“HOI!”
Bak samseng jalanan, Maira menjerkah Sonia dengan suara lantang. Serentak itu,
dia berjalan ke meja setiausaha gedik itu. Sebiji penumbuk hinggap ke permukaan
meja. “Yang kau sengaja cari pasal dengan aku ni, apahal?” Dia menengking.
Sonia
yang sedang membelek telefon bimbitnya terus terkejut besar. Hampir
terpelanting telefon bimbitnya. Dia mencerlung marah wajah Maira. “Kau ni dah
kenapa, hah? Cakap baik-baik, tak boleh ke?” bidasnya dengan suara keras.
Maira
ketawa sinis. “Aku rasa tak perlu kot kalau nak cakap baik-baik dengan kau.
Sebab orang macam kau ni layak ditengking aje!” herdiknya.
Sonia
mula naik angin. “Kau ni apahal? Apa masalah kau? Kalau kau datang sini
semata-mata nak cari gaduh dengan aku, lebih baik kau pergi berambus! Aku tak
ada masa nak bergaduh dengan orang macam kau ni!” bidasnya.
“Oh,
kau tak ada masa ke nak bergurau manja dengan aku? Tapi bab-bab nak menyebar
fitnah, ada masa pula kan?” bidas Maira.
Sonia
tergamam. “Err…”
“Apa
err-err?” Maira menengking. “Kau nikan memang,” Jari telunjuknya ditunjal ke
muka Sonia. “Mulut puaka, tau tak? Mulut kau tu bau longkang. Bau busuk tu siap
menusuk masuk ke lubang hidung aku ni tau,” sindirnya.
“Mulut
kau tu jaga sikit ya! Kalau mulut aku ni mulut puaka, kau tu pulak mulut murai!
Haa… lagi satu, bila masa pulak aku sebarkan fitnah? Aku tak kata apa-apa pun
pasal kau dengan Encik Iqram kat semua orang,” bidas Sonia. Namun tanpa
dsedari, dia sudah terlepas kata.
Maira
tergelak. “Dah terlepas cakap ke, Cik Sonia oii?” sindirnya.
Sonia
tergamam. “A.. apa maksud kau?”
“Aku
tak cakap pun yang kau sebarkan fitnah tentang aku dengan Encik Iqram,” tambah
Maira bersama garis senyum sinis di bibir.
Sonia
terkedu. “Err…”
“Jadi,
betullah apa yang Hidayah cerita kat aku? Kau menjaja cerita pasal aku dengan
Encik Iqram kat satu pejabat kan? Kau cakap kita orang ni bercinta?” tengking
Maira.
“Ya!”
Sonia berdiri lalu berjalan ke hadapan Maira. “Memang aku sebar fitnah tentang
kau dan Encik Iqram kat satu pejabat!”
Maira
hilang sabar. Dia genggam buku lima. Kau memang sengaja cari penyakit kan? Ada
jugak yang kena makan penumbuk Naruto ni! “Yang mulut kau tu gatal sebarkan
fitnah pasal diri aku ni, kenapa? Bila masa pulak aku bercinta dengan Encik
Iqram hah?”
“Sebab
aku sakit hati dengan kau! Aku yang sepatutnya ikut dia pergi Kedah, bukannya
kau! Aku ni setiausaha dia, bukannya kau!” tengking Sonia.
Maira
pamer senyum sinis. “Oh, kau rasa cemburu sebab Encik Iqram pilih aku untuk
ikut dia pergi seminar tu? Kesiannya…” ejeknya.
“Diam!
Kau tak layak ikut dia pergi seminar tu! Aku yang lebih layak!” tengking Sonia
dengan suara tinggi.
Maira
bertambah bengang. Tidak semena-mena, buku lima hinggap tepat ke muka Sonia.
Membuat setiausaha gedik itu terdorong ke belakang. Ouch! Sonia menjerit sakit.
Mukanya yang lebam dek ditumbuk Maira diusap.
“Ni
sebab kau pandai-pandai menjaja cerita yang bukan-bukan pasal aku dengan Encik
Iqram!” tengking Maira.
“Sial!”
jerit Sonia.
Tudung selendang yang
terbelit di kepala Maira ditarik kasar. Maira yang tidak mahu mengalah, terus
membalas perbuatan Sonia. Rambut merah berkarat milik setiausaha gedik itu
ditarik kuat. Pergaduhan antara mereka berdua mula tercetus. Sehingga
mengundang mata-mata yang memandang.
Erika yang kebetulan
singgah ke Jabatan Operasi, terus terkejut besar demi melihat pergaduhan itu.
“Apa semua ni?” herdiknya dengan suara keras.
