“Eh, kau dah habis baca novel N. Mikah yang baru tu?”
“Mestilah dah! Aku baca waktu malam semalam. Tu yang mengantuk tak cukup tidur.”
“Amboi, kemain cepat kau baca.”
“Rugi sangat kalau novel tu jadi penghias rak. Buat kumpul habuk je.”
“Aku nak tanya kaulah. Kau rasakan, watak perempuan jahat dalam novel tu, wujud ke dekat dunia sebenar?”
“Pendapat akulah, mungkin inspirasi mana-mana individu.”
“Kau perasan tak, watak perempuan jahat tu macam sama kes dengan…” Melati menuding jari ke arah bilik Kalsum. “Tu. Lebih kurang.”
“Hisy, kau ni! Tak baik menuduh.”
“Betul apa. Peristiwa mereka putus tunang. Kejadian kemalangan menimpa bekas tunang dia. Hasil kerja kena curi kawan sekerja.”
“Alah, kebetulan je tu! Kan fiksyen. Ada bahagian penafian. Tak bolehlah kita nak andaikan apa dalam novel itu ialah peristiwa sebenar.”
Kalsum berdehem. Butang blazer dibetul-betulkan spontan.
Bukan main terkejut lagi mereka berdua. Hampir-hampir melatah. Mata masing-masing memandang skrin komputer. Tangan laju menggerakkan tetikus yang tidak mempunyai hala tuju.
“Banyak masa bersembang? Dah siap layout text?” Kalsum menjeling mereka.
“Lagi sikit puan.”
“Lain kali nak membawang, tengok kiri kanan.” Tekan Kalsum.
Mereka terdiam tidak terkutik. Mencuri pandang antara satu sama lain.
Kalsum memandang serong novel terbaharu N. Mikah di atas meja Melati. Api kemarahannya menyala-nyala.
“Di pejabat saya, saya tak benarkan bahan bacaan syarikat lain.” Kalsum menuding jari ke arah novel itu. “Simpan sekarang novel tu. Sekarang masa kerja. Saya tak perlukan pekerja yang leka. Dekat luar sana, ramai lagi orang berebut masuk nak bekerja dekat sini. So, think about it!”
Melati terus menyambar novel N. Mikah. Dimasukkan ke dalam beg. Bimbang Kalsum naik hantu. Entah apa-apalah yang akan dibuatnya nanti. Sudahlah, itu merupakan koleksi kesayangannya. Belum puas ditilik-tilik.
“Lain kali, masa kerja buat kerja betul-betul. Nak main-main, baik awak hantar surat berhenti kerja. Saya dengan senang hati akan luluskan permohonan awak.”
“Wuish, kenapa dengan dia tu? Kita buat salah besar ke? Aku rasa, biasa-biasa je perbualan kita,” keluh Melati setelah Kalsum pergi.
Kesuma menjongket bahu. “Entah. Datang bulan kot. Emo semacam.”
“Apalagi tu? Tak habis-habis gosip?” Jerit Kalsum di muka pintu. Dia melihat mulut dua orang pekerja itu terkumat-kamit semasa mahu menutup pintu.
“Alamak, dia dengar!” Kesuma berlakon sibuk menaip sesuatu.
“Sambung kerja… sambung kerja!” Melati sudah ketakutan.
Terangkat bahu mereka tatkala pintu pejabat Kalsum dihempas kuat dari dalam. Kalsum memang benar-benar naik hantu!
“Kurang ajar!” Kalsum tidak mampu menahan rasa marahnya. Habis barang-barang di atas meja dibaling ke dinding. Novel tulisan N. Mikah tidak terkecuali. Dibaling berulang kali ke lantai sehingga lunyai. Belum puas hatinya, dipijak-pijak dengan kasut tumit dengan membayangkan wajah penulis itu.
“Baru puas hati aku! Kau memang patut berada di bawah kaki aku! Itu tempat selayaknya untuk kau!”
Kalsum terduduk penat. Bernafas kencang. Habis kusut-masai rambutnya. Hilang keayuan yang dijaga selama ini.
“Argh, aku belum puas!”
Kalsum naik hantu kembali. Novel itu diambil lalu dibaling beberapa kali. Tercabut kulit bukunya.
Kali ini, dia tidak berfikir panjang. Bingkai gambar Zahuri di atas meja dibaling sekuat hati ke dinding.
“Sia-sia jelah aku lakonan aku! Sampai kau mati pun, kau tak nak lepaskan aku?”
