Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 7

Noraziah menyapu lantai ruang tamu. Dia sudah membersihkan serpihan kaca menggunakan surat khabar yang dibasahkan. Terperanjat sungguh dia. Sebaik sahaja pagi, terlihat titisan darah di permukaan sehingga ke bilik tidur sang anak. Melihat luka di telapak kaki Rina, mengertilah dia. Rina terpijak serpihan kaca tanpa sedar.

Noraziah membuang pandangan ke halaman rumah. Rina duduk di atas kerusi roda memandang tanaman bunga matahari. 

“Nak, bila mak tak ada… siapalah mahu menjaga kamu?” Noraziah mengelap air mata dengan hujung baju.

Rina termenung semasa mengelap kamera DSLR milik Lukman. Dengan kamera itu, Lukman pernah membidik fotonya di ladang bunga matahari.

“Gambar kita menang!” Lukman bersorak sebaik sahaja mereka bertemu kembali.

Ketika itu, Rina sedang mengerat batang bunga matahari untuk dikeringkan. Terlompat-lompat mereka meraikan kejayaan Lukman. 

“Wah, saya tumpang gembira untuk awak!” Teruja Rina menyaksikan fotonya tersiar di dalam ruangan sastera sebuah akhbar.

“Bertuah saya dapat jumpa awak. Model cantik untuk gambar saya.”

“Melebihlah awak. Kalau bukan teknik menggambar awak, tak menjadi juga gambar tu, kan?”

“Apa perlu saya balas? Belanja awak makan?”

Rina menggeleng, “Tak perlulah. Saya tak minta balasan.”

“Saya tahu! Bawa awak shopping?” Lukman tetap tidak berputus asa.

“Tak. Saya tak suka shopping.”

“Kalau macam tu…” Lukman mengurut dagu. Masih tiada petunjuk.

Rina terfikir sesuatu sebaik sahaja melihat matahari petang. Dia menuding jari ke arahnya.

“Teman saya saksikan matahari terbenam.”

“Itu je? Mestilah boleh!”

Lukman tidak melepaskan peluang membidik foto matahari terbenam. Rina membiarkan sahaja. Dia tersenyum. Pada saat itu, Lukman lekas menyuakan lensa ke arahnya. Maka, terhasillah satu lagi foto kenangan bersama.

“Eh, awak… hati-hati!” Rina terbeliak bola mata semasa Lukman berjalan mengundur untuk merakamkan fotonya lagi.

“Kenapa?” Meskipun bertanya, Lukman tidak berhenti mengundur.

Akhirnya, Lukman terjatuh ke dalam lopak air. Habis basah satu badan dengan lumpur. Hujan lebat tengahari membuatkan kawasan tanah ladang bunga matahari berair dan basah.

Rina ketawa besar. Benar-benar terhibur. “Tulah. Tak nak dengar cakap saya.”

“Awak tak nak tolong saya?” Lukman buat muka kesian.

Rina menghulurkan tangan. Lukman terus menariknya. Sudahnya, kedua-dua mereka kotor dan basah. Terbahak-bahak ketawa masing-masing. 

“Cinta berputik di ladang matahari!” Spontan sahaja Lukman mengungkapkannya.

“Apa dia?”

“Ya, sayang. Cinta kita berputik di ladang matahari!”


Rina tergelak mengingati peristiwa lalu. Sesekali menyeka air matanya.

“Rina…” panggil Noraziah, lembut.

Melihat perlakuan Rina, Noraziah diserbu kebimbangan. Rina ketawa dan menangis sendirian tanpa diketahui puncanya.

“Dah banyak kali kamu lap kamera tu. Nanti calar lensanya. Mahal tu. Nak cari pun susah.”

“Mak.”

Rina sendiri tidak sedar air matanya mengalir. Noraziah mengurut kaki Rina sambil menahan sebak.

“Kamu kena banyakkan berjalan. Esok pagi-pagi, kita ke ladang. Kamu boleh berlatih berjalan di sana tanpa gangguan.”

“Mak, mana suami saya?”

Noraziah terkedu.

“Dia ada. Tengah kerja, kan?” Suara Noraziah tidak menyakinkan. 

