Hanna mengucap syukur dalam hatinya. Dia mendapat dua orang pelanggan
sekali gus. Itulah namanya rezeki. Tiba-tiba Hanna menjadi muram. Dia
teringatkan Zyla. Wanita yang bersama Mikail. Perangai gedik wanita itu begitu
ketara dalam pandangan Hanna.
“Tapi kalau aku dengan
lelaki yang aku suka pun aku macam tu juga jadinya.” Akhirnya Hanna tersenyum.
Apabila teringat akan lelaki yang Hanna suka, sudah mampu membuat hatinya
gembira. Dia berjalan sendirian. Perut yang kenyang di sentuh Hanna.
Hanna memandang
sekelilingnya. Tiba-tiba pandangan matanya jatuh pada seorang lelaki. Otaknya
ligat memikirkan siapa jejaka itu. Langkahnya terhenti lalu dia berpaling ke
belakang dan memandang lelaki itu.
Hanna tersenyum. Wajah
lelaki itu sama dengan seorang pelakon lelaki yang amat Hanna minati.
“Awak Adi Putra ke?” Hanna
menghampiri lelaki itu. ‘Kalau jumpa artis kena tanya seperti ini ke?’ Hanna
sendiri tidak pasti.
“Awak, saya nak tanya
boleh tak?” Hanna beranikan diri untuk bertanya.
“Ya.” lelaki itu seperti terkejut.
“Awak ni Adi Putra ke? Saya tak sabar nak tengok
lakonan awak dengan Nora Danish. Saya Hanna.” Hanna tersenyum. Dia
memperkenalkan diri tanpa rasa ragu-ragu.
“Filem Aku terima nikahnya
kan?” lelaki itu berkata. Walaupun lelaki itu terasa pelik kerana ditegur
begitu tetapi dia masih melayan Hanna.
“Ya.” Makin terkebil-kebil
mata Hanna. Senyuman manis terukir di bibir Hanna.
“Saya...” belum sempat
lelaki itu menerangkan perkara sebenar, dia ternampak seseorang yang amat dia
kenali. Pantas tangan lelaki itu menarik Hanna dalam pelukannya.
“Apa peluk-peluk ni?”
marah Hanna. Hanna beranggapan yang Adi Putra tidak akan memeluk peminatnya
begini. Hanna cuba menolak tubuh badan yang tinggi itu.
“Saya bukan Adi Putra yang
awak maksudkan tapi nama saya memang Adi Putra.” Bisik Adi di telinga Hanna.
Hanna rasa marah. Dia
tidak ambil peduli sama ada lelaki itu
Adi Putra yang sebenar atau tidak. Apa yang Hanna tahu dia dalam keadaan marah.
“Saya tak kisah dah pasal
awak. Yang saya kisah kenapa awak masih peluk saya ni?” marah Hanna.
“Opss!!!” pantas tangan Adi melepaskan pelukannya.
Hanna tidak mahu mendengar
apa-apa alasan. Hanna pantas bergerak untuk meninggalkan lelaki yang dianggap
sakit mental.
“Cik Hanna, tunggu!
Maafkan saya. Saya tak sengaja.” Kata Adi sambil mengejar Hanna.
Hanna tidak mempedulikan
Adi. Dia terus berjalan dan berjalan.
“Cik Hanna, sedangan Nabi
maafkan umatnya.” Tambah Adi lagi. Adi berusaha mengejar Hanna yang sudah jauh
ke depan.
‘Tak ada modal lain ke nak
guna?’ Hanna makin pantas berjalan.
“Cik Hanna, saya tahu
siapa yang cik Hanna suka?” kata Adi dengan nada yang serius.
Saat Hanna mendengar
kata-kata itu, langkahnya terhenti. Fikirannya hanya ada M. ‘Lelaki ni kenal M
ke? Adakah aku akan bertemu dengan M semula? Aku rindukan dia.’ Hati Hanna
berdebar. Dia berpaling dan menghadap Adi
“Siapa?”
