Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 10
BAB 10

CERMAT Farah menurunkan langsir lalu tingkap berbidai kayu itu dibuka luas. Membiarkan angin pagi menyapa lembut tubuhnya. Selain memberi ruang pada sang mentari memancarkan cahaya ke seluruh ruang rumah itu.

Sepagian Farah menghabiskan masa mengemas setiap sudut rumah. Walaupun datuk dan neneknya tidak pernah menyuruh namun, menjadi tanggungjawab dia membantu meringankan kerja-kerja mereka. Hingga Farah terbiasa melakukan semua itu sejak kecil tanpa mengharapkan bantuan sesiapa.

Cuti sekolah dua minggu itu membolehkan Farah berada di rumah datuk dan neneknya dengan lebih lama. Namun dia tidak lupa membawa pulang buku-buku pelajaran bagi memudahkannya mengulangkaji di waktu lapang. Selesai di tingkat bawah, Farah bergegas ke atas. Dibuka luas pintu setiap bilik. Membiarkan udara segar kampung membolos masuk ke ruang yang jarang-jarang berpenghuni itu. Dibuka tingkap sebelum menarik keluar langsir yang lama tergantung di kepala tingkap. Digantikannya dengan baru. Farah kembali melangkah ke luar lalu melepaskan nafas panjang tatkala tiba di bilik terakhir.

Gerak Farah terhenti saat terpandang sekeping gambar di dinding. Gambar itu sering mencuri perhatiannya setiap kali dia ke situ. Wajah anak muda yang tersenyum girang itu direnung lama. Dia selalu dapat melihat senyuman dan gelak tawanya walaupun hanya dari jauh lantaran mereka tidak pernah bertegur sapa. Apatah lagi berbual-bual mesra. Biarpun hakikatnya mereka terikat dalam sebuah hubungan yang tidak mungkin dapat dilerai sesiapa hingga ke akhir hayat. Hubungan kekeluargaan.

Farah sebenarnya tidak pasti dengan hatinya. Dia benci melihat wajah itu setiap kali bersua tetapi dalam masa sama rasa malu dan segan turut menyerbu keluar. Diadun bersama gembira dan sayang. Hingga Farah keliru.

Ralit Farah melayan lamunan sebelum lenyap tatkala kedengaran batuk-batuk kecil di luar. Waktu Farah berpaling, Hajah Aminah telah tersembul di muka pintu.

“Kamu buat apa dalam bilik Johan ni Farah?” soal Hajah Aminah lembut.

“Laa... buat apa lagi, mengemaslah. Bukan ke nek kata ada tetamu jauh nak datang ke rumah kita dua tiga hari lagi? Takkan nak biar dia orang tengok rumah kita berhabuk sana sini.”

Farah terus menyambung kerjanya yang terhenti tadi.

“Tu nenek tahulah tapi yang kamu renung gambar Johan macam nak telan kenapa? Bukannya ada kena-mengena dengan kerja kamu tu pun,” usik Hajah Aminah.

“Hisy nek ni, mana ada saya renung gambar Johan tu. Tak ada maknanya saya nak buat macam tu. Merepek ajelah nek ni,” sanggah Farah cepat-cepat.

Gerak tangannya juga semakin laju. Selaju debaran hatinya ketika ini.

Hajah Aminah tersenyum lagi. Dia tahu ada sesuatu di hati Farah berkenaan Johan. Sejak dulu Farah tidak suka dikaitkan dengan Johan. Walaupun Farah tidak pernah meluahkan rasa itu namun segalanya dapat dibaca daripada gerak tubuh dan tingkah lakunya setiap kali nama Johan dibangkitkan. Satu keadaan yang sehingga kini tidak difahami Hajah Aminah dan suami.

“Yalah, tak nak mengaku sudah, nek pun tak kisah. Cepat sikit buat kerja tu. Ada banyak lagi kerja lain yang nek nak minta kamu tolong buatkan nanti.”

Hajah Aminah berpaling tubuh. Mahu berlalu.

“Nek, siapa yang nak datang ke rumah kita ni nanti?” tanya Farah.

