GELAS
kaca
berisi air sirap bandung diletakkan ke atas meja. Lalu, Iqram mendongak
memandang tiga figura di hadapannya yang begitu ralit merenung dirinya. Dia
tersenyum.
“Ehem-ehem!”
Tiba-tiba kedengaran Mak Uda Harlina berdehem kecil. “Iqram?” Dia menegur
dengan suara lembut. Segaris senyum manis terpalit di wajahnya.
“Ya,
mak uda?” Iqram membalas bersama segaris senyum manis di bibir.
“Hang
betul-betul serius ka nak jadikan Maira tu isteri hang?” soal Mak Uda Harlina
dengan muka serius.
Iqram
mengangguk laju. “Ya, mak uda! Am betul-betul ikhlas nak jadikan Maira sebagai
isteri Am. Am bukan macam lelaki lain, yang hanya tahu mempermainkan perasaan
wanita di luar sana. Bila Am hantar rombongan meminang Maira, Am betul-betul
serius! Am hanya mahukan Maira dalam hidup Am. Am terlalu cintakan dia.”
Bersungguh-sungguh dia menjawab pertanyaan itu.
Bola
mata Mak Uda Harlina mula mengecil. “Betul ka?” Dia mahukan kepastian.
“Ya,
mak uda! Saya tak main-main. Saya ikhlas mahukan Maira sebagai isteri,” jawab
Iqram bersungguh-sungguh.
Mak
Uda Harlina terus terdiam. Begitu juga dengan Iqram.
Encik
Azmil merenung seraut wajah kacak milik Iqram. Hendak mencari keikhlasan di
wajah itu. “Am betul-betul cintakan Maira?” Dia bersuara.
Iqram
memandang figura Encik Azmil. “Ya, pak cik. Am betul-betul cintakan Maira.” Dia
menjawab dengan bersungguh-sungguh.
Encik
Azmil tersenyum. “Kenapa Am boleh jatuh cinta pada Maira? Am seorang lelaki
yang hebat. Am kacak, berjawatan besar, berpelajaran tinggi, sedangkan anak pak
cik tu seorang gadis yang serba-serbi kekurangan. Jauh bezanya dengan Am,”
balasnya bersungguh-sungguh.
Iqram
tersenyum. “Saya tak pentingkan semua tu, pak cik. Bagi saya, setiap manusia yang
hidup di bumi ALLAH ni tak sempurna, masing-masing ada cacat-celanya. Hanya
ALLAH S.W.T sahaja yang sempurna,” balasnya dengan nada tegas.
Encik
Azmil terdiam. Terkedu mendengar hujah Iqram. Sejujurnya, dia sudah mula
menyukai lelaki itu.
“Saya
tak sempurna, pak cik. Sebab tulah saya perlukan Maira untuk menjadi pelengkap
hidup saya. Dia seorang gadis yang baik, menghormati orang tua, suka membantu
orang lain. Dan yang paling penting, dia tak sama dengan perempuan lain. Dah
banyak perempuan yang saya jumpa, pak cik. Semuanya palsu, sembunyikan sikap
sebenar mereka. Tapi Maira, dia lain dari yang lain,” Iqram tertawa. “Kalau dia
tak suka, dia akan terus-terang tanpa segan-silu. Macam kes hari tu, tak
pasal-pasal muka saya lebam dek tumbukannya,” tambahnya lagi.
Encik
Azmil hanya mampu tersenyum. Terkelu lidahnya hendak membalas kata-kata Iqram.
Lelaki itu nampak benar-benar ikhlas hendak memperisterikan anak gadisnya itu.
“Iqram?”
tegur Puan Fadillah lembut.
“Ya,
mak cik?” balas Iqram masih lagi tersenyum.
“Maira
tu satu-satunya puteri tunggal kami, Iqram. Dia penyeri hidup kami. Jadi, kami
mahukan yang terbaik untuk dia,” kata Puan Fadillah beria-ia.
Iqram
diam, masih tekun mendengar kata-kata wanita itu.
Puan
Fadillah menghela nafas panjang. “Kalau kami amanahkan dia sebagai Raudhah
kamu, mampukah kamu menjaganya seperti nyawa sendiri?” soalnya dengan nada
serius.
Iqram
tersenyum. Dia menarik nafas panjang, lalu menghembus perlahan-lahan.
“Insya-ALLAH, mak cik, pak cik, mak uda. Seandainya dia diamanatkan sebagai
Raudhah saya, saya janji saya akan jaga dia sepertimana saya menjaga nyawa saya
sendiri. Saya tak akan sia-siakan hidupnya,” jawabnya dengan suara tegas.
Mempamerkan kesungguhannya untuk menyunting Maira sebagai teman hidupnya.
“Hang
betui-betui ikhlas cintakan dia?” Giliran Mak Uda Harlina pula yang mencelah.
Iqram
mengangguk laju. “Ya, saya ikhlas cintakan dia kerana ALLAH S.W.T.” Dia
menjawab jujur.
“Hang
akan bahagiakan dia?” Sekali lagi Mak Uda Harlina menduga.
