Hanna tersenyum melihat mesin
minuman yang berada betul-betul di hujung lorong bangunan sekolahny.
“Harap-harap ada air kegemaran aku.”
Hanna sudah mengeluarkan duit syiling sebanyak RM1.50. Air kegemarannya ialah
air tin cincau. Kata orang, air cincau ini dapat menyejukkan badan. Itu sebab
Hanna suka minum air tersebut.
“Alhamdulillah! Ada!” Hanna gembira.
Kedengaran bunyi air tin jatuh.
Terbongkok-bongkok Hanna mengambil air yang sejuk itu dari mesin minuman.
Tanpa Hanna sedari, ada seseorang
yang pantas berjalan dari selekoh berhampiran mesin minuman itu.
M sedang mengikat tali lehernya
sambil berjalan. Apabila dia berjalan ke arah selekoh itu...
Tinnnn.....
Bunyi air tin yang tercampak lalu
bergolek-golek. Tubuh Hanna dan M berlaga dan jatuh kerana perlanggaran yang
kuat.
“Aduh! Benggong kepala aku!” Hanna
mengaduh. Dia memandang orang yang melanggarnya. M!
“Kepala kau memang benggong.” Marah M.
Dia juga terasa sakit.
“Kau tu yang buta. Tak nampak ke ada
orang kat sini.” Marah Hanna. Saat ini dia sudah tidak fikir apa-apa. Dia hanya
ada air tin itu sahaja untuk dijadikan makanan waktu rehat. Dia sudah tiada
duit belanja.
Tambahan pula, sehari, Hashim hanya
beri duit belanja RM2. Jadi dia kena berjimat.
“Kau memang benggong!” geram M.
“Sedap sungguh kau cakap aku macam
tu. Mentang-mentang aku suka kau, kau boleh cakap sesuka hati. Tak apa. Aku maafkan
kau sebab aku sayang kau!” kata Hanna sambil berlalu ke tepi longkang. Air tin
itu bergolek ke sana.
“Alamak! Dah kemek la tinnya. Tak apa
la. Masih boleh minum.” Hanna tersenyum. Disebabkan teringin minum air tersebut
dia sanggup simpan lima puluh sen setiap hari.
M hanya memerhati sahaja Hanna ke
tepi longkang. Berkesan juga kata-kata Hanna di hatinya.
Hanna mengambil air tersebut. Dia ingin
berlalu.
“Masih boleh minum ke air tu?” M
bertanya. Rasa bersalah pula melihat wajah muram Hanna.
“Boleh. Bukannya jatuh dalam lubang
jamban. Lagi pun longkang tu bersih. Berterima kasih sangat pada tukang cuci
sekolah sebab menjaga longkang sekolah dengan baik sekali.” Sindir Hanna. Dia
ingin berlalu pergi. Dia rasa sakit hati dengan sikap M tetapi untuk membenci M
dia rasa tidak boleh. Mungkin esok dia akan jadi Hanna seperti biasa.
“Hoi!” panggil M.
“Apa?” Hanna berpaling.
“Aku belanja kau minum.” Perlahan sahaja
suara M.
Walaupun perlahan suara M tetapi
bagi Hanna, kata-kata itu bagaikan pengumuman di perhimpunan rasmi. Sangat jelas.
“Belanja minum? Nak!” tanpa segan
silu, Hanna menerima pelawaan M. M hanya mampu gelengkan kepala melihat tingkah
laku gadis itu. ‘Gedik!’
“Kau jangan minum air tin tu. Dah kemek.
Jatuh dalam longkang pula tu.” M membebel sambil tangannya masukkan duit
syiling ke dalam mesin minuman.
Hanna hanya tersengih.
“Maaf. Aku yang langgar kau. Tadi cikgu
disiplin minta aku pakai tali leher. Tu yang terburu-buru dan tak perasan kau
ada kat situ.” Jelas M. Dia juga beli air tin yang sama dengan Hanna. Mereka
duduk di kerusi batu yang ada berhampiran dengan mesin air.
“Aku sentiasa maafkan kau. Kau kan
orang yang aku sayang.” Jelas Hanna pula.
M tersedak mendengarnya. Dia bangun
dan terus meninggalkan Hanna sendirian. Hanna pula tersenyum sehingga waktu
persekolahan tamat. Dia gembira dapat bersama dengan M walaupun seketika.
*****
Hanna rasa gembira kerana Halimah mengajaknya pergi ke majlis perkahwinan. Gembira
M belanja dia minum pun masih terasa.
Hanna sememangnya suka pergi ke majlis
seperti itu dan paling suka dapat melihat pengantin. Itu kepuasan baginya.
