Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 43

“Dah jumpa pintu keluar ke cik kak?” Sindir pemilik hotel di kaunter semasa Kalsum tergesa-gesa menuruni tangga. Kalsum membawa semua barangan peribadinya. 

“Shut up!” Kalsum menerjah kaunter. “I will make sure, one day… I beli seluruh bangunan hotel ni dan masa tu… I pecat you! You tahulah langit tinggi ke rendah.”

“Eeee… takutnya!” 

Ikutkan, dia masih mahu berdebat dengan pemilik hotel itu. Tiba-tiba, cuping telinga mengesan kekecohan di depan pintu masuk hotel. Polis! 

Kalsum berlari deras mencari laluan pintu belakang. Hampir-hampir berlanggar dengan beberapa pekerja asing yang baru pulang dari tapak pembinaan.

“Tepi, idiot!” Kalsum menolak kasar salah seorang daripada mereka sehingga terjatuh.

“Haiyaaa! Tak ada otak punya orang.”

“Jangan layan orang gila tu!” Jerit pemilik hotel.

Bukan masa yang sesuai untuk dia bergaduh mulut. Kalsum akhirnya menemui jalan keluar di pintu belakang. 

“Jangan lari!” Masa itulah dia terdengar jeritan seorang pegawai polis. 

Dia lari sembarangan sampai tidak cukup nafas. Kiri kanan jalan raya penuh sesak. Tidak mungkin selama-lamanya bebas. Namun, dia masih mahu bebas. Tidak sewenang-wenang membenarkan dirinya ditangkap. Sebuah motosikal di depan kedai serbaneka menarik perhatiannya. 

“Bodoh. Kunci tak simpan!” 

Sepantas kilat, menaiki motosikal. Memutar kunci. Hidup! Dia tersenyum sinis. Dia memasukkan gear, memulas handle dan motosikal meluncur di jalan raya. Rambutnya menggerbang dibawa angin. 

“Aku nak lari ke mana? Aku tak boleh balik. Polis dah tahu aku dekat sini.”

Hampir-hampir melanggar lampu isyarat. Beberapa kenderaan membunyikan hon kepadanya.

“Hoi, bawa motor macam mana? Dengan tak pakai helmetnya! Dulu lulus lesen, macam mana? Ke lesen beli?” Amuk seorang pemandu kereta dari arah bertentangan.

“Argh, suka hati I lah!” Suara Kalsum dibawa angin lalu. 

“Nilah perempuan kalau bawa motor!”

Panas hati betul Kalsum mendengar kata-kata itu. Stigma yang menyakitkan hati! Mujur sahaja kereta pemandu itu sudah jauh.

Motosikal dibelok masuk ke sebuah jalan kecil bersebelahan deratan rumah flat. Keadaan begitu hening. Selalunya, waktu petang akan mulalah riuh dengan penghuninya yang baru pulang dari tempat kerja mahupun kanak-kanak sekolah.


Kalsum berjalan seorang diri pada tengah malam. Menuju ke rumah kekasih gelapnya. Dia tiada pilihan. Ke mana dia mahu lari? Polis merata-rata mencarinya. Wang sudah habis. Perutnya sudah berkeroncong lapar. 

Meliar-liar pandangannya. Sentiasa bimbang diekori mahupun dicam sesiapa. Dia lebih rela menaiki tangga. Menggunakan lif memungkinkan penghuni kawasan mengecam identitinya. Penat. Manakan tidak, tingkat 10! Tercunggap-cunggap kerana dia berlari. Dia mahu cepat sampai.

Loceng ditekan berulang kali disulami dengan ketukan keras. “Buka pintu ni!”

“You!” Kekasih gelapnya terkejut dengan kunjungan Kalsum. Sempat meliar pandangan di luar rumah. “You buat apa di sini?”

“Bagi I masuk. Buka kunci ni, baby. Please…”

Gril besi masih berkunci. Kalsum menggoncangkan pagar penghalang itu. 

“I’cant!” Suaranya merendah. 

“Why?”

“Sebab you dalam buruan polis!”

“Damn! So, you tak nak ada kaitan dengan I?”

“Kalsum, please understand me. I tak nak bersubahat. Baik you pergi. Susahlah I nak terangkan dekat polis nanti. Lebih baik kita tak berhubung. You juga yang susah. Mana tahu, kejap lagi polis sampai.”

“Alasan! Hipokrit! You pentingkan diri,” jerit Kalsum, bergema satu bangunan.

“Syhhh… please behave! Dah tengah malam! Orang nak tidur. Apa kata jiran I sebelah-menyebelah. You juga susah kalau-kalau diorang call polis. I tolong you ni. Baik you pergi menyorok dekat mana-mana. Rumah I bukanlah kawasan yang selamat. Lambat-laun, diorang tahu juga you dekat sini.”

“Hei, you fikir I kisah? Please let me in! You pentingkan diri sendiri, kan?”

“Please go, Kalsum! You jangan nak buat kecoh. I sendiri akan call polis kalau you masih berdegil!”

“Jantan tak guna! Ni you balas dekat I? Mana janji setia you? Mana kata-kata sehidup semati tu? Boleh pula otak you tercicir di mana-mana. Lupa semua yang pernah you lafazkan.”

Kekasih gelapnya tidak mengendahkan kata-kata itu. Dia menutup pintu terus. Kalsum terpekik-pekik sambil menghentak pintu berulang kali.

“Hai, apa bising-bising ni?” Jiran dari sebelah kanan menegur sambil memisat-misat kelopak mata. “You tak tahu ke dah jauh malam? Baliklah rumah you.”

Kalsum mendengus sambil menjeling. ‘Datang dah jiran penyibuk.’

“You tak nak buka pintu tak apa. I akan buat perhitungan dengan you. Masa tu, you tahulah langit tinggi ke rendah… jantan tak guna!” Kalsum mengetuk sekali lagi pintu itu. “Eh, kau dengar tak ni, jantan tak guna? Aku cincang kau halus-halus nanti! You orang paling tak guna I pernah jumpa!”

Lelaki cina di sebelah rumah, tergeleng-geleng kepala. “Haiyaaa… susah maa dengan orang tak faham bahasa ni! Olang mahu tidur! Esok kerja.”


Previous: Bab 42
Next: Bab 44

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.