Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 34

Kalsum menyelak majalah keluaran terbaharu syarikat penerbitan tempatnya bekerja. Sampai di muka surat yang dicari, dijulang majalah itu ke udara. Artikel mengenai pelancaran NGO Alam sekitar yang diabadikan sekali dengan nama Zahuri.

“I nampak bergaya betullah dengan pose ni! Bersungguh-sungguh menanam anak pokok demi pelancaran NGO alam sekitar. Berpeluh-peluh. Muka nampak penat. Seluar kotor kena tanah. Perfect!”

Kalsum bersandar. Memusing-musing kerusi sambil membaca isi artikel. Kejadian bulan lepas mengambil kembali kotak memori.


Imbas kembali…

Kalsum tiba di sebuah hutan simpan jauh di pedalaman sebuah negeri. Dia memandu sendiri dari ibu kota. Saat dia tiba dipinggir hutan, beberapa buah kenderaan pengamal media termasuk dari syarikat penerbitan tempatnya bekerja. 

Sebaik sahaja kakinya menapak di rumput, Kalsum merungut. 

“Ish, kalau bukan sebab kau… memang taklah aku jejak kaki dekat sini! Becak. Tanah basah. Jijik aku! Geli! Mahal tahu tak kasut aku! Jenama antarabangsa!”

Pintu kereta dihempas kuat. Marahnya belum surut. Monyok mukanya. Namun, mendadak menukar air muka kerana media mulai menapak ke arahnya. 

“Senyum Kalsum. Senyum! Mereka sedang merakam perbuatan kau. Jangan rosakkan imej sendiri.”

Mulalah sesi bersalaman sesama mereka.

“Dari mana cik puan mendapat ilham untuk wujudkan NGO Alam Sekitar yang diberi nama Zahuri’s Loves Nature?”

Mulalah Kalsum berlakon sedih. Tidak sukar untuk membuatkan matanya berkaca-kaca seseolah mahu menangis. Dia sudah menitikkan eye glow semasa dalam kereta. Bermekap pucat untuk kelihatan tidak bermaya.

 “Saya…” Kalsum sengaja menjeda bicara seperti tidak mampu untuk mengungkapkan kata-kata.

Seorang wartawan menghulurkan tisu kepadanya. 

“Thanks, dear.” Kalsum terjeda untuk mengelap tangisan palsunya.

“Arwah Zahuri memang sangat cintakan alam semula jadi. Hutan dah jadi macam rumah kedua. Beliau sering meluahkan kepada saya, betapa pilunya hati beliau melihat alam dirosakkan oleh tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab. Sampah-sarap memenuhi sungai. Belum termasuk lagi tumpahan minyak dan penggunaan racun kimia dalam pertanian. Sisa industri yang dihanyutkan dari kilang. Hidupan akuatik mati. Hutan digondolkan. Lapisan Ozon dah bocor.”

Masing-masing mengangguk. 

“You all mesti tahu, sekarang ni bongkah ais di kawasan Antartika semakin mengecil akibat pemanasan global. Ini akan menyebabkan paras air laut semakin meningkat. Sedih saya dengan keadaan semasa iklim.”

“Jadi, itulah tujuannya Zahuri’s Loves Nature diwujudkan?”

“Betul. You all bayangkan. Apa yang kita nak wariskan kepada generasi akan datang kalau bumi ini rosak? Tidakkah kita berasa berdosa kepada mereka? Kita bersalah tapi mereka menanggung akibat?”

Kalsum menyorok senyumannya. Mereka terpedaya dengan hujahnya. Dia terbayangkan penulisan baik-baik mengenai aktiviti hari ini. Namanya akan terus meningkat dan disanjung. Silap-silap, disebut-sebut selalu meskipun jasad sudah bersemadi dalam tanah.

‘Kalsum, sampai ke situ kau fikir! Aku belum nak mati!’ Kalsum mengutuk diri sendiri.

“Marilah. Kita ke tempat penanaman,” ajak Kalsum.

Mereka mengikuti langkah Kalsum menuju ke tapak semaian yang merupakan kawasan hutan paya bakau. 

Terjingkit-jingkit Kalsum melangkah. Dalam masa yang sama, tangannya mengibas serangga berterbangan. Sekali dua, digigit nyamuk. Bergerak-gerak bibirnya, memaki secara tidak langsung nyamuk itu tanpa dapat didengari orang lain.

Mereka tiba betul-betul di pinggir hutan. Air laut surut tika itu. Beberapa ahli NGO sudah siap sedia menunggu Kalsum merasmikan acara.

Satu anak pokok bakau dalam poly bag diserahkan kepada Kalsum. Jelas riak wajah menggelikan namun lekas berlakon ramah semula tatkala cahaya lensa memancar-mancar tanpa henti.

“Kita lakukan yang termampu untuk mengurangkan kesan rumah hijau. Selain daripada mengurangkan risiko banjir untuk kawasan terdekat. Dan, dapat mengelakkan spesis haiwan mendiami paya bakau pupus.”

