Hanna termenung sendiri dalam
biliknya. Perasaannya terusik dengan sesuatu. Terasa seperti waktu itu baru sahaja berlalu. Kerinduannya
pada M begitu menikam kalbu. Seterusnya
membawa kesayuan dan kesedihan yang terbenam jauh ke dasar hati. Segala memori
dan kenangan mengenai M mendera jiwanya.
Sejak ibu
menerima rombongan peminangan Adi, ingatan Hanna pada M semakin kuat. Rasa
rindu di hati ini sememangnya sukar untuk dihilangkan. Dia terasa ingin
merehatkan fikiran lalu melangkah ke arah jendela.
Tali
vertical blinds Hanna tarik agar bilah-bilah langsir itu terbuka. Dia
menghelakan nafasnya perlahan untuk mengurangkan kusut di fikiran. Dia
menjenguk ke luar.
“Ah, malam
ni cuaca mendung. Mungkin sekejap lagi hujan akan turun pula.”
Hanna
melihat jam di dinding. Rupa-rupanya sudah pukul 12 malam.
“Eh, dah
hujan!” kata Hanna.
Rintik-rintik
hujan mulai turun membasahi bumi. Hanna masih setia memandang ke luar.
Tiba-tiba matanya terpandang sebuah kereta Persona warna putih yang berada di
depan rumah sewanya. Segera Hanna terbayangkan Adi.
‘Itu kereta
Adi. Dia buat apa malam-malam datang sini. Dia tak tahu ke kita ni darah manis.
Dah nak kahwin pun.’ Detik hati Hanna.
Pantas Hanna
memakai tudung yang terletak di kerusi dan keluar dari biliknya. Halimah sudah
lama dibuai mimpi.
“Adi, hujan
tu! Kenapa datang malam-malam macam ni.” Kata Hanna. Dia mencapai dua kaki
payung. Satu untuk digunakannya dan satu lagi untuk diberikan pada Adi.
Kini Adi
sudah basah kuyup kerana hujan semakin lebat. Hanna sedikit cemas. Tubuhnya
terasa dingin dengan tiupan angin yang agak kuat.
“Adi! Ambil
payung ni!” lagi sekali Hanna berkata sambil hulurkan payung pada Adi. Hanya
pintu pagar sahaja yang memisahkan mereka berdua.
Adi kaku dan
hanya memandang wajah Hanna.
Hanna pun
membuka pintu pagar dengan memegang payung di tangan kirinya. Adi masih tiada tindak
balas. Akhirnya mereka berdua berdiri di bawah satu payung. Nasib baik payung
tersebut sedikit besar.
“Adi, kenapa
ni?” Suara Hanna agak keras kedengaran kerana hujan begitu lebat.
Adi hanya
menggelengkan kepala.
“Hanna tak
cintakan Adi ke?” persoalan itu ditanya oleh Adi dengan nada yang penuh dengan
kesedihan di pendengaran Hanna. Dia terkaku. Mereka begitu rapat.
“Apa Adi
cakap ni? Kita kan dah nak kahwin. Itu bukankah tanda Hanna cintakan Adi.”
Hanna masih mahu berkias-kias dengan Adi.
“Sampai hati
Hanna buat Adi macam ni. Adi betul-betul cintakan Hanna dengan sejujurnya.” Adi
menjarakkan dirinya dengan Hanna sehingga hujan mengenai semula.
“Adi...
Hanna... Hanna...” Hanna tidak dapat menjawab persoalan Adi.
“Adi tetap
suka pada Hanna.” Adi masuk semula dalam keretanya dan berlalu pergi. Hanna
tidak sempat menghalangnya.
Hanna masuk
semula ke dalam rumah. Dia terus menuju ke bilik mandi untuk mandi supaya demam
tidak singgah padanya.
Dentuman
petir yang kuat telah mengejutkan Hanna dari terus teringatkan kata-kata Adi.
Hujan semakin lebat di luar. Dia pun menutup vertical blinds sambil memutarkan
bilah-bilah langsir itu agar bercantum dan menutup jendela.
Hanna duduk
di birai katil. Pening kepalanya memikirkan sikap Adi. Desak dan mendesak
sahaja. Kini, Adi memaksa untuk mencintainya.
Hanna
pejamkan matanya seketika. Bayangan M menerjah fikirannya. Kepala M yang botak
itu cukup menarik perhatiannya. Sejak kecil dia memang suka cari kelainan
tentang fizikal seserang. Biasanya perempuan suka lelaki yang kacak dan
berkulit putih. Tinggi dan potongan rambut yang kemas. Tetapi entah mengapa
tiap kali dia memandang M, perasaan ingin disayangi dan di manjai begitu kuat
dirasakan.
“M, aku akan
berkahwin tak lama lagi. Biarpun kita tidak bersatu dalam hayat ini, aku tetap
akan ingat kau dalam doaku. Aku doakan kau turut bahagia dengan pilihan
hatimu.” Ada air mata yang mengalir di pipi Hanna. Dia harus melepaskan M.
Berdosa besar jika dia menjadi isteri dan memikirkan lelaki lain.
Lagipun
beberapa hari lagi dia akan diijabkabulkan.
“Biar aku disakiti, asalkan bukan aku yang menyakiti.”
Hanna
membiarkan air matanya mengalir. Biarlah ini untuk kali terakhir dia menangis
untuk lelaki itu.
*****
Mikail
datang ke rumah Maya sempena majlis ulang tahun perkahwinan ayah saudaranya
itu. Ada buat majlis kesyukuran.
Dari jauh
dia melihat Maya tersenyum manis.
“Abang
Islam...”
“Maya...”
Mikail membalas senyuman adik sepupunya itu. “Kawan Maya, Hanna tu tak datang
ke?” soal Mikail.
“Dah balik
pun. Abang Islam datang lambat.”
“Cepatnya
dia balik. Tak makan-makan ke?”
“Dia ada
hal. Datang pun cuma nak bagi kad ni. Untuk abang Islam pun ada.” Kata Maya.
Dia menghulurkan sekeping kad. Berdebar-debar hati Mikail mengambilnya. Dia
bagaikan boleh menjangka apa yang ada dalam sampul surat tersebut.
Mikail
tergamam sekejap. Tepat tekaannya. Itu adalah kad perkahwinan Hanna dan Adi.
Riak wajah terkejutnya sukar untuk disembunyikan.
“Kenapa
abang Islam?” soal Maya. ‘Lain macam je muka abang Islam ni. Kecewa ke?’ Maya
ingin mengusik Mikail tetapi tidak jadi apabila makin muram wajah lelaki itu.
Mikail duduk
seketika di ruang dapur. Dia merenung tajam kad yang berada di tangannya.
‘Akhirnya kau kahwin dengan orang lain, Hanna. Bagaimana dengan aku Hanna? Aku
lelaki yang kau suka sejak zaman sekolah lagi. Begitu mudah untuk kau lupakan
aku, Hanna.’ luluh hatinya.
Mikail
kuatkan hatinya. Mungkin sudah takdir Hanna berjodoh dengan Adi. Dia tiada
kuasa untuk menghalangnya.
“Semoga kau
bahagia, Hanna.” Mikail meninggalkan kad tersebut di situ. Tidak akan sesekali
dia pergi ke majlis itu. Dia tidak sanggup melihat Hanna bersama lelaki lain.
Biarlah dia membawa diri yang lara ini.
“Abang
Islam, cepatlah! Dah nak mula ni!” panggil Maya.
“Ya!” sahut Mikail dan terus menghampiri Maya.