Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 40

“TAKKANLAH you pun nak tinggalkan I, Jeff? I tahu, I dah muflis! I dah hilang duit, harta, syarikat, everything!” Suraya memegang tangan Jeff, teman lelakinya lalu merayu bersungguh-sungguh.

Lelaki bernama Jeff itu spontan menepis kasar tangan Suraya. Dia pamer senyum sinis. “You ingat I suka sangat dengan perempuan miskin macam you ni ke, hah? Dah jatuh muflis, ada hati lagi nak bercinta dengan I,” sindir Jeff.

“Jeff!” Tersentap hati Suraya demi mendengar kata-kata itu. Dia terkedu. “Sampai hati you buat I macam ni, Jeff. Setelah apa yang kita lalui bersama, you sanggup khianati I. Apa salah I?” Dia merintih dengan suara hiba.

Jeff mendekatkan wajahnya ke wajah Suraya. Senyum sinis masih tercalit di bibir. “Tu semua sekadar lakonan I aje, Suraya. I dekat dengan you pun kerana harta aje tau. You fikir, I tergila-gila kat you?” Dia tertawa sinis. “Petik jari pun,” Dia memetik jari di hadapan muka Suraya. “I boleh dapat perempuan yang lebih baik dari you tau.”

Suraya terkedu. “Jeff!” Dia menjerit. “I tinggalkan semua boyfriend I semata-mata untuk you tau. I sanggup buat apa aje untuk you. Tapi…”

Jeff tergelak sinis. “You pernah dengar pepatah English ni? What you give, you will get back. You dah lupa ke apa yang you pernah buat kat Iqram dulu? You curang di belakang dia. You lukakan hati dia. And now, I do the same thing to you. Nilah dinamakan hukum karma, Suraya.”

Sekali lagi Suraya terkedu. “Jeff, you…” Air matanya mula merembes keluar. Inilah kali pertama dia menerima penghinaan sebegini rupa. Ah, damn it!

“What?”

Nafas Suraya turun naik. Wajahnya berubah bengis.

Sekali lagi Jeff tertawa sinis. “Dahlah, malas I nak layan manusia miskin macam you ni.” Dia segera bangun. “Good bye, ex-love.”Dia terus berjalan pergi meninggalkan Suraya sendirian di butik pakaian itu.

Suraya tersandar ke belakang. Dia menekup mulutnya. Air mata semakin mengalir deras menuruni kedua-dua belah pipinya. “Sampai hati you, Jeff.”

Sedang menangis hiba mengenangkan nasib malangnya, tidak semena-mena wajah Iqram menerjah ke ruang matanya. Dia tersentak kecil. “Iqram Fattah…” serunya perlahan.

Dia tersenyum penuh makna. Air mata yang masih lagi berbaki di kelopak matanya segera dikesat. Terdetik satu idea di benak fikirannya. Keningnya terjungkit sebelah. “Iqram aje yang dapat selamatkan aku daripada semua masalah ni.”

“BABE!” jerkah Hidayah dengan suara lantang.

Maira terkejut demi mendengar jerkahan itu. Dia mengurut dada sambil menjeling geram ke arah Hidayah. “Kau ni apahal? Buat aku terkejut aje tau! Lemah jantung aku jadinya,” bebelnya geram.

Hidayah ketawa mengekek. Geli hati dengan reaksi Maira.

Maira menarik muka cemberut. “Gelak… gelak… apa, lawak sangat ke?” bentaknya dengan muka tidak puas hati. Ada jugak yang telan pen nanti, argh!

“Okey, okey,” Hidayah menjungkit kedua-dua belah tangannya ke atas. “Aku tak gelak dah,” tambahnya bersama sengihan di bibir.

Maira mencebik. “Hmm…” Tak gelak konon? Habis tu, yang tersengih-sengih tu kenapa? Sengih kambing? kutuk hatinya.

Sejenak mereka terdiam, melayani perasaan masing-masing.

Maira meneruskan kerjanya yang terbengkalai. Malas hendak melayan telatah tiga suku kawan baiknya itu.