“Tapi Cik Hanna kena
maafkan saya dulu.” Pinta Adi.
“Okey. Aku dah maafkan
kau. Kau jangan nak gedik dengan aku pula. Saya awak saya awak. No! No! No!” Hanna
sedikit marah.
“Kata tadi dah maafkan
tapi marah-marah orang pula.” Adi buat muncung.
“Encik Adi Putra yang
perasan jadi pelakon, aku tak kenal kau. Jadi kalau aku nak marah-marah pun itu
hak aku. Kalau kau tak nak bagi tahu siapa yang aku suka, aku tumbuk muka kau!”
Hanna menunjukkan penumbuknya.
“Sesungguhnya perempuan
yang kasar untuk lelaki yang kasar. Tentu lelaki yang kau suka tu kasar.” Adi
masih berlengah-lengah menyebut nama lelaki yang Hanna suka.
“Kau memang nak kena. Aku
memang suka lelaki kasar. Muscleman gitu.” Jelas Hanna. Dia memang suka lelaki
yang gagah.
“Cik Hanna suka saya kan?”
kata Adi sambil tersengih.
“Apa faedahnya? Kau tu
lembik!” Hanna tidak mahu tahu siapa yang dia suka. Lelaki ini menipu. Lelaki
itu tidak mengenalinya. Bagaimana pula lelaki itu tahu Hanna suka pada siapa.
Hanna rasa tertipu. Dia sepatutnya lebih arif tentang perasaannya itu.
Hanna lari tetapi lelaki
itu masih mengejarnya. Hanna berlari ke kereta miliknya dan terus meninggalkan
lelaki yang langsung tidak dikenali itu.
Adi hanya memandang dari
jauh. Hatinya tercuit dengan tingkah laku gadis yang baru dikenali itu. ‘Nasib
baik dia ada, kalau tak, mesti aku dah
kena tangkap dengan Mac. Seronok juga main sorok-sorok dalam tempat
membeli-belah.’
Adi tersenyum.
Tiba-tiba bahu kanannya di
sentuh.
“Dapat!” kata Mac.
“Alamak!” Adi hampa tetapi
tetap pamerkan senyumannya kepada Mac yang merupakan seorang doktor pakar yang
berbangsa Cina.
“Apa lagi. Belanja aku
makan.” Katanya.
“Mac, dah lama aku nak
tanya. Nama sebenar kau, Meng Ah Chong kan?” soal Adi sambil mereka berjalan
beriringan.
“Ya. Kenapa ni, kawan?”
“Tapi panggil Mac. Kau ingat
kau tu bulan tiga ke?” usik Adi.
“Tak guna punya kawan!”
marah Mac. Adi sudah jauh ke hadapan meninggalkannya. Mereka berkejaran lagi
sekali.
*****
Mikail keluar dari bilik Sazulee. Papanya lebih tenang selepas dipujuk.
Mikail rasa kasihan melihat papanya sakit begitu. Lumpuh seluruh badan.
Mikail menuju ke biliknya.
Dia termenung mengenangkan keluarganya. Iraa dan Syaa. Dua beradik itu sahaja
yang dia ada. Dia harus menjaga mereka dengan baik. Mikail berbaring atas
katil. Melihat ke atas dengan pandangan yang kosong.
Sejak Zahrah, ibu tiri
Mikail, hadir dalam keluarga mereka lapan tahun yang lalu, hidup mereka amat
bahagia. Tetapi selepas Sazulee kemalangan, Zahrah mula berubah. Dia bertukar
karakter menjadi tipikal ibu tiri yang perengus.
“Kasihan Syaa dan Iraa.
Maafkan abang. Abang tak ada masa tu untuk melindungi adik-adik abang.” Kesal
Mikail. “Maafkan abang...” Mikail berterusan rasa bersalah. Peristiwa itu
membuatkan Mikail terus berhati-hati apabila bersama Zahrah. Dia tiada hak
untuk menghalau perempuan itu memandang dia isteri Sazulee.
