Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 36

BOLA mata Maira meliar ke sekeliling, memerhati keindahan rumah teres dua tingkat itu. Mulutnya ternganga bak bentuk huruf O. Begitu kagum demi melihat susun atur perabot, reka hias dan kecantikan rumah itu.

Iqram menoleh ke arah Maira. Dia tersenyum. “Cantik tak rumah ni, sayang?” tanyanya ingin tahu.

Maira mengangguk laju. “Cantik!” Beria-ia dia membalas. Dia menoleh memandang figura Iqram. “Rumah siapa ni, Iqram?” tambahnya dengan riak ingin tahu.

“Rumah siapa?” Dia pamer senyum penuh makna. “Agak-agak awak, ni rumah siapa?” Sengaja dia hendak berteka-teki dengan isterinya.

Maira menarik muka cemberut. Hisy, sejak dua menjak ni dia macam dah berubah sikap aje. Selalunya garang macam singa jantan. Sekarang, dah jadi romantis macam doktor cinta pulak? Terlebih telan gula ke apa, sampaikan berubah jadi baik ni?

“Maira?” tegur Iqram.

Maira tersentak kecil. “Hmm… manalah saya tahu! Awak yang bawak saya ke sini kan? Saya cuma ikut aje,” bentaknya.

Iqram berjalan ke hadapan Maira. Dia membelakangkan kedua-dua belah tangannya ke belakang tubuh, lalu tersenyum. “Ni rumah kita, Maira. Syurga kita,” jawabnya dengan suara lembut, penuh menggoda.

Maira terkedu. “Rumah kita?” Dia mahukan kepastian. Sungguh, dia terus berasa tergamam demi mendengar jawapan itu. Erk, ni rumah aku dengan dia ke? Biar epal?

Iqram spontan mengangguk laju. “Hmm… rumah kita!” Beria-ia dia membalas.

Maira terus terdiam. Terkelu lidahnya hendak membalas kata-kata Iqram. Baiknya hati dia… puji hatinya. “Err… bila awak beli rumah ni?” Setelah agak lama berdiam, akhirnya dia bersuara.

Iqram masih lagi tersenyum. “Hmm… lama tu tak lamalah jugak. Dalam 2 tahun,” jawabnya.

Bulat mata Maira demi mendengar jawapan itu. “2 tahun? Hmm… dah lama tu! Kenapa awak tak duduk kat rumah awak ni?” tanyanya lagi.

“Takkanlah saya nak duduk seorang diri kat sini, sayang? Sunyilah hidup saya nanti. Sekarang tak apalah sebab dah ada awak, isteri saya,” jawab Iqram dengan muka selamba. Siap pamer senyum nakal lagi.

Maira terdiam membisu. Membahang wajahnya demi mendengar kata-kata itu. Dia menjeling geram.

Iqram hanya tertawa. “Dah, jom saya bawak awak tengok bilik kita!” ajaknya beria-ia. Seraya itu, dia menarik tangan Maira. Mereka berjalan seiringan menuju ke arah tangga. Tanpa banyak bicara, Maira hanya membuntuti langkah Iqram dari belakang.

Sebaik sahaja mereka tiba di dalam bilik tidur utama, Maira terus tersenyum lebar demi melihat kecantikan bilik itu. Susun atur dan suasananya begitu kemas sekali. Menampakkan suasana romantis dan mendamaikan. “Wah, cantiknya bilik ni! Bilik siapa ni, Iqram?” tanyanya dengan riak teruja.

Iqram tersenyum penuh makna. Dia berjalan ke hadapan Maira, lalu mendekatkan wajahnya ke wajah isterinya itu. “Bilik kita, sayang.” Dia berbisik lembut ke telinga isterinya itu.

Maira terkedu. “Bilik kita?” Dia meneguk liur.

“Hmm…” Iqram segera mengangguk. “Bilik kita,” tambahnya lagi.

Maira terus terdiam.

Kening Iqram terjungkit sebelah. “Kenapa awak diam ni, sayang? Awak takut ke kalau saya…” usiknya, sambil tersenyum nakal. Sengaja dia mematikan ayatnya di situ. Membiarkan Maira mentafsir sendiri maksud di sebalik kata-katanya itu.

Maira menarik muka cemberut. Dia mendengus geram. “Hisy, gatal!” bentaknya.

Iqram tertawa. “Saya gatal dengan isteri saya sendiri aje,” tambahnya, sekali lagi mengusik isterinya itu.

Membuntang terus biji mata Maira. “Iqram!”

Iqram hanya tertawa. Geli hati demi melihat ekspresi wajah Maira. “Esok kita pindah ke rumah ni ya, sayang?” katanya beria-ia.

Maira ternganga. “Haa… esok? Err… kalau kita duduk kat rumah abah aje, tak boleh ke?”

Iqram tersenyum. “Tak boleh! Awak tanggungjawab saya sekarang ni, Maira. Tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya. Ke mana saya pergi, awak wajib ikut bersama, sayang,” balasnya dengan suara tegas.

