Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 38

SELIMUT ditarik sehingga ke paras dada. Seluruh tubuhnya menggigil bak disirami ais. Kesejukan semakin berakar ke segenap sanubarinya. “Ya ALLAH… sejuknya!” desis Maira dengan suara lemah.

Tiba-tiba kedengaran bunyi ketukan pintu dari luar. “Maira? Oh… Maira? Awak dah bangun ke belum? Dah pagi ni, sayang! Awak tak nak pergi kerja ke?” Kedengaran suara laungan Iqram dari luar, memanggil isterinya.

Maira merengek-rengek bak anak kecil. “Iqram…” Suaranya antara keluar atau tidak. Tekaknya terasa begitu pedih sekali.

Tombol pintu dipulas dari luar, lalu daun pintu terkuak. Muncul figura Iqram di muka pintu. Lelaki itu berjalan ke katil, lalu melabuhkan duduk di sebelah isterinya. Berkerut-kerut dahinya demi melihat keadaan isterinya. “Kenapa ni, sayang?” soal Iqram dengan suara lembut. Mempamer sikap tanggungjawab pada isterinya itu.

“Saya sakit…” rengek Maira. Manja suaranya, seakan-akan hendak mengambil perhatian suaminya itu.

Iqram semakin hairan. Sakit? Eh, semalam elok aje… Terdetik sesuatu di fikirannya. Serta-merta dia menyentuh permukaan dahi Maira. Membuntang terus biji matanya. Mak aii, panasnya! “Awak demam ni, Maira. Jom, saya bawak awak pergi klinik!” ajaknya beria-ia.

Demi mendengar perkataan ‘klinik’ terpacul keluar dari mulutnya, serta-merta Maira menggeleng laju. “Tak nak!” bentaknya.

Iqram berdecit. Erk, dia ni takut pergi klinik ke? “Laa… kenapa pulak? Kalau dibiarkan berterusan macam ni, nanti demam awak bertambah melarat. Jomlah, sayang!” Dia bersuara dengan nada tegas.

“Tak nak!” bentak Maira lagi. “Saya takut nak jumpa doktor. Saya tak nak kena injection, sakit!” rengeknya.

Hampir terburai tawa Iqram demi mendengar jawapan itu. He he he… dah besar panjang macam ni pun, takut kena suntikan ke? Dasyat! “Janganlah mengada-ngada, Maira. Kita pergi jumpa doktor demi kesihatan awak jugak,” pujuknya.

“Tak nak!”

Iqram menyentuh tangan Maira. Demi melihat bintik-bintik merah pada permukaan kulit tangan isterinya, matanya terus membuntang besar. “Pusing sini!” arahnya, seraya memusing lembut tubuh isterinya itu menghadapnya.

Maira berdecit. “Kenapa? Saya sakitlah!” Dia membentak.

Rengekan Maira langsung tidak dipedulikan. Wajah comel isterinya itu ditelek. “Eh, awak kena demam campak ni, Maira!” Iqram mula jadi kelam-kabut. Serta-merta dia berdiri. “Jom kita pergi klinik sekarang!” Sekali lagi dia mendesak.

Maira menjeling. “Hisy, saya tak naklah! Awak tak reti nak faham bahasa ke hah?” Hilang sabar jadinya dengan sikap lelaki itu yang suka mendesaknya.

Iqram mendengus geram. “Awak tu sakit tau? Takkanlah saya nak biarkan sakit awak tu terus melarat? Nanti orang cakap saya ni tak ambil berat kesihatan isteri sendiri,” desaknya dengan suara tegas.

“Hisy!” Maira menarik muncung panjang. “Lantak dia oranglah! Mulut orang ni bukannya boleh tutup pun. Kalau susah sangat, stapler aje terus. Habis cerita!” bebelnya.

Aduh, dia ni keras kepala tau! “Jangan sampai saya cempung awak, Maira!” ugut Iqram.

Maira menjeling. “Buatlah!” Dia mencabar.

Iqram pamer senyum sinis. “Awak jangan cabar saya, Maira. Saya buat betul-betul nanti!” Dia mengugut lagi.

“Buatlah!” Sekali lagi Maira mencabar.

“Awak memang sengaja cabar saya kan? Fine, siaplah awak!” Iqram membongkokkan sedikit tubuhnya. Dia segera mencempung tubuh Maira.

Maira terkesima. Terkejut dengan tindakan Iqram. “Eh, apa ni?”

“Awak yang cabar saya kan? Saya cuma buat apa yang awak nak aje. Jadi, tolong diam dan jangan nak banyak bunyi!” sindir Iqram.

“Hisy, awak ni…”

Langkah Iqram mati seketika. Dia merenung nakal wajah Maira. “Kalau awak terus nak pot pet pot pet tanpa henti, saya tak teragak-agak untuk cium mulut awak tu. Bukan setakat cium aje tau, saya… hmm awak faham-faham sendiri ajelah ya?” ugutnya dengan riak nakal.

