Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 26
BAB 26

“BODOH punya orang, tak ada otak agaknya,” rungut Julia lalu terus menghempas tubuh di buaian di halaman rumah.

Mengejutkan Johan yang dari tadi ralit membaca buku di situ. Wajah masam mencuka sepupunya dipandang seketika.

“Kau kenapa Julie? Masam benar muka cantik kau tu. Kau minum cuka ya pagi tadi?” usik Johan.

Julia menjeling tajam.

“Kau jangan nak tambah bara dalam hati aku ni Han. Nanti dengan kau sekali hangus aku bakar,” balas Julia marah.

Dihayun buaian besi itu sekuat hati. Terhoyong-hayang tubuhnya dan tubuh Johan dibuatnya seketika.

“Kalau ya pun marah, kau beritahulah aku siapa yang buat kau jadi semasam ni. Kau sebenarnya dari mana Jue?” soal Johan lembut.

Dia faham dengan sikap Julia yang cepat melenting namun mudah reda. Dia membetulkan kedudukannya. Sedikit lari dek goncangan kuat gadis itu sebentar tadi.

“Aku pergi PWTC tadi,” balas Julia sambil memuncung bibir.

Dikerling sekilas Johan yang sudah terangkat kedua-dua keningnya.

“Kau pergi PWTC? Buat apa kau pergi sana?” soal Johan, hairan.

“Dah aku boring duduk kat rumah, jadi aku pergilah jalan-jalan. Nak harap kau bawa aku, huh! Reput aku menunggu.”

Julia menjeling wajah lelaki itu lagi. Terukir senyuman lebar di bibir Johan.

“Aku bukan tak nak bawa kau jalan-jalan tapi pagi tadi aku ada hal penting yang perlu aku selesaikan kat kampus tu. Bila aku balik aje kau dah tak ada,” terang Johan.

“Jadi, seronok tak pergi PWTC tu?” soal Johan.

“Bolehlah, okey jugak pesta buku tu,” balas Julia hambar.

Sedang Johan telah berubah riak muka. Seakan-akan tidak percaya.

“Pesta buku? Kau pergi pesta buku?” soal Johan, terkejut.

Ada bunga-bunga tawa dalam nada suaranya. Dia tersenyum lagi. Lebih lebar.

“Iyalah,” balas Julia marah.

Mengerti dengan maksud riak yang terpamer di wajah lelaki itu.

“Kalau kau nak tahu, aku dapat kawan baru tadi. Namanya Farah. Cantik orangnya kau tahu. Dahlah tu, baik pulak budi bahasanya. Suka aku pandang mukanya tu. Cantik sungguh,” ujar Julia.

Nadanya sudah bertukar ceria. Dia tersenyum lebar.

Farah? Hati Johan berdetik seketika. Diakah? Tapi bukankah Farah berada di Pulau Pinang sekarang? Takkan dia balik ke sini? Tiba-tiba pulak tu? Soalan demi soalan mulai memenuhi minda Faizam.

“Tapi kalau kau nak tahu, benci betul aku dengan boyfriend Farah tu. Apa entah namanya, aku dah lupa. Biadab betul. Tak padan langsung Farah dengan dia,” sambung Julia.

Kata-kata Julia melenyapkan bayangan Farah dari minda Johan. Dia kembali tersedar.

“Kenapa kau cakap macam tu?” soal Johan sambil memandang Julia yang merengus halus.

“Yalah, macam mana aku tak benci dia. Ada ke patut, aku yang macam ni cantik jelita diajaknya bergaduh di depan semua orang. Tak guna betullah budak bodoh tu.”

Julia kembali marah tatkala teringatkan peristiwa yang dilaluinya beberapa jam lalu.

“Ni mesti kau ada buat sesuatu yang buat dia naik angin kan? Bukannya aku tak tahu perangai kau tu. Suka benar cari pasal dengan orang.”

Johan menjeling sekilas wajah Julia yang kembali masam dengan kata-katanya.

“Mana ada aku buat apa-apa kat dia,” sangkal Julia cepat-cepat.

Namun dia bersuara semula saat terpandang riak tidak percaya di muka Johan.

“Ada tu adalah tapi perkara tu kecil aje. Bukannya sampai aku bunuh orang ke apa. Saja dia nak besar-besarkan perkara tu. Kau tahu apa dia panggil aku? Puntianak! Entah apalah maksudnya tu,” rungut Julia, geram.

“Puntianak?”