“Babe?” Tiba-tiba Hidayah bersuara, sambil memandang tepat ke muka Maira. Terpalit senyum penuh makna di bibirnya.

“Hmm?” Maira membalas tanpa menoleh ke wajah Hidayah.

“Aku nak kau jawab soalan aku ni sejujurnya,” kata Hidayah bersungguh-sungguh.

Maira berdecit. Dia segera menghentikan kerjanya, lalu memusingkan kerusinya menghadap figura Hidayah. “Soalan apa ni?” balasnya dengan muka ingin tahu.

Garis senyum penuh makna di bibir Hidayah. “Betul ke suara yang aku dengan tempoh hari tu adalah suara Encik Iqram?” tebaknya.

Maira tersentak. Eh, isu ni tak habis-habis lagi ke? Aduh! “Kau merepek apa ni, Dayah? Buat apa Encik Iqram nak datang rumah aku? Kau silap dengar ni.” Beria-ia dia menafikan kebenaran. Dia cuba berlagak selamba. Tidak mahu Hidayah dapat mengesan pembohongannya.

Kening Hidayah terjungkit sebelah. “Wei, aku belum pekak lagi tau. Walaupun telinga aku ni asyik bersumbat dengan earphone, tapi orang kentut pun aku masih boleh dengar lagi tau. Jadi, kau tak payah nak menipu akulah,” perlinya. Bola matanya mula mengecil. “Baik kau cakap betul-betul, Mai. Tu suara Encik Iqram kan?” Sekali lagi dia menebak Maira.

Maira berdecit geram. “Kau ni tak reti-reti nak faham bahasa ke apa? Dalam bilik tu, ada aku seorang aje tau. Takkanlah aku nak bawak masuk Encik Iqram pulak? Karang tak pasal-pasal kena tangkap bahasa. Tak pasal-pasal kena kahwin free,” tegasnya bersungguh-sungguh. Kahwin free? Padahal, memang dah halal pun!

“Betul?” Hidayah masih lagi tidak percaya dengan kata-kata Maira.

Maira mendengus geram. Dia menjeling. “Argh!” bentaknya. “Suka hati kaulah sama ada nak percaya ataupun tak!” Dia mula jadi hilang sabar dengan telatah Hidayah. Ah, menjengkelkan!

Hidayah terus terdiam. Matanya tidak ralit dari merenung tajam figura Maira.

Maira semakin tidak betah demi melihat renungan mata Hidayah. Namun, sedaya upaya dia cuba berlagak selamba. Seolah-olah tiada apa-apapun yang berlaku.

“Okeylah,” Akhirnya Hidayah bersuara setelah agak lama berdiam diri. “Aku percaya cakap kau, Mai.”

Maira tersenyum menang. Yess! Fuhh, rahsia rumah tangga aku dengan Mr. singa tu masih selamat. Lega, desis hatinya.

Tidak semena-mena, bola matanya teralih ke arah ruang tengah pejabat. Secara tidak sengaja, dia melihat figura Suraya yang sedang mengatur langkah laju menuju ke bilik Iqram. Dia terkedu. Terselit satu rencah rasa di ruang hatinya. Api kemarahannya mula membara-bara dalam diri. Apa minah gedik tu buat kat sini? Hatinya membentak geram.

DAUN pintu bilik terkuak, muncul figura Muiiz di muka pintu. Lelaki itu menapak masuk ke dalam bilik Iqram. “Boleh aku masuk?” tanya Muiiz, meminta keizinan.

Kening Iqram terjungkit sebelah. Dia mengerling pandang figura Muiiz yang sudah pun berada di dalam biliknya. “Bukan ke kau memang dah masuk dalam bilik aku?” perlinya bersama cebikan di bibir.

Muiiz tersengih. “Oh ya ke?” Dia menundukkan kepalanya ke bawah. “Ha’ah la, aku memang dah masuk dalam bilik kau,” balasnya dengan muka selamba.

Sekali lagi Iqram mencebik. “Haa… tau pun,” perlinya lagi.

Muiiz tidak membalas. Kelihatan lelaki itu berjalan ke meja Iqram, lalu melabuhkan duduk di atas kerusi berdepan dengan meja kawan baiknya itu.

