Rina tidak mampu tidur. Matanya segar. Sang suami sudah lama berdengur di sebelah. Kepenatan bekerja sepanjang hari. Dia membelai-belai wajah sang suami. Di dalam komanya dahulu, wajah itu sering muncul.
“Sayang, kembalilah kepada saya!” Rayu Lukman dengan riak sedih.
“Awak… awak!” Tiap kali Rina mahu mendekati, bayang-bayang Lukman berlari pergi.
Hinggalah suatu hari, Lukman tidak berlari pergi seperti kebiasaan.
“Awak… saya dah boleh peluk awak!”
Saat itulah, dia sedar di dunia realiti setelah sekian lama meskipun ingatannya kosong.
Rina cuba untuk berdiri. Tongkat digunakan untuk membantunya bergerak. Berusaha untuk tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Dia mahu membuang air kecil. Mujur sahaja bilik tidur mereka mempunyai bilik air. Tidaklah perlu dia bergerak terlalu jauh dalam keadaan dirinya sedang melalui proses pemulihan.
Selesai urusannya, Rina berkeputusan untuk keluar dari bilik tidur mereka. Tidak tahu mengapa dia berkeinginan untuk menikmati sesuatu yang manis seperti coklat.
Semasa melalui ruang tamu, pintu gelongsor terbuka. Sejuknya angin malam mencengkam seluruh tubuh.
“Kenapa pintu ni terbuka?”
Rina tidak terus menutup pintu sebaliknya merenung bulan terang di dada langit.
“Cantiknya. Lamanya aku tak melihat bulan.”
Hampir 15 minit meluangkan masa melihat bulan, Rina kembali semula ke dalam. Dia mulai mengantuk. Menguap sehingga berair matanya.
Rina melangkah tanpa sedar di bawah tapak kakinya terdapat serpihan kaca pecah berasal dari pasu bunga. Automatik Rina tertunduk. Cecair merah mulai mengalir.
“Huh, aku rasa sakit.”
Meskipun bisanya menjalar, Rina seakan terlupa untuk bereaksi dengan kesakitan. Dia tidak tahu untuk meluahkannya melainkan mulai menangis.
“Sayang, awak buat apa di sini?”
Mereka saling berpandangan. Lukman hairan melihat Rina menangis.
“Sakit.” Barulah Rina memegangnnya.
“Sakit? Dekat mana?” Meliar mata Lukman mencari punca. “Astagfirullahazim!”
Lukman baru perasan Rina terpijak serpihan kaca. Lukman cuba untuk membersihkannya. Rina berkerut dahi kesakitan. Dipeluknya sang suami erat.
“Saya ambil kain lap.”
“Jangan!” Rina menegah. “Jangan tinggalkan saya sesaat.”
Darah semakin laju dan banyak mengalir. Menitik-nitik.
“Awak luka sayang.”
“Saya nak dengan awak.”
Lukman mati akal. Akhirnya, dia mendapat idea. “Saya dukung awak.”
Belum pun Rina bersetuju, Lukman terus mencampung tubuhnya.
Lukman hairan melihat Rina kebelakangan ini. Terlalu senyap dan kadangkala seperti tidak mahu bercakap langsung. Kerapkali termenung sehingga berkerut-kerut mukanya seseolah sedang memikirkan sesuatu yang tidak mahu dikongsi ceritanya.
“Jom kita sarapan dulu. Lepas ni, saya nak pergi kerja dah,” Lukman berkata lembut.
Tika itu Rina berada di kebun bunga di halaman rumah. Merenung kolam ikan tanpa berkelip. Cahaya matahari pagi menyinari wajahnya.
Rina tidak memberi sebarang reaksi. Lukman melutut di depannya, mengusap paha wanita itu. Melihat telapak kaki Rina berbalut akibat luka semalam, hati Lukman dicarik-carik. Siapalah yang tega melakukan itu kepada isterinya?
“Is there something wrong, dear? Awak senyap je.”
Rina cuba tersenyum meskipun kelihatan palsu benar.
“Saya okey saja.”
“Awak bimbang sesuatu?”
“Tak ada.”
“Baiklah kalau macam tu. Saya bawa awak masuk ke dalam.”
Lukman mengucup dahi Rina dengan penuh kasih sayang. Lukman perasan di ribanya, terhampar baju baju melayu biru kegemarannya yang selalu digunakan ketika solat di rumah. Sudah berhari-hari Rina peluk dan cium semenjak sedar dari komanya.
“Saya akan rindu awak. Jadi, baju awak akan jadi pengganti bila awak keluar ke mana-mana,” kata Rina apabila ditanya alasan disebaliknya.
“Wah, awak masak ke semua ni?” Kata-kata Lukman memecah lamunan Rina.
Rupa-rupanya, mereka sudah di meja makan. Terhidang nasi lemak sambal kerang. Air kopi O panas paling wajib dihidangkan kerana itu kegemaran Lukman.
“Ya. Maafkan saya kalau kurang sedap.”
“Alah, sayang. Mesti sedap punyalah!”
Lukman sudah kecur liur. Dia menyeduk nasi ke dalam pinggan. Diambil hirisan timun, potongan telur dan akhir sekali, sambal kerang. Pinggan itu diletakkan di depan Rina.
“Untuk awak, sayang. Sayangku, terima kasih.” Lukman mengukir senyuman paling manis.
Rina mulai dibuai emosi. Bibirnya bergetaran.
“Apa ni, sayang. Jangan nangis. Tak mau. Tak mau.”
Lukman mengelap air mata Rina.
“Maafkan saya.”
“Saya suap awak, ya?”
Rina mengangguk. Lukman menyuapnya makan. Rina meneliti setiap inci wajah Lukman sepanjang waktu makan itu.
“Nanti tengahari awak balik?” Soal Rina.
Mereka sudah selesai makan. Lukman mengelap mulut Rina menggunakan tisu.
“Mungkin tak.”
“Kalau macam tu, malam?”
“Sayang, mestilah balik.” Lukman mencuit hidung Rina.
“Saya nak masak lauk kegemaran awak. Tapi, saya lupa.”
“Jangan susah-susah. Nanti awak penat.”
“Tak susah. Saya tetap nak masak.” Rina meninggi suara.
“Kalau macam tu, kita main teka-teki. Kalau awak berjaya jawab, maknanya itulah makanan kegemaran saya.”
Ketika itu, Lukman mengurut kaki Rina. “Baiklah. Ada ikan. Ada kuah asam pedas. Cuba teka?”
Kening Rina bertaut. Sudah jelas jawapan diberi. “Ikan masak asam pedas?”
“Betul! Markah penuh untuk awak!” Lukman bertepuk tangan.
Rina terhibur. Matanya tetap berkaca-kaca. Dia cuba meraih tangan Lukman. Tiba-tiba sahaja seperti menangkap angin.
Rina tersentak.
“Sayang?” Lukman bertanya. Perubahan Rina, menimbulkan tanda tanya.
“Ya?” Rina menjawab dalam kebingungan.
“Awak mengelamun apa?”
“Saya?” Mudah sekali air matanya tumpah. “Tak ada apa.”
‘Ya Allah. Tabahkan hatiku, Ya Allah.’ Rina tidak berputus-putus berdoa dalam hati.