Demi mendengar ugutan itu, serta-merta Maira menekup mulutnya dengan kedua-dua belah telapak tangannya. Serta-merta dia menggeleng. “Okey, saya diam!” katanya beria-ia.

Iqram tersenyum lebar. “Hmm… good!” Haa… tau takut? Aku baru gertak sikit aje, tapi dia dah kecut perut. Maira… Maira… Hatinya tergelak lucu.

ALADDIN mengetuk dagunya berulang kali. Bibirnya terjuih ke depan. Sebelah keningnya berulang kali terjungkit naik ke atas. “Maira memang bercinta dengan Encik Iqram ke?” Dia menyoal.

Sebuah keluhan berat terhembus keluar dari bibirnya. “Kalau betul Maira ada hubungan dengan Encik Iqram, macam mana ya?” Dia jadi resah. “Aduh, tak boleh jadi ni! Aku yang gigit jari nanti!” Dia bangun lalu jalan bermundar-mandir di tepi mejanya.

Terdetik sesuatu di benaknya. “Bila Maira cuti… Encik Iqram pun cuti…” Dia terdiam sejenak. “Macam hari ni… Maira cuti sakit, Encik Iqram pula ambil cuti kecemasan…” Sekali lagi ayatnya mati.

Argh! hatinya menjerit nyaring. “Apa sebenarnya hubungan dia orang ya?”

Tiba-tiba, kelihatan figura Hidayah melintas di hadapannya. Di tangan gadis itu tersisip sebuah fail berwarna biru cair. Dia tersenyum. Cepat-cepat dia berjalan ke arah gadis itu.

“Dayah!” jerkah Aladdin.

Tersentap hati Hidayah demi mendengar jerkahan itu. Langkahnya serta-merta mati. Demi melihat figura Aladdin, dia berdecit geram. “Hisy, kau nilah…” Dia menjeling tajam. “Buat aku terkejut aje tau! Tak boleh ke kalau kau tegur aku elok-elok?” bebelnya, menayang muka tidak puas hati.

“Aku ada benda nak cakap dengan kau ni!” kata Aladdin. Tidak pedulikan bebelan Hidayah.

Berkerut dahi Hidayah. “Apa bendanya?” tanyanya ingin tahu.

“Maira tu memang ada apa-apa hubungan dengan Encik Iqram ke?” tanya Aladdin, tidak sabar hendak mendengar jawapan Hidayah.

Hidayah terlongo. “Hubungan? Hubungan yang macam mana tu?” soalnya dengan muka terpinga-pinga.

Hisy, dia ni lambat fahamlah! bentak hati Aladdin. “Maksud aku, dia orang tu bercinta ke?” terangnya satu per satu.

Oh… Hidayah tersenyum. Keningnya terjungkit sebelah. “Kenapa, kau cemburu ke?” balasnya selamba.

Aladdin menjeling. “Kau tak payah nak buat iklan kat sinilah! Just straight to the point, ok! Maira tu memang bercinta dengan Encik Iqram ke?” Sekali lagi dia mengulangi soalan yang semakin menikam benak fikirannya itu. Hatinya meronta-ronta mahukan jawapan yang tepat.

“Hisy, manalah aku tahu! Kau fikir aku ni wartawan Majalah Hiburan ke?” sindir Hidayah sinis. Sengal punya soalan! “Aku ni bab-bab nak menjaga tepi kain orang ni, sorrylah derr… Tu bukan style aku tau! Nak jaga tepi kain sendiri pun susah, inikan pulak tepi kain orang,” tambahnya lagi.

Aladdin merengus. “Maira tu kan kawan baik kau, Dayah. Takkanlah kau tak tahu apa-apa kot? Mesti dia ada cerita apa-apa kat kau kan?” Dia terus-terusan mendesak.

Hidayah mendengus keras. “Kau faham bahasa Melayu tak? Dah aku kata tak tahu tu, maknanya tak tahulah! Takkanlah nak kena cakap dalam bahasa Jerman, baru kau nak faham?” Dia membentak. Hilang sabar dengan telatah Aladdin.

Bola mata Aladdin mengecil. “Kau betul-betul tak tahu?” Sukar dia mahu percaya jawapan itu.

“Hisy, betullah! Untuk apa aku nak tipu kau, Din? Kalau dapat duit, tak apalah jugak!” Sempat lagi Hidayah menyindir Aladdin.

Aladdin terus terdiam.

“Dahlah,” Tiba-tiba Hidayah bersuara, memecah keheningan sunyi antara mereka. “Malas aku nak layan kau!” Serentak itu, dia berjalan pergi meninggalkan Aladdin sendirian di situ.

Aladdin termanggu sendirian. Dia meraup wajahnya. “Apa sebenarnya hubungan mereka ya? Mereka bercinta ke tak?” Hatinya semakin dikuasai rasa ingin tahu yang semakin meluap-luap.

Previous: BAB 37
Next: BAB 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.