Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 42

Lukman tidak menyangka. Sekali lagi, dia harus melihat Rina terbaring kaku di atas katil hospital. Tangan Rina dikucup dalam-dalam. Sesekali air matanya gugur. 

“Sayang… kenapa kita harus bertemu dalam keadaan ini?” 

Lukman membenamkan kepala ke tilam. Bahunya turun naik. Menangis teresak-esak tanpa sedar rambutnya dibelai lembut oleh jari-jemari Rina.

“Saya… saya tahu ada hikmah Allah jadikan semua ini.”

“Sayang? Awak dah sedar. Alhamdulillah!” Lukman cuba untuk merangkul Rina ke dalam pelukan. Rina mengadu kesakitan. “Maafkan saya.”

Rina cuba tersenyum meskipun keadaannya lemah. Dia sedaya-upaya mahu menyentuh topeng muka membaluti wajah Lukman.

“Awak… kenapa awak jauhkan diri daripada saya? Saya… saya rindukan awak. Siang malam seperti orang gila.”

“Saya…” Lukman tidak berani meluahkan hal sebenar.

“Berkaitan dengan mak saya, kan? Jika benar N. Mikah itu ialah awak… saya tahu apa alasannya. Saya minta maaf bagi pihak mak.”

“Maafkan saya.”

“Saya dah lama tak tengok muka awak. Saya rindu.” Rina teresak-esak.

“Saya bimbang awak terkejut. Awak mungkin akan pinggirkan saya.”

“Mana mungkin saya akan pinggirkan awak. Cinta saya melebihi segala-galanya. Saya terima segala-galanya.”

Lukman tetap berat hati. Lambat-laun, Rina akan tahu juga. 

“Baiklah.”

Perlahan-lahan Lukman melurutkan topeng muka. Dada masing-masing berdebar kencang. Bermain-main di fikiran, apakah reaksi yang bakal diterima?

Rina terlopong sedikit. Sukar dipercayai. Seluruh wajah Lukman dipenuhi kesan parut hitam. 

“Saya tak nak awak tengok muka hodoh saya.” Lukman lekas berkalih. “Semasa kemalangan itu, kulit muka saya tersayat pada jalan tar. Saya rendah diri. Saya tak berani nak tunjuk dekat awak.

Rina cuba menggapai Lukman. 

“Paras rupa tidak penting. Yang penting bagi saya, awak selamat. Saya dah cukup bersyukur. Apalagi yang saya perlukan.”

Lukman memberanikan diri untuk mendepani Rina.

“Awak memang isteri yang baik, sayang. Terima kasih terima kekurangan saya.”

“Syhhh… jangan cakap lagi.” Rina mencapai kedua tangan suaminya. Dibawa ke dada. “Boleh tak kita sama-sama harungi apa jua cabaran mendatang selepas ini? Saya tak sanggup kehilangan awak lagi.”

“Rina…”

Mereka berdua berpelukan erat. Lama. Setelah perpisahan sementara dalam jangka masa panjang, kini mereka bertemu dan bersatu kembali.


Kalsum serupa pelarian. Dia benci teringatkan keadaan terkininya mirip dengan keadaan Irwan sebelum ini. Pihak berkuasa berjaya mendapatkan bukti kenderaan melanggar Rina tempoh hari. Sudah diuar-uarkan di mana-mana platform. Ke mana lagi dia mahu melarikan diri? Semua arah sudah terkepung. Benar-benar dia berada di jalan mati.

Akhirnya, Kalsum membiarkan sahaja keretanya tersandai di tepi jalan. Untuk kembali ke rumah, mustahil! Pihak polis pasti sedang mengawasi rumahnya. Dia sudah hilang segala-galanya! 

Setelah lama berjalan tanpa tujuan, dia tiba di sebuah hotel 1 bintang. Rupa bangunan dengan cat tertanggal sana-sini, cukup membuatkan dia geli-geleman satu badan. Gelendangan sana-sini, belum ditambah dengan peminta sedekah. Kerapkali berselisih jalan dengan warga asing menuju ke tapak pembinaan. Sebagai seorang perempuan, gerun itu tetap ada. Bimbang perkara tidak baik terjadi. 

Kini, sudah hampir tiga hari dia menginap di dalam bilik berbau pengap. Sesekali, terjerit-jerit apabila kelibat lipas merangkak liar di lantai. Menitik-nitik air paip bocor dari tingkap atas. Apa pilihan dia ada melainkan bertahan?

Ketukan di pintu bilik hotel merimaskan. Kuat dan bertalu-talu. Boleh roboh dibuatnya pintu itu. Kalsum spontan menjerit marah akibat gangguan itu.

“Buka pintu ni!” Suara wanita hampir menjerit. 

“Ish, lecehlah!” Kalsum baru mahu menjamah mi segera. Dia membuka dengan kasar. Bola mata membesar sambil bercekak pinggang. “Nak apa?”

“Dah dekat tiga hari kau tinggal sini. Bila aku minta bayaran, kau kata nanti… nanti! Wang kau beri tu… cukup untuk tinggal sehari je tau! Sepatutnya kau kena keluar! Nasib baik aku ni baik. Kalau orang lain, sudah dihalaunya kau!”