Demi
mendengar suara itu, pergaduhan antara Maira dan Sonia serta-merta terhenti.
Mereka menoleh ke arah figura Erika. Gulp! Masing-masing sudah meneguk liur.
Alamak, matilah!
“APA punca awak berdua bergaduh sampai
macam tu sekali, Maira, Sonia? Apa masalah awak berdua ni hah?” soal Erika
dengan suara tegas. Raut wajahnya kelihatan begitu serius.
“Sebenarnya…”
Maira dan Sonia serentak bersua. Lalu, mereka berpandangan sesama sendiri.
“Bagi
aku cakap dulu!” bentak Sonia.
Maira
menjelir lidah. “Aku dulu!” Dia tidak mahu mengalah.
Erika
berdehem keras. Mula hilang sabar dengan gelagat dua gadis itu. “Seorang demi
seorang!” herdiknya. Dia menoleh ke arah Sonia. “Sonia, awak mulakan dulu!”
arahnya dengan memek muka serius.
Sonia
menoleh ke arah Maira. Dia tersenyum sinis, seolah-olah mengejek gadis itu.
Maira menarik muka cemberut. Dia tidak puas hati kerana Sonia diberikan peluang
untuk bersuara dahulu. Argh!
“Sonia?”
Erika menegur dengan suara serius.
“Dia
ni haa… tiba-tiba aje serang saya tak tentu hala. Tak cukup dengan tu, dia siap
tumbuk muka saya lagi.” Sonia mula bercerita.
Erika
mendengus. “Bukan tu yang saya nak dengar dari awak, Sonia! Saya nak tahu apa
puncanya pergaduhan tu berlaku!” tegasnya.
Sonia
terus terdiam. Erk, nak jawab apa ni? Kalaulah Erika tahu perkara sebenar,
matilah dia!
“Sonia?”
Erika menegur apabila tiada tanda-tanda untuk Sonia membalas.
Sonia
tersentak. “Err…”
“Sebenarnya…”
Tiba-tiba Maira mencelah.
Erika
mengalihkan wajahnya ke wajah Maira. “Sebenarnya apa, Maira?”
Figura
Sonia dijeling pandang. Segaris senyum sinis terukir di bibir Maira. Sengaja
hendak menyindir setiausaha gedik itu. “Sebenarnya, Sonia sebarkan fitnah tentang
saya dan Encik Iqram, Cik Erika!” katanya beria-ia.
Erika
pura-pura terkejut. “Fitnah apa?” Padahal, dia sudah pun tahu apa sebenarnya
yang sudah berlaku. Cuma dia mahu mendengar sendiri dari mulut Maira dan Sonia.
“Dia
menjaja cerita kat satu pejabat. Dia cakap saya bercinta dengan Encik Iqram,
Cik Erika.” Maira menjawab dengan suara geram. Kalau ikutkan hati, dia mahu
menumbuk muka Sonia lagi. Biar muka dia tu senget terus! Baru dia tahu langit
ni tinggi ke rendah!
Erika
menoleh ke arah Sonia. “Betul ke ni, Sonia?” herdik Erika dengan suara garang.
“Err…”
Erika
mendengus geram. “Awak tak perlu jawab, Sonia. Saya dah tahu perkara sebenar.
Telinga saya ni bukannya pekak tau. Satu pejabat ni dah cerita pada saya. Awak
sebarkan fitnah tentang diri Maira dan Iqram,” tegasnya dengan suara keras.
Sonia
terkedu, begitu juga dengan Maira.
“Saya…”
Terketar-ketar suara Sonia hendak membalas.
“Sonia,
awak dah langgar etika kerja tau! Awak tak dibenarkan menjaja cerita yang
bukan-bukan di pejabat, terutamanya cerita berkaitan dengan majikan awak. Awak
sedar tak, awak juga dah melanggar hukum agama. Hukuman bagi kesalahan
menfitnah ni lebih besar dosanya berbanding dengan hukum membunuh!” tambah
Erika lagi.
Maira
tersenyum lebar. Puas hatinya kerana Sonia sudah pun mendapat balasan yang
setimpalnya. Padan dengan muka kau!
“Kalau
Iqram tahu, mati awak dikerjakannya tau. Silap hari bulan, awak boleh dipecat,
Sonia!” Erika menambah lagi.
“Saya…
saya minta maaf, Cik Erika.”
“Saya
tak nak dengar apa-apa lagi, Sonia! One
more thing, saya nak awak betulkan keadaan semula. Saya nak awak
berterus-terang pada semua staf di jabatan ni bahawa semua khabar berita tu
adalah palsu!” arah Erika.
Sonia
terkedu. “Tapi…”
“This is an order!” potong Erika.
