Home Novel Cinta Isteriku Romantik
Bab 1

Hanna tersenyum sendirian sambil melangkah keluar dari tandas. Emosinya sangat baik hari ini. Tiada perasaan marah atau menyampah pada sesiapa pun.

‘Dari aku terus menghadap cermin tandas, baik aku pergi buat sesuatu yang lebih berfaedah’. Itulah rutinnya selepas loceng rehat berbunyi. Dia gemar membelek penampilannya. Bak kata orang putih “Self Admiring”.

“Cantik juga aku ni kan?” Hanna bertanya pada sahabatnya Sui Mei dan Thilaga. Dia mengangkat kening sebelah kanan sambil memandang mereka berdua dengan senyuman manis tetapi tindak balas semula jadi yang diberikan oleh sahabatnya itu begitu mengecewakan.

“Perasan!” serentak Sui Mei dan Thilaga berkata sambil mencebik.

“Tapi kan, kau cantik sikit dari Thilaga dan aku paling cantik.” Sui Mei tersengih. Giliranya pula memuji dirinya sendiri.

Satu tamparan lembut singgah di bahu Hanna.

“Sudahlah! Buang masa sahaja kat sini. Hanna, lelaki yang kau suka tu lepak kat tempat biasa. Jom la!” Thilaga bersuara. Dia menghampiri Hanna yang asyik menilik wajahnya di cermin tingkap yang ada.

Perbuatan Hanna terhenti. Mereka saling berpandangan.

“Ye ke? Ini sudah bagus!” Senyuman Hanna semakin lebar. Dia memang suka pada lelaki itu.

Thilaga mencebik lagi. Dia kurang senang dengan kehadiran lelaki yang menjadi kegilaan sahabatnya, Hanna. Entah mengapa dia sendiri tidak pasti.

“Kenapa kau suka sangat pada lelaki bermasalah tu? Kau saja cari nahas ke, Hanna?” soal sahabatnya yang berbangsa India itu.

“Thilaga, aku suka mamat tu sebab dia selamatkan aku waktu jatuh tangga dulu. Pasti kau masih ingat?” Jelas Hanna.

“Tapi tak kan disebabkan dia selamatkan kau... Kau terus jatuh cinta dengan dia. Aku tak percaya.” Thilaga menggelengkan kepalanya. “Lagi pun aku memang tak percaya langsung pada cinta!” Tegas Thilaga. Dia memang tidak suka melihat orang bercinta dan betul-betul tidak suka cinta.

‘Ada apa dengan cinta? Cinta melalaikan. Cinta buat manusia menjadi binatang.’ Desis hati Thilaga. Dia sendiri malas mahu memikirkannya.

“Sudahlah Thilaga. Aku nak pergi skodeng buah hati yang tersayang tu. Dia tengah buat apa la kan? Lagi pun aku kan gadis yang baik, comel dan...” belum sempat Hanna habiskan ayatnya, Sui Mei sudah menyambungkan dengan sesuka hatinya.

“Gedik!” kata Sui Mei. Dia terus melarikan diri. Dia juga tahu yang Hanna akan mengejarnya.

Hanna tahu yang Sui Mei sengaja mahu mengusiknya.

Gurau senda dalam perhubungan tidak pernah hilang. Selagi mereka berjanji akan bersama dana akan terus bersahabat. Maka perhubungan itu akan terus kekal menjadi sahabat sejati.

Tambahan pula, mereka sudah berkawan sejak di sekolah rendah lagi. Walaupun berlainan bangsa dan agama, tidak sekali pun mereka rasa kekok apabila bersama. Mereka sudah berjanji akan setia selama-lamanya.

Saidina Ali pernah berkata. “Selemah-lemahnya manusia ialah orang yang tidak boleh mencari sahabat dan orang yang lemah dari itu ialah orang yang mensia-siakan sahabat yang dicari itu.”

