Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 25

“SAYA rasa peliklah dengan budak Iqram tu, Mar. Sejak dua menjak ni, budak tu macam dah berubah sikap. Haa… tiba-tiba aje dia ambil cuti hari ni. Angin tak ada, ribut tak ada, tup… tup… awal pagi dah menghilang,” luah Datuk Hakim sambil berkerut dahi tanda hairan dengan telatah anak terunanya itu.

“Entahlah bang, saya sendiri pun dah jadi keliru dengan sikap dia. Lepas dia balik dari Kedah, sikapnya terus berubah. Saya selalu perhatikan dia, bang. Dia banyak termenung. Kadang-kadang, dia tergelak sendiri.” Giliran Datin Marina pula yang menyuarakan kerisauan di benaknya.

Datuk Hakim mengeluh. “Kenapa dengan budak tu ya, Mar?”

“Entahlah… saya pun tak berani nak cakap. Kita sendiri pun tak tahu apa sebenarnya yang Iqram sedang fikirkan,” balas Datin Marina.

Sekali lagi Datuk Hakim mengeluh. “Kita nak buat apa ni, Mar?”

“Apa yang papa dan mama bualkan tu?” tegur Erika yang baru sahaja pulang dari berdating dengan tunangnya Emran.

Dua pasang mata itu spontan menoleh ke arah figura Erika bersama segaris senyum nipis di bibir.

“Eh, anak papa dah balik? Seronok ke dapat keluar dengan bakal suami?” usik Datuk Hakim.

Erika tergelak. Merah padam mukanya dek malu dengan usikan papa. “Hisy, papa ni… malu Rika tau!” balasnya malu-malu meow. “Mestilah Rika seronok, papa! 6 bulan Rika tak dapat jumpa dengan Emran tau!” sambungnya beria-ia.

“Nak buat macam mana, Rika? Bakal suami kamu tukan tentera laut. Hmm… berlayar di tengah laut ajelah kerjanya.” Datin Marina mencelah, sengaja hendak mengusik Erika.

Erika tersenyum. “Tak apalah, mama. Walaupun kami jarang bersua muka, tapi Rika tahu yang Emran sayangkan Rika.” Dia berkata dengan penuh yakin.

“Alhamdulillah, Rika. Emran lelaki yang baik. Kami yakin, dia mampu bahagiakan Rika,” celah Datuk Hakim.

“Insya-ALLAH,” jawab Erika. “Haa… dari luar tadi Rika dengar, papa dengan mama berbual. Bunyinya macam serius aje. Apa yang mama dan papa bualkan?” tanyanya dengan riak muka ingin tahu.

Sebaris nama Iqram muncul di kotak fikiran Datuk Hakim. Spontan, dia membuang keluhan berat. “Kami bualkan pasal Iqram,” jawabnya dengan suara lemah.

Berkerut dahi Erika. “Pasal Iqram? Kenapa dengan dia?”

“Sejak dua menjak ni, mama perhatikan sikap adik kamu tu macam dah berubah. Dia banyak termenung. Kadang-kadang tu, dia tergelak sendiri.” Datin Katrina muka bercerita.

Datuk Hakim mengangguk. “Betul tu, Rika. Haa… tengoklah, tiba-tiba aje dia ambil cuti kecemasan. Tiba-tiba aje dia nak balik kampung. Belum sempat papa jumpa dia, tup… tup… dah hilang,” celahnya.

“Kami ni bukannya apa, Rika. Kami risaukan dia,” celah Datin Marina pula.

Erika tersenyum penuh makna. Hmm… tu namanya dah terkena simptom cinta, mama, papa. “Ala… mama dengan papa tak payah risau. Adik Rika tu okey aje.” Dia membalas dengan muka selamba. Seolah-olah tiada apa-apapun yang berlaku.

Datuk Hakim tercengang. “Haa… kenapa kamu cakap macam tu, Rika? Kamu tak risaukan adik kamu tu ke?” Sukar dia hendak percaya dengan apa yang baru sahaja terluah dari mulut Erika.

Erika tergelak. “Hisy, mama dengan papa suka sangat fikir yang bukan-bukan tau! Am tu sihat walafiat aje. Apa, papa dengan mama fikir dia kena sampuk dengan hantu jembalang dari Kedah ke?”

“Hisy, kamu ni Rika… ke situ pulak!” Datuk Hakim menjeling geram. “Kami punyalah serius, tapi kamu boleh buat main-main pulak?” Dia membebel sambil menarik muncung panjang tanda protes.