“Ish, bisinglah! You ni tak reti sabarlah! Tak malu betul puji diri sendiri” Kalsum bercekak pinggang.

“Eh, suka hati akulah! Kau nampak macam perempuan kaya. Berapalah sangat sewa bilik hotel bajet ni kalau nak dibandingkan dengan penampilan kau! Tu pun tak boleh bayar?”

“Bingitlah suara you ni! Nanti I bayarlah! Apa susah sangat nak faham? Kembang mi aku!”

“Bingit tak bingit. Yang penting duit aku dapat!”

“Huh, tak menyabar!” Kalsum mengambil dompet di atas meja. “You ingat I ingin nak tinggal sini? Buruk. Busuk. Banyak tikus! Banyak pekerja asing. Entah ada permit ke tidak. Berani ya you sewakan bilik kepada diorang tu! You tak takut kena tahan polis?”

“Argh, pandai-pandailah aku selesaikan masalah aku! Kau menyibuk ni… kenapa? Dah tu? Kenapa pilih tinggal di sini? Bukan sebab tak ada duit?”

Memang benar kata-kata pemilik hotel bajet itu. Tinggal beberapa keping sahaja not 50. Kelak habis dalam masa yang singkat. Namun, mana mungkin dia mengaku. Dia masih mementingkan maruah diri.

“Mulut tu jangan nak lancang sangat!” Kalsum membaling wang ke muka wanita itu. “Ambil! Cukup ke tak?”

“Wah, perangai kau!” Tetap sahaja wang itu dikutip dan dihitung-hitung. 

“Cukup? Apalagi… blah!”

“Esok aku datang lagi.” Tersengih-sengih wanita itu.

“Huh, perempuan sihir!” Kalsum bengang.

Kalsum mahu menutup pintu. Cuping telinga terdengar perbualan wanita tadi dengan seorang penghuni bilik selang beberapa pintu darinya.

“Kakak… apa you kecoh-kecoh?”

Wanita itu tidak berselindung langsung bercerita mengenai Kalsum. Siap melirik ekor mata ke arah Kalsum. Tahu-tahu sahaja, Kalsum masih mendengar.

“Oh, itu macam pun adakah?” Penghuni itu turut sama mencuri pandang.

Terus dihempas kuat pintunya. “Argh, tak guna punya perempuan!”


Kalsum menyarung hoodie. Dia menyembunyikan wajah daripada pandangan orang ramai. Dia berjalan kaki menuju ke kedai dobi kira-kira satu kilometer dari tempatnya menginap. Baju kotor itu harus dicuci. Dia sudah tidak mempunyai wang untuk membeli pakaian lain. Jadi, mahu tidak mahu… perlu menggunakan wang tersisa dengan hemat.

Baju dimasukkan ke dalam mesin. Sabun pencuci diletak pada tempatnya. Wang dimasukkan. Maka, bermulalah operasi mesin. Dia perlu menunggu satu jam dari sekarang.

Tekaknya dahaga. Mengitari pandangan, mencari mesin air. Beberapa siling dimasukkan ke dalam mesin air. Dia memilih minuman tin berasaskan kopi. 

Baru sahaja mahu meneguk minumannya, tidak semena-mena bola entah datang dari mana menghentam mukanya. 

“Argh!” Jeritan Kalsum mendominasi kedai dobi. Lencun sebahagian bajunya terkena tumpahan air kopi. “Woi, buta ke? Tengok apa kau dah buat?”

“Sorry aunty!” Seorang remaja lelaki berlari mendapatkan bolanya. “Kami main bola dekat padang. Tersepak sampai ke sini.”

“Aunty you panggil I?” Terbelalak mata Kalsum. Sakit betul hatinya! 

“Aunty, kan?” Remaja itu tidak faham. 

“Eh, mana mak bapak you? I nak bagitahu mak bapak you yang anaknya kurang ajar!”

“Janganlah aunty.” Rayu remaja itu, membuat muka kasihan.

“Aunty… aunty! I belum masuk 30 tahun lagi! You ni memang tak sekolah ke?” Kalsum menyingsing lengan hoodie.

“Sorry… err, kak. Ampun kak. Tak buat lagi.” 

“Huh! Menyusahkan! Pergilah sana.” Tegak jari telunjuk Kalsum di udara.

“Okey… okey!” Remaja itu mengambil bolanya. Melarikan diri sementara masa masih ada. “Garang betullah mak cik tu!”

“Huh, aku mana ada baju bersih sekarang! Eiii geram betullah! Awal pagi dah datang bala!”

Semasa menyingkirkan sisa minuman pada hoodie, dia terpandangkan seorang pelanggan kedai dobi sedang bercakap di telefon dalam keadaan yang begitu mencurigakan. Pelanggan itu mencuri pandang ke arahnya beberapa kali. Suaranya berbisik perlahan. 

Kalsum tidak senang duduk. Perlahan-lahan jalan keluar dari kedai dobi. Dibiarkan cucian baju yang masih belum selesai. Nanti-nanti, boleh diambil. Beberapa meter, dia berlari deras. Benar tekaannya, pelanggan mencurigakan itu menjenguk keluar dan seakan mahu cuba mengejarnya.


Previous: Bab 41
Next: Bab 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.