Tidak semena-mena terbayang wajah Izatul Sabrina. Kalsum ketawa sendirian.
“Bagus juga kau mati! Tak sangkakan Irwan yang tersangat sayangkan kau, sanggup bunuh kau! Tepat pada masanya dia bertindak!”
Kalsum mengambil kembali novel itu.
“Hebat sangat ke kau N. Mikah?”
Secara tidak langsung, Kalsum memulai pembacaan untuk novel kedua N. Mikah.
Sabrina berada di bilik arwah Zahuri. Dia mengemas barangan peribadi peninggalan arwah abangnya. Berikutan pemecatannya, dia mahu membawa diri jauh meninggalkan kota besar. Mungkin pulang ke kampung mencari kedamaian yang sudah lama hilang. Merenungi segala kesalahan yang dilakukan.
“Aku… aku patut minta maaf kepada Lukman.”
Sabrina sudah siap sedia dengan telefon pintar. Mahu menaip pesanan untuk dikirim ke Whatsapp Lukman. Ditulis dan dipadam mesej berulang kali. Ragu-ragu. Dalam masa yang sama, kesalahan sentiasa memburunya sehingga hidupnya tidak pernah tenang.
Lantai bilik bersepah dengan barangan yang belum dikemas dipandang sekilas lalu.
“Huh, mungkin selepas siap kemas, aku mesej dia.”
Lantas telefon pintar dibaling ke atas tilam.
Laci di sebelah katil, dibuka. Dikaut keluar semua benda. Antaranya ialah diari kepunyaan Zahuri. Sabrina menepuknya berulang kali untuk membuang habuk dan sarang labah-labah.
Semasa dia membuka diari itu, beberapa keping foto terkeluar lalu terjatuh ke lantai.
“Gambar siapa pula?”
Setelah diamati, jantungnya terasa mahu pecah. Terbutang luas matanya. Cepat-cepat diselak pula diari kepunyaan arwah abangnya untuk mencari petunjuk.
“Dayuskah aku, berdiam diri melihat kecuranganmu di depan mataku? Berulang kali kau meminta putus. Katamu, aku terlalu sibuk dengan kerja. Tapi, aku tahu… bukan itu alasan utama! Patutkah aku katakan, kau tidak ikhlas mencintaiku selama ni? Kau senantiasa mencari alasan. Sebenarnya, apa mahumu?”
Sabrina berlari kencang sebaik sahaja keluar dari perut teki. Dia sudah tiba di depan rumah Kalsum. Loceng pintu ditekan berulang kali.
“Ya… ya! Sabar boleh tak? Tak menyabar betul!”
Pintu dibuka kasar dari dalam. Kecil besar bola matanya.
“Kau rupanya. Ada apa? Dah lewat malam.”
Jari-jemari Sabrina mencakar kuat beg tangan. Bola matanya tergerak-gerak. Dia bernafas kencang.
Kalsum memeluk tubuh.
“Ada apa ni? Nak masuk tidur dah.”
“Semua sebab ni!” Sabrina pantas mengeluarkan foto-foto yang ditemui.
Keadaan malap membuatkan Kalsum tidak dapat melihat butiran foto. Dia tergelak.
“Kamu nak tunjuk bakat ke? Atau nak minta disiarkan ke kolum majalah? Boleh. Tapi, kita bincang esok dekat pejabat akak.”
“Bukan!” Sabrina mencampak foto-foto itu.
“Apa kena kamu ni?” Kalsum mengutip salah satu foto. Tiba-tiba matanya membulat besar. “Ni…”
Giliran Sabrina tergelak. Tawa bersama hatinya yang sakit! Menakutkan pada pandangan Kalsum.
“Cadangan yang bagus juga. Foto tu memang menarik kalau dapat disiarkan dalam majalah tempat akak bekerja. Persoalan, sanggup ke kak Kalsum sunting dan luluskan?”
“Mengarut!”
Foto itu dibaling semula.
“Akak tak nak jelaskan ke siapa lelaki tu? Kenapa akak dan lelaki itu tersangat mesra? Nampak macam pasangan kekasih!”
“Tak ada apa perlu jelaskan.”
“Arwah abang ada catatkan butiran dalam diari dia. Akak tak ikhlas cintakan arwah abang!”
“Kamu jangan mempersoal keikhlasan cinta akak terhadap arwah abang kamu! Akak sangat menderita sampai sekarang!”
