Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 21

Rina meraup wajahnya. Mendongak pandangan. Cepat sekali hari bertukar waktu. Sudah jauh petang. Novel oleh N. Mikah ditutup. Dibiarkan sahaja di atas meja makan. Matanya letih akibat terlalu khusyuk membaca tanpa henti. 

Rina membuka peti ais. Mahu memasak makan malam. Noraziah sudah mengisi penuh peti ais dengan bahan masakan beberapa hari lalu di atas permintaan Rina.

Sayur kobis diambil. Ditilik-tilik. Dia membuka pula bahagian sejuk beku. “Ada udang. Sesuai masak sambal undang kegemaran Lukman. Sayur pula… masak lemak!”

Kedengaran berkeriut pintu hadapan. Rina yakin, pasti Lukman sudah selesai menyiram bunga-bunga di halaman rumah. Rina terus menyiapkan juadah makan malam.


Selesai menikmati makan malam dan solat isyak, mereka mengambil angin malam. Motosikal ditunggangi Lukman meluncur laju ke jalan raya. Tidak banyak kenderaan malam ini.

Senyap. Mereka tidak bersembang walau sepatah. Rina merebahkan kepala di belakang tubuh Lukman. Dia semakin mengetatkan pelukan. Air mata mengiringi perjalanan mereka. Bekas luka di belakang badan terasa berdenyut-denyut. Terlalu banyak kejutan menyesakkan tangkai jantung kebelakangan ini.

“Sayang… sayang,” jeritan lemah Lukman semasa kejadian itu kembali terngiang-ngiang. 

“Awak…” Rina seakan melihat ulang tayang kejadian itu. Dia melihat Lukman cedera parah dan dirinya yang mulai hilang kesedaran.

Putaran waktu bergerak pantas. Jalan raya mulai sesak. Ambulans meluncur laju. Para medik memberi bantuan kecemasan kepada mereka berdua. Mereka tergeleng kepala semasa melakukan CPR kepada Lukman. 

Rina melihat Lukman di atas anduh telah ditutup dengan kain putih. Manakala Rina semasa kejadian, telah dipakaikan dengan topeng oksigen. 

“Awak…” Rina hairan dengan keadaan Lukman. Dia mengekori sehingga ke dalam perut ambulans.

Seorang para medik melihat jam tangan, “Pukul 9:43 malam, waktu kematian.”

Nafas Rina bagai terputus. Dia segera menerpa ke jasad Lukman. Menahan kuat air matanya jatuh. Tergeleng-geleng menafikan realiti.

“Tidak! Tidak! Tak mungkin! Suami aku masih hidup! Cubalah periksa lagi sekali. Korang silap ni.”


“Tidak!” Rina menjerit sekuat hati. 

“Sayang?” Lukman tertoleh-toleh ke belakang. Dia memberhentikan motosikal di tepi jalan. “Sayang? Awak mimpi ngeri ke?” Lukman menggoyangkan tubuh Rina.

Rina terpisat-pisat. Lampu jalan menyilaukan mata.

“Awak?” Rina menyentuh segenap tubuh Lukman. “Saya tak mimpi. Awak wujud! Awak nyata!” Rina memeluk Lukman ketat-ketat. Dia menangis teresak-esak.

“Eh, sayang? Kenapa ni?” Lukman berpusing, mengelap air mata Rina.

“Jangan tinggalkan saya.”

“Kenapa saya nak tinggalkan awak?”

“Saya bermimpikan awak. Awak tak selamat dalam kemalangan tu.”

“Sayang, saya dah di depan awak. Kalau saya tak selamat, tak mungkinkan saya di sini.”

“Kalaulah sekarang ni saya sedang bermimpi, saya tak nak bangun! Saya tak nak hilang awak.”

Lukman mengusap pipi Rina.

“Sayang… awak tak mimpi! Jangan risau. Saya sentiasa di sisi awak.”

‘Mimpi. Anehkan mimpi itu. Aku kadangkala tak mampu bezakan ia mimpi atau bukan. Aku ke yang sedang menipu diri sendiri?’ Detik hati Rina.

Rina terus memejam mata. Rapat. Dia hanya mahu kekal dalam keadaan sekarang. 


Mereka tiba di di jalan raya berhampiran perbukitan. Tidak terlalu sibuk sebab agak jauh dari laluan utama. Ketika ini pun, jarang dilalui kenderaan. Jika siang pun begitu. 

“Sayang?”

Rina memandang sang suami. Entah macam mana, Rina terbayang percikan darah di mana-mana. Jeritan ramai orang bergema-gema diselang-seli dengan tawa jahat itu.

“Sayang!” Sergahan Lukman membuatkan Rina membuka mata. “Awak tak okey, kita balik.”

Lukman kembali menyarung helmet ke kepala Rina. Saat itu Rina mendongak memandang langit malam dihiasi taburan bintang.

“Cantiknya…”

Lukman ikut menoleh. “Oh, bintang!”

Rina tidak tahu mengapa keadaan itu menghadirkan rasa sayu di hati. Seharusnya dia bergembira dan menikmati kebahagian dikecapi. Bukannya bersedih! 

Lukman tersenyum memandangnya. 

‘Senyuman itu, mungkinkah yang terakhir kali?’

Rina terasa mahu menangis mendengar persoalan dalam hati. Dia bencikan suara hati itu.


Kaki Rina mencecah lantai. Dia menolak tepi gebar. Sekadar menyentuh ruangan tempat Lukman berbaring, dia cuba tersenyum.

“Awak masih di sini. Lega hati saya.” 

Rina mencapai tuala. Mahu membersihkan diri dan kemudian menyediakan hidangan sarapan. Semasa menggosok gigi di depan cermin, dia merenung dalam-dalam bola mata sendiri.

‘Rina, benarkah kehidupan yang kau jalani ni? Aku hanya nak berada di sisinya.’

“Sayang?” Terdengar suara Lukman di luar bilik air bersama dengan ketukan di pintu.

“Ya… ya. Kejap lagi siaplah saya.”

“Hmmm…” Suara itu mengandungi kantuk.

Rina lekas membersihkan diri. Dia keluar dari bilik air. Melilau mencari sang suami.

“Awak? Awak dekat mana? Saya dah siap mandi.”

Rina segera berpakaian. Sempat mengerling tilam yang sudah dirapikan. Kemudian, keluar dari bilik tidur. Mencari Lukman di segenap sudut.

“Jogging, mungkin?” Katanya, terpandangkan sliding door tidak tertutup.


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.