Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 28

Pondok bas kelihatan sesak. Dua orang pelajar sekolah menengah mengambil peluang dengan membaca sebuah novel tulisan N. Mikah yang diambil dari dalam kotak perkongsian buku atau lebih dikenali sebagai Little Free Library, disediakan oleh komuniti setempat. Uniknya, boleh dipinjam bila-bila masa tanpa perlu risau akan tarikh luput. Sudah selesai pinjam, tinggal sahaja di kotak itu. Malahan, sesiapa sahaja boleh mendermakan buku-buku ke dalam kotak itu.

“Penulis buku ni nak keluarkan novel baru tau!” 

“Yakah?” 

“Yalah. Sambungan dia. Dengar cerita pasal nak buat spin-off pasal watak Kesuma. Alah, ex tunang watak Zaman tu.”

“Oh, yalah! Kita semua tak tahukan alasan sebenar dia tinggalkan tunang dia. Setakat alasan sibuk kerja macam tak kukuhkan.”

“Dan katanya nak buat juga sambungan pasal watak Hafiz. Kali ni penulis nak reveal sebab watak Hafiz terpaksa hilangkan diri. Kesian isteri dia. Ingatkan suaminya betul-betul dah meninggal dunia.” 

Rina mendengar sahaja perbualan dua orang rakan itu. Angin petang menyebabkan helaian demi helaian novel di tangan terselak dengan sendirinya. Kemudian, terhenti pada cover page. 

“Ada catatan baru. Bukan tulisan aku.” Rina bermuka serius. Dia membaca catatan itu. “Bukan kerana kisah kebetulan akan tetapi, kisah kita.”

Rina terkebil-kebil. Diselak lagi halaman seterusnya. Bunga matahari kecil yang sudah kering terselit di situ. “Bukan aku yang letak.”

“Tengoklah ikan apa yang aku dapat!”

“Hebat kau!”

Rina membuang pandangan ke arah parit. Di situ, beberapa budak lelaki mungkin dalam usia 8 tahun, sedang memancing anak-anak ikan. Mereka bersorak riang saat berjaya menaikkan anak ikan sepat.

Dulu, dia pun begitu. Habis sekolah, terus ke parit belakang rumah. Sudahnya, kena piat telinga dengan Noraziah kerana pulang lewat dan juga pakaiannya kotor berlumpur.

“Kamu anak perempuan. Cubalah main permainan macam budak perempuan. Anak patung yang mak beli tu, buat hiasan je?”

Rina tersenyum. Semuanya tinggal kenangan kini. Dia sambung mendengar kedua-dua pelajar tadi menyembang.

“Kau nak pergi tak pelancaran novel baru dia?”

“Bila?”

“Bulan depan. Venue dekat sebuah ruang legar stesen transit ringan.”

“Wah, menarik! Dekat dengan pengangkutan awam. Senang nak pergi. Kumpul duit dulu.”

“Tulah. Tak perlu pening kepala. Dekat media sosial, ramai tak sabar dengan sambungan dia.”

“Eh, tu bas!”

Bas betul-betul berhenti tepat di depannya. Pintu terbuka. Para penumpang bingkas naik. Rina melihat sahaja sehinggalah bas itu kembali bergerak.

Dia mulai berjalan. Ladang bunga milik keluarganya terletak di seberang jalan sahaja. Sengaja menunggu di pondok bas sementara Noraziah siap dengan kerjanya. Kononnya, cuba serasikan diri dengan suasana bising setelah beberapa lama kesunyian itu menjadi teman rapatnya.

Kenderaan bertali arus. Rina tidak pandai menyeberang. Setelah yakin jalan raya mulai lengang, Rina mulai melangkah. Namun, sebuah kereta membunyikan hon. Terlalu hampir. Rina tergamam.

Tiba-tiba, terasa tubuhnya direntap dari belakang. Dia dipeluk seseorang. Jantungnya berdebar kencang. Dia pun dapat mendengar dengupan jantung seseorang itu! 

Rina mendongak. Malang sekali, wajah penyelamat itu terlindung dengan topeng muka berwarna hitam.

Rina tidak bisa berkata sepatah pun. Seseorang itu terus berlari meninggalkannya.

“Awak tak apa-apa?” Shazwan segera menghampiri.

“Saya okey.”

Shazwan membantu Rina menyeberangi jalan. 


“Nak buat sambungan pula?” Kalsum baru selesai membaca hantaran di media sosial milik syarikat penerbitan novel itu. “Well, we’ll see.”

Kalsum mendail nombor telefon salah seorang editor syarikat penerbitan itu. Mereka berbasa-basi seketika sebelum Kalsum lanjut kepada tujuan utamanya.

“Siapa identiti sebenar di sebalik nama pena N. Mikah?”

Editor di sebelah sana tertawa.

“Kalsum, saya tak boleh bagitahu awak walaupun hubungan kita baik. Ini melibatkan privasi beliau. Beliau tak mahu dikenali kecuali karyanya sahaja.”

“Tolonglah, tak mungkin saya akan bagitahu orang lain siapa N. Mikah. Hanya kita-kita je.”

“Maaflah. Saya tetap tak boleh bagitahu.”

“Okey. Kalau macam tu, macam mana rupa dia? Kacak? Kurang kacak? Orangnya tinggi? Rendah? Kulit sawo matang ke? Dah kawin ke? Anak berapa? Tinggal mana?”

“Awak terlalu banyak soalan. Maaf. Kami tak tahu peribadinya.”

Kalsum berdiri. Dia terasa mahu meletup dengan sindiran itu. Dia cuba bersabar. Pancing selagi boleh.

“Oh, I see. Novel tu kisah hidup dia ke? Kisah dia tu hidup. I tertarik nak tahu lebih lanjut. Mungkin, kita boleh aturkan sesi fotografi. Yalah, boleh selit dia dalam column mana-mana. Untuk promosikan dia juga. Kalau dia malu nak tunjuk muka, boleh saja pakai apa-apalah nak tutup muka dia.”

“Kalsum, dia memang nakkan privasi. Dia tak nak glamour. Dia tak kisah pun ramai peminat atau tak. Yang penting, orang baca ceritanya. Katanya, menulis itu terapi.”

Kalsum ketawa untuk menutup rasa kecewanya.

“You ni… kelakar! Sama kelakar dengan N. Mikah. Tolak tuahlah. Bila sesi pelancaran novel baru dia? I nak minta autograf.”

“Dalam masa terdekat. Paling awal, bulan depan. Nanti pihak kami akan hantarkan jemputan.”

“Oh, thank God! Lega dengar. Bukan apa. N. Mikah sangat popular dalam kalangan pembaca. Jadi, rugilahkan kita tak buat liputan pasal dia.”

“Kami tahu.”

‘Tahu? Sombong!’ Cemuh Kalsum dalam hati. “Tak apalah. Perbualan kita sampai sini sahaja. See you.”

Panggilan ditamatkan.

“Ada lagi manusia menolak peluang untuk bersinar. Kesian.”


Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.