“Haa… kalau betul adik kamu tu kena sampuk dengan hantu jembalang dari Kedah, macam mana? Hisy, mama tak nak apa-apa yang buruk menimpa adik kamu, Rika. Lebih baik kita bawak budah tu pergi berubat!” celah Datin Marina mula kelam-kabut. Terpalit riak risau di wajah cantiknya.

Erika menggeleng demi melihat gelagat orang tuanya. “Hisy, mama dengan papa jangan risaulah! Am tu okey aje. Anak teruna kesayangan mama dengan papa tu sihat walafiat,” Dia pamer senyum penuh makna. “Cuma…”

“Cuma apa?” Pasangan suami isteri itu mencelah serentak.

Garis senyum penuh makna semakin lebar di bibir Erika. Cuma… anak papa tu dah terkena simptom cinta dari hantu jembalang. Dan hantu jembalangnya adalah Maira!

HAJAH SAKINAH merenung tepat ke muka Iqram. Seolah-olah sedang menilik sesuatu di wajah kacak itu. Hati tuanya yakin, pasti ada sesuatu yang sedang mengganggu benak cucunya itu. Kalau tidak, takkanlah awal-awal buta lagi dah tercongak di depan muka pintu?

Iqram yang sedang menghirup minuman panasnya, menjadi resah demi melihat tingkah laku toknya. Dia mula jadi tidak senang duduk. “Err… kenapa tok tenung Am sampai macam tu sekali?” tegurnya dengan suara gugup.

Hajah Sakinah tersenyum. “Awat, salah ka kalau tok nak tengok muka hang, Am?” Dia membalas dengan muka selamba.

Iqram menggigit bawah bibirnya. “Tak salah, tok. Cuma…”

“Cuma apa?” potong Hajah Sakinah.

Iqram menarik nafas panjang, lalu menghembus perlahan-lahan. “Am tak berapa selesalah, tok,” jawabnya.

Hajah Sakinah tergelak. “Hang tok sah nak berdolak-dalik dengan tok na. Tok dapat rasa, ada sesuatu yang hang sedang fikirkan. Baik hang berterus-terang dengan tok, Am. Apa sebenarnya masalah hang?” desaknya.

Iqram terus terdiam. Erk, nak berterus-terang ke tak nak? Dia mula keliru, takut kalau-kalau wanita tua itu mentertawakan dirinya. Ah, dia juga yang mendapat malu!

Kening Hajah Sakinah terjungkit sebelah. “Iqram Fattah?” Dia menegur apabila tiada tanda-tanda untuk Iqram bersuara.

Iqram tersentak kecil. “Err…”

Hajah Sakinah berdecit geram. “Pasaipa dengan hang ni, Am? Awat hang resah gelisah macam orang hilang duit aje ni?” balasnya, mula hilang sabar dengan telatah cucunya.

Sekali lagi Iqram menarik nafas panjang. Cuba mententeramkan emosi dirinya yang tidak stabil. “Sebenarnya… sebenarnya…” Dia agak keberatan hendak berterus-terang. Aduh, nak cakap macam mana ni?

“Sebenarnya apa?” celah Hajah Sakinah.

“Sebenarnya… Am dah jatuh cinta, tok,” beritahu Iqram jujur.

Membuntang terus biji mata Hajah Sakinah demi mendengar pengakuan cucunya. “Hang dah jatuh cinta?” Bibirnya terukir senyuman lebar. “Hang jatuh cinta kat siapa? Kat Maira ka?” tekanya beria-ia.

Iqram tersentak. “Err… macam mana tok tahu?” tanyanya dengan muka terpinga-pinga. Ah, tok memang pandai meneka!

Hajah Sakinah tergelak. “Tok ni terlebih dulu telan garam dari hang tau. Tok dah tengok macam-macam ragam manusia kat muka bumi ni,” jawabnya selamba.

Iqram hanya mampu tersenyum.

“Hang jarang bawak balik perempuan kat rumah tok, Am. Kali terakhir hang bawak balik pun, si budak Suraya tu. Tu pun, tok tak berkenan langsung. Dahlah tak tahu nak buat kerja rumah, asyik membungkam atas katil 24 jam aje,” tambah Hajah Sakinah beria-ia.