Johan terus ketawa terbahak-bahak. Tawanya semakin kuat tatkala beberapa cubitan gadis itu hinggap di lengannya.

“Kau ni Han, saja nak sakitkan hati aku. Benci tau!” marah Julia sambil menjeling.

“Tapikan pada akulah, Farah tu lebih sesuai digandingkan dengan kau Han.”

“Kenapa pulak?” soal Johan dengan dahi berkerut.

“Yalah, dia tu kan macam kau jugak. Jenis ustazah. Cuma dia tak pakai tudung labuh. Biasa-biasa aje orangnya. Tapi entah apa malangnya nasib dia dapatboyfriend seteruk budak bodoh tu!” marah Julia semula.

Sekaligus menjemput pula bayangan Faizam ke layar mata. Namun cepat saja dia membuang jauh-jauh.

“Siapa pulak yang kau bodohkan ni?” soal Johan tidak mengerti.

“Siapa lagi kalau bukan boyfriend Farah tulah,” jawab Julia, geram.

Dikepal penumbuknya sebelum tapak tangan sendiri ditumbuk beberapa kali. Membayangkan dia menumbuk wajah Faizam ketika ini.

Johan pula terus melebarkan senyuman.

“Kau jangan cakap macam tu Jue. Dibuatnya satu hari nanti kau jatuh cinta kat dia, kau jugak yang susah nanti. Aku lagilah tak suka sebab dapat sepupu bodoh. Esok-esok anak-anak saudara aku pun ikut ayahnya jugak, bodoh aje semuanya,” usik Johan lalu kembali tertawa.

“Eii... please, never!” jerit Julia.

Dia terus mencubit Johan beberapa kali hingga lelaki itu terpaksa bangun dari duduknya. Mengelak dari terus menjadi mangsa cubitan bertalu-talunya.

Julia terus mengejar Johan yang telah berlari mengelilingi laman rumah sebelum kedua-dua teruna dan dara itu terduduk di penjuru halaman. Sama-sama menghambur tawa. Geli hati dengan gurauan Johan sebentar tadi.

Tidak sedar sepasang mata yang sejak tadi mengintai kelakuan kedua-duanya dari balik langsir rumah turut menguntum senyum. Senang melihat keadaan itu.

“LEWAT abang balik malam ni,” sapa Puan Sri Fariha.

Dia menyambut briefcase dari tangan Tan Sri Jamaluddin sebelum mengucup lembut suaminya.

“Banyak kerja yang abang perlu siapkan kat pejabat tu,” balas Tan Sri Jamaluddin lemah.

Direbahkan tubuhnya di sofa. Sementara mata melilau ke sekeliling.Sunyi sepi membalut suasana rumah banglo itu ketika ini.

“Johan mana Riha? Dah tidur ke?”

Pandangan Tan Sri Jamaluddin kembali jatuh pada isterinya. Wanita itu turut melabuhkan punggung di sebelahnya.

“Johan ada dalam biliknya tu, masih mengulang kaji pelajaran.”

“Julie?”

“Julie kat dalam biliknya. Dah tidur pun budak tu.”

“Anak dara tu tak ke mana-mana ke hari ni?” soal Tan Sri Jamaluddin sambil menarik keluar tali leher lalu dihulur pada isterinya yang segera menyambut.

“Dia ke PWTC siang tadi. Saya suruh dia pergi pesta buku yang sedang berlangsung kat situ,” ujar Puan Sri Fariha sambil menghulur segelas minuman.

“Dia pergi dengan siapa? Johan?” soal Tan Sri Jamaluddin lalu meneguk minuman beberapa kali.

“Taklah bang, dia pergi seorang. Johan ada hal kat kampus tadi. Saya suruh Julie bawa kereta saya ke sana.”

Puan Sri Fariha menyambut semula gelas kosong itu.

“Eloklah kalau macam tu. Sekurang-kurangnya tak adalah dia rasa bosan sepanjang berada kat sini,”

“Abang, boleh Riha tanya sesuatu?” pinta Puan Sri Fariha.

Soalan itu telah memalingkan wajah Tan Sri Jamaluddin mengadap Puan Sri Fariha. Merenung wajah wanita kesayangannya. Telah ada kedutan dan garis-garis tua di wajah putih bersih itu. Sama seperti di wajahnya. Namun kasih sayangnya terhadap wanita itu tetap tidak pernah pudar malah semakin mendalam lantaran telah lama mereka hidup bersama.

