Saat Lukman dan Azmir kembali ke pejabat, orang ramai mulai berkerumunan membawa sepanduk. Suasana menjadi gamat sehingga terpaksa memanggil pihak polis untuk mengawal keadaan. Mereka mendesak agar Lukman meletak jawatan.
“Pecat jurufoto tak guna tu! Kejam tak berperikemanusiaan!”
“Kerjaya lebih penting daripada selamatkan nyawa. Pecat… pecat!”
Lukman mahu keluar dari perut kereta. Dia tidak puas hati dengan tindakan mereka. Melampau sangat sehingga mahu dia berhenti! Azmir segera menahan Lukman.
“Aku rasa kita perlu pergi dari sini. Bila-bila masa je mereka boleh bertindak ganas.”
“Aku buat apa? Aku tak faham!” Lukman menendang dashboard.
Azmir membelek-belek video dalam akaun TikTok dengan nama pengguna Mr. Iz. Mana tahu pengguna itu sudah memuat naik video baru. Ternyata benar! Terbeliak besar terus bola mata Azmir.
“Mana Mr. Iz ni dapat segala hasil kerja kau? Pelik ni! Siapa tulis kapsyen misleading. Katanya, dalam banyak-banyak hasil kerja kau… pasti ada antaranya kau curi daripada jurufoto lain. Erti kata lain, kau pemeras atau tak pun pencuri sama macam kes arwah Zahuri!”
Lukman merampas telefon pintar Azmir.
“Macam mana dia boleh ada akses terhadap hasil kerja aku? Gambar tanpa sensor kejadian pembunuhan pula tu! Netizen pun tak mengagak! Pandai-pandai je komen yang tak betul! Ini dah masuk tahap pembulian siber. Aku nak lapor dekat MCMC dan juga polis!”
Nafas Lukman kencang. Dadanya turun naik.
“Satu lagi hal, Mr. Iz ni macam orang dalam syarikat kita pula! Siap dapat bahan-bahan sensitif yang tak boleh diakses oleh orang awam. Hacker pun boleh jadi juga!”
Azmir tiba-tiba teringatkan sesuatu. Dia membuka aplikasi Google Drive.
“Aku dah imbas semua keratan akhbar lama berkaitan maklumat arwah Zahuri. Mujur perpustakaan tak lupuskan lagi bahan-bahan lama. Aku harap membantu kita untuk tahu siapa ahli keluarga yang terkait dengan arwah.”
Lukman membaca keratan surat khabar satu persatu. Pada mulanya dia hampir putus asa kerana artikel yang ada lebih menjurus kepada hasil kerja Zahuri sehinggalah terjumpa akan artikel yang menceritakan serba sedikit mengenai latar belakang keluarga.
“Mereka dua beradik. Izatul nama adik dia. Ke mana agaknya dia sekarang?” Lukman termenung memikirkan maklumat itu. Dibelek-belek artikel itu lagi. Tiba-tiba harapannya seakan menyala. “Ada alamat lama!”
“Harap alamatnya masih sama. Nak ke sana?”
Lukman mengangguk. Azmir melihat alamat itu. Ditaip pada ruangan carian Google Map. Paparan navigasi muncul. Kereta terus dipecut mengikut arahan.
Rina membiarkan panggilan masuk daripada Noraziah. Bergetar-getar telefon pintar di atas meja. Satu lampu sahaja bernyala di dapur itu. Keadaan malap tidak menghalang dia menyambung bacaan yang tergendala.
“Ketika aku berada di titik paling bawah, isteriku tetap di sampingku. Sehinggakan aku malu. Aku rasa tak berguna. Jika boleh diulang masa lalu, aku takkan buat perkara memalukan itu.”
“Kesian watak dalam novel ni. Apalah perkara malang berlaku kepada dia?”
Rina menghentikan pembacaan. Dia mahu mematikan api dapur. Air dijerang di dalam cerek sudah masak. Balang serbuk kopi diambil. Baru diseduk satu sudu, dia tersedar sesuatu.
“Alamak, suami aku tak minum ke kopi ni tadi? Habis bersemut! Penuh lagi pula tu. Sayang sekali!”
