Azrin terpana melihat sebuah banggunan putih sedang berdiri
tidak jauh darinya. Mereka baru sahaja keluar daripada kawasan hutan tebal dan
memasuki padang rumput yang seluas saujana mata memandang.
Terdapat
kawanan dinosaur hervivor sedang meragut rumput. Azrin yakin yang banggunan
putih itu merupakan hotel yang tertera di dalam peta yang dijumpai oleh mereka
di rumah api.
Mereka
berjalan mendekati banggunan putih itu. Apabila dekat, terdapat tembok besi
yang terdapat dawai hitam sebesar ibu jari menyambung antara pagar besi yang
lain. Terdapat papan tanda yang tertulis.
‘Awas, arus eletrik!’
“Jangan
sentuh benda tu. Bahaya…” tutur Azrin memberi arahan kepada ahli kumpulannya.
“Ada
orang tak?” teriak Cik Mia.
***
Tengku
Nizarif sedang berkawal di atas bumbung Hotel Dino. Jeritan Cik Mia mengejutkan
lenanya. Dia yang tertidur kerana kebosanan terus melambai-lambai ke arah Cik
Mia.
“Ada
orang cedera!” teriak Azrin pula.
Zaff
pantas menghilang dari atas bumbung. Selepas beberapa minit, Zaff muncul
bersama Dr Izwan dan Husna Mukhtar. Pintu gerbang tembok besi itu terbuka luas
dan kelihatan beberapa orang daripada ahli kumpulan Azrin menyerbu masuk.
“Kenapa
dengan dia?” tanya Dr Izwan ketika menghampiri Saiful yang masih setia dipapah
oleh Taufiq dan Yasmin.
“Kena
gigit dengan dinosaur,” jawab Azrin pendek.
“Aku Dr
Izwan. Luka dia perlukan jahitan ni. Cepat bawa dia ke dalam. Darah dah banyak
keluar!” Dr Izwan kelihatan serius. Kemudian, dia membimbing Taufiq dan Yasmin
masuk ke dalam. Cik Mia berlari anak-anak mengekori mereka dari belakang.
Azrin
pula masih terpacak sambil merenung wajah kesayangannya. Husna sedang menitik
air mata melihat si pujaan hati masih lagi hidup walaupun sudah berbulan
lamanya mereka terperangkap di lantai hutan yang penuh misteri itu.
“Awak…”
tutur Azrin.
“Azrin…”
gumam Husna pula.
“Jangan
peluk,” gumam satu suara. Mereka berdua menoleh dan kelihatan Piqah sedang
berdiri sambil berpeluk tubuh. “Tunggu kahwin dulu. Korang dua bukan muhrim.”
Kemudian,
Piqah melangkah masuk ke dalam kawasan di sebalik tembok besi itu.
“Dia
itu memang pelik…” tutur Husna sambil melihat Piqah menghilang.
“Semua
ahli kumpulan abang memang pelik,” komen Azrin.
“Tak
tengok Naim lagi. Sangat pelik,” kata Husna.
Azrin
ketawa.
“Semua
pelik. Kita aje yang tak pelikkan?”
Husna
tersenyum simpul.
***
Hafeez
terngaga melihat keadaan dalaman Hotel Dino. Nabil diminta untuk menunjukkan
bilik kepada mereka yang baru tiba di situ.
“Jangan
risau. Ada banyak bilik yang tak digunakan. Setakat ini, kami nak penuhkan
tingkat tiga dulu,” tutur Nabil yang lagaknya seperti pekerja hotel itu.
“Hafeez
ambil bilik 310. Taufiq ambil bilik 311. Hakiman ambil bilik 312. Nazura ambil
bilik 313. Bilik 314 untuk Yasmin dan… 315 pula untuk Piqah,” gumam Nabil
sambil menyerahkan beberapa gugus kunci kepada ahli kumpulan baru itu.
“Cik
Mia ambil bilik 316. Saiful ambil bilik 317. Azrin pula ambil bilik 318.” Nabil
menggumam sendirian lagi.
Memandangkan
tiga orang yang disebut oleh Nabil itu tiada di koridor tingkat 3 Hotel Dino,
maka Nabil menyimpan kembali kunci tadi.
“Aku
kat bilik 303. Kalau ada apa-apa, cari aje aku kat sana. Jangan risau, korang
boleh guna air-cond seberapa banyak yang korang nak. Hotel ni menggunakan
teknologi suria. Segala yang kita gunakan dalam hotel ini dijana oleh tenaga
suria. Dan, lebih baik korang semua mandi. Busuk.” Nabil sempat berseloroh.
Beberapa
wajah di situ tersengih bodoh. Mereka faham apa yang dimaksudkan oleh Naim itu.
Terperangkap di tengah hutan dan mandi sekadar ala kadar di dalam sungai sambil
memerhati tiada pemangsa lain mengintai mereka memang seksa. Tetapi menjumpai
kembali hotel terbiar yang masih boleh digunakan itu memang nikmat daripada
ALLAH.
