Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 35

DEMI mengingati kata-kata Iqram, nafas Maira serta-merta menjadi semput. “Ala… aku kena tidur dengan Mr. singa tu? Oh, tidak!” Sambil bermain dengan jari-jemarinya, dia jalan bermundar-mandir. Pucat lesi wajahnya, bak baru sahaja kehilangan banyak darah. Dia dengan selambanya boleh pula menjawab ‘ya’. Aduh! Bertubi-tubi dia mengetuk kepalanya, memarahi kebodohan diri. “Hisy, macam mana kau boleh setuju ni, Maira?”

Tiba-tiba, daun pintu bilik air terkuak dari luar. Muncul figura Iqram yang lengkap berpakaian baju T-shirt berlengan pendek berwarna putih kebiru-biruan dan berseluar track panjang berjalur keemasan. Gaya kasual seperti itu menyerlahkan lagi kekacakannya.

Gulp, Maira meneguk liur! Dia jadi terpana seketika demi melihat figura suaminya. Kacaknya dia, desis hatinya tanpa sedar. Cepat-cepat dia menggeleng demi tersedar ketelanjurannya. Hisy, jangan buat kerja gila, Maira! Hatinya segera memberi peringatan keras.

Iqram mengukir senyum menggoda. Setapak demi setapak dia melangkah menuju ke arah Maira. “Assalamualaikum, wahai isteriku,” ucapnya dengan suara romantis. Dia segera melabuhkan duduk di sebelah Maira, begitu hampir dengan isterinya itu.

Maira menggigit bawah bibirnya. “Hmm… waalaikumusalam!” Sedikit gugup, dia menjawab.

Sejenak mereka terdiam, melayani perasaan masing-masing.

Iqram memusingkan tubuhnya menghadap figura Maira. Merenung lembut wajah isterinya. Sengaja hendak menggoda isterinya.

Maira jadi resah dengan tingkah laku Iqram. Jantungnya bagai hendak pecah jadinya. “Ke… kenapa awak tengok saya macam tu?” Dia bertanya dengan suara resah.

Iqram duduk bersila di atas katil. Wajahnya didekatkan ke wajah Maira. “Tak boleh ke kalau saya nak tengok muka isteri saya yang comel ni, hmm?” bisiknya dengan suara lembut.

Maira semakin berdebar. “Saya… saya…”

“Saya apa, sayang?” potong Iqram lembut.

“Err…”

“Err-err apa?” Sekali lagi Iqram memotong.

Maira terus terdiam. Terkelu lidahnya hendak membalas kata-kata Iqram.

Tiba-tiba Iqram tergelak. “Awak takut ke bila saya tengok muka awak macam tu, sayang?” Dia menduga.

Membuntang terus biji mata Maira demi mendengar soalan itu. Merah padam mukanya. Amboi, direct aje soalannya. Buat malu aku aje! “Ma… mana ada! Kenapa pula saya nak kena rasa takut?” Beria-ia dia menafi keras. Tidak mahu suaminya itu mengesan ombak yang sedang membadai hatinya kala ini.

Kening Iqram terjungkit sebelah. “Ya ke ni, hmm?” Dia berterus-terusan menduga Maira.

Maira merengus halus. “Yalah!” nafinya beria-ia.

Iqram pamer senyum manis. “Habis tu, kenapa muka awak tu jadi merah padam? Awak tertelan cili merah ke?” duganya lagi.

Maira tergamam. Haa… muka aku merah padam ke? Dia meraba-raba wajahnya. Jadi resah dengan gelagat Iqram. “Ya ke?” Bola matanya semakin mengecil. “Awak tipu saya kan? Awak sebenarnya sengaja nak mengusik saya kan?” tebaknya dengan suara geram.

“Kenapa pulak saya nak tipu awak, sayang? Muka awak tu memang merah padam tau!” balas Iqram beria-ia. “Kalau awak tak percaya, awak pergi belek muka awak kat cermin. Haa… tengok, betapa merahnya pipi awak tu.” Dia menambah lagi.

Cepat-cepat Maira bangun lalu berlari ke cermin. Demi melihat wajahnya di cermin, matanya terus membuntang besar. Ha’ah la, pipi aku memang dah merah! Aduh, malunya! bentak hatinya.