Maira terkedu. Aduh, dia guna kuasa veto dia lagilah! Terkelu terus lidah aku ni! Argh, bentak hatinya geram.

“Jadi, esok kita akan berpindah ke rumah ni ya, sayang?” Iqram menambah lagi.

Maira hanya mengangguk.

“Okeylah sayang, saya nak pergi bilik air kejap. Awak tunggu aje kat sini ya.” Serentak itu, Iqram berjalan menuju ke bilik air yang terletak di sudut kanan bilik itu.

Maira hanya memerhati figura Iqram melalui ekor matanya. Demi sahaja figura suaminya itu sudah menghilang di sebalik daun pintu bilik air, spontan dia mengeluh berat. “Aduh, tak pasal-pasal aku kena berpindah ke rumah ni.” Dia membentak.

Tiba-tiba, terselit satu bisikan ke telinganya. Selamat datang ke dunia Iqram Fattah, Mrs. Selamba. Bersedia untuk dibom ya lepas ni, usik suara itu.

Maira terus terkujat. Dia membuntang mata. “Alamak, matilah aku!”

Seminggu kemudian…

SETELAH seminggu bercuti, akhirnya Iqram dan Maira mula bekerja semula. Sepanjang dalam perjalanan ke pejabat, pasangan suami isteri itu hanya berdiam diri sahaja. Langsung tidak menunjukkan sebarang tanda untuk memulakan bicara. Seolah-olah mulut mereka bagaikan terkunci ketat.

Iqram mengerling sekilas figura Maira di seat sebelah. Dia tersenyum. “Maira?” Dia menegur dengan suara lembut.

Maira spontan menoleh ke arah figura Iqram. “Hmm?”

“Kenapa awak diam aje ni, sayang? Selalunya, mulut awak tu pot pet pot pet 24 jam mengalahkan mulut murai aje,” kata Iqram.

Bibir Maira terjuih ke depan. “Saya tak ada mood nak bercakap hari ni.” Acuh tak acuh sahaja dia membalas.

“Kenapa pulak? Ada apa-apa yang tak kena ke, sayang?” Iqram membalas dengan riak muka ingin tahu.

“Tak ada apa-apalah!” Sekali lagi Maira membalas acuh tidak acuh.

Kening Iqram terjungkit sebelah. “Betul ke ni?”

Maira hanya mengangguk sebagai jawapan.

Sejenak mereka terdiam, melayani perasaan masing-masing.

“Iqram?” Tiba-tiba Maira menegur setelah agak lama berdiam diri.

Iqram mengerling sekilas figura isterinya, lalu kembali memandang ke arah jalan raya semula. Memberi sepenuh perhatian pada pemanduan. “Ya, sayang?” Dia membalas dengan suara lembut.

Rona wajah serius mula menghiasi wajah Maira. “Saya nak bagi satu peringatan keras untuk awak, Iqram!” tegasnya suaranya.

“Apa dia?” soal Iqram.

Maira menoleh memandang figura suaminya. “Saya nak awak jaga rahsia kita! Saya tak nak sesiapa pun tahu yang kita ni adalah pasangan suami isteri!” katanya, masih lagi dengan nada suara tegas.

Iqram tersenyum. “Kita kan dah bincang hal ni sebelum hari pernikahan lagi? Saya pun dah setuju untuk merahsiakan perkahwinan kita dari pengetahuan semua staf di Hakim Holdings kan? Takkanlah saya nak langgar semua syarat awak kot? Awak pernah dengar pepatah ni, biar pecah di perut, jangan pecah di mulut?” Begitu mendalam ayat Iqram, sempat lagi dia menyelit satu ayat sinikal buat isterinya itu.

Maira tersenyum lebar. “Bagus!” jawabnya dengan nafas lega.

“Tapi…”

Kerutan di dahi Maira terukir. “Tapi apa?” balasnya dengan memek muka hairan.

Iqram menjeling pandang inai yang terhias cantik di jari-jemari Maira. Senyuman penuh makna melingkar di bibirnya. “Saya boleh aje menjaga rahsia rumah tangga kita, Maira. Tapi… inai di jari awak tu akan mengundang pelbagai spekulasi terutamanya di jabatan kita. Kalau semua orang tanya, macam mana? Awak nak jawab apa? Kalau saya tak apalah. Bukannya orang perasan inai di jari saya. Yalah… sayakan ada bilik sendiri. Lainlah awak…” tebaknya.

Maira terkedu. Ternganga sedikit mulutnya. Serentak itu, matanya sempat menangkap inai yang menghiasi jari-jemarinya. Membuntang terus biji matanya. Bawah bibirnya serta-merta digigit sekuat hati. Aduhai, macam mana aku boleh tak perasan ni? Kalau semua orang tanya, aku nak jawab apa? Matilah aku! desis hatinya keresahan.

Iqram hanya berdiam diri. Membiarkan kesunyian terus membelit mereka.