***
Langkah
kaki Nazura yang mahu mencari biliknya mati disitu sebaik sahaja melihat susuk
tubuh lelaki yang sedang berjalan beriringan dengan Dr Izwan. Tangan Nazura
menggigil spontan.
Sebaik
sahaja wajah Nazura bertamu di mata Sarjan Azmi, langkah kaki lelaki berjambang
halus itu turut mati melihat kemunculan seseorang yang dicari selama ini.
“Amani
Nazura…” nama penuh Nazura meluncur keluar dari mulut Sarjan Azmi.
“Ayah…”
tutur Nazura tidak percaya apabila ditemukan kembali dengan lelaki yang sudah
meninggalkan dirinya.
“Anak
ayah…” tutur Sarjan Azmi yang sudah mati kata-kata. Air matanya menitik jatuh.
Ketika itu, mereka berdua yang masih berdiri di koridor tingkat tiga Hotel Dino
sedang diperhatikan oleh penghuni yang lain.
“Maaf,
ayah aku dah mati!” Selamba sahaja Nazura menuturkan perkataan itu. Kemudian,
Nazura melangkah laju, sempat juga bahu Sarjan Azmi dilanggarnya
***
Jip yang sudah semakin uzur kelihatan meluncur laju membelah
padang rumput yang luas saujana mata memandang itu. Kelihatan Afiq menjerit
teruja sambil membawa jip tersebut mencelah di bawah celah kangkang
haiwan-haiwan hervivor yang kelihatan panik dengan kehadiran mereka.
Ummu
yang berkira mahu berehat tiba-tiba menjerit. Dia terlihat kawanan dinosaur
bertanduk di hidung sedang menuju ke arah mereka dari arah hadapan. Afiq
kelihatan menelan air liurnya yang mengental.
“Baru
sekarang saya tahu yang awak ni trouble maker!” marah Ummu.
“Matilah
kita…” tutur Acha.
“Berundur!”
teriak Ummu.
Afiq
mengangguk. Dia melakukan pusingan U dengan jip tersebut. Ummu dan Acha menoleh
ke belakang, mahu melihat sejauh manakah species dinosaur bertanduk itu
daripada mereka.
“Cepatlah
sikit!” teriak Ummu mengarah.
Kawanan
Triceratops itu seperti dikejar sesuatu. Seekor haiwan yang mereka semua kenali
sebagai T-Rex sedang mengaum sambil keluar dari kawasan hutan tebal yang
mengelilingi padang rumput yang luas itu.
Tiba-tiba,
seekor Triceratops terpelanting lalu mendarat tepat di hadapan jip yang dipandu
oleh Afiq. Mujurlah Afiq sempat menekan brek lalu mengelak tubuh gergasi itu.
Afiq sempat menoleh ke belakang dan T-Rex tadi semakin menghampiri mereka.
Beberapa ekor Triceratops kelihatan tercampak ke tepi manakala Triceratops yang
lain semakin menghampiri mereka.
Bam!
Bam! Bam! Jip itu tidak cukup laju untuk melarikan diri daripada kawanan
Triceratops itu. Beberapa tapak kaki yang sebesar jip tersebut hampir sahaja
membuatkan mereka lenyek namun kelincahan Afiq mengawal jip itu membuatkan
mereka masih bernafas.
“Ke
kanan!” Ummu memberi arahan.
Afiq
menurut dan mereka berjaya mengelakkan diri mereka daripada hentakan kaki
Triceratops yang sedang melarikan diri daripada T-Rex.
“Ada
banggunan!” teriak Acha sambil menundingkan jarinya ke arah sebuah banggunan
putih setinggi tiga tingkat yang sedang tersergam di hadapan mereka.
Afiq
menekan pedal itu sekuat hatinya sambil membawa jip tersebut mencelah di bawah
kangkang kawanan Triceratops yang sedang melarikan diri. Lincah dan beberapa
saat kemudian, jip tersebut semakin menjauh meninggalkan kawanan Triceratops
dan T-Rex yang sedang lapar itu.
“Alhamdulilah…”
tutur Ummu sambil mengurutkan dadanya. Mahu tercabut jantungnya berdepan dengan
situasi yang menggigit keberaniannya itu.
Jip
tersebut terus bergerak mendekati banggunan putih itu. Kelihatan seorang lelaki
sedang berdiri di atas bumbung banggunan putih itu. Lelaki tersebut mengambil
sebuah teropong lalu menumpukan pengelihatan ke arah jip yang sedang bergerak
ke arah mereka. Acha menjadi orang pertama yang melambai-lambai ke arah lelaki
yang berada di atas banggunan putih itu.
“Ada
orang!” teriak Kapten Azrin penuh teruja.
Kemudian,
Kapten Azrin menghilang daripada atas bumbung itu.
