Nazura sedang duduk di atas katil di biliknya sambil
menangis teresak-esak. Kenapa pada saat mereka terperangkap di pulau aneh itu,
dia dipertemukan dengan orang yang menjadi dalang hidupnya merana selama ini.
Dan manusia itu fikir, dengan ucapan maaf sudah cukup menyembuhkan luka di
dada?
Selama
ini kemana ayahnya pergi? Dia ditinggalkan tanpa berita dengan ibunya. Ibunya
ketika itu bagaikan orang yang hilang akal. Perasaan sayang ibunya bertukar
benci, dan dirinya yang merupakan benda yang akan mengingatkan ibunya pada si
ayah yang telah lama pergi menjadi mangsa deraan. Mujurlah, ketika Nazura mula
menginjak usia remaja, dia berjaya melarikan diri daripada neraka dunia itu.
Ketika
itu, dia membawa dirinya ke balai polis, menceritakan apa yang berlaku pada
dirinya. Pada penghujungnya, Nazura dibawa tinggal di rumah kebajikan sementara
ibunya ditangkap polis.
Bayangkanlah…
manusia yang menjadi dalang hidupnya sengsara masih tidak malu mengaku dirinya
sebagai… ayah? Ayah apa yang meninggalkan anak perempuannya? Ayah apa
membuatkan dirinya kehilangan kasih sayang seorang ayah… dan juga ibu? Dan dia
fikir, Nazura boleh terima dirinya bulat-bulat?
Air
mata Nazura menitik jatuh, membasahi pipinya. Ya ALLAH, aku tak kuat menghadapi
ujianmu ini, getus hati Nazura. Nazura kemudian baring di atas katilnya, cuba
mencari ketenangan. Ketika itulah, matanya tertancap pada satu susuk tubuh yang
sedang melayang di siling biliknya. Seorang wanita dalam keadaan berpakaian
serba putih dan berambut hitam mengerbang sedang tersenyum dengan riak wajah
yang menakutkan. Nazura pengsan kerana terkejut.
***
Di atas
bumbung Hotel Dino, kelihatan tiga orang manusia yang masih berjaga ketika
malam semakin larut. Setiap penghuni hotel misteri dan canggih itu mempunyai
jadual mereka sendiri untuk melakukan pengawasan. Hidup di dunia yang penuh
dengan haiwan yang sudah pupus dan berbahaya memaksa mereka sentiasa
berjaga-jaga.
“Fiq…
apa pendapat Fiq tentang Zaff?” Ummu membuka bicara.
Afiq
yang sedang duduk di atas sebuah kerusi malas tiba-tiba menoleh ke arah Ummu.
“Saya
tak ingat… kalau saya ingat, saya tentu boleh ceritakan sikit pasal dia,” gumam
Afiq.
“Oh,
saya lupa yang awak hilang ingatan,” balas Ummu yang sedang mundar-mandir di
hadapan Afiq.
Hakiman
yang sedang berdiri sambil memegang sebuah teropong yang mereka jumpai di dalam
stor hotel itu sekadar tersenyum memerhatikan gelagat Afiq dan Ummu. Hakiman
kemudian kembali memberi fokus kepada kawasan sekeliling hotel itu.
“Sejak
bila Afiq dan Ummu ni bersaya awak pula ni?” tutur Hakiman, menyindir mereka
berdua.
“Errr…
sejak aku kenal dengan dia?” sahut Afiq.
Hakiman
menggelengkan kepalanya.
“Aku
ingat lagi Fiq. Kau ada cerita kat aku yang Ummu melarang kau gunakan perkataan
tu. Katanya dia geli, nampak macam mengedik jer,” tutur Hakiman.
Afiq
mengangkat keningnya sambil merenung Ummu yang tersengih.
“Tapi,
masa aku baru bangun…”
Belum
sempat Afiq menghabiskan kata-katanya, perhatian mereka teralih pada seorang
gadis yang baru sahaja membuka pintu yang membawa mereka ke kawasan bumbung
itu. Gadis itu hanya memakai pakaian tidurnya.