Iqram menutup komputer ribanya, lalu menolak ke tepi. Dia membuang pandang ke wajah Muiiz. “Haa… kau nak apa, Izz?” tanyanya ingin tahu.

Muiiz pamer senyum penuh makna. “Aku ada satu soalan cepumas ni.” Beria-ia dia membalas.

Berkerut dahi Iqram. “Soalan cepumas? Apa dia?” balasnya dengan muka hairan.

“Macam mana rumah tangga kau dengan Maira? Ada apa-apa perkembangan positif tak?” soal Iqram tidak sabar ingin tahu.

Iqram tersenyum. Dia bersandar ke belakang. “Rumah tangga aku dengan Maira?” Sengaja dia hendak bermain tarik tali dengan Muiiz. Membiarkan kawan baiknya itu terus berteka-teki.

Muiiz mengangguk laju. “Ya, rumah tangga kau dengan Maira,” jawabnya. “Cepatlah, aku dah tak sabar nak dengar cerita kau ni!” Dia berterus-terusan mendesak. Tidak sabar hendak mendengar cerita selanjutnya daripada Iqram.

“Rumah tangga aku dengan Maira ya?” Iqram mengajuk kata-kata Muiiz. “Hmm… okey aje,” jawabnya ringkas.

Muiiz tercengang. Mulutnya ternganga. Mempamer reaksi hairan demi mendengar jawapan itu. “Okey aje?” Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Kau biar betul ni, Am? Dah sebulan lebih kau orang bernikah tau. Takkanlah tak ada apa-apa yang berlaku?” Dia antara percaya atau tidak dengan jawapan yang baru sahaja terluncur keluar dari bibir kawan baiknya itu.

Kening Iqram terjungkit sebelah. “Maksud kau?”

Muiiz menepuk dahi. “Apasal kau jadi blur pulak ni? Maksud aku, takkanlah dia tak ada apa-apa perasaan pada kau?” balasnya beria-ia.

“Oh,” Iqram tersenyum. “Buat masa ni, dia belum ada apa-apa perasaan pada aku lagi, Izz. Tak apa, aku tak kisah. Sekarang ni, aku dalam proses untuk menawan hati dia. Jadi, aku akan pastikan dia jatuh cinta pada aku.”

Muiiz tersenyum. “Hmm… baguslah kalau macam tu, Am!” balasnya.

“Tapi…” Iqram mengeluh. “Hati dia ni keras macam batu, Izz. Susah jugalah aku nak tawan hati gadis keras kepala macam dia tu.”

Muiiz tergelak. “Biasalah tu, Am. Anggaplah tu sebagai cabaran untuk kau hidup bahagia bersama dia di masa akan datang. Memanglah hati perempuan ni keras. Tapi bila kena cara dan gayanya, hati dia akan cair jugak. Sebab tulah ada pepatah yang mengatakan bahawa hati perempuan ni macam kerak nasi. Keras macam mana pun, bila kena gayanya cairlah jugak,” balasnya beria-ia.

Iqram tersenyum. “Aku tak akan mengaku kalah, Izz. Hati dia akan aku takluki.” Bersungguh-sungguh dia membalas.

“Good!” balas Muiiz. “Aku doakan semoga kau berjaya, Am.”

“Insya-ALLAH.”

Sedang leka berbual, tiba-tiba daun pintu bilik terkuak dari luar. Membuat Iqram dan Muiiz tersentak. Serta-merta mereka menoleh ke muka pintu.

Muncul figura Suraya di muka pintu. Di belakang figura gadis jelita itu pula, muncul figura Sonia. Muka setiausaha itu sudah pucat lesi.

Demi melihat figura Suraya, Iqram terkedu. Erk, dia buat apa kat sini?


(p/s note - Bab 40 merupakan bab terakhir untuk novel MSMS..tolong doakan novel ni siap secepat mungkin ya.. novel ini untuk projek tahun 2016... kalau ada rezeki, insya-ALLAH terbitlah dia.. doakan yang terbaik untuk MSMS ya... dan jgn lupa dapatkan Benci ke Sayang? bulan Julai 2015)

Previous: BAB 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.