“Tempat
apa ni?” gumam Ummu sambil berdiri untuk melihat banggunan putih yang
dikelilingi oleh tembok besi yang setinggi tujuh meter itu. Terdapat sebuah
pintu gerbang yang tertutup rapi terbentang di hadapan mereka.
“Tingginya…”
gumam Acha sambil mendongak melihat tembok besi itu.
Tiba-tiba
pintu gerbang itu terbuka. Kelihatan seorang lelaki berkumis halus dan memakai
kemeja berkotak-kotak dan seorang lelaki berjambang halus sedang melangkah ke
arah mereka.
“Selamat
datang ke Dino Hotel…” tutur Sarjan Azmi sambil menghulurkan tangan untuk
bersalaman dengan Afiq yang baru sahaja keluar dari jip tersebut.
“Macam
mana… tempat ni boleh…” Afiq hilang kata-kata melihat banggunan putih itu.
“Masuk
dulu… nanti kami cerita,” tutur Sarjan Azmi.
Ketika,
Afiq melangkah bersama Sarjan Azmi, seseorang memanggilnya.
“Fiq…”
suara yang mengandungi sebak itu menyapa cuping telinga Afiq. Afiq pantas
menoleh. Kelihatan Zaff sedang berdiri sambil merenung Afiq dengan pandangan
yang berkaca.
“Siapa
kau?” tanya Afiq.
Serentak
itu, air mata Zaff menitik jatuh. Ummu sekadar merenung pertemuan antara dua
orang sahabat itu dari jauh. Tidak langsung mahu mencelah adegan jejak kasih
itu.
“Ini
tak lawak Fiq,” ujar Zaff.
“Kau
ialah Zaff, kan?” tanya Afiq.
“Kau
tak ingat aku lagi ke?” tanya Zaff.
Afiq
menggelengkan kepalanya.
“Kepala
aku terhantuk pada kayu. Sedar-sedar aje, aku tak ingat langsung apa-apa,”
jelas Afiq.
Zaff
menoleh ke arah Ummu. Sambil tersenyum, Ummu mengangguk. Kemudian, Zaff
melarikan pandangannya ke arah Afiq. Wajah polos Afiq direnung oleh Zaff.
Kemudian, satu rangkulan diterima oleh Afiq.
“Kenapa
tak ada seorang pun yang bagitahu pasal benda ni kat aku?” gumam Zaff yang
sudah teresak-esak menangis.
Afiq
sekadar tersenyum sambil menepuk-nepuk belakang tubuh Zaff.
“Walaupun
aku hilang ingatan, kita tetap kawan kan?” kata Afiq.
Zaff
meleraikan rangkulannya lalu menatap mata Afiq. Kemudian, Zaff mengesat air
matanya lalu mengangguk.
“Sahabat
selamanya…” tutur Zaff.
“Sahabat
selamanya…” jawab Afiq.
Air
mata Ummu tumpah juga menyaksikan peristiwa itu.
***
“Zaff
dah sediakan dua bilik kosong untuk Fiq dengan Ummu,” kata Nabil sambil
menyerahkan kunci bilik 305 dan 306 kepada Afiq dan Ummu.
“Ummu,
kalau ada apa-apa, cari Nabil kat bilik 303 aje,” tutur Nabil lalu mengeyitkan
matanya. Ummu sekadar tersengih sambil berkongsi pandangan dengan Afiq.
Ketika
Nabil berlalu pergi ke biliknya, Afiq mengulangi kembali aksi Nabil, tetapi
berniat mengejek dan menyindir Ummu.
“Ada
peminatlah…” kata Afiq lagi.
“Hell
no! Ummu ni tak cantik mana sampai ada orang yang gila kat Ummu,” bidas Ummu.
“Kalau
Fiq bagitahu yang ada beribu lelaki kat luar sana yang nak kat Ummu?”
“Diaorang
semua buta!” Ummu berkeras. Afiq ketawa kecil.
“Ummu
ni cantiklah!” kata Afiq ketika Ummu membuka pintu biliknya.
“Fiq!
Ummu ingat Fiq bukan hilang ingatan jer tau, mungkin ada masalah mata. Baik
pergi jumpa Dr Izwan. Check mata awak tu,” kata Ummu lalu menutup pintu
biliknya, tepat di bawah hidung Afiq.
“Perempuan,”
gumam Afiq sambil tersengih.
***
Pintu
bilik Hafeez diketuk oleh Taufiq. Kelihatan Taufiq hanya memakai baju tidur.
Beberapa saat kemudian, pintu bilik Hafeez dibuka. Hafeez yang sedang tidur
sekadar menguap di muka pintu.
“Ada
apa?” tanya Hafeez sambil mengosok matanya.
“Aku
tak boleh tidur…” gumam Taufiq.
“Habis
tu, kenapa cari aku?” tanya Hafeez.