Demi sahaja kereta BMW 3 Series itu hampir tiba di ruang lobi utama bangunan Hakim Holdings, Maira serta-merta bersuara dengan nada mengejut. “Berhenti!” jeritnya dengan suara nyaring.

Iqram yang terkejut dengan suara jeritan itu serta-merta menghentikan keretanya di bahu jalan. Sesudah membebaskan gear dan menarik brek tangan, dia menoleh memandang figura Maira. Dahinya berkerut-kerut. Hairan dengan tingkah laju isterinya itu. “Kenapa?” Dengan terpinga-pinga, dia menyoal.

Maira bingkas menyisipkan beg tangan ke bahu kirinya. Fail yang ada di atas ribanya segera disisipkan ke dalam pelukannya. Daun pintu segera dibuka.

Demi melihat tingkah laku Maira, Iqram serta-merta menegah. Lengan isterinya itu dicengkam lembut. “Awak nak pergi mana ni?”

Maira menoleh ke arah Iqram. “Mulai hari ni, awak kena berhenti kat sini. Saya turun kat sini aje. Lagipun, saya tak nak mata-mata staf di pejabat memandang kita. Tak pasal-pasal orang taruh syakwasangka yang bukan-bukan!” tegasnya.

Iqram berdecit geram. “Tapi…”

“Tak ada tapi-tapi! Kalau semua orang tahu kita pergi kerja sama-sama, macam mana? Lagilah diaorang taruh syakwasangka! Nanti tak pasal-pasal timbul gosip tau! Saya tak nak!” Maira segera memotong sebelum sempat Iqram menghabiskan bicara.

Iqram mengeluh. “Yalah… yalah!” Akhirnya, dia mengalah dengan kemahuan Maira.

Maira senyum lebar. “Okeylah, saya turun dulu!”

Belum sempat Maira membolos keluar dari perut kereta, tiba-tiba Iqram bersuara menegurnya. “Awak dah lupa tanggungjawab awak ke, sayang?”

Maira menggigit bawah bibirnya. Faham apa yang dimaksudkan suaminya itu. Dalam keadaan tidak rela, Maira mencapai tangan Iqram lalu menyalami dan mencium tanda hormat. “Saya pergi dulu ya, encik suami?” sinisnya.

“Baik, wahai puan isteri,” jawab Iqram sambil tersenyum lebar.

Serentak itu, Maira membolos keluar dari perut kereta lalu terkocoh-kocoh berjalan masuk ke dalam bangunan Hakim Holdings.

Iqram hanya memerhati figura isterinya itu sehingga hilang di sebalik dinding. Dia tersenyum, seraya menggeleng. “Pelik bebenor perangai bini aku ni,” desisnya sendirian, seraya meneruskan pemanduannya.

MAIRA membolos masuk dalam perut lif. Sesudah pintu lif terkatup rapat, dia menekan punat bernombor 9. Dia bersandar sejenak di dinding lif. Fikirannya terbang melewati peristiwa sebentar tadi. Kata-kata Iqram sekali gus menampar gegendang telinganya.

“Saya boleh aje menjaga rahsia rumah tangga kita, Maira. Tapi… inai di jari awak tu akan mengundang pelbagai spekulasi terutamanya di jabatan kita. Kalau semua orang tanya, macam mana? Awak nak jawab apa? Kalau saya tak apalah. Bukannya orang perasan inai di jari saya. Yalah… sayakan ada bilik sendiri. Lainlah awak…”

Maira membuang keluhan. Dia berdecit. “Aduh, macam mana aku boleh terlupa perkara sepenting ni?” katanya perlahan.

Inai yang terhias di jari-jemari dan tangannya itu ditenung sejenak. “Kalaulah orang perasan inai kat tangan aku ni, macam mana? Mesti dia orang akan fikir yang bukan-bukan. Yalah… aku kan tak pernah pakai inai, cincin pun jauh sekali. Aduh, nak buat macam mana ni?” Sekali lagi dia berdesis sendirian.

Sedang leka mengelamun, tiba-tiba daun pintu lif terbuka. Maira tersentak kecil. Dia memerhati skrin di sebelah atas punat lif. Terpamer nombor 5 di situ. Menandakan lif itu berada di tingkat 5. Bola matanya teralih ke arah pintu lif. Hendak melihat figura yang bakal menjadi penghuni lif.

Demi melihat figura Hidayah, spontan jantung Maira mula berdegup kencang. Peluh sudah mula merembes keluar dari atas dahi menuruni kedua-dua belah pipinya. Gulp, dia meneguk liur. Alamak, mati aku!

Figura Hidayah berjalan masuk ke dalam perut lif. Dia mempamer senyum lebar demi melihat figura kawan baiknya itu. “Hai, Maira? Amboi, lama bebenor kau cuti kan? Kau pergi mana?” Dia mula menyoal bak pegawai polis.

Maira tayang senyum sumbing. “Err…” Teringat inai di jarinya, serta-merta dia menyembunyikan kedua-dua belah tangannya di belakang.

Previous: BAB 35
Next: BAB 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.