Rina mengangguk lemah. Percaya dengan jawapan Noraziah.

“Saya mahu mandi. Melekit. Tak selesa. Lambat pula saya mandi hari ni.” 

“Mandi? Kamu baru sejam lalu membersihkan diri. Tapi, kalau kamu nak mandi lagi… mak bawakan. Cuaca sekarang terlalu panas. Dah tak boleh sekadar mandi dua kali sehari.” 

Rina terkedu. Perkara mudah sebegitu itu pun, dia lupa! Bagaimana dengan memori lain? Dia meragui keupayaan mengingatnya secara tiba-tiba. Dia memegang kepala dengan kedua-dua tangannya. 

“Oh, kalau macam tu… saya nak tengok tv.”

“Biar mak sorong kereta roda kamu.”

“Baik.” 

“Kenapa Rina?” Noraziah hairan melihat Rina seakan-akan tercari sesuatu.

“Mana baju baju melayu biru dekat sini? Rina letak atas meja tadi.”

Rina diamuk resah. Hampir-hampir terjatuh dari kerusi roda. Noraziah pantas menahan Rina.

“Baju Lukman?”

“Ya.” Rina mengangguk laju.

“Mak letak dalam mesin basuh.”

“Mak! Kenapa buat macam tu? Habis hilang bau suami saya!”

Rina mulai menangis. Dia berusaha menggerakkan kerusi roda. Mahu mengambil baju itu kembali.

“Rina. Bertenang Rina!”

“Mak. Tolonglah ambilkan kembali baju melayu biru tu. Rina perlukannya.”

“Tapikan kotor? Baunya dah busuk. Biar mak basuh. Nanti dah wangi, boleh guna.”

“Rina tak peduli,” bentaknya.

“Ya… ya! Mak ambil ni.” Noraziah segera menuruti kehendak anaknya. “Ya Allah, kenapa anak aku ni?”

Noraziah tidak perlu tercari-cari. Memang baju baju melayu biru terletak elok di dalam mesin basuh. Baju itu sudah kotor berbau hapak.

“Apa ni puan? Lepaskan saya puan!” 

Noraziah terkejut mendengar jeritan seorang lelaki di halaman rumah. Dia berlari pantas. Baru ditinggal sekejap. Bimbang sesuatu buruk berlaku.

“Kenapa ni?” Noraziah hairan melihat Rina menarik lengan baju pekerja TNB. 

“Jangan pergi! Saya merayu,” rintih Rina.

“Rina, lepaskan encik tu!” Noraziah terjerit.

Rina hampir-hampir terjatuh dari kerusi roda. Noraziah meleraikan pegangan tangan sang anak dari terus mencengkam lengan pekerja itu. Dia membawanya ke pelukan.

“Maafkan anak saya.”

“Anak puan ni tiba-tiba je terkam saya. Kan tak manis dipandang dek orang. Tak pasal-pasal dituduh bukan-bukan.” 

“Rina…” Noraziah menegur Rina diam terkutik. Dalam masa yang sama, Rina sudah berendam air mata.

“Ni bil elektrik untuk bulan ni. Saya harap janganlah berulang lagi perkara ni. Saya balik dulu, ya? Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam.”

Noraziah menghela nafas lega. 

“Rina, kenapa Rina buat macam tu?”

Rina tidak menjawab. Dia menggerakkan kerusi roda menjauhi Noraziah.

“Rina kalau ada apa-apa nak luahkan, tolonglah bagitahu mak. Mak bukan ada kuasa ajaib. Mak tak boleh baca isi hati Rina.”

Rina tetap seperti tadi. Dia merenung bunga-bunga matahari di halaman rumah.

“Marilah kita masuk. Dah senja. Mak masak ikan asam pedas. Kamu tak menjamah apa-apa dari tadi. Nanti masuk angin. Gastrik. Kamu juga sakit nanti.”

“Mak masak ikan asam pedas?” 

“Ya. Kegemaran Rina.”

“Dan suami saya.” Perlahan sahaja suaranya.

Noraziah tidak mendengarnya. Pintu gelongsor ditutup.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.