“Insya-ALLAH,
mak uda. Atas keizinan ALLAH, saya akan bahagiakan dia.” Sekali lagi Iqram
membalas.
Mak
Uda Harlina tersenyum. Hatinya sudah mula mengikhlaskan untuk menyerahkan Maira
kepada Iqram. Dia dapat merasakan, lelaki itu merupakan lelaki yang diutus
ALLAH S.W.T buat anak saudaranya itu.
“Iqram?”
tegur Encik Azmil setelah agak lama berdiam diri.
Iqram
segera menoleh ke arah Encik Azmil.
Encik
Azmil tersenyum. “Kami dah buat keputusan, Am. Kami terima pinangan kamu.”
Suaranya lembut.
Iqram
memanjatkan kesyukuran ke Hadrat ILLAHI. Lega hatinya kerana niat baiknya itu
diterima keluarga Encik Azmil. “Terima kasih, pak cik, mak cik, mak uda,”
katanya dengan suara lega.
“Sama-sama.”
Puan Fadillah dan Mak Uda Harlina menjawab serentak.
Iqram
tersenyum lega. Maira Qaisarah, nampaknya saya dah berjaya memikat hati
keluarga awak. Tak lama lagi, awak akan jadi milik saya, sayang.
BARU sahaja hendak mula membaca surat
khabar Harian Metro, tiba-tiba muncul figura Mak Uda Harlina di depan Maira.
“Maira?”
Mak Uda Harlina menegur dengan suara lembut. Segaris senyum penuh makna terukir
di bibir wanita itu.
“Hmm?”
Maira membalas acuh tak acuh. Figura Mak Uda Harlina dikerling sekilas, lalu
bola matanya teralih semula ke arah surat khabar lalu mula membacanya.
Mak
Uda Harlina segera duduk di sebelah Maira. “Mak uda nak cakap sikit dengan hang
ni.” katanya bersungguh-sungguh.
“Hmm…”
Sekali lagi Maira menjawab acuh tak acuh.
Demi
melihat telatah Maira yang masih lagi tekun membaca surat khabar itu, sekali
gus membuat Mak Uda Harlina berdehem keras. Geram rasanya kerana dirinya itu
dilayan acuh tidak acuh. “Mak uda tengah bercakap dengan hang ni, Mai! Hang
dengaq ka?” Dia mula naik angin.
Maira
berdecit geram. Surat khabar di pegangannya itu segera dilipat empat lalu
ditolak ke tepi. Figura Mak Uda Harlina ditenung tajam. “Cakaplah, mak uda.
Maira dengar!” bidasnya geram.
Tidak
semena-mena rona wajah Mak Uda Harlina berubah teduh. Membuat dahi Maira
berkerut seribu. Hairan dengan telatah ibu saudaranya itu. Erk, tadi bukan main
garang lagi macam singa betina. Tiba-tiba aje berubah jadi baik macam kucing meow-meow? desis hatinya kehairanan.
“Mak
uda ni dah kenapa?” tanya Maira ingin tahu.
Mak
Uda Harlina pamer senyum lebar. “Mak uda suka sangat kat budak Iqram tu, Mai.
Dia baik hati, sopan santun, hormat orang tua. Bukan setakat tu aje, dia kacak
bergaya, berpelajaran tinggi, berjawatan besar.” Dia mula memuji melambung
tinggi.
Maira
tersentak. Erk, kenapa tiba-tiba aje nama Iqram boleh tersesat pulak ni?
Hatinya mula mengesan sesuatu yang tidak enak. Ada apa-apa ke ni? “Mak uda ni
dah kenapa?” soalnya dengan muka hairan.
Senyum
di bibir Mak Uda Harlina semakin melebar. “Mak uda peliklah, Mai. Pasaipa hang
tak mau terima lamaran Iqram?” Dia mula memancing perhatian Maira.
Maira
terkesima. Hatinya mula mendidih marah. Rasa macam berkepul-kepul asap sudah
keluar dari atas kepalanya demi mendengar soalan itu. Argh! “Mak uda ni dah
kenapa hah? Dah Mai kata tak nak tu, maknanya tak naklah! Yang nak paksa Mai
tu, kenapa? Takkanlah Mai nak kahwin dengan majikan Mai sendiri?” herdiknya
dengan suara keras.
“Laa..
bila masa pulak mak uda paksa hang, Mai? Mak uda tak cakap macam tu pun,”
herdiknya dengan muka selamba.
Maira
terus terdiam. Terkedu.
“Lagipun,
salah ka kalau hang menikah dengan Iqram? Mak uda rasa, tak salah kalau hang
menikah dengan majikan sendiri. Tak ada pula hukum-hakam yang mengatakan
seorang pekerja tak boleh menikah dengan majikannya sendiri,” tambah Mak Uda
Harlina bersungguh-sungguh.
Hisy!
Maira menggosok kasar ubun-ubun kepalanya. “Boleh tak kalau kita tak bercakap
pasal perkara ni, mak uda? Mai tak suka!” Dia membentak dengan muka tidak puas
hati.