“Riha nak tanya apa?” soal Tan Sri Jamaluddin lembut.

Puan Sri Fariha terdiam seketika.

“Apa pendapat abang tentang Julie?” tanya Puan Sri Fariha lambat-lambat.

“Kenapa tiba-tiba aje Riha tanya pasal Julie ni?” soal Tan Sri Jamaluddin dengan dahi berkerut.

“Tak adalah bang. Saja Riha tanya,” jawab Puan Sri Fariha lembut.

Tan Sri Jamaluddin tersenyum. Mengerti maksud pertanyaan itu. Berpuluh tahun hidup bersama menyebabkan dia begitu arif dengan setiap sikap isterinya.

“Kenapa? Riha berkenan nak buat menantu ke?”

“Kalau ada jodoh dia dengan Johan, apa salahnya.”

Cepat saja Puan Sri Fariha menyahut. Sekaligus mempamerkan maksud pertanyaannya sebentar tadi.

Tan Sri Jamaluddin menghela nafas panjang.

“Riha dah fikir masak-masak ke tentang hal ni?” soal Tan Sri Jamaluddin semula.

“Kenapa? Abang tak suka kalau Julie jadi menantu kita?”

Tan Sri Jamaluddin menarik nafas lagi. Lebih panjang.

“Bukan tak suka tapi Riha sendiri pun fahamkan dengan sikap abang. Bukan mudah abang nak terima seseorang apatah lagi menjadikannya keluarga kita. Abang akui. Abang sayangkan Julie sama seperti abang sayangkan anak-anak kita yang lain tapi tu tak bermakna abang boleh terima dia menjadi ahli keluarga kita sepenuhnya.

Riha sendiri pun tahu macam mana hidup Julie selama ni? Tapi abang tak kisah tentang semua tu. Cuma abang nak Riha faham. Antara dia dan Johan, terlalu jauh beza. Macam kutub utara dan kutub selatan. Walaupun hidup dalam satu dunia yang sama tapi berlainan arah. Macam mana kita nak pasangkan mereka kalau dari dulu lagi mereka tak pernah serasi,” jelas Tan Sri Jamaluddin.

Memang dari dulu dia sudah mengagak yang ada sesuatu di hati isterinya berkenaan Julia. Sesuatu yang telah lama difahaminya. Hanya dia pura-pura tidak mengetahui.

“Riha tahu bang tapi semua tu kan boleh diubah.”

Puan Sri Fariha meramas lembut jari-jemari kasar suaminya. Tan Sri Jamaluddin hanya membiarkan perlakuannya.

“Abang akui semua tu boleh diubah tapi persoalannya sekarang, mahu ke Johan kalau kita padankan dia dengan budak Julie tu? Kalau dia nak, tak apalah. Tapi kalau tak, abang tak mahu Riha paksa dia terima keputusan Riha,” ujar Tan Sri Jamaluddin mengingatkan.

Pantang baginya memaksa anak-anak menerima segala keputusannya dan isteri tanpa berfikir dulu dalam-dalam. Apatah lagi keputusan itu melibatkan masa depan mereka. Bagi dia setiap anaknya berhak membuat keputusan sendiri namun keputusan itu haruslah bersandarkan kepada persetujuannya dan isteri terlebih dulu.

“Mestilah dia mahu bang. Dia orang kan rapat sejak kecil lagi.”

“Hanya kerana mereka rapat dari kecil maka Riha fikir dia orang dah boleh terima sesama sendiri, macam tu?” soal Tan Sri Jamaluddin sambil tersenyum kecil.

“Fariha, rapat tak semestinya bermaksud mereka sesuai hidup bersama. Lagipun Riha yakin ke yang dia orang berdua boleh hidup bahagia nanti?” sambung Tan Sri Jamaluddin.

“Tentulah bang. Kenapa pulak tak?”

“Tapi abang tak rasa budak berdua tu boleh bahagia kalau hidup bersama nanti. Silap hari bulan tak sampai sebulan dia orang kahwin dah bercerai-berai.”

Puan Sri Fariha terus membulat mata. Lama dia merenung wajah serius suaminya.

“Abang biar betul. Tak baik tahu doa yang bukan-bukan untuk anak-anak kita.”

“Abang bukan doa Riha tapi tu kenyataannya. Cuba Riha tengok perbezaan sikap kedua-dua orang tu. Kalau Johan

dapat didik Julie jadi isteri yang baik, alhamdulillah. Tapi kalau terjadi yang sebaliknya pulak, macam mana?”

