Kalsum memegang kepala. Pening. Badannya terasa kurang sihat pagi ini. Terhuyung-hayang menapak masuk ke dalam lif. Selepas bersarapan, niat mahu menelan sebiji panadol.
“Morning,” sapanya kepada staff.
Mereka membalas seadanya.
Pintu bilik ditolak. Mulanya dia tidak sedar ada seseorang menunggu di dalam.
“Selamat pagi.”
Kalsum kaget. Cerah terus pandangan matanya. “Apa you buat di sini?”
“Jarang-jarang aku dapat melawat kawan-kawan lama bila sibuk bekerja. Sekarang, aku ada banyak masa lapang.”
“Kawan lama? I tak pernah jadi kawan you.”
“I know.”
Kalsum tersenyum senget. Berjalan selamba ke tempat duduk. Membiarkan sahaja Lukman tercantuk duduk di sofa pada ruangan tengah pejabat.
“Bawa resume? Mungkin ada mana-mana jawatan kosong yang sesuai untuk pengalaman you. I berbesar hati untuk membantu orang dalam kesusahan.”
Lukman tergelak dengan sindiran itu. “Resume? Aku ada bawa benda penting berbanding resume sendiri.”
“Dengar macam serius sahaja benda tu. What’s the matter?”
Kalsum membancuh minuman 3in1. Bukan untuk tetamu, akan tetapi dirinya sendiri.
“Aku mengaku, aku tak boleh maafkan diri aku sebab khianati arwah Zahuri.”
Mendengar nama arwah Zahuri disebut-sebut, gelas berisi kopi segera panas tergelincir daripada pegangan tangannya. Mujur tidak pecah. Cecair di dalamnya tumpah ke lantai dan sedikit terpercik mengenai skrit labuh Kalsum.
“Kau nampak takut.”
“Tak ada.” Kalsum menyebak rambut lalu buat-buat ketawa.
“Apa yang kau dan Sabrina buat sebelum ni memang bagi aku tamparan dalam hidup. Aku dah tak ada kerja. Aku dah dimalukan di depan orang awam. Aku dah tak ada maruah.”
“Jadi, you datang untuk memberitahu kekesalan you? I tak nak terima permintaan maaf you. Penderitaan arwah Zahuri sukar untuk I padam dari memori!”
“Yakin?”
“Mestilah! Sudah! Apa maksud kedatangan you?”
“Mungkin kau akan ubah fikiran bila kau tengok sesuatu.” Lukman membelek telefon pintarnya.
Kalsum tidak sempat bertanya. Pesanan masuk ke dalam telefon pintar.
“Tu… dalam whatsapp kau.”
Kalsum mencapai telefonnya.
“Tak perlu kot I tengok mesej you.”
Lukman tergelak. “Kau menempah maut dengan buat macam tu. Cuba tengok dulu.”
Kalsum berdengus. Menggeser skrin. Terpapar foto-foto yang membuatkan matanya terbeliak besar.
“Gambar ni… mana you dapat?”
“Aku beli daripada sebuah kedai telefon. Lover kau jual telefon diakan? Aku dengar… arwah Zahuri ada tinggalkan harta untuk kau. Tapi, bersyarat, kan?”
Kalsum menjeling tidak puas hati. “You curi data peribadi orang!”
“Tak ada beza pun dengan kau. Oh, ya! Syaratnya, dalam tempoh 5 tahun kalau kau tak berkahwin atau tak jumpa pengganti dia. Kau boleh dapat harta tu sebagai tanda kesetiaan kau padanya. Kalau peguam arwah nampak gambar ni, kau rasa apa reaksi peguam tu? Opss… lebih tepat, status harta tu, kan?”
Dada Kalsum sudah berombak. Nafasnya kencang bagai lembu naik minyak. Namun, Kalsum tersedar. Dia sepatutnya bertenang. Dia harus menunjukkan dia tidak terkesan langsung dengan isu berbangkit.
“Penganggur macam you memang tak ada kerja, kan? Sebab tu banyak masa untuk buat benda-benda merepek!”
“Nama pun penganggur. Mestilah banyak masa.”
Kalsum duduk. Mulai membuka skrin komputer. Kononnya, mahu mula bekerja. Tindakan halus untuk menghalau Lukman pergi.
“Dulu, kau dengan arwah seperti belangkas. Alah, zaman sekolah menengah dulu. Cinta monyet memang indah. Sampai hatikan kau khianati cinta dia. Kau pun tahu arwah sayangkan kau melebihi dirinya.”
“You cakap untuk diri sendiri ke? Apa kawan pengkhianat ni cuba nak sampaikan kepada I?”
“Aku nak tebus kesalahan aku. Aku takkan biarkan hartanya jatuh ke tangan orang tak berhati perut seperti kau. Kau pun terlibat dalam membuatkan dia menderita. Pura-pura cintakan dia. Belakang, main kayu tiga!”
“Diam!” Kalsum menepuk meja. Dia kembali berdiri. Saling merapati dan berpandangan. “Aku dah muak dengan semua ni. I tak bersalah! Berulang kali I minta putus. I dah katakan kepada Zahuri, I dah tawar hati! Tapi, dia degil! Dia nak juga pertahankan hubungan kami. Dia ugut nak bunuh diri. I terpaksa terima dia semula tanpa rela. You hanya fikirkan perasaan dia. Perasaan I? Bila I tahu dia kemalangan dan nazak, I memang sedih! Tapi, sedih sebagai kawan dan juga bekas kekasih. Bila wasiat dibacakan, I rasa I memang layak terima! Kenapa perlu I tolak? I tak nak tolak tuah. Tapi, dia seksa I! I perlu menunggu dan perlu buktikan pula I sayang dia. You dan dia sama sahaja. Menyusahkan!”
“Kau tak cinta dia. Jadi, balas dendam tu hanya helah!”
“Ya!”
“Mata duitan!”
“I dah kata… I layak! Setelah semua derita. I terpaksa menjerut perasaan. Salah ke? You jangan nak play victim sangat!”
“Kau…”
“Just give up, Lukman! Kerana dia jugalah, you dalam masalah. Kalaulah dia tak merelakan diri daripada dilanggar… dia takkan mati. Perbuatan dia umpama bunuh diri. Bukan kali pertama pun dia buat macam tu. Suka sangat buat orang lain serba salah dengan dia. Apa orang lain tak ada perasaan? Muak tahu tak!”
“Kau…”
“You dah dapat jawapan, kan? Apalagi? Pergilah! I masih banyak kerja bukan macam you tanam anggur!”
“Aku kira… aku juga perlu pampasan atas kerugian aku alami sebab perbuatan kau.”
“Funny. You nak harta dia juga? Tunggu jelah beberapa tempoh lagi. I sendiri serahkan berapa kerugian you. Asalkan biar pecah di perut jangan pecah di mulut.”
“Tidak. Aku tidak datang kerana wang.”
“Nonsense. Siapa je akan menolak wang? Lagi-lagi kau penganggur terhormat!”
“Lebih seronok kalau foto-foto kau diberi kepada peguam arwah.”
“Jangan you berani buat macam tu!” Sekali lagi Kalsum menepuk meja. “You nak balas dendam sebab kerjaya you hancur, kan?”
“Tidak. Aku nak buktikan yang kau pun tak ada beza dengan aku! Mengambil kesempatan atas kesempitan.
“Korang semua pentingkan diri! I juga yang nampak salah. Yalah, semua salah I. You all semua mangsa!” Kalsum mengamuk sakan. Terbang semua barangan di atas meja.
Sudah beberapa hari Kalsum mengekori Lukman. Dan, lelaki itu tahu dirinya sedang diperhatikan. Kadangkala, Lukman sengaja menunggang motosikalnya melalui pejabat peguam arwah Zahuri. Sengaja pusing beberapa kali di jalan yang sama.
“Kurang ajarnya!” Kalsum menghentak stereng.
Hidup Kalsum diburu kebimbangan. Dia tidak mahu mengalah setelah beberapa tempoh bersabar. Dia mesti lakukan sesuatu. Sia-sialah usahanya selama ini jika dimusnahkan oleh Lukman dalam sekelip mata.
Motosikal Lukman memasuki halaman rumah. Rina menyambutnya pulang. Topi keledar dan beg kamera dijinjing masuk sang isteri ke dalam rumah.
Kalsum memerhati pasangan suami isteri dengan penuh minat. Akalnya bercambah dengan idea jahat. Dia mendail nombor telefon Lukman.
“Kau tak nak balik?” Lukman bertanya dahulu sebaik sahaja panggilan berjawab. Lukman masih di luar rumah.
“You masih berdegil nak hantar bukti itu kepada peguam?”
“Aku lalu je depan pejabat peguam tu. Apa kau takut?”
“You fikir I bodoh? I tahu helah you!”
“Tengoklah nanti-nanti ke aku jumpa dengan peguam arwah.” Lukman semakin galak mengusik. “Aku dah lapar. Nak makan. Kau baliklah. Perempuan tak elok merayau sampai jauh malam. Kau tinggal seorang. Bila-bila je kejahatan menyelinap masuk menyerang kau.”
Kalsum menjerit sekuat hati kerana Lukman menamatkan panggilan begitu sahaja. Sempat lagi lelaki itu melambai tangan. Kebetulan Rina keluar semula memanggil Lukman makan. Semakin panas hati Kalsum melihat mereka berdua jalan berpelukan masuk ke dalam rumah.
“How dare you? Tak adil betullah hidup ni!”
Kalsum memandu pulang serupa orang hilang pertimbangan. Beberapa lampu isyarat dipersimpangan di langgar. Mujur sahaja, jalan raya lengang. Jika tidak, berlakulah kemalangan meragut nyawa.
“You nampak mereka?” Kalsum bertanya kepada seorang lelaki yang duduk di tempat duduk belakang keretanya. Lukman membonceng Rina untuk bersiar-siar pada waktu petang menghampiri senja.
Dari cermin pandang belakang, Kalsum melihat lelaki itu mengangguk.
“You ekori mereka. Jangan benarkan si lelaki tu berjumpa dengan peguam Zakwan. Kalau mereka bertemu, you buatlah apa sahaja asalkan rahsia I tak terbongkar.”
“Apa sahaja?”
“Ya,” jawab Kalsum, yakin. “I tak sabar semua derita ini berakhir.”
“Walaupun membunuh?”
Terus Kalsum tergamam. Tidak pernah terlintas sampai ke situ pemikirannya. Perbualan tidak bersambung.
Penumpang di belakang menyorokkan senyuman sinis. Dalam diam, mengutuk Kalsum serupa pengecut. Sudah berani menggunakan khidmatnya namun, tidak berani menangung risiko. Seharusnya Kalsum tahu, perkara itu akan mengundang kesusahan kepada diri sendiri.