“Kita
cerita-cerita hantu ke malam ni. Boleh hilangkan rasa bosan kat dalam hotel
ni…” cadang Taufiq.
“Tak
akan kita dua orang jer? Ajaklah orang lain,” balas Hafeez.
***
Nabil,
Zaff, Hafeez dan Taufiq saling berkongsi pandangan. Masing-masing membisu,
tidak tahu mahu menceritakan mengenai apa. Katil double decker di bilik Hafeez
itu menjadi tempat mereka berkumpul.
“Sekejap…”
kata Nabil sambil memecahkan keheningan yang berjangkit antara mereka.
Katil
empuk tempat Hafeez tidur menjadi tempat mereka berempat berkumpul. Nabil
kelihatan mengeluarkan kamera videonya daripada beg lalu menghidupkan suis.
“Sekarang…
kita semua boleh cerita. Aku rakam…” kata Nabil.
“Memandangkan
ini cadangan aku, biar aku mulakan cerita aku…” Taufiq bersuara. Dia bangkit ke
arah suis lampu lalu menutup lampu bilik itu. Kemudian, Taufiq menghidupkan
lampu suluh yang dijumpainya.
“Baru
kena dengan suasana…”
“Kamera
video kau macam mana?” tanya Zaff.
“Guna
night-vision. Manalah tahu aku dapat rakam gambar hantu ke,” balas Nabil pula.
“Taufiq,
mulakan cerita kau!” arah Hafeez.
Taufiq
mengangguk.
“Kisah
bermula dengan…
Kisah Taufiq…
Namaku
Taufiq Ariffin. Aku punya sebuah kisah yang mahu kau kongsikan dengan kalian.
Kisahku ketika masih bersekolah dahulu. Aku merupakan pelajar cemerlang dan aku
telah ditawarkan untuk memasuki sebuah sekolah berasrama penuh yang terletak di
Eurasia.
Sekolah
aku sangat terpencil. Lokasinya terletak berhampiran dengan sebuah tasik. Kalau
kalian pergi ke sekolah aku, kalian akan melalui kawasan kampung tetapi
kedudukan setiap rumah dengan rumah yang lain, sangat jauh. Oh ya, kedudukan
sekolahku sangat dekat dengan hutan simpan Eurasia. Dengarnya macam seram
bukan?
Selaku
pelajar contoh di sekolahku, aku akan sentiasa mengulang kaji pelajaran pada
setiap malam. Namun, malam ini terasa seperti ada sesuatu yang agak berbeza
dari kebiasaan. Tapi, memandangkan aku ialah pelajar contoh, maka belajar harus
menjadi keutamaan memandangkan SPM hanya beberapa minggu lagi.
Di
sekolah berasrama kami, terdapat sebuah bilik yang khas disediakan untuk para
pelajar menelah sampai lewat malam. Bilik itu juga selalu menjadi tempat
lepakku, memandangkan aku ini pelajar contoh.
Diceritakan
pada satu malam, aku terlalu sibuk menelah buku teks dan rujukan untuk bekalan
peperiksaan yang semakin menghampiri. Tanpaku sedar, aku hanya tinggal berdua
dengan rakanku. Seluruh sekolah mengenalinya sebagai seorang yang bijak.
Ketika
aku sedang menyelesaikan masalah matematik dalam sebuah buku, aku tiba-tiba
buntu dan tidak mampu untuk menjawabnya. Lantas kupusingkan badanku sedikit,
mahu bertanya rakanku itu bagaimana kah untuk menyelesaikan soalan matematik
tadi. Tiba-tiba. Tanganku terkena penku lantas terjatuh di atas lantai.
“Sekejap,
aku nak ambil pen aku,” tuturku sambil mengukirkan senyuman.
Aku
menundukkan tubuhku, mahu mengambil penku yang berada di bawah meja belajar.
Ketika itulah aku melihat kawanku yang sedang belajar itu tidak mempunyai kaki.
Aku pantas bangun, langsung tidak menoleh rakan itu. Aku merenung jauh ke arah
luar tingkap bilik belajar itu.
“Tadi
cakap nak tanya,” suara rakanku itu menyapa cuping telinga.
Aku
menoleh dengan dada yang berombak resah. Peluh sudah mula menitik walhal kipas
di siling sudah dipasang semaksimun mungkin. Dengan senyuman paksa, aku
membalas.
“Tak
apalah bro, aku dah faham,” jawabku.
Aku
lantas menumpukan perhatianku ke arah buku belajar tadi. Mahu lari, aku sudah
tidak bermaya mengenangkan bahawa rakan disebelahku itu barangkali bukan
manusia. Dalam hatiku, hanyalah membaca ayat-ayat suci Al-Quran, diminta agar
aku dijauhkan daripada jin dan syaitan.
“Dah faham
ke atau dah tahu…” Suara yang datang daripada dia membuatkan aku hilang
kawalan. Tanpa menoleh, aku mengambil bukuku lalu membuka langkah seribu ke
arah asrama.