Rina membuang air kopi dalam teko pagi tadi ke dalam sinki. Dia membasuhnya bersih-bersih. Selesai sahaja, dia membancuh kopi baru.
“Lempeng kelapa ni pun?” Katanya, ketika membuka penutup tudung saji. “Kena buang dah. Tak elok dah.”
Semasa membasuh pinggan, dia terpandangkan pula pasu bunga jernih di sebelah sinki. Dia mengelap tangan menggunakan tuala Good Morning. Kemudian, mencapai telefon pintar.
“Ya Allah, Rina! Kenapa tak jawab panggilan mak. Kamu di mana?”
“Di mana apa? Saya dekat rumahlah,” jawabnya, tertawa lucu.
“Rumah kamu?”
“Ya mak.”
“Ya Allah, lega hati mak! Lain kali, tolonglah bagitahu mak. Sekurang-kurangnya, call mak. Mak dah tua. Tak larat terima kejutan macam ni. Kalau tiba-tiba kamu diculik ke… apa ke?”
“Mak… mak!” Rina terus mencelah sebelum Noraziah sambung membebel. “Sekarang Rina okey. Alhamdulillah. Mak, boleh tak suruh pembantu mak hantarkan kepada saya beberapa tangkai bunga matahari? Mak tahukan, itu bunga kegemaran saya. Dekat rumah ni dah layulah.”
“Mestilah dah layu. Kan, Rina… huh, apa-apa jelah! Insya-Allah. Kalau kamu balik rumah mak, bukan setakat beberapa tangkai… satu bakul tu pun mak boleh bagi!”
Rina tertawa.
“Okeylah mak. Rina nak masak.”
“Ada ke bahannya? Alang-alang kamu di rumah, mak pergilah sana. Mak bawa sekali bekal makan malam.” Jelas ketara suara Noraziah cemas.
“Tak perlu.”
“Kamu ni berdegil!” Noraziah sudah naik marah.
“Mak…” Dari tingkap dapur, Rina melihat kereta Lukman meluncur masuk ke halaman rumah. “Nanti saya telefon mak balik. Assalamualaikum.”
Terus dimatikan panggilan.
Suaminya masuk ke dalam rumah dengan wajah yang tidak ceria. Langkahnya longlai. Dia terus menghempas tubuh ke sofa. Mata dipejam. Nafasnya deras.
Rina datang membawa secawan kopi.
Automatik mata Lukman terbuka sebaik sahaja terbau haruman kopi yang wangi. Lukman tersenyum pahit. Dia menyambut cawan kopi. Menghirupnya perlahan.
“Sedap. Lega dapat minum kopi bancuhan awak, sayang. Hilang kejap bebanan saya.”
Rina lantas memeluknya.
“Saya diminta berhenti. Saya dah cemarkan nama baik syarikat.”
Masih segar dalam ingatan, diherdik dan dimaki majikannya. Dia dianggap telah menjatuhkan kredibiliti syarikat.
“Berhenti?”
“Pasal kes arwah Zahuri dan yang terbaru, penyebaran video perbualan dengan seorang tokoh koporat. Dan juga, tentang foto-foto sulit yang sepatutnya tak didedahkan kepada umum. Saya bersalah. Ini harga yang perlu saya bayar. Saya memang padan muka!”
Rina mengusap belakang sang suami.
“Awak, semua berlaku ada hikmahnya. Allah uji tanda sayang.”
“Saya penat. Dah penat sangat. Orang yang nak kenakan saya pasti sedang ketawakan keadaan saya.”
Lukman ketawa dan mahu menangis dalam masa yang sama.
“Saya sedia menanti tindakan dia seterusnya. Mungkin masa tu saya akan terduduk dan tak mampu bangkit.”
Rina meleraikan pelukan. Dia mengesat air mata yang gugur pada pipi Lukman. Sang suami tiba-tiba menggenggam tangan Rina.
“Awak, awak takkan tinggalkan saya, kan?”
“Saya…” Rina teragak-agak. Tidak lama itu, keyakinannya datang semula. “Saya takkan tinggalkan awak! Tempat saya ialah di sisi awak.”