“Adalah, kamu tunggu aje. Dah, cepat selesaikan kerja tu.”

Hajah Aminah kembali menapak. Meninggalkan Farah termangu-mangu sendiri.

“YA ALLAH, bosannya aku!” jerit Danial.

Kawan-kawannya yang lain turut terbaring di pinggir tasik petang itu. Masing-masing melepaskan lelah setelah dua jam berjoging mengelilingi kawasan tasik.

“Wei kau orang, apa rancangan kita sepanjang cuti sekolah ni hah?” soal Nazrin memecah sepi.

Lalu membuka mata teman-teman yang hampir terkatup dek keletihan. Cuaca redup beriringan tiupan bayu sepoi-sepoi bahasa membuaikan mereka dalam rasa mengantuk yang menyengat diri.

“Nak buat apa lagi Naz, macam biasalah. Pergi library, study and then joging. Itu ajelah,” sahut Adib sambil melunjurkan kaki.

“Aku setuju. SPM dah makin dekat. Kita tak boleh main-main lagi macam cuti-cuti lepas. Tapikan Adib, aku rasa kau kena buat benda lain jugak selain dari study,” usik Iskandar sambil tersengih nakal.

“Apa?” soal Adib dengan dahi berkerut.

“Keluar dating dengan Anne.”

Serentak itu Iskandar mengaduh sakit tatkala jari-jemari kasar Adib pantas mengetip lengannya.

“Tak guna kau, selalu nak kenakan aku,” sambut Adib sambil tersenyum lebar.

“Tak adanya aku nak dating dengan Anne cuti-cuti sekolah macam ni. Dahlah jarak rumah kita orang jauh. Dia pun sibuk dengan kelas modeling dia tu. Daripada aku pandu kereta jauh-jauh semata-mata nak jumpa dia, baik aku baca buku. Ada jugak faedahnya,” sambung Adib.

Jari-jemarinya masih leka menekan butang telefon di tangan.

“Eleh, depan kita orang kau cakaplah macam tu. Entah-entah, diam-diam malam ni jugak kau pergi jumpa dia. Rindulah katakan. Maklumlah dua minggu tak jumpa,” usik Iskandar.

Dia segera bangun apabila Adib ingin mengetip lengannya lagi. Kemudian bersembunyi di belakang Johan yang sudah tertawa. Geli hati dengan sikap Iskandar yang sejak dulu gemar mengusik teman-temannya.

“Kau ni Is, dah puas hidup kat dunia agaknya. Mulut tak bertapis langsung.”

“Tak tumbuh tak melata Adib,” balas Iskandar selamba sambil tersengih lagi.

“Adib, terlanjur kita bercakap pasal Anne, aku nak tanya kau sesuatu,” ujar Nazrin.

Pandangan Adib beralih arah pada Nazrin.

“Apa yang kau nak tanya?”

Wajah serius Adib nampak bertambah serius apabila dia mengerutkan kedua-dua kening lebatnya.

“Kau betul-betul nakkan budak Anne tu?”

“Maksud kau?” soal Adib, meminta kepastian.

“Yalah. Aku tengok Anne betul-betul sayangkan kau tapi kau macam nak tak nak aje dengan dia,” terang Nazrin lembut.

“Nak tak nak macam mana maksud kau?” soal Adib, tidak faham.

“Maksud Naz, kau tu macam main-main aje padahal minah tu bukan main sayang lagi kat kau. Sanggup buat apa aje sedangkan kau tak macam tu pun,” sampuk Danial.

Nazrin pula mengangguk laju. Mengiyakan kata-kata itu.

“Mana adalah Naz. Aku seriuslah dengan dia. Kau orang pun tahu bukan sehari dua aku kenal dia. Dari kita di tingkatan tiga lagi. Takkan aku nak main-mainkan dia pulak,” sahut Adib sungguh-sungguh walaupun segumpal keraguan wujud di sudut hati.

Ragu dengan kata-kata sendiri.

“Senang cakap, kau memang pastilah nak jadikan Anne tu kakak ipar aku?” tanya Afiq sambil menatap wajah abang kembarnya.