Iqram tersenyum. Tercuit hatinya demi melihat telatah Maira. Seraya itu, dia bangun lalu berjalan ke arah Maira lalu berdiri di belakang isterinya itu. “Awak baru nak percaya cakap saya kan? Pipi awak tu dah merah, sayang,” bisiknya ke telinga Maira.

Hampir meloncat jadinya demi mendengar bisikan itu. Meremang bulu roma jadinya. Serta-merta dia berpusing ke belakang. Membuat jarak mereka menjadi rapat. Maira terkedu. Dia cuba melarikan diri, namun cepat-cepat Iqram menghalang. Kedua-dua belah lengannya dipegang.

“Awak nak pergi mana, sayang? Nak larikan diri dari saya lagi ke, hmm?” bisik Iqram dengan lirikan mata menggoda.

Gulp, Maira meneguk liur. Dia semakin tergoda dengan tindakan Iqram. Namun otaknya cepat-cepat menghalang supaya menahan diri dari tergoda. Aduh, jangan buat kerja gila! “Ta… taklah! Saya ta… tak la… lari ke ma… mana-mana pun.” Dengan tergugup-gugup, dia membalas.

Iqram mendekatkan wajahnya ke wajah Maira. “Habis tu, kenapa awak nak resah gelisah ni?” Makin galak dia mengusik isterinya.

Maira menggigit bibirnya. Semakin tidak betah dengan gelagat Iqram. “Hisy, awak ni dah kenapa? Lepaskan saya!” Dia merayu bersungguh-sungguh.

Kening Iqram terjungkit sebelah. “Kalau saya tak nak lepaskan awak?” duganya.

Maira terus terdiam. Tidak mempunyai jawapan yang tepat untuk soalan itu.

Iqram tersenyum. “Dahlah, tak payah nak buat muka macam tu lagi. Nanti tak pasal-pasal saya cium pipi awak tu tau!” usiknya lagi.

Maira menjegil. “Iqram!” bentaknya.

Iqram tergelak. “Jom!” ajaknya, seraya menarik tangan Maira.

Maira mengeraskan badannya. “Nak pergi mana?”

Iqram pamer senyum penuh makna. “Pergi tidurlah.” Dia menjawab dengan muka selamba.

Maira terkedu. Alamak, matilah aku! “Err…”

“Tak payah nak err-err, sayang. Jom kita pergi tidur sekarang! Saya betul-betul dah mengantuk ni!” potong Iqram, seraya menarik tangan Maira.

“Tapi…” Walaupun Maira cuba membantah, namun dia menuruti juga langkah suaminya menuju ke arah katil.

Setibanya di katil, mereka berdua melabuhkan duduk di katil.

Iqram memanjat katil, seraya membaringkan tubuhnya. Dia menoleh ke arah Maira. “Meh sini bucuk-bucuk! Baring sebelah suami awak yang handsome ni,” panggilnya sambil menepuk-nepuk permukaan bantal berwarna putih yang empuk itu.

Maira semakin resah. “Ala…”

Iqram tersenyum. “Apa ala-ala? Awak nak takut apa, sayang? Kan awak dah pasang perisai pita pelekat ni? Awak dah lupa ke, hmm?” potongnya.

Maira terus terdiam. Aduh, dia terkena lagi! “Err…”

“Cepat!” potong Iqram.

Maira berdecit. “Yalah… yalah…” Dia memanjat katil. Dengan hati berdebar-debar, dia membaringkan tubuhnya di sebelah Iqram. Sengaja dia memusingkan tubuhnya ke dinding. Tidak sanggup rasanya hendak menatap wajah suaminya itu. Berdebar!

“Maira?” tegur Iqram dengan suara lembut.

“Hmm?”

“Tak baik tau tidur membelakangi suami. Berdosa. Pusinglah, tengok muka suami awak yang kacak ni,” arah Iqram.

Maira berdecit. “Kalau tidur macam ni, tak boleh ke?” protesnya.

“Tak boleh!” tegas Iqram.

Aduh, dia nilah… Maira menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Tapi…”

“Pusing!”

“Yalah… yalah…” bentak Maira, seraya memusingkan tubuhnya menghadap figura Iqram. Demi melihat figura suaminya, Maira terus jadi gugup. Hatinya kembali berkocak hebat. Jantungnya bertambah kuat degupannya.

Iqram senyum manis. “Awak ni comellah! Saya rasa geram bila tengok pipi awak yang montel ni tau!” Dia menyentuh pipi Maira.

Maira segera menepis tangan Iqram. “Haipp! Jangan nak melebih-lebih ya. Ingat, kat tengah-tengah ni ada pita pelekat!”

Iqram tergelak. “Opps, terlupa pulak!”

Maira mencebik. “Banyaklah!”

Iqram hanya tersenyum. “Okeylah sayang, saya nak tidur dulu ni. Good night, sweetheart. Masukkan saya dalam mimpi awak tau. Pastikan mimpi-mimpi yang indah-indah aje,” usiknya lembut.

Maira menjulingkan matanya ke atas. “Ha ha ha… so funny!” ejeknya.

Iqram tertawa. “Not funny, but it’s reality!” Dia segera memperbetulkan kata-kata isterinya itu.

Maira buat-buat tak dengar. Dia tayang muka toya.

“Okeylah, sayang. Saya tidur dulu. Selamat malam.” Iqram memejamkan matanya. Seminit dua, akhirnya dia lena sambil dibelai mimpi-mimpi indah.

Sementara Maira masih lagi terkulat-kalit di atas katil. Terkebil-kebil biji matanya melihat figura Iqram yang sudah lena dibuat mimpi. Bibirnya terjuih ke depan. “Amboi, lena bebenor Mr. singa ni tidur. Aku pulak yang terkebil-kebil seorang diri.” Dia membebel-bebel sendirian. Dia berdecit. “Aduh, kenapa susah sangat nak tidur ni?” desisnya semakin resah.

Akhirnya, dia terlelap apabila jarum jam sudah pun berganjak ke pukul 3.00 pagi.

DEMI mendengar bunyi beep dari telefon bimbitnya, Iqram terus terjaga. Serta-merta dia mencapai telefon bimbitnya yang berjenama Samsung Galaxy S5 di meja tepi katil. Demi melihat mesej itu, Iqram mendengus geram. “Aduh, Maxis rupanya. Kalau dalam satu hari kau tak kacau aku, tak boleh ke hah? Masa tengah tidur pun nak kacau! Sibuk aje tau!” Dia membentak geram.

Dia cuba bangun, namun terasa ada satu tangan halus sedang melingkar di tangannya. Dia tersentak kecil. Serta-merta dia menoleh ke tepi. Garis senyum lebar meniti di bibirnya. “Wah, lenanya dia tidur! Siap peluk aku lagi tu…” kutuknya dengan suara perlahan. Bimbang kalau-kalau mengganggu lena Maira.

Pita pelekat yang masih lagi terlekat di tengah katil dikerling sejenak. Dia tergelak lucu. “Pasang pita pelekat, kononnya sebagai perisai? Bini aku yang comel ni poyo aje lebih! Alih-alih, dia juga yang meredah pita pelekat ni. Siap jadikan aku bantal peluk lagi,” kutuknya selamba.

Dia memusingkan tubuhnya menghadap figura Maira yang masih lagi lena diulit mimpi-mimpi indah. Kedengaran gadis itu berdengkur halus. Mulutnya pula sedikit ternganga. “Hmm… letih sangatlah tu.”

Mulut Maira yang sedikit terbuka itu ditutup rapat, namun terbuka semula. Iqram hanya menggeleng. “Nganga… nganga… memang nak kena cium kot!” Dia tersengih gatal. “Hisy kau ni Iqram, gatal sungguh! Jaga tingkah laku kau tu! Buatnya kalau Mrs. selamba ni bangun, naya aje! Tak pasal-pasal dia jadi Power Puff Girls tau. Hatinya segera memberi peringatan keras.

Demi melihat jarum jam di dinding yang sudah pun berganjak ke angka 4.30 pagi itu, dia segera memejamkan mata. Sempat lagi dia mencium dahi Maira, lalu memeluk figura isterinya itu. Lama-lama, dia kembali terlelap semula.

