Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 2
BAB 2

“FARAH, bila kau sampai asrama?”

Buat seketika langkah Farah terhenti.

“Pagi tadi,” sahut Farah sebaik Haiza mendapatkannya.

Mereka beriringan berjalan.

“Oh, samalah kita,” balas Haiza.

“Dia orang yang lain dah sampai ke?” soal Farah sambil mengerling sekilas gadis itu.

“Lynn sampai semalam dengan Gina. Ikin macam biasalah, memang kat sini pun dia dengan mak dia. Dia orang yang lain tu aku tak pasti pulak. Oh ya, Izrin Putri tak ikut balik sekali ke Farah?” ujar Haiza.

“Apa pulak tak ikut. Aku balik dengan dialah pagi tadi,” jawab Farah.

“Eh Farah, petang nanti ada latihan bola tampar tau. Kau jangan tak datang,” beritahu Haiza sambil memandang Farah yang sudah berkerut dahi.

“Latihan bola tampar? Aku tak tahu pun ada latihan petang ni. Mana kau tahu?”

“Marya beritahu aku. Dia dah naikkan notis kat papan kenyataan sekolah semalam. Kau tak baca ke notis tu?”

Wajah tercengang-cengang Farah ditatap lagi.

“Entah, tak perasan pulak aku. Masa aku makan dengan dia kat dewan makan tadi, dia tak cakap apa pun kat aku.”

“Dia lupalah agaknya nak beritahu kau tu.”

“Tapi takkanlah dia boleh lupa nak beritahu padahal dia ketua pasukan.”

“Alah, macamlah kau tak tahu Marya tu. Bukan satu dua jawatan yang dia pegang kat sekolah ni. Ketua pengawas, ketua pandu puteri, ketua kelab catur, semuanya bawah tanggungjawab dia. Tak hairanlah dia lupa nak beritahu kau pasal ni kalau dah banyak sangat benda yang yang ada dalam kepala otaknya tu.”

“Jadi kau pergi tak petang nanti?” soal Haiza semula.

“Kalau macam tu, aku pergilah nanti. Pukul berapa latihan tu mula?”

“Macam biasa lepas Asar.”

Farah mengangguk kecil.

“Hoi kau orang!”

Teriakan seseorang mengalihkan tubuh mereka, memandang ke arah datangnya teriakan itu.

“Kau ni Ila. Ingat aku dan Farah tak ada nama ke hah? Sedap-sedap kau aje nak panggil hoi. Tak bertamadun sungguh!” sergah Haiza sambil menjegil mata.

“Alah, dari tadi aku terpekik terlolong panggil kau orang mengalahkan tarzan Malaya, seorang pun tak berkalih. Last aku panggil hoi, dengar pulak telinga pekak badak kau orang tu,” balas Laila selamba dalam mengah.

Dia berlari-lari anak tadi.

“Telinga kaulah yang pekak badak,” balas Haiza.

Dia kembali melangkah bersama Farah.

“Kau orang cakap pasal apa tadi?” tanya Laila, terus menyelit antara mereka.
“Pasal apa lagi kalau bukan pasal latihan bola tampar tulah. Eh, kau datang tak petang nanti Ila?” tanya Haiza, terus lupa pada marahnya.

“Insya-ALLAH kalau tak ada apa-apa, aku pergilah nanti. Tu pun kalau aku ingat,” ujar Laila sambil tersengih.

“Hei kau ni Ila, tak habis-habis dengan perangai lupa kau tu. Entah semut atau kerengga yang kau termakan pun tak tahulah aku sampai selalu benar kau terlupa. Kau jangan tak datang Ila. Kau tu orang harapan pasukan kita. Tak ada kau, boleh ranap pasukan kita tahu,” celah Farah sedikit tegas.

“Alah, setakat aku yang tak ada dalam pasukan kita kira okey lagi Farah. Kau tu, dah dikira wajib ada dalam pasukan kita tau. Kalau kau tak ada, jangan kata ranap, berkubur teruslah pasukan kita. Kau kan lebih hebat bab nak score gol ni.”

“Alah, tak kiralah siapa pun yang paling hebat dalam pasukan kita. Tapi yang penting sekarang, kau orang berdua kena datang latihan petang ni,” sampuk Haiza terus mencekak pinggang.

“Ila, lepas Asar nanti aku pergi bilik kau. Risau jugak aku kalau kau betul-betul lupa datang petang ni. Kau Farah, tunggu kita orang kat padang. Jangan lupa ajak Rin sama.”

Seakan-akan memberi arahan, Haiza bersuara sedikit tegas.

“Baik mem,” balas Laila sambil tersengih.

Haiza hanya merengus kecil.

“Okey, kalau macam tu kita jumpa petang nanti. Aku naik ke bilik dulu ya. Apa-apa hal kau orang jangan lupa inform aku tau,” ujar Farah meminta diri.

Laila dan Haiza mengangguk sebelum turut berpecah. Menuju ke bilik asrama masing-masing.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-2-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh