BAB
1LIGAT Farah
memasukkan pakaian ke dalam beg besar. Sesekali dia mengeluh. Hampir seharian
melakukan perkara nan satu itu menyebabkan bosan menerjah diri.
Selesai
mengemas, Farah duduk di birai katil. Melepas lelah. Dipandang beg yang padat
dengan barangan yang bakal dibawa dalam perjalanan jauhnya esok. Ketukan di
pintu mengalih matanya. Terjengul wajah Hajah Aminah di situ.
“Banyak
lagi ke barang nak dikemas?” soal Hajah Aminah lalu terus duduk di sisinya.
“Dah
tak banyak nek, tinggal sikit lagi ni,” jawab Farah sambil tersenyum.
“Hmm...
lepas ni lambat lagilah kamu nak balik ya? Rasa macam baru semalam kamu balik.
Tahu-tahu kamu dah nak ke asrama semula,” keluh Hajah Aminah, sayu.
“Nek
ni, bukan ke dah lama Farah bercuti? Dah lebih sebulan pun. Takkanlah nek tak
puas lagi duduk dengan Farah?” pujuk Farah.
Dipeluk
tubuh tua itu.
“Yalah,
kamu kan tak dapat balik selalu ke sini. Kalau balik pun sekejap aje.
Kadang-kadang tak sampai dua tiga hari. Dahlah jarang-jarang kamu tidur kat
sini. Selalunya kamu tidur kat kampung gunung sana tu,” rungut Hajah Aminah.
Cucu
kesayangannya mengukirkan senyuman.
“Nek
ni. Apa nek dah lupa ke yang Farah pun ada keluarga kat situ? Nanti apa pulak
kata dia orang kalau Farah tak balik ke sana setiap kali balik ke kampung.”
“Yalah
tapi kamu tu, kalau tinggal kat sana berhari-hari lamanya. Bukannya ingat nak
balik ke sini dah,” ujar Hajah Aminah dalam nada masih merajuk.
“Mana
adalah nek. Rasanya Farah tinggal lagi lama kat rumah ni. Kadang-kadang Farah
tak tidur pun kat sana. Tulah, salah atuk dan nek jugak. Siapa suruh hantar
Farah belajar jauh-jauh? Sekarang atuk dan nek jugak yang susah. Selalu aje
rindu kat Farah,” balas Farah.
Dia
tersengih apabila wanita tua itu menjeling.
“Yalah,
yalah, salah atuk dan nek kamu ni jugak. Kamu aje yang betul.”
“Ala...
tak bestlah kalau nek merajuk. Okey Farah janji, cuti raya Cina nanti
Farah balik ke sini,” pujuk Farah lalu memeluk Hajah Aminah dengan lebih erat.
“Raya
Cina bilanya? Tahun depan?”
Dahi
Hajah Aminah berkerut sejenak.
“Yalah
nek. Tahun ni punya kan dah lama lepas,” ujar Farah sambil tertawa kecil.
“Huh,
lambat lagilah tu,” gerutu Hajah Aminah.
“Laa...
apa pulak lambatnya. Tak sampai dua bulan lagi dah. Lepas Farah daftar masuk
sekolah semula esok lusa, kira tahun barulah tu.”
Farah
tersenyum lagi melihat gelagat neneknya. Wanita tua itu berfikir sekejap.
“Ya
tak ya jugak. Lusa dah masuk tahun baru,” balas Hajah Aminah kemudian.
Farah
hanya tersenyum sebelum meleraikan pelukan. Dia tunduk membetulkan susunan baju
yang sedikit menyenget di dalam beg.
Hajah
Aminah menyeluk saku Baju Kurung Pahangnya. Dia menarik keluar sesuatu. Dia
kemudian mencapai tangan Farah yang terpinga-pinga melihat tingkah lakunya
sebelum meletak sesuatu di telapak tangan gadis itu.
“Eh,
untuk apa ni nek?”
Bulat
mata Farah melihat kepingan kertas pelbagai warna di tangan. Wajah tenang
wanita tua itu dipandang sejenak. Tidak mengerti.
“Ambil
ajelah, buat belanja. Atuk kamu suruh bagi,” balas Hajah Aminah.
“Tapi
kalau ya pun nek, takkanlah sebanyak ni? Duit yang bulan lepas nek bagi tu pun
Farah tak usik lagi,” sahut Farah, sebak dengan pemberian itu.
“Alah,
tak apalah, bukannya banyak mana sangat pun tu.”
“Tapi
nek...”