“Laa…
pasaipa pulak?” Walaupun hati Mak Uda Harlina sudah mendidih marah dengan
gelagat Maira, namun sedaya upaya cuba ditahan. Pokoknya, dia harus memujuk si
kepala batu itu mengahwini Iqram. “Mak uda cakap benda yang betul, Mai. Kami
semua nak yang terbaik untuk hang. Lagipun, Iqram tu dah cukup sempurna. Dia
langsung tak ada cacat-cela, Mai. Apa lagi yang hang nak?” Dia memujuk dengan
suara lembut.
Maira
merenung tajam wajah Mak Uda Harlina. “Mai tetap dengan keputusan Mai. Mai
tetap tak nak kahwin dengan dia! Muktamad!” Suaranya tegas. “Kalau mak uda dah
berkenan sangat dengan dia, mak uda ajelah yang kahwin dengan dia.”
Membuntang
terus biji mata Mak Uda Harlina demi mendengar jawapan itu. Hisy, budak nilah…
“Awat hang ni ketegaq sangat hah?
Budak Iqram tu dah cukup baik untuk hang tau! Yang hang nak jual mahal tu,
pasaipa?” Dia mula naik angin.
Maira
tayang muka toya. “Suka hati Mai la nak jual mahal ke, jual murah ke, apa ke,”
Dia membalas selamba.
Mak
Uda Harlina semakin hilang sabar. “Susah betui nak cakap dengan hang ni, Mai!”
Anginnya sudah mula mencanak naik ke atas kepala. Figura Maira ditenung
setajam-tajamnya. “Hang dengaq sini baik-baik na. Untuk pengetahuan hang, kami
dah terima pinangan dia. Hang suka ka, hang tak suka ka, tu masalah hang! Mak
uda tak peduli! Hujung bulan ni, hang akan bernikah dengan dia.” Dia bersuara
tegas.
Maira
terpempan. “Apa?” Sungguh, dia terkejut demi mendengar ayat itu. “Mak uda!”
Mak
Uda Harlina tidak membalas. Dia tayang muka tak ada perasaan.
Maira
terkedu. Aku bakal berkahwin dengan Iqram Fattah a.k.a Mr. singa? Oh, tidak!
Aku tak rela! Hatinya menjerit nyaring.
SEBAIK sahaja nada bersambut, Maira terus
menghamburkan amarahnya pada Iqram. “Hei, apa yang awak dah hasut keluarga saya
tu sampaikan diaorang boleh terima lamaran awak, hah?” Hilang terus panggilan
‘bos’ yang sering kali digunakannya.
Iqram
tersenyum. “Hasut?” Dia tertawa. “Saya tak hasut apa-apapun. Mereka yang buat
keputusan untuk terima lamaran saya ni.” Dia membalas dengan suara selamba.
Langsung tidak rasa bersalah.
Maira
mendengus keras. “Ha ha ha… tolong jangan nak buat lawaklah, Encik Iqram! Kalau
awak tak buat macam tu, macam mana mereka boleh terfikir untuk terima lamaran
awak hah?” tengkingnya dengan suara keras.
“Hmm…
saya ‘rasuah’ mereka,” balas Iqram selamba.
Maira
tercengang. Membuntang terus biji mata Iqram demi mendengar jawapan itu. “Awak
‘rasuah’ mereka?” Dia ternganga. “Awak buat apa hah?”
Iqram
tersenyum penuh makna. “Awak pernah dengar ayat ni? Kalau nak pikat hati anak,
kenalah pikat hati keluarganya dulu.”
Maira
tergamam. “Jadi…”
“Hmm…”
Iqram mencelah. “Saya jumpa keluarga awak, Maira. Saya nyatakan kesungguhan
saya untuk menyunting awak sebagai isteri. Mereka sendiri pun nampak keikhlasan
saya untuk mengahwini awak, Maira. Sebab tulah mereka terima pinangan saya,” tambahnya
beria-ia.
Maira
terkedu. “Awak…”
Kening
Iqram terjungkit sebelah. “Saya apa?”
Argh!”
Maira genggam buku lima. Kalau kau ada depan mata aku sekarang ni, memang dah
lama aku luku kau tau! Biar jadi biul terus! “Awak ni memang jahat tau! Tak pasal-pasal
saya kena kahwin dengan awak!” protesnya dengan suara geram.
Iqram
tergelak. “Kan saya pernah cakap, saya akan usaha sampai awak jadi isteri saya
yang sah. Sekarang, usaha saya ni dah membuahkan hasil. Awak bakal menjadi
isteri saya, Maira,” balasnya.
Maira
menjeling. Dia menarik muka cemberut. “Diamlah!” bentaknya.
“Awak
cakaplah apapun, Maira. Kita tetap akan berkahwin tak lama lagi,” tokok Iqram
lagi. Sengaja hendak menambah api kemarahan di benak gadis itu.
“Diamlah!”
Sejurus itu, dia segera mematikan talian.
Telefon
bimbit berjenama Samsung Galaxy S6 itu spontan dicampak ke atas katil. Dia
menghentak kakinya berulang kali. “Argh, benci!” jeritnya bagaikan suara
halilintar.