Kalsum meletakkan poly bag. Dia diberi cangkul untuk menggali tanah. Apakan daya. Terpaksalah juga dilakukan meskipun sudah geli-geleman satu badan.

Semasa hujung mata cangkul mengenai tanah, terpercik lumpur ke mukanya. Dia agak terkejut. Namun, menahan kuat mulutnya daripada mengeluarkan kata-kata tidak baik. 

“Baiklah. Dengan ini saya rasmikan Zahuri’s Loves Nature.”

Mereka bertepuk tangan. 

Entah macam mana, semasa Kalsum mahu meletakkan anak pokok ke dalam lubang galian, dia hilang kesimbangan. Terjerit-jerit meminta pertolongan Segalanya berlaku terlalu pantas. Akhirnya, jatuh tersembam ke lumpur paya bakau. Kotor seluruh tubuh. Wajahnya diselaputi lumpur.

Mulanya mahu meraung sekuat hati. Menyedari situasi semasa, dia mengetap bibir sekuat mungkin. Beberapa sukarelawan membantunya bangkit.

“Saya okey. Tak apa-apa.”

Dalam hati, menahan rasa geli terpalit lumpur.


“Memang taubatlah I nak datang situ lagi! Never!” 

Barisan kuku yang baru dirias, diperhatikan. Betapa geram teringatkan kukunya patah dan kotor tempoh hari dek lumpur.

Kalsum memeriksa emel menggunakan komputer. Dia ada menghantarkan artikel digital mengenai Zahuri’ Loves Nature kepada peguam itu.

“Terima kasih?” Terselit balasan kiriman emel daripada peguan dilantik arwah Zahuri. “Baru kau tahu betapa I sayang dan setia kepada arwah Zahuri! Nak I buktikan apalagi?”

Bahagian artikel berkaitan kejadian dipotong kemas-kemas menggunakan gunting. Dimasukkan ke dalam satu bingkai gambar.

“I akan gantung artikel dekat tengah-tengah dinding pejabat. Kalau tak nampak juga, sah you buta!”

Kalsum tergelak kecil. Dia memangkah tetingkap emel. Kemudian, mengambil beg tangan. Menghubungi seseorang sambil berjalan keluar dari bilik.

“Hey babes. Keluar jom? Tempat biasalah mana lagi. Tempat rahsia kita tu!”

Gelaknya galak kerana menyangka kemenangan semakin berpihak kepadanya.


Kalsum dan seorang rakan perempuannya tergelak-gelak sebaik sahaja keluar dari bilik pawagam.

“Hilang stress I!” Kalsum mengeliat. “Hari-hari macam ni, kan bagus!”

Kawannya mengangguk seraya menyedut air berkarbonat yang masih bersisa. Popcorn dalam kotak sudah luak dari dalam lagi.

“Kelakar gila filem tadi. I tak habis ketawa.” 

“Baru pukul 8:00 malam! Awal sangat nak balik. Kita tengok movie lain, nak?” Ajak rakannya.

“Boleh juga. Selagi tak penat. Bukan selalu. Kita masing-masing sibuk. Bila lagikan nak keluar.”

“That’s right!”

Mereka beriringan ke kaunter tiket. Memerhati paparan skrin untuk melihat senarai filem sedang ditayangkan. Masa itulah telefon pintar Kalsum bergetar dalam genggaman tangan. Melihat nama pemanggil membuatkan Kalsum berdecit.

“Siapa?” 

“Tak penting.” Ikon merah digeser.

Tidak sampai seminit, dia menerima lagi panggilan daripada orang yang sama.

“Jawablah. Mana tahu emergency. Takut menyesal kalau you tak jawab.”

Kalsum berdengus. Menjeling tajam sebelum menjauh untuk menjawab panggilan.

“Cakaplah apa you nak cakap?”

“I miss you. Where are you?”

Lembut pula hati Kalsum mendengarnya.

“Itu je?” 

“You tak rindu I?”

“I rindu you tapi sekarang bukan masa sesuai nak merindu bagai!” Kalsum sengaja mengugut.

“Why? I tak boleh jumpa kekasih hati I? I miss you, dar. Rasa nak meletup jantung I sebab rindukan you. Nak bernafas pun susah. Nafas I sesak tanpa cinta you.”

“Amboi, melampau-lampau perbandingan you! Selama ni you bernafas pakai apa? Elok je selama ni hidup tanpa cinta I. Tadi you kata nak jumpa? Nak jumpa di mana?” 

“Kalsum.” Rakannya tadi memanggil dari jauh. “Aku dah beli tiket untuk movie seterusnya. Jom masuk? Lagi 15 minit.”

Kalsum mengeluh berat. Sekarang dia perlu buat pilihan.

“Sorry babes. I got to go.” Akhirnya, dia memilih untuk tidak meneruskan tontonan.

“Where?”

“Adalah…”

“Ingatkan boleh luangkan masa lagi dengan you.”

“Lain kali ya.” Kalsum menepuk bahu rakannya. Sudah tidak sabar menemui kekasih hati.