“Wah, sejak bila ibu ada kawan yang
kaya?” soal Hanna apabila mereka berdua tiba di depan sebuah villa. Agak besar
rumahnya.
Majlis perkahwinan yang meriah itu
begitu telah melekakan Hanna. ‘Belum masuk dalam rumah lagi. Entah-entah lebih
meriah kot kat dalam.’
Hanna seronok melihat pengantin yang
berbaju cantik dan berseri apatah lagi dengan kumpulan kompang yang meriahkan
suasana. Hanna hanya sempat melihat belakang pengantin kerana pengantin baru
berjalan ke arah pelamin yang cantik itu.
“Hanna tunggu kat luar sekejap ya? Ibu nak jumpa
kawan.” Kata Halimah. Hanna hanya angguk kepala dan menunggu sahaja.
Halimah masuk ke dalam villa tersebut.
Majlis persandingan dibuat di ruang halaman villa yang tersergam indah.
Kelihatan sepasang pengantin yang
bahagia sekali. Dia seperti mengenali pengantin lelaki itu. Namun kerisauan itu
cuba ditimbus.
“Abang!” panggil Halimah. Dia tidak
menyangka suami yang diharap akan melindunginya kini sedang bersanding dengan
perempuan lain.
Air matanya mula mengalir dan
teresak-esak dia menangis. Geram dan sebak dengan perbuatan Hashim yang jauh
berbeza dengan Hashim yang dia pernah kenali dulu.
“Mah!” Hashim terkejut. Dia hanya mampu
tundukkan wajahnya sahaja.
Halimah rasa tidak kuat untuk
berdiri lama. Akhirnya dia rebah juga. Siapa sanggup melihat suami tercinta
berkahwin lain. Kepala Halimah terasa pening.
“Apa perempuan ni buat kat sini?”
soal pengantin perempuan, Izaty dengan kasar.
“Sabar sayang.” Pujuk Hisham.
“Tak guna punya betina! Banyak-banyak
lelaki, laki aku juga kau ambil!” marah Halimah. walaupun teresak-esak, dia gagahi
juga untuk berkata.
“Aku peduli apa! Kau yang betina. Betina
yang tak tahu nak bersyukur dengan apa yang ada. Kalau aku tak bagi laki kau
duit, kau dan anak kau pun tak tahu hidup ke mati.” Izaty menjerit dengan kuat.
Halimah makin terkejut. Kejutan yang
bertalu-talu menghimpit fikirannya.
“Bawa perempuan tu ke luar.” Arah Izaty
tanpa rasa malu pada tetamu yang hadir.
“Sayang, sayang dah janji tak kan
menyusahkan Halimah. Saya akan ceraikan dia nanti. Lepas dia bersalin.” Pujuk Hashim
sambil memeluk Izaty.
“Baiklah. Bawa dia ke bilik orang
gaji.” Arah Izaty kerana Halimah sudah lemah tidak bermaya.
“Kenapa abang buat Mah macam ni?
Abang dah bosan dengan Mah ke? Mah ada buat salah ke? Kenapa abang dah berubah?
Apa salah Mah, bang? Kenapa abang buat
macam ni pada Mah?” soal Halimah lemah.
Hashim berpaling dari terus melihat
air mata Halimah. Selama dia menjalani kehidupan bersama Halimah, tidak pernah
dia melihat isterinya menangis.
“Laki kau ni dah tak boleh cakap. Biar
aku cakapkan. Memang laki kau ni bosan dengan kau! Kenapa? Sebab kau ni mandul!
Dia dah setahun jalinkan hubungan dengan aku. tapi tiba-tiba kau dah
mengandung.” Kata Izaty dengan kasar.
“Abang! Sampai hati abang. Sebabkan kita
tak lambat dapat anak, abang buat Mah macam ni? Abang...” makin deras air mata
Halimah mengalir. Dia cuba untuk bangun dan memeluk kaki Hashim seerat mungkin.
Dia tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Izaty.
Hashim kaku.
“Kau jangan sentuh laki aku!” Izaty
menarik tubuh Halimah dan menolaknya sehingga jatuh tersungkur di atas rumput
yang ada di halaman rumah villa tersebut.
Hati Izaty menjadi panas. ‘Memang
nak kena ajar betina ni. Dia ingat aku ni siapa?!’ getus hati Izaty.
“Abang!” jerit Halimah dengan lantang.
‘Kenapa ibu lama sangat? Masuk je
la.’ Hanna masuk ke dalam kawasan villa itu. Cantiknya pelamin dia. Indah
sekali suasana taman yang dibuat. Tetapi langkahnya terkaku melihat ayahnya
yang sedang berdiri di pelamin itu sambil memeluk seorang perempuan. Air
matanya mengalir deras. Hatinya terasa sakit.
