuh makna. “Nanti perut
Mai meletup. Tak pasal-pasal berebut bilik air dengan mak uda. Kan, mak uda?”
Cepat-cepat dia berjalan keluar dari ruang makan. Bimbang kalau-kalau mak uda
naik angin. Haru-biru nanti!
Mak
Uda Harlina terkesima. Matanya sudah membuntang. Mula menangkap maksud sindiran
Maira. “Maira!” Terherot-herot bibirnya menyumpah seranah anak saudaranya yang
selamba badak itu. Puihh, hantu betui!
Tawa
Encik Azmil dan Puan Fadilah hampir terburai. Geli hati dengan sindiran selamba
badak Maira. Namun cepat-cepat ditahan tawanya itu daripada meletus. Tidak mahu
menyakiti hati adik bongsu mereka. Nanti tak pasal-pasal ada muka masam ala-ala
kena simbah dengan asam jawa. Naya aje!