“Simpanlah.
Mana tahu kamu nak beli apa-apa nanti. Dahlah kamu tu jauh dari kami. Kalau
jadi apa-apa, susah kamu kalau tak berduit,” pintas Hajah Aminah.
“Nek
turun ke bawah dulu. Kamu jangan lambat sangat mengemas tu. Cepat siapkan
semuanya. Atuk kamu dah tunggu nak minum petang sekali.”
Hajah
Aminah terus bangun melangkah ke pintu bilik lalu menghilang dari situ.
Farah
mengangguk sebelum matanya jatuh semula di helaian wang kertas bernilai tiga
ratus ringgit dalam genggaman. Hatinya terusik. Teringat dia kasih sayang Haji
Rahman dan Hajah Aminah selama ini. Kasih sayang yang membuatkan dia sentiasa
mengenang budi serta jasa suami isteri itu. Hingga dia sering terlupa pada
kewujudan ibu dan bapa kandungnya yang masih bernafas di dunia ini. Ibu dan
bapa yang jarang-jarang ditemuinya sejak kecil. Mengingatkan itu Farah menghela
nafas lagi. Penuh sayu.
“JAUH benar
lamunan anak teruna mama ni.”
Johan
yang duduk di buaian rumah tersentak. Khayalan entah apa-apa berkecai dibawa
angin petang. Saat dia berpaling, Puan Sri Fariha sudah terpacak di sisi. Puan
Sri Fariha duduk bersebelahannya yang segera menganjak. Memberi ruang.
“Johan
ingatkan siapa tadi?” soal Puan Sri Fariha lembut.
“Tak
ada siapa-siapa pun ma,” jawab Johan.
“Johan
dah habis mengemas barang?” tanya Puan Sri Fariha lagi.
“Dah
mama. Dari pagi tadi Johan dah siapkan semuanya.”
“Hmm...
nampaknya esok lusa mama kembali berseoranganlah. Dah tak ada siapa lagi nak
temankan mama berbual-bual,” ujar Puan Sri Fariha, sayu.
“Mama
ni... ayah kan ada. Along dan Angah pun selalu balik ke sini. Tak adanya mama
nak sunyi sendiri,” pujuk Johan lembut.
“Huh!
Nak harap ayah kamu teman mama, rasanya langit atas kepala kita ni terbelah dua
pun belum tentu dia mahu. Dia lebih suka mengadap kerjanya kat pejabat tu dari
mengadap muka mama ni. Along dan Angah kamu tu pun sama aje perangai dengan
ayah kamu. Sibuk memanjang,” bebel Puan Sri Fariha sambil mencebik geram.
Senyuman
lebar terukir di wajah Johan. Dia cukup kenal sikap Tan Sri Jamaluddin. Jarang
lelaki itu dapat menghabiskan masa di rumah lantaran sibuk menguruskan syarikat
keluarga. Namun itu tidak menghalang lelaki tegas dan sukar tersenyum itu
menjalankan tanggungjawab pada keluarganya. Begitu juga dengan kedua-dua abang
Johan.
“Mama
bukannya tak tahu kerja dia orang tu. Dia orang kan businessman, mestilah
selalu sibuk,” balas Johan lembut.
Sekadar
ingin menyejukkan hati marah mamanya setiap kali perihal ketiga-tiga lelaki itu
dibangkitkan.
“Alah,
orang lain pun bekerja jugak tapi tak adalah macam ayah dan abang-abang
kamu tu. Terlalu pentingkan kerja hingga abaikan keluarga sendiri. Tak fikir
anak isteri kat rumah dah makan ke, sihat ke tak. Kasihan Kak Fauziah dan Kak
Asmila kamu. Ada suami pun macam tak ada suami aje. Bukannya abang-abang kamu
peduli sangat dengan isteri-isteri dia orang tu. Mujurlah kedua-dua kakak ipar
kamu tu jenis memahami. Kalau tak, entah apa jadi dengan rumah tangga dia orang
tu.”
Johan
hanya menadah telinga. Faham sudah sikap Puan Sri Fariha yang gemar membebel
walau untuk perkara-perkara remeh.
“Kamu
Johan, esok-esok bila dah berumah tangga, jangan sesekali ikut perangai ayah
dan abang-abang kamu. Kerja tu kerja jugak tapi jangan sampai tanggungjawab
terhadap rumah tangga terabai. Tak pasal-pasal lari pulak isteri kamu nanti,”
tegas Puan Sri Fariha, memberi peringatan.