Iqram tersenyum. “Suraya tu kesilapan Am yang paling besar, tok. Kalaulah ALLAH S.W.T tak buka mata hati Am masa tu, entah-entah sampai ke waktu sekaranglah Am diperbodohkan dia. Memanglah hati Am patah, yalah… sayang sangat kan. Tapi Am rasa bersyukur, Am dah kenal siapa dia yang sebenarnya,” balasnya.

“Tak apalah, Am. Jadikan ia sebagai pengajaran buat hidup kita di masa akan datang na.” Hajah Sakinah menjawab ringkas.

“Tapi…” Wajah Maira menikam benak fikirannya. “Maira ni berbeza dengan Suraya, tok. Dia tak sama dengan perempuan lain. Dia ada keistimewaannya sendiri. Walaupun sikapnya kadang-kadang buat Am rasa meremang bulu roma, tapi Am tahu dia seorang gadis yang baik. Dia menghormati orang tua, suka membantu orang lain, macam-macamlah,” tambah Iqram sambil tersenyum penuh makna.

“Amboi… hang ni betui-betui dah parah, Am.” Hajah Sakinah mengusik.

Iqram tergelak. “Bukan parah lagi, tok. Am betul-betul dah tersungkur kali ni. Am terlalu cintakan dia,” akuinya jujur.

Hajah Sakinah menarik nafas lega. “Baguslah, Am! Tok pun memang dah berkenan sangat dengan budak Maira tu. Tok siap dah lamar dia jadi isteri hang tau,” balasnya beria-ia.

Iqram pamer muka terkejut. Matanya sudah membuntang besar. “Apa?” Gara-gara terkejut yang amat, dia terjerit.

“TOK pernah melamar Maira?” Sungguh, Iqram berasa terkejut apabila mendengar pengakuan toknya. Erk, biar tembikai?

Hajah Sakinah tersenyum lebar. Beria-dia dia mengangguk sebagai jawapan. “Ya Am, tok pernah melamar dia tau!” Beria-ia dia mengaku.

Merah padam terus muka Iqram. Dia terkedu. “Jadi…”

“Ha’ah!” balasnya. “Pasaipa, hang terkejut ka?”

Iqram mengangguk laju. “Hisy, tok ni… mestilah Am terkejut! Patutlah Maira tak nak berterus-terang pada Am hari tu. Rupa-rupanya, tok pernah melamar dia. Malu Am tau! Selamba badak aje tok buat kerja gila tu,” bentaknya tanda protes.

Hajah Sakinah tersengih. “Buat apa hang nak malu, Am? Tok ni berniat baik nak tolong hang tau. Kalau tok tahu yang hang tu memang ada hati kat dia, memang tok dah mendesak dia supaya terima hang. Awat hang tak cakap awal-awal?” balasnya beria-ia.

Iqram menjeling. “Am tak sedar yang Am dah jatuh cinta kat dia masa tu, tok. Masa tu, Am cuma anggap dia tak lebih dari seorang pekerja.”

Hajah Sakinah mencebik. “Yalah tu,” sindirnya.

Iqram hanya tersengih.

“Tok sah hang nak sengih-sengih macam tulah, Am. Tak kacak mana pun,” sindir Hajah Sakinah selamba.

Sengihan Iqram serta-merta mati.

Rona wajah Hajah Sakinah berubah serius. Wajah kacak cucunya itu ditenung tajam. “La ni… tok nak hang berterus-terang. Apa sebenarnya tujuan hang balik kampung?” Dia cuba mengorek rahsia Iqram.

Iqram pamer senyum lebar. “Sebenarnya…”

“Sebenarnya apa?” potong Hajah Sakinah.

“Am nak minta tolong tok pergi meminang Maira,” kata Iqram bersungguh-sungguh.

Hajah Sakinah terus tersenyum lebar. “Laa… tu hal kecik aje, Am. La ni pun tok boleh pi meminang dia.” Dia membalas beria-ia.

“Tapi…”

Berkerut dahi Hajah Sakinah. “Tapi apa?” Dia jadi hairan melihat ekspresi wajah cucunya itu. Aik, kelat semacam aje. Pasaipa?

Iqram mengetap bibir. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Maira… Maira…”

“Maira apa?” Sekali lagi Hajah Sakinah memotong. Tidak sabar hendak mengetahui perkara sebenar.

Iqram menarik nafas panjang. “Maira belum tahu yang Iqram nak pergi meminang dia, tok,” akuinya dengan suara resah.

Mata Hajah Sakinah terus membulat besar. “Apa?”

Previous: BAB 24
Next: BAB 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.