***
“Boleh
tahan seram jugak cerita kau ni,” tutur Nabil sambil menghalakan kamera videonya
merakam wajah Taufiq yang berkerut dan begitu semangat ketika menceritakan
cerita itu.
“Seram
kau cakap? Aku dah nak tertidur,” tutur Hafeez sambil menguap.
“Poyolah
kau Hafeez. Aku tahu yang kau tengah takut,” kata Zaff sambil melemparkan
jelingzn ke arah Hafeez.
“Takut?
Hell no!” Hafeez membidas.
Zaff
tetap meneruskan jelingannya.
“Giliran
aku pula nak bercerita…” tutur Zaff.
“Okey,
aku kasi kau cerita dulu,” tutur Hafeez yang sudah mula berbaring di katilnya.
Zaff
mengangguk sambil memulakan cerita hantunya.
Kisah Tengku Nizarif…
Assalamualaikum
semua. Namaku Muhammad Tengku Nizariff. Nama yang sering digunakan oleh
rakan-rakan untuk memanggil aku ialah Zaff. Aku ialah salah seorang daripada
mahasiswa Universiti Tun Dr Mahathir.
Aku
sangat-sangat bersyukur apabila berjaya menjejak kaki ke salah satu daripada
universiti terbaik di Malaysia ini, setanding dengan Universiti Malaya dan UKM.
Diceritakan bahawa aku mempunyai seorang sahabat sejati di sini. Memperkenalkan
kepada kalian Muhammad Afiq bin Zaki. Orang memanggil sahabatku itu Fiq, Afiq
dan nama popularnya trouble maker.
Pada
satu cuti semester, Fiq telah menjemputku untuk bemalam di rumahnya yang
terletak di sebuah kawasan perumahan flat terkenal di Eurasia. Fiq bukannya anak
orang kaya seperti kebanyakan penghuni UTDM.
Aku
tidak melepaskan peluang untuk merasai kehidupan seorang anak flat. Pada suatu
malam, ketika aku sedang asyik bergayut dengan rakanku, Ummu. Terus, kreditku
habis. Ketika itu jam sudah berdetik pukul 12 tengah malam. Aku pula belum
habis melepaskan rindu… ya rindu. Ummu juga sahabatku dan sudah seminggu sejak
cuti semester bermula aku tidak berjumpa, apatah lagi mendengar suara manjanya
itu. Hatiku boleh jadi gila kalau tidak mendengar suaranya! Apa dia? Cinta…
aku… err.. belum bersedia untuknya.
Mahu
tidak mahu, aku terpaksa memberanikan diri untuk turun ke bawah. Fiq pula sudah
membuta lama dan tidak sampai hati untuk mengejutnya. Barangkali kerana letih.
Langkah kakiku aturkan ke arah pintu rumah. Dengan perlahan dan tidak langsung
menghasilkan bunyi, aku membuka pintu rumahnya. Aku tidak mahu keluarga Fiq
terbangun dari lena gara-gara bunyi bising yang terhasil.
Sepanjang
ke kedai Seven Eleven yang berdekatan, tidak ada apa yang menakutkan atau mengejutkan
berlaku. Kuanggap malam itu sama seperti malam yang biasa aku alami. Sunyi dan
hening… namun tanggapanku silap! Helaian paling menakutkan dalam diari hidupku
mula menjelma.
Umum
tahu bagaimana lif Flat Sri Mutiara, Pulau Eurasia kelihatan. Lifnya penuh
dengan bau busuk dan hancing kaki mabuk yang kencing merata-rata. Pernah suatu
masa terdapat tahi berlonggokan lagi. Keadaan lifnya yang sebelah lampu
kadang-kadang berfungsi, kadang-kadang tidak sudah cukup membuatkan bulu romaku
berdiri tatkala berdiri lama untuk sampai ke tingkat tujuh, tingkat rumah Fiq.
Untuk
menghilangkan rasa seram, aku lantas mencapai telefon bimbitku dan bermain-main
dengannya. Tiba-tiba sahaja, aku terdengar suara manusia mengerang kesakitan.
Lantas aku palingkan kepalaku ke belakang. Ketika aku masuk di dalam lif itu,
aku yakin yang aku keseorangan. Bagaimana
suara itu boleh datang.
“Astaghfirulah…”
Aku hilang kata-kata melihat makhluk aneh yang sedang berada di hadapan mataku.
Seorang lelaki india dengan kepala berlumuran darah, sedang berada dalam
keadaan berdiri yang terbalik.
Maksud
aku… kepalanya berada di lantai, manakala kakinya di udara. Matanya
berpusing-pusing melihat aku. Lidahnya pula terjelir keluar. Kemudian, lelaki
india itu ketawa besar melihat aku yang sedang menekan punat lif berulang kali.