Hanna sempat tersenyum apabila teringatkan kata-kata itu. ‘Aku tidak mahu menjadi orang yang lemah!’ bisik hatinya dengan penuh semangat. Bercampur dengan semangat mengejar Sui Mei.

“Sui Mei!!” marah Hanna. Dia tidak tunggu lama lagi dan terus mengejar Sui Mei. Mereka berhenti di tangga bangunan. Sui Mei di tangga atas manakala Hanna masih di bawah. Tercunggap-cunggap nafas mereka. Mereka saling ketawa. Thilaga hanya memerhati sahaja.

“Sudahlah! Aku tak larat nak lari dah.”

“Aku tak peduli. Sedap mulut kau mengata aku.” kata Hanna sambil memanjat tangga. Sui Mei tidak larat mahu melarikan diri. Dia terus duduk di tepi tangga tersebut. Membiarkan Hanna menangkapnya. Thilaga menghampiri mereka berdua.

“Dah memang kau tu gedik! Gedik tau!” Sui Mei berkata sambil ketawa

“Mana ada gedik! Tak baik tau.” Hanna mencebik dan tidak akan berhenti mengejar Sui Mei.

“Dapat!” Hanna memeluk Sui Mei sambil ketawa gembira. Dia tahu yang Sui Mei tidak suka dipeluk.

“Wei! Lepaslah!” Sui Mei cuba meleraikan pelukan Hanna. Hanna pula terus ketawa.

“Hanna... M kat belakang kau!” kata Thilaga yang memandang ke arah belakang mereka.

Perbuatan Hanna terhenti. Betul ke M kat belakang aku? Hatinya amat berdebar saat ini. Dia tidak berani menoleh. Mukanya berubah menjadi pucat. Bukan takut! Tetapi perasa lain yang amat istimewa hadir apabila dia berhadapan dengan M.

Tiba-tiba ada ketawa yang kuat singgah di pendengaran Hanna Thilaga ketawakan dia. Dahi Hanna berkerut..

“Ada orang tu kena tipu!” bisik Sui Mei. Dia masuk cuba melepaskan diri dari pelukan Hanna dilehernya.

“Thilaga!” Hanna menjerit kegeraman. “Kau pun sama Sui Mei. Aku tak akan lepas kau orang berdua.” Makin erat pelukan Hanna.

“Thilaga, tolong aku!” rayu Sui Mei.

“Ada orang bermesra di tepi tangga. Macam dah tak ada tempat lain yang lebih strategik ke?” tiba-tiba ada suara lelaki menyindir berkata dari arah belakang Sui Mei dan Hanna. Thilaga pula mendongak memandang lelaki itu.

Sebaik sahaja Hanna mendengar suara M, dia terus meleraikan pelukan itu dan bingkas bangun. Dia terkaku. Hatinya pula, lebih kuat berdebar berbanding tadi. Kekuatan yang masih bersisa ini, Hanna gunakan untuk berpaling dan memandang lelaki yang digelar M olehnya itu. Tidak berkelip Hanna melihat wajah M sehingga lelaki itu berlalu pergi.

“Lagi satu, kalau kau nak menjerit sangat , sila pilih tempat yang sesuai. Memekak je!” sindir M lagi yang kebetulan lalu di tepi kanan Hanna. Tidak berkelip Hanna melihat wajah M sehingga lelaki itu berlalu pergi. Hanna masih terkaku. Sebenarnya M sememangnya ada di belakang Hanna tetapi Thilaga menipunya.

“Tak guna kau, Sui Mei! Thilaga!” berkejaran mereka berdua apabila melihat Hanna mengamuk. Mereka berdua hanya mampu melarikan diri sahaja. Tetapi yang penting mereka gembira dengan kehidupan yang mereka lalui.

*****

Hanna pulang ke rumah agak lewat petang. Hampir jam enam petang. Perasaan keluh resah mula bertandang dalam hatinya. Dia pasti yang ayah akan mengamuk. Perlahan sahaja gerak langkah kaki Hanna masuk ke dalam rumah.

‘Harap-harap ayah tengah sembahyang Asar.” Doa Hanna di dalam hati. Dia melihat pintu biliknya. ‘Tak jauh lagi tu Hanna. berusaha la!’

Belum sempat Hanna memulas tombol pintu biliknya, ada suara yang menegurnya.

“Kau ke mana?!” suara lantang Hashim membuat Hanna tersentap.

Hanna terkaku. Dia takut untuk menoleh ke belakang. Hashim sememang seorang yang garang dan tegas.

“Kau tu perempuan tapi pulang lambat. Ayah tak ajar kau semua ini. Kau ke mana?” soal Hashim. Masih setia menanti jawapan dari anak daranya itu.

“Dari sekolah, ayah.” Perlahan sahaja suara Hanna. semestinya dia tahu yang dia sudah melakukan kesalahan.

“Bila bercakap tu, pandang ayah. Berapa kali nak ayah bagi tahu.” Hashim menunggu anaknya berpaling.

Hanna berpaling juga. “Hanna di sekolah, ayah.” Hanna mengulangi kata-katanya tadi.

“Dah sembahyang Asar?”soal Hashim lagi.

“Belum.” Jawab Hanna. Dia menundukkan wajahnya

“Sekarang pergi mandi dan sembahyang Asar,” Arah Hashim. “Nanti kita solat maghrib berjemaah.” Tambah Hashim lagi dan terus berlalu pergi.

“Baiklah ayah!”

Hanna tidak pernah rasa bebelan ayahnya satu yang membosankan kerana bebelan ayah menyedarkan dia yang ayah begitu sayangkan dirinya. Ah, ayah! Hanna sayang ayah juga tetapi....

Hanna termenung. Kenyataan itu tidak pernah dia lafazkan pada ayah. Segera dia masuk ke dalam biliknya.

Hanna terus menuju ke bilik air untuk mandi. Selepas itu dia menunaikan solat Asar. Usai solat, dia menggosok baju sekolah dan menyangkutnya di dalam almari sementara menunggu waktu Maghrib masuk.

Selepas azan Maghrib berkumandang, Hanna bersiap-siap untuk solat berjemaah pula. Ibu pula masih berehat kerana ibu sedang mengandung lapan bulan iaitu anak kedua. Rezeki baru ada.

Hanna sudah berusia 17 tahun barulah ibu mengandung anak yang kedua. Lama ibu Hanna, Halimah menunggu berita gembira ini. Ketika Halimah melahirkan Hanna, dia berusia 21 tahun. Kahwin muda. Sekarang umurnya sudah 38 tahun. Ibu tetap nampak cantik dan bersemangat.

“Ayah, mana ibu?” soal Hanna. Dia sudah menghampar sejadah untuk ayahnya. Wajah Hashim kelihatan mendung dalam pandangan Hanna. ‘Ayah ada masalah ke?’ bisik hatinya.

“Ada kat bilik. Nanti kau tengok-tengokkan keadaan ibu kau ya?” pesan Hashim. Dia merenung tepat ke dasar mata anaknya itu.

“Hmm... ayah nak ke mana?” soal Hanna. Hanna terasa pelik sebab tiba-tiba ayah pesan macam tu.

“Ayah ada kerja luar. Kau tolong jaga ibu ya?” pesan Hashim lagi dengan ayat yang sama. Makin berkerut dahi Hanna memikirkan perubahan Hashim.

“Baiklah ayah.” Hanna bersetuju.

Mereka berdua menunaikan solat.

“Ayah pergi dulu.” Wajah ayah kusut. Hanna tidak faham situasi ini. Ibu pun banyak mendiamkan diri. Wajah ibu seperti menyembunyikan sesuatu.

“Ayah, nanti balik belikan Hanna ole-ole ya?” pinta Hanna.

“Ya. Ayah akan beli.” Lemah suara ayah. Hanna tersenyum.

Hanna pasti akan merindui Hashim.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.