“Kelakar.” Sabrina semakin galak ketawa. “Ke akak sebenarnya ada agenda lain?”
“Sudah! Aku nak tidur!”
Kalsum menghempas pintu meninggalkan Sabrina yang sudah terduduk menangisi percintaan malang arwah abangnya.
“Saya akan cari punca sebenar. Saya akan tuntut bela untuk arwah abang saya.”
Sayu hati Sabrina melihat hantaran perkahwinan yang arwah abangnya sediakan untuk majlis istimewanya dengan Kalsum.
Rantai emas 916 bernilai hampir puluhan ribu bersinar cantik. Sabrina membelainya lembut.
“Abang memang manjakan kak Kalsum. Tapi, pada penghujung usia… abang terlalu sibuk dengan kerjanya. Sebelum tu, abang memang tunaikan sahaja permintaan kak Kalsum.”
“Ke mana abang nak pergi?”
“Abang nak buat kejutan.”
“Kejutan?”
Zahuri menunjukkan bekas cincin merah berkain baldu.
“Wah, betul ke?”
“Abang nak melamar kak Kalsum kamu.”
“Serius ke ni?”
“Ya, mestilah! Abang kena bertindak cepat. Lambat-lambat diambil orang.”
“Yalahkan. Kak Kalsum tu cantik. Auranya memukau semua orang.”
Zahuri mulai berubah emosi.
“Kenapa abang?”
“Abang dah lambat. Kamu jaga diri ya.”
Zahuri mengelus rambut Sabrina. Senyuman manis itu akan segera berakhir.
“Abang? Kenapa abang nampak sedih? Okey ke tadi?”
Zahuri agak terkejut disergah dalam kesunyian malam. Sabrina dapat melihat dengan jelas air muka kesedihan abangnya.
“Dik.” Zahuri tersenyum nipis. “Alhamdulillah.”
“Alhamdulillah.”
Sabrina mahu melanjutkan pertanyaan. Namun, Zahuri terlebih dahulu menyambung bicara.
“Abang masuk bilik dulu. Nak mandi.”
“Baik.”
Sabrina duduk di ruang tamu. Hampir 15 minit berlalu. Pintu bilik tidur Zahuri direnung. Dia tergerak untuk mencuri dengar suasana dalam bilik Zahuri.
“Abang…” Sabrina terkejut mendengar tangisan Zahuri. Dia mahu memulas tombol namun segera membatalkannya.
“Kenapa? Kenapa Kalsum? Kenapa awak buat saya macam ni?”
“Apa yang kak Kalsum buat?” Sabrina berbicara sendiri.
“Saya tunaikan semua yang awak nak. Saya sokong kerjaya awak. Saya menjadi tempat luahan susah senang awak. Tapi, ni yang awak balas kepada saya? Apa kurangnya saya?”
Sabrina terkejut mendengar bunyi kuat dari dalam bilik abangnya. Dia terus membuka pintu.
“Abang?”
“Adik!”
Sekali lagi dihambat kejutan buku lima abangnya berdarah. Terpacak serpihan kaca padanya. Dia terus menerpa. Baru sedar, tingkap bilik itu pecah.
“Abang. Kenapa ni?”
Zahuri terduduk. Dia mulai beresak tangis sambil menekup muka.
“Dik. Kenapa kak Kalsum kau tiba-tiba berubah fikiran?”
“Izatul tak faham.”
“Tadi, selepas makan malam… abang melamarnya.”
“Kemudian, apa yang berlaku?” Sabrina berdebar-debar. Bermain-main di minda segala perkara buruk.
“Dia tak sudi!”
“Abang…”
“Paling abang sakit hati, abang ternampak dia dengan orang lain!”
“Ya Allah!”
“Kenapa semua ni terjadi dekat abang?”
“Abang, mesti ada hikmahnya.”
Zahuri lantas memeluk adiknya. Habis basah baju Sabrina dengan tangisan Zahuri.
“Mungkin… mungkin sahaja.”
“Insya-Allah, bang. Allah akan ganti dengan orang yang lebih baik.”
“Abang…” Izatul Sabrina mengetuk pintu bilik Zahuri berulang kali. “Abang tak kerja ke hari ni? Dah nak pukul 7 ni, bang! Izatul tak nampak abang mandi pun. Keluar bilik pun belum.”
Izatul Sabrina berlalu ke dapur membancuh minuman panas untuk mereka berdua. Roti bakar disapu dengan mentega. Akan dinikmati bersama dengan telur mata kerbau. Diselitkan sekali salad.
