Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 26

“Makanlah. Kamu tak makan dari semalam.” Noraziah menyuakan sudu berisi bubur ayam kegemaran Rina. Dia susah hati dan berdukacita dengan keadaan Rina. 

Rina termenung memandang kebun bunga mini di halaman rumah. Air matanya tetap mengalir. Terkumat-kamit memanggil Lukman. Tiada sebarang sahutan.

Noraziah tahu, Rina terkesan dengan peristiwa semalam. Menunggu sang suami yang tidak kunjung tiba. Manakan mahu datang, orangnya sudah tiada di dunia!

“Nak, mak masih ada untuk menjaga kamu. Tapi, bila mak tak ada dan kamu masih berkeadaan begini macam mana dengan hidup kamu, nak? Tak kesian dekat mak? Makanlah sikit.”

Noraziah menahan air mata sendiri daripada gugur.

Mulai timbul rasa bersalah dan kasihan dengan Noraziah. Rina membuka mulut. Noraziah terus menyuap. Rina menelannya meskipun seleranya sudah lama mati.

“Makan lagi ya. Kamu ada teringin nak makan apa-apa? Bagitahu mak, ya?”

Selesai makan, Noraziah menghulurkan segelas kopi ais. Rina memang suka minuman itu.

“Mak…”

“Ya?”

Rina tersenyum dalam tangis.

“Rina teringatkan Lukman. Ni minuman kegemaran Lukman juga.”

“Ya Allah.” Noraziah sebak.

Memegang pipi sang anak. Sebagai insan pernah bercinta, dia faham perasaan itu.

Rina menyedut minuman itu menggunakan straw dalam kadar perlahan. Butiran jernih air mata termasuk sama ke dalam minumannya.

“Mak…” Rina menyentuh tangan Noraziah. “Betul ke suami saya dah tak ada?”

Noraziah terdiam. Bibirnya bergetaran. Suaranya tidak keluar.


Rina kembali tidur setelah selesai menjamu selera. Noraziah menutup pintu bilik tidur. Tiba-tiba darahnya berderau seperti sedang melihat hantu! Seseorang berdiri di depannya. Noraziah mengurut dada.

“Tolong. Sekejap sahaja.” Rayunya bersungguh-sungguh.

Noraziah tidak sudi memandangnya. 

“Kehadiran kau akan mengundang luka lama.”

“Tapi, bukan pada hatinya. Pada puan, kan?”

“Kau mengejek aku?” Noraziah menyirap. Masih menahan suara agar Rina tidak terjaga. Bukan senang mahu memujuk Rina berehat.

“Tak berani saya.”

“Okey. Lima minit. Lebih daripada itu, kau akanku halau.”

“Terima kasih. Terima kasih.” 


Rina terasa dahinya sejuk dilap dengan kain basah. Dia mamai setelah makan ubat demam dan selesema. Mata dan kepalanya berat. 

Juntaian rambut Rina dibelai-belai. Dikucup dahi Rina. Air matanya menitik ke dahi Rina.

“Awak…” Rina samar-samar terlihat sosok insan yang dirindui. Cepat-cepat Rina menarik tangan seseorang yang sedang menyentuh dahinya. “Singgahlah lama lagi. Jangan pergi dulu.”

Ubat dimakan sedang memberi kesan. Rina terlalu mengantuk. Walaupun dia cuba melawan agar tetap terjaga, dia tewas. Tidur sambil memeluk baju melayu biru.

Novel di atas meja sebelah katil, diambil tetamu itu. Keadaan fizikal novel itu sudah lunyai. Berkali-kali basah dengan air mata Rina. Kini, turut menitik air matanya di atas permukaan depan. 

Dia membuka pada cover page. Tertulis nota;

“Saya rindukan suami saya. Kisah dalam novel ni, macam kisah saya dan suami saya. Ayat-ayatnya seperti ayat yang suami saya tulis. Siapa awak Encik Penulis?”


“Terima kasih benarkan saya lawat Rina walaupun sekejap.”

“Apalagi kau tunggu? Pergilah!” Noraziah bercekak pinggang. Menuding jari ke arah pintu utama.

Seseorang itu menapak. Kemudian, terhenti.

“Puan tak rasa bersalah cipta kisah palsu?”

“Bersalah? Cermin diri kau!”

Seseorang menunduk kepala.

“Cis, ada hati nak mengajar aku! Kau perlu orang nak tunjukkan jalan keluar ke?”

“Saya ada kaki dan mata.”

“Mujur kau tak jadi macam Kasim Selamat.” Noraziah ketawa terbahak-bahak.

Seseorang itu mengepal penumbuk sehingga menggigil. Dia sedang menahan amarah.


Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.