“Mama
ni, Johankan masih muda. Jangan kata berumah tangga, belajar pun tak habis
lagi. Mama dah bercakap pasal isteri pulak.”
“Mama
bukan apa, mama cuma ingatkan kamu aje. Mama tak mahu kamu bersikap macam ayah
dan abang-abang kamu tu di depan hari. Lebih sayangkan kerja dari rumah tangga sendiri.”
“Insya-ALLAH
ma, Johan takkan buat macam tu pada isteri Johan nanti,” janji Johan.
“Oh
ya, mama dah masak ke untuk makan malam? Johan laparlah,” ujar Johan, sengaja
mengalih topik bicara.
Tidak
mahu memanjangkan bebelan mamanya. Sedar, makin dibiarkan, semakin berjela-jela
pula ceramah tidak rasmi wanita itu.
“Ya
ALLAH! Sebut pasal makan malam baru mama teringat. Mama dah hidang pun atas
meja tu. Mama fikir nak panggil kamu makan tadi tapi terlupa pulak. Itulah,
bila aje mama bercakap pasal ayah dan abang-abang kamu, mesti mama lupa
terus hal lain,” sahut Puan Sri Fariha sambil menepuk dahi.
“Jom
kita makan dulu. Kalau tunggu ayah kamu, jangan kata sekarang, esok pun belum
tentu kita boleh makan,” ajak Puan Sri Fariha lalu bangun melangkah ke dalam
rumah.
Kedengaran
lantang Puan Sri Fariha menjerit memanggil pembantu rumah mereka untuk makan
bersama.
Johan
menggeleng. Tercuit melihat tingkah laku mamanya. Dia kemudian turut bangun
menuju ke dalam rumah.
FAIZAM memperlahankan
kelajuan motosikal Honda EX5 kesayangannya sebaik terpandang lampu isyarat
bertukar merah. Sengaja dia memberhentikan motosikal di bawah pohon rimbun
sementara menunggu lampu isyarat kembali bertukar warna. Menghadang diri dari
terus disambar cahaya matahari yang terik menyengat. Sambil menyanyi-nyanyi
kecil, matanya melilau ke sekeliling.
Bandar
raya Alor Setar kelihatan sibuk tengah hari itu. Sesak dengan limpahan manusia
pelbagai bangsa. Masing-masing leka membuat aktiviti sendiri. Kenderaan pula
tidak putus-putus lalu-lalang di jalan-jalan utama menyebabkan suasana
diselubungi kebisingan dan keriuhan yang datang dari pelbagai arah.
Sayup-sayup,
suara muazin melaungkan azan memantul ke setiap pelosok. Memberi tanda telah
tiba masanya umat Islam mengerjakan suruhan wajib Allah. Menghasilkan kedamaian
tiada tandingan di hati sesiapa yang benar-benar menghayati alunannya.
Faizam
membetulkan kedudukan baju Melayunya. Menjadi kebiasaan dia ke bandar raya Alor
Setar setiap hari Jumaat. Selain bersolat, dia turut mempunyai agenda lain
walaupun terpaksa berulang alik dari Pulau Pinang saban minggu. Satu kemestian
baginya berbuat begitu selama lima tahun membuang diri ke Pulau Mutiara itu.
Faizam
segera menukar kedudukan gear apabila lampu isyarat bercahaya hijau. Namun
gerakan motosikalnya terhenti apabila tiba-tiba seorang gadis melintasi
laluannya. Terpaku sekejap dia dengan keadaan itu.
Hanya
pandangan Faizam mengekori langkah gadis yang segera mengembangkan payung.
Menahan wajah dari terus dipanah cahaya matahari yang begitu menyengat.
Sesekali tangan kirinya membetulkan kedudukan gaun kembang labuhnya yang
diselak angin sepoi-sepoi bahasa.
Sepasang
mata Faizam tekun meneliti raut menunduk itu. Ada sesuatu terdetik di hati
Faizam tatkala terpandang wajah putih mulus itu. Sesuatu yang dirasakan asing
dan tidak pernah dialaminya selama ini. Hingga Faizam terus-terusan ralit
dibuai perasaan.
Bunyi
hon kenderaan bertalu-talu kedengaran dari belakang menyentak Faizam dari terus
mematung tubuh. Pantas dia menggerakkan motosikal semula. Sempat matanya
melirik tubuh gadis yang telah selamat tiba di seberang jalan sebelum dia
memecut laju. Hatinya kembali dipalu debaran.