Sonia
terus terdiam. Dia menjeling pandang figura Maira di sebelah. Hatinya digigit
rasa geram kerana nasib tidak berpihak pada dirinya. Berbakul-bakul ayat sumpah
seranah terucap di hatinya. Argh! Dia spontan bangun lalu membolos keluar dari
bilik itu.
“Err…
Cik Erika?” tegur Maira.
“Hmm?”
Erika merenung tajam wajah Maira bersama segaris senyum penuh makna di bibir.
Demi
menyedari renungan tajam itu, Maira keresahan. “Err… saya minta diri dulu ya.”
Dia terus bangun dari duduknya. Bersedia untuk melangkah ke muka pintu.
“Nanti
dulu, Maira!” arah Erika tegas.
Maira
terkedu.
MAIRA semakin tidak betah melihat
renungan Erika. “Err… kenapa Cik Erika tengok saya sampai macam tu sekali? Ada
apa-apa yang tak kena kat muka saya ke?” tanyanya ingin tahu.
Erika
pamer senyum penuh makna. “Salah ke kalau saya nak tengok awak, Maira? Manalah
tahu, suatu hari nanti awak akan jadi adik ipar saya.” Beria-ia dia membalas.
Sejujurnya, dia sudah mula tertawan dengan sikap Maira. Gadis itu ada
keistimewaan sendiri.
Maira
terkedu. “Haa?” Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Err… Cik Erika
pun percaya ke dengan fitnah Sonia tu?”
“Saya
ni bukan jenis orang yang percaya bulat-bulat dengan kata-kata orang lain,
Maira. Sebelum saya percaya, saya akan siasatnya terlebih dahulu,” tegas Erika.
“Habis
tu, kenapa Cik Erika cakap macam tu?” balas Maira.
Erika
tergelak. “Agak-agak awak, kenapa?” Sengaja dia menduga gadis itu.
“Saya
tak pandai mentafsir orang, Cik Erika,” balas Maira ringkas.
Erika
tersenyum. “Okey, saya akan bercakap jujur dengan awak aje ya. Saya mula
tertarik hati dengan sikap awak, Maira. Awak bukan macam perempuan yang pernah
kami kenali. Malah, awak sangat berbeza dengan Suraya. Saya selalu perhatikan
sikap awak. Awak seorang gadis yang selamba, suka ambil berat perihal orang
lain, baik hati, pemurah dan suka menolong orang lain. Awak juga seorang yang
suka merendah diri. Sesiapa aje yang mengenali diri awak juga akan terpaut pada
keperibadiaan awak, Maira,” katanya beria-ia.
Maira
terkedu.
“Dan
saya percaya bahawa suatu hari nanti hubungan awak dan Iqram akan melebihi
hubungan antara seorang pekerja dan majikan,” tambah Erika lagi.
Maira
terkesima. Dia pura-pura ketawa untuk menutup keresahan yang sudah mula
bermukim di hati. “Hisy… Cik Erika ni pandai bergurau kan? Saya ni manusia
biasa aje, yang banyak kekurangan berbanding kelebihan,” balasnya. “Dan untuk
pengetahuan cik, saya dan Encik Iqram memang tak pernah bercinta. Hubungan kami
tetap akan kekal sebagai seorang pekerja dan majikannya,” tambahnya lagi.
“Jangan
terlalu yakin dengan kata-kata sendiri, Maira. Kita sendiri tak tahu apa yang
akan berlaku di masa akan datang. Kalau takdir menyatukan awak dan Iqram
sebagai suami isteri, awak perlu menerimanya dengan hati yang redha,” balas
Erika tegas.
“Enggang
mana boleh terbang dengan pipit, Cik Erika. Encik Iqram tu kacak, berpelajaran
tinggi dan berjawatan besar. Lainlah saya ni… seorang gadis yang ada banyak
kekurangan. Saya yakin, jodoh Encik Iqram adalah dengan gadis yang lebih baik
dan setaraf dengan dia,” balas Maira bersungguh-sungguh.
“Tapi…”
“Err…”
Maira bingkas bangun. “Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta izin untuk keluar
dulu ya.” Dia segera memotong sebelum sempat Erika menghabiskan kata.
Erika
mengeluh. “Okeylah, awak keluar dulu.”
Maira
tersenyum. “Terima kasih, Cik Erika.”
“Sama-sama,”
Erika membalas ringkas.
Maira
terus bangun lalu berjalan ke muka pintu. Serentak itu, dia terus membolos
keluar dari bilik Erika. Dia berdiri sejenak di depan muka pintu. “Aku dengan
bos? Ah, tak mungkinlah!”
Sementara
di dalam bilik, Erika bersandar ke belakang. Dia tersenyum penuh makna. “Aku
yakin, suatu hari nanti Iqram akan jatuh suka pada Maira.”