Izatul Sabrina menghirup teh O panas dengan perlahan. Kemudian, mengunyah roti pula. Sesekali bola mata melirik jam dinding dapur. Sudah 7:15 pagi.
“Pelik. Abang tak keluar-keluar.”
Izatul Sabrina membasuh tangan. Dia mahu mengetuk sekali lagi pintu bilik Zahuri. Sama seperti tadi. Tiada sebarang respon. Dia memulas tombol pintu. Langsir tingkap berterbangan ditiup angin pagi. Katil kosong tanpa Zahuri.
“Abang…” Panggilnya berulang kali. Izatul Sabrina mencari-cari kelibat Zahuri. Tergaru-garu kepala. “Mana abang ni? Tak mungkin dia keluar. Motor dan kereta dia dekat luar masih ada.
Izatul Sabrina mencari di balkoni. Terkejut melihat Zahuri terbaring secara meniarap di lantai.
“Abang…” Ditarik tubuh Zahuri. Dia menekup mulut. Tidak pernah terlintas dalam fikiran, peristiwa malang itu akan terjadi dalam hidupnya.
Mulut Zahuri berbuih-buih. Bertaburan pil-pil ubat tidur berhampirannya. Sudah bermacam-macam andaian buruk terlintas.
“Ya Allah, abang!”
Izatul Sabrina panik. Cuba untuk bertenang. Barulah dia menelefon ke nombor kecemasan.
“Awak! Awak okey?” Kalsum menerpa ke arah Zahuri yang sedang baring berehat di katil hospital. “Kenapa awak buat perkara bodoh tu?”
Pandangan Izatul Sabrina sudah berubah. Dalam tidak sedar, dia menyalahkan Kalsum sebagai punca kejadian itu.
Zahuri bermuka pucat, tersenyum pahit.
“Saya gembira awak datang.”
“Awak tak kesiankan adik awak ke? Awak tak fikir panjang kenapa?”
“Awak pula tak kesiankan saya?”
Kalsum mengeluh. Zahuri membawa kembali topik berkenaan mereka. Makan malam semalam memang tidak lancar.
Zahuri mahu mencapai tangan Kalsum. Dia terasa hati. Kalsum tidak sudi menerimanya.
“Zahuri, please. Jangan ungkit pasal kita. Semuanya dah berlalu.”
“Belum. Saya masih tak nak putus asa.”
“Jadi, sebab tu awak buat benda bodoh tu?” Kalsum meninggi suara. Dia mengurut kepala. “Boleh tak awak hargai nyawa sendiri?”
Menyirap Izatul Sabrina dibuatnya. Kalsum menuduh tanpa tahu hujung pangkal.
“Kak Kalsum, tolong jangan tinggikan suara. Abang belum pulih lagi.”
“Tolonglah Zahuri. Jangan ulang perbuatan macam tu! Tak bagi manfaat kepada diri awak pun.”
“Abang overdose ubat tidur sebab tak dapat nak lelap mata. Abang bukan nak bunuh diri pun,” celah Izatul Sabrina, geram pula dengan tuduhan Kalsum.
“Betul ke?”
Zahuri mengangguk lemah.
“Semalaman saya bersedih. Saya cuba untuk lupakan semua tentang kita. Semakin dicuba, semakin sakit. Fikiran saya sesak. Tak boleh nak tidur.”
“Awak makan ubat tidur tak ikut arahan?” Kalsum bertanya, siap bercekak pinggang.
Zahuri mengangguk.
“Apa beza dengan nak bunuh diri? Takkan awak tak tahu kesannya?”
“Sudahlah tu, Kak Kalsum!” Izatul Sabrina menahan kemaraan Kalsum. Dibiarkan, mungkin akan berlaku pergaduhan. “Biarkan abang berehat. Kita keluar.”
“Sayang juga awak dekat saya.” Zahuri tersengih.
Kalsum tidak membalas. Dia berjalan keluar sambil merungut.
“Tak habis-habis dengan trik lama. Narsistik betul! Konon bukan bunuh diri. Tapi, apa benda terlantar dekat hospital? Ish, ingat aku nak kembali kepada kau ke? Cinta tak boleh dipaksa-paksa.”
Izatul Sabrina berhenti melangkah. Dia sendiri tidak faham dengan kerumitan hubungan abangnya dengan Kalsum.