Sebaik
sahaja lif terbuka, lantas aku membuka langkah seribu, meninggalkan kawasan lif
itu dan membawa kakiku ke dalam rumah. Tidak sesekali aku menoleh ke belakang.
Keesokan harinya, aku menceritakan apa yang berlaku.
Menurut
Fiq, roh lelaki india itu seringkali dilihat berkeliaran di sekitar flat dalam
keadaan kepala di lantai dan kaki di udara. Lelaki india itu akan bergerak
dalam keadaan melompat seperti hantu pocong, cuma posisinya sahaja yang
berubah.
Ada
banyak kisah di sebalik penjelmaan hantu itu. Kononnya ketika dia hidup, dia
telah membunuh diri dengan melompat daripada tingkat 16 flat tersebut. Dia
jatuh dengan kepala mencapai bumi terlebih dahulu.
***
“Seram
gila cerita kau ni Zaff,” ujar Taufiq sambil menggosok lengannya yang
kesejukan.
“Kau
tipu!” Hafeez membantah.
“Terpulang
pada kau, kalau nak percaya, percayalah… kalau tak nak, aku tak boleh nak buat
apa,” jelas Zaff yang masih kelihatan tenang walaupun ceritanya sedang
dipertikaikan oleh Hafeez.
“Hafeez,
macam dengan cerita kau?” gumam Nabil tiba-tiba sambil menghalakan kamera
videonya ke arah Hafeez.
“Aku?”
tutur Hafeez.
Zaff,
Taufiq dan Nabil mengangguk serentak.
Kisah Amirul Hafeez…
Namaku
Amirul Hafeez bin Hamzah. Ya, akulah kasanova terkenal UTDM tu. Aku tak kisah
dengan panggilan kasanova yang dilemparkan ke atas aku. Setiap semester, tetap
ada perempuan yang jatuh ke tangan aku.
Orang
kata aku guna minyak dagu dan ubat guna-guna dalam mengurat perempuan. Aku pula
kata mereka semua cuma tahu bercakap sahaja. Walhal senjata terbaik aku
mestilah wajahku yang tampan serta ayat-ayat manis yang sering aku kalungkan
pada mana-mana gadis yang aku jumpa.
Tapi
bukan cerita mengenai kehebatan aku menundukkan perempuan yang mahu aku cerita,
tetapi sebuah kisah seram yang pasti akan membuatkan bulu roma kalian meremang.
Kisah seram yang melibatkan aku dan gadis yang telah aku gilai sejak sekian
lama... Ya, aku yang mahu membuka kembali kisah lama ini sudah mula merasa
bahangnya, apatah lagi kalian!
Masih
segar dingatanku ketika menjadi hero pada satu sesi perkhemahan. Ketika itu,
kami diminta untuk menyusuri kawasan hutan pada waktu malam. Kami akan
dilepaskan seorang demi seorang dan akan berjumpa di checkpoint yang terakhir.
Diceritakan
sepanjang aktiviti nightwalk, aku berada di posisi yang kedua terakhir
dilepaskan. Kalau tak silap aku, Ummu merupakan peserta yang paling belakang.
Ummu Habibah … seorang gadis yang aku gilai daripada semester pertama di UTDM
lagi. Cuma dia terlalu jual mahal dan sudah berbakul ayat manis aku hadiahkan,
semuanya langsung tak jalan..
Kembali
kepada cerita, kami semua berjaya tiba di checkpoint terakhir. Seperti biasa,
seorang ustaz yang menjadi warden di situ suruh kami membilang nombor. Dan amaran
ustaz tersebut masih terngiang di ruang telingaku.
“Kalau
ada bunyi di belakang, bunyi apa-apa pun, jangan toleh belakang…”
Kami
semua mengangguk. Nombor di bilang seperti biasa. Sampailah giliranku.
“32!”
Suaraku kedengaran bersahaja.
“33!”
Kedengaran suara manja Ummu menuturkan nombor tadi.
“34!”
Suara yang lain bergema di belakang Ummu. Pada awalnya aku buat tidak kisah
sehinggalah aku menyedari sesuatu… Ummu merupakan peserta terakhir yang
dilepaskan dan sampai ke checkpoint.
Cuping
telingaku sudah menangkap tangisan Ummu. Sah! Ada sesuatu yang menumpang kami
pulang. Mungkin, benda itu mengikut Ummu sehinggalah mereka tiba di checkpoint
terakhir.
“Jangan
pandang belakang. Ingat pesanan saya. Kita mulakan kiraan!” Tegas suara ustaz
tadi.
Seperti
biasa, nombor mula disebut setiap orang yang menyertai aktviti night walk. Aku
pula semakin simpati melihatkan Ummu yang masih cekal berdiri dengan air mata
yang tidak henti-henti menangis.
“32!”
Aku menuturkan nombor itu.
“33!”
Ummu membalas, tetapi diiringi dengan tangis.
“34!”
Suara tadi masih kedengaran.
“Tolong
jangan kacau aku!” Ummu sudah bertempik sekuat hatinya. “Hafeez… tolong Ummu!”
Aku
mengangguk, memberi semangat kepada diri sendiri. Lantas aku pusingkan badan
aku, dan kelihatan satu makhluk yang berambut panjang sampai ke kaki. Wajahnya
tertutup oleh rambutnya.
“Ada
apa tu Hafeez?” teriak Ummu ketakutan.
Aku
hanya mampu menelan air liur yang terasa mengental.
“Ummu,
jangan pandang belakang. Datang kat Hafeez perlahan-lahan,” gumamku sambil
menghulurkan tapak tanganku untuk disambut oleh Ummu. Sebaik sahaja aku
mendapat tangan Ummu, pantas kutariknya ke dalam dakapanku.
Serentak
itu juga, makhluk tadi terbang lalu mengilai sekuat hatinya. Ummu menyembamkan
wajahnya di bahuku, tidak sanggup untuk menoleh belakang. Aku pula masih cekal
dan berani di situ.
“Pergi!
Jangan ganggu kami!” teriakku sambil menghalau makhluk tadi.
***
“Kuat
sembang kau ni, Hafeez,” gumam Zaff sambil ketawa terbahak-bahak.
Cerita
Hafeez yang belum tamat itu habis diketawakan oleh Zaff. Berkerut dahi Hafeez
menerima penghinaan daripada Zaff.
“Kenapa
kau cakap macam tu?” tanya Hafeez bengang.
“Aku Tengku
Nizarif… orang yang paling rapat dengan Ummu kat UTDM. Aku tak pernah dengar
cerita ni daripada dia pun,” bidas Zaff.
“Zaff…
tak akan semuanya dia nak cerita kat kau! Apatah lagi cerita pasal Amirul
Hafeez. Adegan romantik dan berani aku. Tambah-tambah lagi dengan kau!”
“Kenapa
dengan aku?” balas Zaff.
“Satu
UTDM tahu yang kau tergila-gilakan dia Zaff. Dia tak nak buat kau terguris, dan
cemburu…”
“Aku
tak cemburulah, pengecut!” Zaff sudah berang.
“Aku
tak pengecut!” bentak Hafeez pula.
“Buktikan!”
cabar Zaff.
Hafeez
terdiam. Dia sedang memikirkan sesuatu. Kemudian, Hafeez tersenyum.
“Aku
nak tengok, siapa antara kita yang sebenarnya pengecut. Amirul Hafeez atau
Tengku Nizarif…” Kali ini, nada suara Hafeez kedengaran menyindir.
“Bawakan
apa sahaja. Aku sudi menerima!”
Hafeez
terdiam. Dia bangkit dari katilnya lalu mendekati sebuah meja yang berhampiran
dengan cermin. Dia menarik laci meja itu lalu mengeluarkan sesuatu yang
kelihatan seperti permainan papan. Barangkali Saidina atau permainan dam.
“Memperkenalkan,
permainan Spirit Of The Coin…”
***
Dr
Izwan menepuk belakang tubuh Sarjan Azmi. Sempat juga dia menghadiahkan
senyuman untuk lelaki berusia itu. Sarjan Azmi pula sedang berdiri di hadapan
bilik Nazura dengan perasaan debar yang menggunung.
“Aku
pergi dulu… tak nak kacau kau,” gumam Dr Izwan lagi.
Sarjan
Azmi mengangguk sambil mengukirkan senyuman kelatnya.
Pintu
bilik Nazura diketuk oleh Sarjan Azmi berulang kali.
“Sekejap….
Nazura datang!” Nazura melaung dari dalam biliknya.
Pintu
bilik Nazura terbuka dan Sarjan Azmi sedang berdiri sambil tersenyum. Nazura
yang lengkap berbaju-T longgar dan berseluar sukan panjang itu tidak percaya
melihat Sarjan Azmi sedang berdiri di hadapannya.
“Apa
yang kau nak?” tanya Nazura yang langsung tidak berani menatap mata Sarjan
Azmi.
“Nazura,
ayah nak cakap dengan Nazura sekejap boleh?” pinta Sarjan Azmi.
“Ayah
aku dah lama mati…” gumam Nazura lagi.
“Maafkan
ayah…” gumam Sarjan Azmi.
Nazura
tersenyum sinis lalu berkira-kira menghempaskan pintu biliknya tepat di bawah
batang hidung Sarjan Azmi namun refleksi yang ditunjukkan oleh Sarjan Azmi
sangat mengagumkan. Dia sempat menahan pintu itu dengan kaki dan tangannya.
“Kalau
Nazura nak bencikan ayah pun, sekurang-kurangnya dengarlah penjelasan ayah
dulu!”
“Penjelasan
apa?” teriak Nazura tiba-tiba. “Apa penjelasan ayah bila ayah tinggalkan mak
seorang? Apa penjelasan ayah ke mana ayah hilang selama 10 tahun? Ayah tahu tak
sepanjang ayah tak ada, mak jadikan Nazura tempat lepaskan geram? Mak cakap
Nazura ingatkan dia pada ayah! Sebab ada iras ayah pada wajah Nazura dan
sekarang… selepas 10 tahun, ayah nak minta maaf?”
Sarjan
Azmi terdiam. Nada suara Nazura sangat tinggi sehingga membuatkan penghuni
bilik yang lain keluar.
“Maafkan
ayah…” tutur Sarjan Azmi.
***
“Bunyi
apa yang bising-bising kat luar tu?” gumam Nabil sambil kusyuk merakam Hafeez
menyusun papan untuk permainan Ouijo Board, nama lain untuk Spirit Of The Coin.
“Abaikan…”
gumam Hafeez.
“Betul
ke kita nak main benda ni?” tutur Taufiq yang sudah kelihatan takut-takut.
“Siapa
rasa dia tak ada telur, sila berambus!” Selamba sahaja Hafeez menuturkan
perkataan itu.
Namun,
tidak seorang pun disitu yang berganjak.
“Kita mulakan…”
Papan
yang digunakan untuk bermain permainan syirik itu diletakkan di atas bantal.
Terdapat beberapa duit syiling 50 sen yang dijumpai oleh Hafeez di dalam laci.
“Kita
letak jari kita kat atas duit ni,” gumam Hafeez memberi arahan.
Taufiq
dan Zaff mengangguk. Razy memilih untuk merakam permainan itu daripada
menyertai.
“Awak
ada di sini?” Hafeez memulakan pertanyaan. Menanti duit syiling itu untuk
bergerak.
Lama
juga respon ditunggu oleh mereka. Sampai Taufiq menguap kerana mengantuk namun
Hafeez masih cekal dan setia menunggu. Dia mahu menunjukkan kepada Zaff bahawa
dia bukanlah si pengecut yang didakwa oleh Zaff.
Tiba-tiba
duit syiling itu bergerak ke arah perkataan ‘YES’. Hafeez mendongak sambil
menatap wajah Taufiq dan Zaff.
“Aku tak
buat…” tutur Taufiq yang sudah mula tergagap-gagap.
“Kerja
kau kan, Zaff?” tanya Hafeez sambil cuba tersengih.
“Demi
ALLAH aku tak buat apa-apa!” Zaff mempertahankan diri.
“Kamu
ni hantu ke?” tanya Hafeez berani.
Duit
syiling itu bergerak lagi, ke perkataan YES. Taufiq cuba mengangkat jarinya,
namun pantas dihalang oleh Hafeez.
“Kalau
kau angkat, dia akan kekal kat sini. Kita tak boleh nak halau dia…”
Taufiq
mengangguk. Dia akur dengan arahan Hafeez kerana Hafeez lebih mengetahui
mengenai permainan bodoh yang sedang dimainkan oleh mereka.
“Nak
tanya apa lagi?” tanya Zaff.
“Hmmm…
kamu kat mana sekarang ni?” tanya Hafeez.
Duit
syiling itu bergerak lagi lagi. Kali ini, perkataan yang dihinggapi oleh duit
syiling itu ialah B-E-L-A-K-A-N-G A-W-A-K. Riak wajah Hafeez lantas bertukar
pucat. Dia menelan air liurnya.
Nabil
memberanikan dirinya menghalakan kamera videonya ke arah belakang Hafeez.
Seperti Hafeez, riak wajahnya turut berubah serta merta. Dia cuba menuturkan
sesuatu tetapi tidak terungkap manakala tangannya mula menggigil ketakutan.
“Kenapa?”
tanya Hafeez.
Taufiq
menoleh ke arah Hafeez, melemparkan pandangan ke arah belakang Hafeez. Zaff
melakukan hal yang sama dan seperti yang lain, wajahnya bertukar pucat.
Kemudian Taufiq menolak Nabil dan Zaff ke tepi lalu membuka langkah seribu.
“Taufiq!
Kenapa lari?” teriak Hafeez yang sudah ketakutan.
“Belakang…
kau..” tutur Nabil yang matanya masih fokus menatap skrin kamera videonya.
Hafeez
memberanikan dirinya menoleh belakang dan… satu makhluk berbungkus seperti
jenazah sedang berdiri sambil merenung tajam ke arah Hafeez. Zaff sudah menarik
tangan Nabil, mengajak lelaki itu untuk bersamanya meninggalkan bilik Hafeez.
“Po….cong!”
teriak Hafeez. Dia menoleh belakang dan kelihatan Zaff dan Nabil sudah lama
berambus.
“Lama
dah tunggu saya?” Kedengaran suara yang sangat menyeramkan daripada Hantu
Pocong yang sedang berdiri di belakang Hafeez. Serentak itu, Hafeez jatuh
pengsan di atas katilnya.