Puan Sri Fariha merengus lembut. Kurang senang dengan kata-kata itu.

“Riha tak fikir cakap abang tu betul. Kita dah bagi didikan terbaik untuk anak-anak kita terutamanya Johan. Mustahillah dia tak mampu nak ubah cara hidup Julie.”

“Riha, kita semua ni hanya manusia biasa. Tak pernah lari dari berbuat silap. Jangan katakan masa depan, hari esok pun kita tak mampu nak ramal apa yang akan jadi. Sekadar boleh mengagak dan merancang. Jadi macam mana kita boleh tahu sama ada Johan mampu mengubah Julie atau tak nanti,” balas Tan Sri Jamaluddin lembut.

Direnung wajah Puan Sri Fariha yang sudah menarik panjang muncung.

Puan Sri Fariha tidak puas hati dengan kata-kata suaminya itu. Punah rasanya impian dia untuk melihat anak lelaki kesayangannya dan Julia bersatu.

“Yang abang ni beria-ia tolak pilihan Riha tu kenapa? Abang dah ada pilihan lain ke untuk Johan?” soal Puan Sri Fariha sambil memandang Tan Sri Jamaluddin dengan wajah masam.

Perlahan-lahan Tan Sri Jamaluddin mengangguk lalu tersenyum lebar.

Riak Puan Sri Fariha berubah serta-merta. Terkejut.

“Iya ke bang? Siapa budak tu? Anak siapa bang? Riha kenal ke?”

Bertalu-talu Puan Sri Fariha menghambur soalan. Tidak sabar-sabar hendak tahu.

“Tentulah. Bukan ke Riha sendiri pernah cadangkannya pada abang dulu?”

“Siapa bang? Riha tak ingatlah.”

Puan Sri Fariha menyerah kalah setelah lama berfikir.

Tan Sri Jamaluddin tersenyum semula.

“Tak apalah kalau Riha tak ingat pun. Bukannya penting sangat kita fikirkan semua ni sekarang. Johan tu pun baru aje berapa belas tahun umurnya. Masih banyak lagi perkara yang perlu dia buat sebelum fikir pasal hal ni. Entah esok-esok dia dah pilihan sendiri, mana kita tahu.”

Jawapan Tan Sri Jamaluddin membuatkan Puan Sri Fariha mengeluh.

“Bang, kalau Johan dah ada pilihan sendiri, abang terima tak pilihannya tu nanti?” tanya Puan Sri Fariha lambat-lambat.

“Siapa pun pilihan anak-anak kita, abang tetap akan terima Riha asalkan mereka bahagia. Cuma tulah. Kita sebagai orang tua kenalah nilai dulu orang yang bakal menjadi ahli keluarga kita tu. Kalau kena gaya, apa salahnya,” ujar Tan Sri Jamaluddin.

Dia mula bangun dari duduknya.

“Dahlah Riha, dari tadi kita asyik bercakap aje sampai lenguh mulut abang. Riha ada masak apa-apa tak? Abang laparlah. Dari petang tadi abang tak makan apa-apa lagi,” sambung Tan Sri Jamaluddin sambil memandang isterinya yang turut sama bangkit.

“Eh, lupa pulak Riha nak ajak abang makan. Riha dah masak awal malam tadi, tunggu abang balik ajelah,” jawab Puan Sri Fariha sambil tersenyum kecil.

“Johan dan Julie dah makan?”

“Lepas Solat Maghrib tadi dia orang dah makan.”

“Riha?”

“Riha tunggu abang.”

Tan Sri Jamaluddin tersenyum panjang. Mengerti dengan sikap isteri kesayangannya. Sejak dulu tidak pernah berubah. Gemar menunggunya untuk makan bersama. Lantas menambahkan lagi sayangnya terhadap wanita itu.

“Riha pergilah makan dulu ya. Abang nak mandi dan Solat Isyak. Lepas tu baru abang nak makan,” ujar Tan Sri Jamaluddin lalu mula menapak ke tingkat atas.

“Kalau macam tu Riha panaskan dulu lauk-pauk tu ya bang. Kita makan sekali nanti,” balas Puan Sri Fariha cepat-cepat.

“Suka hati Rihalah.”

Tan Sri Jamaluddin segera menghilangkan diri.

Puan Sri Fariha pula terus melenggang masuk ke ruang dapur.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-26-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 25
Next: BAB 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh