Rina senyap-senyap memasuki bilik kerja Lukman pada waktu malam. Lukman sudah tidur nyenyak. Komputer dinyalakan setelah seberapa lama tidak digunakan. Selesai proses, Rina memasukkan kad memori dashcam keretanya.
“Aku yakin, dashcam ni boleh memberikan petunjuk kepada persoalan aku.”
Fail video berdasarkan tarikh muncul pada paparan skrin.
“Semua tarikh video ialah tarikh sebelum aku koma. Mungkin aku boleh mula dengan tarikh paling baru iaitu sehari sebelum koma.”
Sehingga video sebulan sebelum kejadian. Semuanya tampak biasa. Rina dalam video hanya ke ladang bunga matahari mahupun kedai mereka. Rina mulai mengantuk sehinggalah tiba pada satu video kira-kira hampir dua bulan sebelum kejadian malang itu!
“Betullah aku pernah pergi sana!” Rina mulai mengecam jalan-jalan yang dilalui pada video itu. Kemudian, tiba di halaman rumah banglo bercirikan Inggeris. “Betul!”
Rina menekup mulutnya. Dia hampir menjerit akibat terlalu teruja dengan penemuan itu. Bimbang Lukman terjaga. Susah nak terangkan kepadanya nanti.
Rina terus memainkan rakaman yang lain. Mungkin boleh memberi lebih petunjuk. Rina berasakan rakaman lain itu tiada sebarang kepelikan.
“Aduh, apa yang berlaku sebenarnya? Kenapa aku pergi ke rumah tu? Siapa perempuan tu? Fikir Rina… fikir!”
Rina terpandangkan laci meja. Dia digamit untuk membukanya. Mungkin ada sesuatu di dalamnya yang mampu memberikan petunjuk. Sebuah buku nota berbentuk memo kalendar. Melihat pada nama, nota itu miliknya. Dibelek-belek. Kebanyakan catatan tentang pesanan pelanggan.
“Tarikh catatan ni sama dengan tarikh video ni! Penerimanya ialah Kalsum? Tapi, siapa dia?”
Rina menyelak lagi sehingga ke muka terakhir. Terkepil beberapa keping kertas.
“Jemputan ke majlis makan malam ulang tahun syarikat akhbar tempat suami aku bekerja? Tarikhnya tiga bulan sebelum aku koma?”
Kepalanya terasa pedih. Terpejam-pejam kelopak matanya. Buku itu terjatuh ke lantai. Rina sendiri turut menjatuhkan tubuh. Samar-samar seseorang menyalami tangannya di majlis itu. Rina teringat betapa kuatnya genggaman itu.
“Adakah itu kali pertama aku berjumpa dengan perempuan tu? Aku yakin! Tapi, aku takut tersalah!”
Imbas kembali…
Setahun lalu…
Kalsum dalam persalinan kebarung dan selendang hitam tiba ke majlis makan malam tahunan syarikat akhbar di sebuah hotel terkemuka. Wajah cantiknya turut diseri dengan mawar merah pada telinga. Dia datang dengan perasaan tidak senang.
Tema hari ini, ‘Mengenang Mereka yang telah Pergi.’ Dia dijemput oleh seorang staff sebagai salah seorang kenalan Zahuri.
“Mereka semua memang tidak berguna! Seorang pun tidak pernah curiga akan kematian Zahuri yang mendadak! 5 tahun… 5 tahun sudah terlalu lama aku berdiam diri!”
Kalsum duduk di meja dikhaskan untuknya. Melilau mencari kelibat seseorang yang paling didendami. 5 tahun, dia tidak pernah lupa! Dia mencari masa yang sesuai untuk meluahkan dendam. Biarkan mereka bergembira dan menikmati hidup. Dia mahu lihat sejauh mana kebahagiaan itu akan bertahan.
“Excuse me. Which one is Lukman?” Kalsum lekas bertanya kepada salah seorang staff yang sedang memeriksa kedatangan tetamu.
“Lukman? Oh, ya… yang sedang ambil gambar dekat dengan pentas tu!”
“Oh, I see! Thank you!”
Senyuman palsu terus mati sebaik sahaja staff itu berlalu. Dia memandang ke arah Lukman dengan penuh benci. Lukman ligat membidik foto sekitar majlis belum bermula.
“Oh, di situ rupanya lelaki tak guna tu!”
Sedang asyik mencari sudut sesuai, lensanya terhala kepada Kalsum. Bijak sekali Kalsum. Automatik perempuan itu mengukir senyuman lebar, berlakon sudi digambar. Sesungguhnya, hidupnya memang lakonan!
Majlis bermula dengan lancar. Kalsum tidak memberikan tumpuan. Dia sibuk memerhatikan Lukman sedang berbual mesra dengan perempuan di sisi.
“Itukan Rina, isterinya? Nikmatilah masa korang. Kegembiraan korang akan segera tamat.”
Pada montaj menayangkan staff-staff yang telah meninggalkan dunia, suasana mulai sayu.
“Awak…” Kalsum tidak dapat menahan sebak apabila wajah arwah Zahuri bersama kameranya muncul.
Dia menjeling ke arah Lukman dan Rina sekali lagi untuk melihat reaksi mereka.
“Tak guna… memang tak guna! Mereka masih boleh bergelak tawa!” Kalsum hampir-hampir menumbuk meja.
Majlis berakhir dengan para tamu menikmati juadah tersedia. Kalsum menunggu peluang untuk mendekati Rina tanpa Lukman mendampingi di sisi.
“Line clear!” Kalsum menapak menuju ke susunan makanan secara buffet. Rina sedang memilih-milih lauk. Kalsum buat-buat terlanggar bahunya. “Ops, sorry!”
“That’s okay!”
Kalsum menghulurkan tangan.
“Hi, I’m Kalsum. And you?”
Rina menyambut sahaja meskipun hairan mendatang.
“Saya Rina.”
“Sorang je datang?”
“Tidak. Saya dengan suami saya, Lukman. Itu dia! Orang sibuk makan. Dia tak berhenti-henti capture every moment. Katanya, setiap gambar mengandungi kisah tersendiri.” Rina tersenyum bahagia mengenangkan sang suami.
“Seronok suami jurugambar. Kalaulah…” Kalsum mulai ketawa sebelum berbicara halus. “Kalaulah kau tahu suami kau tu berjaya sebab mencuri hasil kerja orang. Kalaulah kau tahu dia menyebabkan kematian sahabatnya sendiri!”
“Apa yang awak katakan?” Rina berkerut dahi. Butiran itu tidak jelas. Cuma, dia yakin bukan sesuatu yang baik sedang dibicarakan.
“Orang buat salah takkan mengaku salah.”
Kalsum berpura-pura memilih lauk. Dia tiada hati pun mahu menikmati juadah di majlis itu. Sekadar menyakitkan hati Rina.
“Aku harap, suatu hari nanti kau akan melihat berita kematian suami kau pada muka surat hadapan akhbar. Masa itu, kau rasalah apa yang aku rasa!” Kalsum menuturnya dengan selamba.
Rina terkejut bukan main. Rina spontan menolak tubuh Kalsum agar mereka saling berhadapan. Semakin melampau pengucapan itu!
“Awak kenal kami?”
Kalsum meletakkan pinggan dengan kasar di atas permukaan meja sehingga menerbitkan bunyi kuat menarik para hadirin.
“Siapa tak kenal pembunuh? Atau lebih tepat… isteri kepada pembunuh?” Kata Kalsum, dengan sengihan di wajah.
Rina keliru. Dia tidak mengerti bicara wanita itu.
Kalsum merapati, menepuk bahunya sebelum berbisik, “Aku takkan benarkan pembunuh hidup gembira. Tiba masanya pembunuh terima balasan. Kau perlukan bukti? Kau sangsi? Aku boleh tunjukkan kepada kau.”
“Seronok berjumpa dengan awak… Rina!” Kalsum drastik berubah ramah.
Dia dapat melihat Lukman berjalan ke arah mereka. Dia harus pergi sebelum Lukman tiba. Tepat-tepat Lukman datang, Kalsum terus berpaling tidak mahu wajahnya terdedah.
Kalsum memarkir kereta di seberang jalan bertentangan dengan kedai bunga milik keluarga Rina. Cermin mata hitam ditanggalkan. Dari situ, dia dapat melihat Rina sedang melayani pelanggannya. Kalsum membuat panggilan ke nombor telefon Rina.
“Angkatlah! Tak reti angkat ke? Baik buang je telefon tu!”
Berdering agak lama sehingga masuk ke peti suara.
“Okey, kita cuba lagi. Kalau tak angkat, aku serbu masuk kedai kau dan buat kecoh!”
Kali ini berangkat kerana pelanggan tadi sudah keluar dari kedai.
“Rina… remember me? Kalsum.”
Mendengar nama itu, Rina terus berderau.
“How you know my number?” Jelas kedengaran risau pada nada suara Rina.
“Aku ada sumber aku. Aku dah berada di luar kedai kau. Willing to meet me?”
Rina lekas keluar dari kedai. Terpusing-pusing kepalanya mencari Kalsum. Dia terlihat Kalsum melambai tangan dari dalam sebuah kereta.
“Drive your car and follow me now!”
“Helo… helo!” Panggilan terputus.
Matanya melirik melihat Kalsum yang telah membuat isyarat untuk mengekori pemanduannya.
Rina tidak mempunyai pilihan. Dia kembali ke dalam kedai. Mencapai beg tangan. Kunci kereta dikeluarkan. Telefonnya berdering lagi.
“Kau mempunyai bunga kemboja di kedai, kan?” Suara Kalsum kedengaran.
“Ya?”
“Bawakan aku sebakul besar bunga kemboja.”
“Untuk apa?” Rina sendiri tidak tahu mengapa dia terus bertanya.
“Seharusnya kau gembira bila aku sebagai pelanggan menempah bunga di kedai kau. Aku dah online transfer. Jangan tanya di mana aku dapat nombor akaun. Semuanya tertera pada iklan di media sosial korang. Sama juga nombor telefon kau.”
Panggilan ditamatkan. Rina mengeluh.
“Apa patut aku buat? Aku kena ikut arahan dia atau abaikan je? Apa perempuan ni nak sebenarnya? Niat dia baik ke jahat?”
Bunyi hon bertalu-talu kedengaran. Nampaknya, dia sudah membuat keputusan.
Rina memerhati sahaja keadaan rumah banglo bercirikan Inggeris itu. Cantik dan kemas. Tapi, sepertinya kekurangan seri.
“Ikut aku masuk ke dalam rumah. Oh, jangan lupa bunga cempaka,” arah Kalsum disertai senyuman sinis.
Rina berdecit. Dia akur dengan arahan. Bakul rotan itu berat. Mujur dibawa sekali troli.
“Awak seorang diri?” Soal Rina, memerhati sekeliling setelah masuk ke ruang tamu. Sunyi sepi. “Apa yang ingin kau beritahu?”
“Have a drink.” Kalsum tidak endah dengan soalan itu.
Rina tidak membantah. Dia menikmati minuman tersedia. Berlainan dengan Kalsum, memeriksa bunga cempaka di dalam bakul rotan. Setelah itu, Kalsum membuka televisyen menayangkan video rakaman Izatul semasa arwah Zahuri sedang meratib nasib.
“Lukman, kau pengkhianat!”
Rina terkedu. Nama suaminya terkait sekali membuatkan banyak persoalan bermain di minda.
“Kenapa tunjuk kepada saya?”
“Kenapa?” Kalsum membuka laci meja di tepi dinding mengeluarkan sampul besar berwarna coklat. Dibaling ke atas meja dengan kasar. “Kau akan faham. Bacalah isi dalam sampul.”
Rina melihat foto-foto asli telah dicuci di kedai. Gulungan negatif filem turut disertakan.
“Kau lihat nama siapa pada negatif filem tu? Nama suami kau atau nak aku sebut?” Kalsum sudah bercekak pinggang.
Rina dapat menjangkakan siapa pemilik sebenar foto itu. Kalsum membaling lagi sebuah majalah terbitan syarikat akhbar itu. Diselak ke muka surat sepatutnya dengan kasar.
“Tapi, kau teka siapa pemenangnya? Siapa pemilik foto tu?”
Kalsum berjalan setapak demi setapak. Matanya galak.
Rina tidak berani menoleh. Kalsum sudah seperti singa buas yang lapar.
“Siapa?” Gertak Kalsum lagi membuatkan Rina terus berdiri. “Kau mesti tahu arwah Zahuri ditimpa kemalangan masa malam anugerah. Kau mesti tahu siapa penyebabnya! Kau rasa siapa penyebab dia kecewa? Cakaplah! Kau tak berani cakap?!”
Kalsum mengeluarkan keratan akhbar kemalangan menimpa Zahuri. Dibaling ke muka Rina.
Rina cuba bertenang. Api dilawan dengan api, semakin maraklah kemarahan itu.
“Dan dia meninggal beberapa hari kemudian!”
“Sepertinya urusan kita dah selesai. Saya dah hantarkan bunga tempahan awak.”
“Selesai?” Kalsum menyauk bunga-bunga cempaka dari dalam bakul. Ditabur-tabur seluruh ke seluruh tubuh Rina.
Rina seakan mengerti sebab Kalsum memilih bunga itu. Rina terundur-undur sehingga tidak sedar jam dinding berada di belakang. Kepalanya terhentak kuat di situ. Kalsum ketawa terbahak-bahak.
“Zahuri boleh mati, kenapa kau tak boleh mati?” Kalsum sudah dirasuk syaitan. Dia mahu mencekik Rina. Dia terbeliak besar. “Jeritlah sekuat hati kau! Aku tak boleh tengok korang bahagia.”
Rina mencapai pasu bunga di sebelah jam dinding. Dihentak sekuat mungkin ke kepala Kalsum. Rina terus menyelamatkan diri sementara Kalsum terduduk mengadu kesakitan. Kepalanya berdarah namun dia tidak pernah berhenti ketawa. Dia memang sudah gila!
“Aku akan buru korang! Korang takkan terlepas.”
Rina menangis semasa keluar dari rumah itu. Dihidupkan enjin secepat mungkin. Dia terlihat Kalsum di pintu mahu mengejarnya. Dipecut laju meninggalkan kawasan itu. Hari ini, terasa maut begitu dekat dengan hidupnya. Rina bersyukur masih dipanjangkan nyawa.