MAIRA tersentak kecil demi mendengar bunyi deringan jam. Dia terus mengeliat panjang sambil menguap sepuas hati. “Oh, syoknya kalau dapat membuta sampai bila-bila!” keluhnya dengan suara serak-serak basah. Ala-ala baru sahaja selepas berkaraoke malam tadi. Sedang mengeliat, tiba-tiba dia terasa tangannya seakan merempuh satu objek besar di sebelah. Dia jadi kecut perut. Erk, ada hantu ke kat sebelah aku ni? desis hatinya mula ketakutan.

Serta-merta dia menoleh ke tepi. Demi melihat figura Iqram yang sedang duduk bersila sambil merenung lembut wajahnya bersama segaris senyuman di bibir, dia terus bangun. “Dah lama ke awak bangun?” Dia bertanya dengan suara gugup.

“Hmm… dah lama!” jawab Iqram dengan riak bersahaja.

“Dah tu, kenapa awak tak kejutkan saya?” Maira menarik muncung itik.

Kening Iqram terjungkit sebelah. “Saya tengok awak tidur nyenyak sangat, saya pun tak sampai hati nak kejutkan awak,” balasnya dengan muka selamba.

Maira menjeling. “Habis tu, kenapa awak tercegat kat atas katil? Seronok ke tengok saya terbungkam atas katil ni?” bentaknya tiba-tiba.

“Hmm… seronok!” jawab Iqram.

Wajah Maira terus memerah demi mendengar jawapan itu. Hisy, apa punya soalan kau tanya ni, Maira? Kan dah terkena lagi! bentak hatinya.

“Tapikan…” Iqram pamer riak wajah nakal.

Berkerut dahi Maira. “Tapi apa?” Dia menayang muka hairan.

Iqram tersenyum penuh makna. “Muka awak tu comel sangat tau! Nasib baiklah iman saya ni kuat. Kalau tak, memang dah lama saya usik awak tau,” usiknya lalu ketawa nakal.

Membuntang terus biji mata Maira demi mendengar usikan itu. “Iqram!” jeritnya. Hisy, selamba badak aje dia mengusik aku tau! Benci betul!

Dengan sisa tawanya yang masih lagi berbaki, Iqram menapak turun dari katil. Figura Maira dilihat. “Dah, bangun cepat! Tak payah nak mengular sangat atas katil tu. Nanti bertambah ‘bam-bam’ pulak,” kutuknya selamba.

Maira berdecit geram. ‘Bam-bam’? Cis, dia mengejek aku? Tak guna betul! “Kalau saya ‘bam-bam’ pun, kenapa?” bidasnya.

Iqram menjungkit sebelah keningnya. “Kalau awak ‘bam-bam’ ya? Hmm… saya memang tak fikir apa dah, sayang. Memang saya picit-picit pipi awak yang montel tu tau! Siap peluk sakan lagi. Seronok tau ada bantal peluk yang ‘bam-bam’ macam awak ni.” Dia makin galak mengusik.

“Hisy, Iqram!” Maira menjerit lalu menjeling tajam.

Iqram hanya ketawa. “Dahlah, tak payah nak banyak bunyi lagi! Turun cepat! Lepas tu, pergi mandi dan bersiap. Saya nak bawak awak keluar ni,” arahnya beria-ia.

Maira tercengang. “Keluar? Nak pergi mana?” tanyanya ingin tahu.

“Adalah!” balasnya, seraya berjalan ke muka pintu. Tombol pintu bilik dipulas, lalu dia berjalan keluar dari bilik itu. Namun langkahnya mati di celah pintu. Dia menjungkitkan lehernya melihat figura Maira. “Bersiap cepat! Saya bagi awak masa 30 minit aje untuk bersiap!” arahnya lalu menutup daun pintu bilik itu sehingga rapat.

Maira mengherot bibirnya. Sekejap ke kiri, sekejap pula ke kanan. Kepalanya yang tidak gatal itu digaru-garu berulang kali. “Dia nak bawak aku pergi mana ya?” desisnya, tidak sabar ingin tahu.

Previous: BAB 34
Next: BAB 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.