“Abang!” tiba-tiba Iraa
muncul.
“Kenapa Iraa?” Mikail
terus terbangun dari pembaringan. Wajah Iraa direnungnya.
“Kak Syaa, Abang!” Iraa
tidak tahu apa yang perlu dia katakan tetapi Mikail perlu ada di sisi Syaa
sekarang ini.
Tergesa-gesa Mikail turun
dari katil dan berlari ke bilik adik perempuannya itu. Iraa hanya ikut dari
belakang.
Kelihatan Syaa duduk di
satu sudut bilik itu sambil memeluk tubuh. Matanya bulat tetapi air mata
mengalir. Gadis itu merenung lantai sahaja.
“Syaa, kenapa sayang?”
Mikail menghampiri Syaa lalu dipeluk adiknya itu.
“Abang Mikail... Abang
Mikail... Syaa takut abang... Syaa takut dia buat perkara tu pada Syaa lagi.”
Syaa melahirkan apa yang dirasai saat ini. Syaa bertambah erat memeluk abang
kandungnya itu.
“Shhh...” Mikail cuba
memujuk. “Abang kan ada sekarang ni. Syaa tak perlu takut. Abang akan
melindungi adik dari perempuan tu. Dia tak kan dapat buat tu semua pada Syaa
dan Iraa sekali. Abang tak kan benarkan.” Kata Mikail untuk tenangkan hati
adiknya itu.
“Betul ni abang Mikail?”
soal Syaa bagaikan anak kecil.
“Betul! Abang janji!”
Mikail tersenyum. Dia angkat tubuh adiknya lalu baringkan atas katil. “Abang
jaga kat luar ya? Jangan takut. Syaa tidur. Rehat okey?” pujuk Mikail lagi.
Syaa mengangguk kepala.
Dia cuba pejamkan mata.
Iraa dan Mikail keluar
dari bilik itu.
“Iraa, apa yang berlaku
masa tu? Kenapa Syaa jadi begitu sekali. Apa yang mama Zahrah dah buat pada
Syaa? Ceritakan pada abang, Iraa.” Pinta Mikail.
Iraa memandang wajah
Mikail. Dia sendiri kurang pasti tapi hari itu adalah hari yang paling teruk
dalam hidup Syaa.
“Bermula masa....” Iraa
mula bercerita hal sebenarnya.
*****
Syaa tersenyum manis. Dia ada temu janji bersama kekasihnya. Dia sudah
lambat lalu berlari ke arah pintu utama rumah. Tanpa dia sengaja, dia
terlanggar pasu kristal kesayangan Zahrah yang betul-betul berada di tepi
tangga.
Bunyi pasu pecah bergema
dalam villa itu.
Pantas Zahrah datang ke
ruang tamu.
“Pasu aku!” Zahrah
terkejut melihat pasu yang dibeli dengan harga yang sangat mahal pecah. Kini,
matanya merenung tajam pada Syaa.
Syaa berasa takut. Ini
kali pertama dia melihat wajah Zahrah yang lembut bertukar garang dan
menakutkan. Tubuh Syaa menggigil.
“Mama, Syaa tak
sengaja...” perlahan suara Syaa. Dia sangat takut apabila Zahrah marah.
“Mari sini kau!” suara
Zahrah tinggi memanggil Syaa.
Syaa masih terkaku. Dia
tidak dapat bergerak. Dia benar-benar takut. Zahrah rasa geram kerana Syaa
ingkar arahannya. Dia menghampiri Syaa yang berdiri berhampiran dengan serpihan
pasu kristal yang pecah. Pantas tangan Zahrah menolak tubuh Syaa dengan kasar.
Syaa rebah. Hampir-hampir
sahaja wajahnya mengenai serpihan yang tajam itu.