Hatinya sakit kini tercalar dan
tidak akan sembuh selamanya sebaik sahaja Hanna melihat tubuh ibu yang sarat
mengandung itu diheret oleh manusia yang tidak berkemanusiaan.
Hanna terus berlari ke pangkuan
Halimah.
“Ibu bangun!” tubuh Halimah lemah.
Air mata Hanna mengalir tidak dipedulikan lagi walaupun ketika itu ramai yang
memandang mereka berdua.
“Ayah! Sampai hati ayah!” jerit
Hanna. Hashim hanya berpaling dari terus melihat wajah anaknya.
Hashim langsung tidak hiraukan Hanna
yang menangis teresak-esak di samping Halimah. Mata Hanna merah menyala menahan
segala perasaan yang bercampur aduk. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia
bunuh ayahnya sendiri. Tergamak membuat hati ibu terluka.
“Bawa betina ni keluar dari rumah
ni!” jerkah Izaty apabila melihat orang gajinya berhenti dari mengheret tubuh
itu. “Merosakkan majlis orang je!” bersisa lagi marah Izaty.
Tubuh Halimah terus di heret tanpa
belas kasihan dengan keadaannya yang sarat mengandung.
“Tolong, pak cik! Jangan buat ibu
saya macam ni. Saya rayu!” Pinta Hanna. Tidak sanggup melihat tubuh ibunya
diperlakukan bagaikan binatang.
“Pak cik hanya ikut arahan.” Kata
pak cik yang tidak dikenalinya. Dia terus menarik tubuh Halimah sehingga di
jalan raya.
“Pak cik! Tolong pakcik, jangan
begini!” air mata yang mengalir terus mengalir bagaikan tangki yang pecah.
Tidak akan berhenti.
“Baliklah. Jangan kembali lagi di
sini. Pak Cik kenal majikan pak cik. Dia amat kejam.” Nasihat Pak cik.
“Pekerja majikan pak cik pun kejam!”
amuk Hanna. Pak cik tersebut tersentap. Tahu sudah dia yang Hanna maksudkan dia.
Dia yang kejam. Pak cik itu hanya mampu tundukkan wajah.
“Pak cik kejam. Sampai hati buat ibu
saya macam ni.” Hanna berkata lagi.
Tiba-tiba ada darah yang keluar.
“Darah apa ni?” Hanna terkejut. ‘Apa
yang perlu aku buat? Ya Allah kuatkan hati aku Ya Allah.’
Dengan tenaga yang ada dia
mengangkat tubuh ibunya masuk ke dalam teksi yang masih setia menunggu mereka
berdua.
“Abang teksi, cepat! Kita ke
hospital!”
Air mata Hanna tidak akan berhenti
mengalir. Ibunya di masukkan ke wad kecemasan. Hanna terduduk lemah. Dia tiada
sesiapa lagi. Ayah sudah mati! Mati baginya. Dia hanya ada ibu.
Ibu, kuatkan hati ibu. Ibu masih ada
Hanna. Hanna sayang ibu. Ibu kena bertahan ibu. Tolong jangan tinggalkan Hanna.
Pada siapa dia mahu mengadu. Ya
Allah. Segera Hanna ke surau hospital. Menunaikan solat untuk memohon
kepada-Nya.
Usai solat, Hanna berdoa.
“Ya Allah, betapa berat dugaan yang
Kau berikan kepada aku. Ya Allah Ya Tuhanku, aku hambaMu yang lemah lagi hina.
Aku tak layak meminta apa-apa tetapi aku berdoa dengan bersungguh-sungguh,
selamatkanlah ibuku. Aku hanya ada ibu. Hanya ada ibu. Aku tiada sesiapa lagi.
Aku tahu Kau mendengar luahan hati hambaMu ini. Ya Allah, selamatkan ibu ku.
Kau berikan dia kekuatan untuk teruskan hidup. Aku rela korban diri ini.
asalkan ibu dapat diselamatkan. Amminn.” Hanna meraup wajahnya. Air mata yang
mengalir tidak akan sesekali disekatnya.
Hanna berjalan lemah menuju ke wad
kecemasan tetapi tiada sesiapa di situ.
“Nurse, mana pesakit yang mengandung
tadi tu?” soal Hanna. Kebimbangan yang amat sangat dia rasa.
“Oh, Halimah binti Zamrudin. Dia
sedang bersiap sedia untuk ke hospital Kuala Lumpur. Peralatan di sini tidak
mencukupi.” Jelas jururawat tersebut.
“Apa?!” Hanna terkejut.