BALKIS menghempas
beg sandangnya. Tubuhnya dihenyak ke tilam. Dia mendengus marah. Hatinya
mendongkol geram. Pertemuan dia dan Datuk Baharin sejam lalu benar-benar
mencabar kesabaran. Hilang hormatnya buat lelaki itu seketika.
Hampir-hampir
mereka bertelingkah andai dia terlupa status lelaki itu. Begitu pun dia
bersyukur. Dia masih mampu berfikir waras. Bimbang juga hatinya andai dia
hilang kawalan diri tadi. Seterusnya mempamerkan sikap biadap di hadapan lelaki
itu dek kemarahan yang mengalir dalam darah mudanya.
Ketukan
di pintu memaksa Balkis berpaling. Dihembus nafas kasarnya tatkala terpandang
Anaz di muka pintu. Ada senyuman di wajah tenang lelaki itu.
Anaz
menghampiri Balkis di birai katil. Lalu melabuhkan punggung di sisi Balkis.
“Balkis
ke mana sepanjang hari ni? Sehari suntuk tak ada kat rumah,” soal Anaz lembut.
Balkis
hanya memasamkan muka. Satu dengusan keras terhembus keluar dari celah bibir.
Tanda kurang senang dengan pertanyaan itu.
Anaz
mengukir senyuman. Tidak terasa hatinya melihat sikap gadis itu. Berbelas-belas
tahun hidup bersama membuatkan dia mengerti. Gadis berusia tujuh belas tahun
itu tidak gemar berkongsi cerita dengan sesiapa termasuklah Anaz, abang sepupu
yang telah dianggap abang kandung sendiri.
“Bonda
beritahu, Balkis pergi jumpa ayah tadi. Betul ke?” soal Anaz lagi apabila
soalan tadi tidak dijawab.
Masih
menatap wajah marah beradun muram itu.
Lambat-lambat
Balkis mengangguk lalu menunduk. Cuba menyembunyikan rasa duka yang tiba-tiba
menyerbu jiwa.
“Ada
ayah beritahu apa-apa pada Balkis?” soal Anaz lagi.
Balkis
menggeleng pula.
“Tak
ada apa-apa,” ujar Balkis setelah seketika mengunci mulut.
Menyelindung
perkara sebenar di balik wajah yang masih masam.
“Kalau
betul tak ada apa-apa, masakan muka adik abang masam macam ni. Macam baru habis
makan sebungkus asam kelubi,” usik Anaz sambil mencuit dagu gadis itu.
Balkis
menepis lembut. Tidak suka walaupun dia biasa dengan perlakuan sebegitu
lantaran mereka berkongsi ibu susuan. Namun waktu ini Balkis tidak berminat
berbual jauh sekali bergurau senda seperti yang sering mereka lakukan.
“Apa
sebenarnya yang ayah cakap pada Balkis?” tanya Anaz.
Dia
kembali serius apabila melihat gadis itu tidak menunjukkan reaksi positif
dengan gurauannya.
“Balkis
bergaduh dengan ayah ya?” duga Anaz.
Dia
masih tidak putus asa mengorek perkara yang tiada dalam pengetahuannya.
Berharap gadis bermulut berat itu kembali melontar kata. Namun harapannya hanya
tinggal harapan apabila Balkis menggeleng semula. Tanda tidak berminat untuk
terus bersuara.
Anaz
menarik nafas. Sedar, tiada guna dia memaksa Balkis jika gadis itu berkeadaan
begitu. Keadaan yang pasti memakan masa sebelum bertukar sebaliknya. Satu lagi
sikap Balkis yang cukup difahami. Perlahan-lahan nafasnya dihembus keluar.
“Okeylah,
abang tak nak ganggu Balkis lagi. Kalau Balkis nak beritahu apa-apa atau nak
berkongsi cerita, bila-bila masa aje abang sedia mendengar. Abang keluar dulu
ya,” ujar Anaz sambil menepuk lembut bahu adik kesayangannya.
Dia
bangkit lalu ke pintu. Sempat dia mengerling Balkis. Gadis itu masih seperti
tadi. Seakan-akan tidak terkutik dengan kata-katanya. Lalu Anaz menghilang di
balik pintu yang ditutup rapat. Memberi ruang untuk gadis itu bersendirian.
Perlahan-lahan
Balkis menghela nafas panjang. Wajah Datuk Baharin kembali menerpa ke minda.
Sekaligus menyalakan semula bara kemarahan di hati. Dia merengus lagi. Tidak
senang dengan keadaan itu.
http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-1-ketika-hati-bercinta_6.html