“Aku panggil kau! Kau
pekak ke?!” kepala Syaa ditolaknya dengan kasar. “Hey! Kau ingat, kau anak Sazulee aku tak berani pukul
kau? Sejak bapak kau tu sakit, sikit pun dia tak pedulikan aku. Apa guna aku
duduk dalam rumah ni?” bebel Zahrah.
Tubuh Syaa kaku. Air mata
sahaja yang mengalir.
“Kau dengar tak?” tengking
Zahrah. “Dengar tak?!” makin kuat suara Zahrah.
“Dengar... Mama...” sayu
suara Syaa. Nafasnya mula tidak teratur. Debaran di hati makin kuat. Dadanya
bagaikan ingin pecah menahan sendu.
“Bagus! Sekarang aku nak
kau kemas semua ni, faham?” arah Zahrah.
Perlahan tubuh Syaa
bergerak.
“Cepat!” tengking Zahrah.
Wajahnya sangat garang. “Cepat aku cakap!” Zahrah menarik telinga Syaa supaya
gadis itu bergerak lebih laju dan mengutip serpihan yang pecah.
“Mama... Sakit mama...”
kata Syaa. Air mata yang mengalir bagaikan tiada erti bagi Zahrah. Tiada belas
kasihan.
“Kau pecahkan pasu
kesayangan aku, tak apa. Nasib baik aku tak pecahkan kepala kau pula.” Kasar
Zahrah.
“Syaa tak sengaja mama.”
Syaa masih cuba membela dirinya.
“Tak sengaja kata kau?”
makin marah Zahrah rasakan. “Mari sini kau!” Zahrah mengheret Syaa dengan
mencengkam rambut Syaa yang panjang.
“Sakit mama...”
sayup-sayup suara Syaa berkata.
Zahrah menarik Syaa ke
bilik air lalu direndamkan dalam tab mandi yang kebetulan terisi dengan air
yang penuh. Zahrah rasa terlalu geram dan marah. Dia rendamkan kepala Syaa
dalam air tersebut dan kemudian menarik semula kepala itu.
Syaa cuba meronta.
“Sekarang kau akan dengar
cakap aku kan?” soal Zahrah dengan kasar.
Syaa hanya diam.
“Aku tanya ni!” lagi
sekali Zahrah diselamkan wajah Syaa ke dalam air dan tarik semula.
“Jawab la perempuan!”
Zahrah menarik rambut yang basah tu lagi.
“Ya mama. Syaa... Syaa
akan ikut segala perintah mama.” Syaa terbatuk-batuk kerana banyak air yang
masuk ke dalam mulut dan hidungnya.
“Bagus!” Zahrah melepaskan
cengkaman tangannya di rambut Syaa. “Hari ni kau duduk je dalam bilik air ni.”
Zahrah siramkan air pada Syaa supaya basah.
“Duduk kau dalam bilik air
ni!” Zahrah terus keluar dari situ dan menguncinya dari luar.
Syaa terus menangis dan
menangis dalam kesedihan. Sejak hari itu dia jadi seorang yang trauma dan sukar
untuk melihat senyumannya lagi.
*****
Hati Mikail bergetar hebat mendengar apa yang diceritakan oleh adiknya,
Iraa. Dia menahan perasaan marah.
“Mama melampau buat Syaa
begitu.” Mikail tidak dapat bersabar. Memang pada awal perkahwinan Sazulee
dengan Zahrah sangat bahagia tetapi kini bagaikan bukan suami isteri dalam
pemerhatian Mikail.
Apa lagi yang mampu Mikail
lakukan? Tiada siapa berani melawan perintah Zahrah. Sedangkan dia sendiri
tiada kekuatan itu.
“Abang berjanji akan jaga
Iraa dan Syaa sebaik mungkin. Abang janji!” kata Mikail. Iraa hanya mampu
tersenyum dengan air mata yang mengalir deras.
“Terima kasih abang.” Ucap
Iraa.