Mereka singgah ke sebuah taman dipenuhi bunga pelbagai spesis. Rina sengaja memilih tempat itu. Dia berasa tenang dikelilingi bunga. Rina memetik bunga melati putih. Dipejam mata dan dihidu baunya. Tenang.
Setelah itu, Rina cuba untuk menangkap rama-rama yang terbang berhampiran. Saat tangannya begitu hampir mengepung makhluk itu, ia terbang tinggi menuju suatu arah.
“Ish, lari pula! Tunggulah kau bila aku dah boleh berjalan semula.”
Dengan keupayaan terbatas, Rina cuba untuk berlari lalu mengejar rama-rama itu. Dia sudah tidak peduli akan keadaan sekeliling. Biarlah mereka memandangnya. Tidak semena-mena rama-rama itu mendarat betul-betul pada telapak tangan seseorang.
Larian Rina terhenti. Senyuman lebarnya mulai mati perlahan-lahan. Insan dirindu setengah mati di depan mata!
“Rina sayang.” Suara Lukman sudah cukup menggetar jiwa hawanya.
Rina menggeleng kepala perlahan. Berundur beberapa tapak. Kemudian, terus berpaling. Dia harus pergi.
Lukman pantas berlari lalu berdiri tepat di depannya. Menghulurkan sebatang bunga matahari kuning. Rina pada mulanya menunduk namun kemudian memandang bunga itu dan sang suami silih berganti. Mereka berdua mulai larut dalam emosi.
Rina teragak-agak untuk mengambilnya. Sebaik sahaja jari-jemari menggenggam bunga matahari, dia terus rebah dalam pelukan Lukman.
Mereka menangis sepuas-puasnya!
Noraziah gelisah mencari Rina yang tiba-tiba menghilang. Baru ditinggal sebentar untuk ke tandas.
“Ya Allah, Rina! Mana kamu pergi? Sakit jantung mak ni. Kamu tiba-tiba hilang!”
Noraziah segera mendail nombor telefon pembantunya.
“Helo. Tolong jejaki Rina. Sekarang! Dia dah hilang. Saya bawa dia ke taman bunga. Tak sangka jadi macam ni.”
Panggilan ringkas ditamatkan. Noraziah terus giat mencari Rina.
“Rina, tolong muncul! Mak risau dekat kamu! Rina!” Noraziah menjerit sehingga suaranya menjadi serak.
Rina menyuap aiskrim perisa coklat dan mint sambil matanya melihat ke arah pelanggan kedai mereka singgahi itu.
“Mereka asyik perhatikan kita je. Tak selesa saya,” luah Rina.
Pelanggan di sekitar saling berbisik seseolah menjadi kesalahan buat Rina dan Lukman menjamu selera di situ.
Lukman turut sama meliarkan mata.
“Ya, tapi kenapa?”
Telefon pintar Lukman di atas meja bergetar-getar.
“Sekejap ya. Kawan saya call. Helo…” Lukman bersuara malas.
“Man, kau dekat mana?” Azmir bersuara cemas.
“Aku dengan Rina. Makan. Kenapa?” Lukman bertegas. Menyuap kembali aiskrim ke dalam mulut.
“Apalah yang kau dah buat?” Suara Azmir kedengaran kecewa.
“Apa yang aku dah buat? Janganlah berteka-teki dengan aku!” Kening Lukman sudah bercantum.
“Kau tahu… berita tak baik pasal kau dah tersebar merata-rata dekat TikTok! Ada orang tiba-tiba spill tea kononnya kau telah mengkhianati kawan baik kau sendiri 5 tahun lepas!
“Huh, aku tak faham. Spill tea apa ni? Kawan mana pula?”
“Buka Whatsapp. Aku share link video tu. Nanti kau fahamlah sendiri!”
Panggilan itu tamat. Lukman merenung skrin.
Rina menjongketkan kening, “Kenapa tu? Suaranya macam cemas je. Perkara penting ke?”
“Entah.”
Tidak menunggu lama, mesej Azmir masuk ke dalam aplikasi Whatsapp. Lukman membuka pautan video diberi. Saat membuka video itu, matanya terbutang besar!
Mereka masuk ke dalam kereta dalam keadaan tergesa-gesa. Rina tidak mengerti, hanya menurut arahan suaminya. Orang awam bagaikan wartawan tidak berbayar. Masing-masing menaikkan telefon pintar merakamkan setiap momen pergerakan Lukman. Sudahnya, Rina terasa mereka bagaikan selebriti popular.
Rina melihat air muka sang suami keruh. Lukman berdiam diri. Sesekali kedengaran keluhan berat dari mulut Lukman. Di kesempatan itu, Rina membuka laman sosialnya. Hampir-hampir terlepas telefon pintar dengan berita sensasi itu.
“Awak dah tahu sekarang,” Lukman bersuara tanpa menoleh. Air mukanya tegang.
“Awak…” Rina tidak berani untuk melanjutkan kata-kata.
“Saya bukan pembunuh…” Lukman bersuara perlahan.
Rina terus memandang ke hadapan.
“Saya tak fikir sampai ke situ.”
Lukman tersengih dengan matanya berkaca-kaca. Dia tahu Rina seorang isteri yang baik.