Kalsum menolak permintaan rakannya untuk menonton filem seterusnya. Dalam kesesakan pusat beli-belah, dia melangkah laju. Terpusing-pusing mencari lokasi sebuah restoran makanan segera. Kekasih hati sedang menunggu di sana. 

“Itu dia! Tingkat atas!”

Kalsum menaiki tangga bergerak. Dia tidak boleh bersabar. Berlari-lari memanjat anak tangga yang sedang bergerak. Tidak semena-mena bahunya berlanggar dengan orang awam. Mereka merungut. Kalsum buat tidak peduli sahaja. 

Dari luar restoran, dia sudah dapat melihat lelaki itu sedang bermain dengan telefon pintarnya. 

“Darling!” Kalsum teruja. Tidak sedar, terjerit di tempat awam.

“My love!” Lelaki itu berdiri sambil mendepa tangan. 

Kalsum berlari masuk ke dalam restoran.

“Dah lama kita tak jumpa. Sikit-sikit you larikan diri daripada I!”

“Bukan macam tulah! Demi kita juga. Sikit masa lagi, kita bebas untuk tunjukkan hubungan kita kepada umum. You faham, kan?”

“Tak sabarnya. Have a sit.” Lelaki itu menarikkan kerusi untuk Kalsum.

“How’s sweet!”

“Anything for you, darling.”

Mereka duduk. Membelek-belek buku menu.

Kalsum terperasankan lelaki itu menggunakan telefon pintar baru.

“Mana phone lama you? Nampak mahal phone baru you!”

Lelaki itu tergelak. Diberikan kepada Kalsum. 

“Beberapa hari lepas, I ada tugasan di luar. Buat liputan untuk sukan rakyat. You know, Temasya Wau terbesar di Malaysia! Setahun sekali diadakan. Tengah leka taip report, telefon I terjatuh. Kebetulan, satu motor lalu. Selamat kena lenyek dengan tayar! Skrin retak dan terus gelap. Tamatlah riwayat phone I.”

Kalsum tertawa. “Tragisnya kisah hidup phone you!  So, tak boleh guna langsunglah?”

“Yeap. Apa boleh buat. I bawa ke kedai untuk repair pun, tauke tu cakap memang tak boleh buat apa. Kalau baiki pun, harga serupa beli baru. I jual balik. Tauke tu beria-ria nak beli.”

“Selalunya akan dijual sebagai phone secondhand, kan?”

“Agaknya. I tak peduli.”

“Data-data dalam phone lama?”

“Don’t worry. Dah siap transfer.”

“I bukan apa. Ingatkan saja sebagai langkah berjaga-jaga. Orang kedai telefon pun bukan boleh percaya. Data-data kita digunakan untuk benda tak elok pula.”

“Contoh?”

“Yalah kan, contoh gambar-gambar peribadi kita disebarkan dekat media sosial. Ada kes, muka kita ni diedit dengan gambar bogel. Orang ingat, itu kita!”

“Sudah-sudahlah pasal phone I.” Lelaki itu mencuit pipi Kalsum. “Kesian kekasih I. Nampak cengkung. Sakit rindukan I?”

“Menahan rindu pun sejenis penyakit tau! I boleh mati menahan rindu.”

“Dah lama kita berbual. Order lah. Lepas tu…”

“You ni…” Kalsum menampar manja tangan lelaki itu.

Semakin galak mereka ketawa.

“Sampai bila kita nak macam ni?”

“Macam ni apa?” Kalsum pura-pura tidak mengerti. Sibuk membelek buku menu.

“Yalah. Sembunyi-sembunyi. Tak boleh declare. Mama papa I dah tanya, bila nak kawin? Soalan wajib tiap kali balik ke rumah parent I. Naik rimas kepala I. Kusut.”

“Sabarlah. Lagi sikit je lagi. I promise… tak lama. Nanti kalau kita kawin pula, diorang tetap akan terus bertanya. Bila nak ada anak pula? Bila nak ada cucu? Bila itu… bila ini. Biarlah diorang. Kita tak perlu serabut. Suatu hari nanti, kita pula yang akan ulang kitaran tu.”

“Dia dah mati tapi I tetap kena sembunyi.” 

“Dar…” Kalsum mengusap tangan lelaki itu. “Please. Untuk kita juga.”

“I tetap kalah dengan orang mati. Cinta I pada you… tak setanding dengan harta yang bakal you warisi.”

“Dar, please.”

“Okey… okey. I tahu. I cuma frust. Semenjak zaman belajar lagi. Susah betul you nak tinggalkan dia. I nyaris-nyaris kehilangan you. Buatnya you jadi kawin dengan dia. Melepas I. Putih mata!”

“Tapi, tak jadikan? Maknanya jodoh I bukan dengan dia.”

“Bukan dengan I juga?” Sudah muncung bibirnya.

“Alololo. Habis hilang macho you!”

Kalsum mengambil kesempatan dengan mencalitkan ais krim ke hujung hidung lelaki itu.

“Hey! You main kasar!” Hujung hidung Kalsum turut sama tercalit ais krim.

Mereka terus bergurau tanpa sedar perbuatan mereka terakam oleh lensa. 


Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.