“BABE!”
jerkah
Hidayah sebaik sahaja Maira keluar dari tandas.
Maira
yang terkejut dengan jerkahan itu, langkahnya serta-merta mati. Dia berdecit
geram. Figura Hidayah dijeling tajam. “Kau nilah, tak reti nak tegur aku
baik-baik ke? Kau tak nampak ke Mak Cik Fauziah tengah mop lantai? Buatnya aku
terlentang kat atas lantai ni, macam mana? Tak pasal-pasal aku mati katak tau!”
bebelnya dengan nada geram.
Hidayah
menyengih. “Ala… sorryla!” balasnya
dengan memek muka selamba.
Maira
mencebik. “Banyaklah!” bentaknya.
“Dah,
tak payah nak banyak bunyi! Jom ikut aku sekarang!” ajak Hidayah bersungguh-sungguh.
Berkerut
dahi Maira. “Nak pergi mana?”
Hidayah
berdecit. “Ikut ajelah!” bentaknya.
Maira
menjeling. “Yalah… yalah!”
Maira
dan Hidayah berjalan seiringan menuju ke ruang pantry.
“Betul
ke apa yang aku dengar ni, Maira? Kau tumbuk muka Sonia?” Belum sempat Maira
melabuhkan duduk di atas kerusi, Hidayah terus menyoal umpama mesin gan.
Maira
menjeling. “Kot iya pun, bagilah aku duduk dulu! Ni tak, main terjah aje!
Sabarlah!” bentaknya dengan suara geram.
Hidayah
menyengih. “Okey… okey…” Dua tangannya diangkat ke atas, lalu disua ke arah
kerusi. “Jemput duduk, tuan puteri,” perlinya.
Membuntang
mata Maira apabila mendengar sindiran itu. “Amboi, mulut kau tu tak ada
insurans kan?” bentaknya.
“Kau
tolonglah belikan,” balas Hidayah selamba.
Maira mencebik.
“Dahlah, tak payah nak
berdolak-dalik dengan aku! Aku nak kau jawab soalan aku ni dengan jujur, Mai.
Betul ke kau tumbuk muka Sonia?” tanyanya, tidak sabar ingin tahu cerita
sebenar.
Maira
tersenyum sumbing. “Ha’ah, Dayah. Aku tumbuk muka dia.” Dia membalas dengan
muka selamba. Langsung tidak rasa bersalah dengan perbuatannya itu.
Hidayah
tercengang. Tiba-tiba, dia tergelak. Siap bertepuk tangan lagi. “Kau memang
gila, Mai! Berani kau tumbuk muka setiausaha gedik tu kan?” balasnya, sukar
hendak percaya dengan apa yang sudah berlaku.
Kening
Maira terjungkit sebelah. “Kau ingat, aku tak berani ke nak buat kerja gila tu?
Dia yang cari pasal dengan aku kan? Haa… padan dengan muka dia! Tak pasal-pasal
kena tumbuk dengan aku!” bentaknya lagi.
Hidayah
pamer senyum lebar. “Haa… memang patut pun dia kena tumbuk dengan kau! Mulut tu
gatal sangat nak menjaja cerita yang bukan-bukan. Kalau aku di tempat kaulah…
bukan setakat kena tumbuk aje tau, siap kena tendang dengan aku lagi! Biar
terpelanting sampai ke bulan,” balasnya beria-ia.
Maira
hanya tersengih.
“Mai,
Cik Erika marah tak dengan apa yang dah berlaku? Dia marah tak bila kau tumbuk
muka Sonia?” tanya Hidayah ingin tahu.
Maira
tersenyum. “Kenapa pula Cik Erika nak marahkan aku? Sonia yang bersalah dalam
hal ni, bukannya aku. Kalau kau nak tahu, teruk tau si Sonia tu kena marah
dengan Cik Erika. Cik Erika arahkan dia untuk bersihkan nama aku dan Encik
Iqram,” balasnya.
Hidayah
tergelak kecil. “Hmm… rasakan! Dahlah muka dia lebam dek tumbukan kau, siap
kena marah dengan Cik Erika lagi. Nasib baiklah Encik Iqram tak ada kat
pejabat. Kalaulah Mr. singa tu ada, lagi teruk si Sonia tu dikerjakan. Kesian…”
ejeknya.
Maira
tergelak. “Tulah… buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sesekali. Ada lori
ada bas, ada hari kena balas!”
“Betul!”
sokong Hidayah beria-ia.
Lalu,
dua sahabat itu tertawa jahat. Puas hati kerana Sonia sudah pun mendapat
balasan di atas perbuatannya.