Adib mengangguk pantas.

Mereka yang lain perlahan-lahan turut mengangguk kecil. Yakin kini dengan pengakuan anak muda itu walaupun tidak sepenuhnya.

“Eh kau orang, jomlah kita balik sekarang. Dah lewat ni. Nanti lambat pulak kita sampai rumah,” ajak Adib.

“Naz, kau drive kereta pulak ya. Aku malaslah nak drive,” arah Adib.

“Okey,” ujar Nazrin sambil mengangguk.

Dia mencapai huluran kunci kereta dari Adib sebelum sama-sama menapak ke tempat letak kereta bersama rakan-rakannya lain.

“NAK lagi dik?” soal Balkis sambil memandang adiknya.

Amir menggeleng.

“Dah kenyang,” balas Amir lalu mengucap Alhamdulillah.

“Kakak tahu, abang Faizam tu baik orangnya. Dahlah dia tolong selamatkan nyawa adik, dia datang pulak melawat adik tiap-tiap hari. Baik kan dia?”

Untuk kali seterusnya Amir bercerita lagi tentang perkara itu. Sungguh-sungguh. Tangannya menarik selimut lalu menutup kaki yang masih belum dapat bergerak sepenuhnya.

“Kalaulah adik dapat balas jasa dia suatu hari nanti, alangkah bagus kan kak,” sambung Amir.

“Adik tahu tak? Sejak adik balik ke rumah, adik tak henti-henti bercakap pasal dia. Siang malam, tu aje yang adik cakap. Apa adik tak rasa jemu ke? Lagipun dik, orang yang ikhlas membantu orang lain takkan mengharap balasan tahu.”

“Adik tahu tapi adik terkilan sangat sebab adik tak sempat kenalkan dia pada keluarga kita. Yalah, orang dah berbudi takkan kita tak berbahasa pulak.”

“Kakak faham tapi adik kena ingat. Abang Faizam adik tu pun ada kehidupannya sendiri. Kita tak boleh paksa dia datang ke sini kalau dia tak nak. Esok-esok datang jugaklah dia ke rumah kita ni pun,” pujuk Balkis dengan kasih sayang.

Walaupun Amir dan Anaz hanya sepupunya namun kasih sayang Balkis terhadap kedua-dua beradik itu begitu melimpah lantaran dia sendiri menumpang kasih sayang keluarga mereka.

Amir mengangguk perlahan. Kepalanya kembali diangkat.

“Kak, mahu tak kalau adik kenalkan kakak pada abang Faizam?” soal Amir tiba-tiba.

Melebar senyumannya pada Balkis yang kaget dengan pertanyaan itu.

“Nak buat apa?” soal Balkis, hairan.

Terjongket sedikit kedua-dua keningnya.

“Ala kak ni, buat kawanlah. Kak kan tak ada kawan lelaki. Apa salahnya kalau kak kawan dengan abang Faizam. Mana tahu esok-esok kakak ada jodoh dengan dia. Adik jugak beruntung dapat abang ipar handsome dan baik macam dia,” ujar Amir, membayang hasrat hati yang tiba-tiba muncul di minda.

“Hisy adik ni, itu pulak difikirnya. Dah, dah, jangan nak merepek. Nah, makan ubat ni. Nanti lambat pulak sembuh kaki adik tu.”

“Ala kak ni, tak sporting langsung. Adik suruh kawan dengan abang angkat adik pun tak nak,” protes Amir.

Namun mulutnya tetap dibuka luas. Ditolak ubat pahit itu terus ke tekak dengan segelas air putih.

“Iyalah tu. Kaki tu pun masih tak betul jalannya, ada hati nak padankan orang pulak. Dah, dah. Cepat tidur. Doktor dah pesan, adik kena banyak rehat. Nanti tak pasal-pasal adik kena masuk balik ke wad tu kalau tak dengar cakap,” ujar Balkis lagi sambil membetulkan kedudukan selimut Amir.

“Selamat malam kak,” ucap Amir setelah doa tidur dibaca.

“Selamat malam.”

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-10-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh