“Akak…” Kalsum mendongak kepala saat namanya dipanggil. Kembali semula ke alam nyata.
“Dah tengahari. Akak tak nak balik?”
“Izatul.” Kalsum bersuara perlahan. Memandang pusara Zahuri. “Akak teringatkan arwah. Hari ni ulang tahun kematiannya.”
“Kak, orang tak guna itu telah dimalukan.” Izatul memaksudkan Lukman. “Viral satu Malaysia!”
Kalsum mencebik. Berita gembira yang dinanti-nantikan!
“Padan muka! Nak sangat popular! Kita bagi dia!”
Izatul tersenyum sinis namun tiba-tiba kegusaran datang.
‘Macam mana dengan aku? Aku terjatuh cinta tanpa sengaja!’
Kalsum mulai bangun. Membersihkan bahagian belakang bajunya. Lenguh duduk beberapa jam di atas bangku. Dia segera berkemas. Mahu pulang ke rumah. Pusara Zahuri diamati lagi.
“Awak, kematian awak akan terbela.” Kalsum terperasankan dahi Izatul berkerut-kerut seperti memikirkan sesuatu. “Kenapa dik?”
“Tak ada apa.”
“Dah buat apa yang akak suruh untuk rancangan seterusnya?”
“Dah.”
“Lukman, Lukman!” Kalsum tertawa kecil membayangkan reaksi Lukman sebaik sahaja berita itu sampai kepadanya.
Kalsum tidak pernah berhenti ketawa di sepanjang perjalanan menuju ke keretanya. Berlainan dengan Izatul, diamuk kegelisahan.
Lukman singgah ke kafe untuk membeli minuman panas. Dia tidak hairan dengan reaksi mereka.
‘Biarlah mereka mengejek aku! Biarlah! Selagi bernyawa, memang mulut mereka takkan reti diam! Dah jadi mayat nanti, diamlah!’
Pekerja perempuan di kaunter memandang Lukman semacam.
“Nak apa?” Acuh tidak acuh sahaja. Siap menjeling. ‘Huh, menyampah betul tengok muka dia ni!’
“Kopi O panas.”
Pekerja itu membancuh pesanan Lukman secara ala kadar. Gelas kaca diletak atas dulang dengan kasar.
“RM 2.00!”
Semasa Lukman menghulurkan wang, pekerja itu menyambutnya kasar.
Lukman cuba untuk bersabar. Staff beratur di belakangnya berbisik sesama sendiri.
“Aku ingat kes ni akan berakhir sampai sini je. Tak sangka, banyak lagi perkara jahat yang dia buat! Sanggup terima rasuah demi menyiarkan berita palsu.”
“Tulah. Kononnya hebatlah tu dapat gambar eksklusif seorang ahli politik keluar dengan perempuan simpanannya!”
“Entah-entah kan, semua hasil kerja dia selama ni ialah pembohongan?”
“Setuju. Bukan boleh percaya sangat dia tu!”
Lukman mencapai telinga cawan. Tiba-tiba dia menghentak cawan itu ke permukaan dulang sehingga menghasilkan bunyi bising. Tertumpah-tumpah airnya. Dia segera berpaling memandang staff di belakang.
“Memang aku mencuri hasil kerja arwah Zahuri. Tapi, itu tak bermakna semua hasil kerja aku ialah hasil merompak!” Tengking Lukman.
Kopi O panas diteguk sampai habis tanpa dihiraukan suhunya. Lukman meletak kembali gelas kosong. Ditenung tidak berkelip pekerja tadi.
“Mujur aku tak naik hantu simbah air panas ni ke muka kau! Silap-silap cacat seumur hidup muka kau!”
Terus terkejut pekerja itu.
“Lukman!” Tegur Azmir, bergegas mendapatkan Lukman.
Dari tadi dia meronda satu bangunan untuk mencari Lukman. Akhirnya berjumpa juga di kafe.
“Bukan masa bergaduh sekarang ni. Kau perlu tengok sesuatu.”
Azmir lekas menunjukkan skrin telefon pintar. Lukman merampasnya. Tajuk video dari aplikasi TikTok memang memanaskan lagi barannya. Lukman jurufoto si pencuri anugerah berkomplot untuk jatuhkan Tan Sri Wong? Semakin mendidih darah melihat isi video. Ketika itu dia dan Dato’ Sri Lim menikmati kopi di sebuah kafe terkemuka.
“Dato’ Sri… kalau Dato’ Sri nak saya bersihkan nama Dato’ Sri dari skandal perempuan simpanan, saya boleh tolong. Dengan kemahiran yang saya ada, saya boleh jatuhkan musuh Dato’ Sri.”
“Dengan cara apa?”
“Senang saja. Kita upah seseorang untuk berikan kepada musuh Dato’ Sri. Masa tu, I will take a few shots and then, spill to media. Dengan gambar macam tu, tajuk yang paling sesuai mungkin… Tan Sri Wong terima rasuah untuk luluskan projek perumahan di sebuah kawasan? What amazing title, Dato’ Sri!”
“Jangan baling phone aku!” Tegah Azmir saat Lukman mahu menghempas telefon itu ke lantai.
“Mana pemilik akaun ni dapat video ni? Ni memang video aku berjumpa dengan Dato Sri Lim selepas main golf. Tapi, aku tak nyanyuk untuk lupa apa yang kami bualkan! Bualan ni telah disunting! Kami bercakap tentang performance semasa bermain golf. Bukan pasal skandal, rasuah semua tu!” Lukman marah sehingga merah padan mukanya.
“Mana ada orang buat salah mengaku salah.”
“Nafikan selagi boleh!”
“Sekali menipu… sampai bila-bila menipu!”
“Penipu besar!”
“Betul tu… betul tu!”
Suara sumbang saling bergosip bagaikan lalat-lalat berterbangan di kawasan pembuangan sampah.
“Diam!” Jerit Lukman sekuat-kuatnya sehingga mereka terkedu.
Azmir menahan Lukman daripada bertindak meluru. Lukman sudah siap sedia dengan penumbuknya.
Mereka cepat-cepat menjauhkan diri. Tetap sahaja mulut masing-masing bergosip. Jari-jemari laju menaip memuat naik status terkini kejadian di kafe mereka. Masing-masing mahu menjadi terpaling pantas menyampaikan maklumat.
“Boleh jadi pemilik akaun itu dah sunting semula audio video asal sebelum muat naik ke TikTok. Zaman sekarang, senang-senang je AI tiru suara asal kita. Orang awam terpedaya. Ingatkan memang betul suara kita. Macam kes Dato’ Sri Siti Nurhaliza hari itu. Suara AI mirip beliau digunakan untuk iklan-iklan yang tidak bertauliah!”
“Argh, siapa main gila dengan aku?!”
Lukman tidak peduli pejalan kaki menoleh ke arahnya. Biarlah. Dah alang-alang tular satu Malaysia… biarkan! Dia sudah tidak kisah menjadi mangsa lensa kamera telefon pintar. Kesabaran masih bersisa. Habis sabarnya, memang pecah telefon pintar itu!
“Sabar… sabar.”
Semakin kuat Lukman mendengus. Bahang mentari tengahari menghangatkan lagi hatinya. Terasa lambat pula langkah kakinya menuju ke sebuah restoran. Mati rasa nak menjamah selera di kafe syarikat.
“Aku memang nak tumbuk je muka pemilik akaun tu. Mengada-adakan cerita yang tak ada! Kalau masih nak hidup… janganlah muncul depan aku!”