“Nazura…
apa yang dia buat kat atas bumbung malam-malam ni?” tutur Hakiman sambil
melihat Nazura menghampiri belebas dari jauh.
“Jangan-jangan
dia nak…”
Afiq
dan Hakiman saling berkongsi renungan. Kemudian, ketika kaki Nazura berada di
atas udara, mereka berdua pantas membuka larian.
“Ingat
ALLAH Nazura!” teriak Hakiman.
Afiq
dan Hakiman melompat serentak, kemudian tangan kiri dan kanan Nazura sempat
dicapai oleh mereka berdua. Nazura yang berkira-kira mahu terjun dari tingkat
tiga hotel itu jatuh terlentang di atas lantai. Kelihatan Ummu menghampiri Afiq
dan Hakiman dari belakang.
Hakiman
dan Afiq terbaring letih di atas lantai manakala Nazura masih tidak bergerak
sedari tadi. Nazura sekadar merenung kosong langit yang hitam.
“Awak
tak apa-apa?” tanya Ummu ketika mendekati Nazura.
Nazura
masih membisu. Huluran tangan daripada Ummu tidak diendahkan oleh Nazura.
Hakiman bangkit dari baringnya. Dia duduk sambil menatap wajah Nazura.
“Kau
fikir apa tadi? Bunuh diri? Kau tahu tak mereka yang bunuh diri, jasadnya tidak
diterima bumi dan langit? Tempat untuk mereka yang bunuh diri ialah di neraka!”
Hakiman menuturkan perkataan itu dengan tenang.
Nazura
sekadar tersenyum sinis. Nazura tiba-tiba bangkit lalu melangkah ke arah
belebas buat kali kedua. Hakiman dan Afiq berkongsi pandangan sekali lagi.
Pantas mereka berdua bangkit lalu bergerak pantas di hadapan Nazura, cuba
menghalang sebarang penggerakan Nazura.
“Kau ni
dah kenapa?” marah Afiq.
“Kenapa
kau nak persia-siakan umur remaja kau?” marah Hakiman.
Ummu
pula sekadar melihat Afiq dan Hakiman.
“Jangan
kacau aku!” Suara Nazura bertukar garau membuatkan dahi Hakiman berkerut aneh.
Afiq
cuba memegang lengan Nazura namun sekali tepisan sahaja, Afiq terperosok di
atas lantai. Serentak itu, mata Nazura bertukar merah membuatkan Hakiman
beristghfar di dalam hati.
“Kau
bukan Nazura. Tapi ada benda lain yang sedang menghuni tubuh kau,” gumam
Hakiman.
***
Zaff
dan Nabil sedang tergesa-gesa membuka langkah seribu merentasi koridor Hotel
Dino. Kamera video Nabil terjatuh di tengah-tengah koridor.
Bam!
Mereka berdua terlanggar seseorang. Zaff, Nabil dan Hazira sedang terbaring di
atas lantai koridor sambil mengaduh kesakitan. Hazira kelihatan mengambil anak
patung dinosaurnya.
“Kau
Haz…” gumam Nabil sambil memegang kepalanya yang sakit itu.
“Kenapa
lari macam nampak hantu?” Dingin sahaja suara Hazira.
“Memang
hantu pun!” Nabil berdiri lalu menarik tangan Hazira, mahu mengajak Hazira
supaya cabut sekali.
“Menarik…
makhluk yang indah…” tutur Hazira lalu bangkit dan melangkah ke bilik Hafeez.
Zaff
dan Nabil saling berkongsi pandangan. Hazira memang seorang gadis yang pelik.
“Kita
kejar Haz…” ajak Zaff.
“Tapi…”
gumam Nabil ketakutan.
“Haz tu
kawan aku, kawan kau. Aku tak nak sesuatu yang buruk berlaku pada dia,” tambah
Zaff lagi membuatkan Nabil terpaksa akur.
Zaff
lantas berdiri lalu melangkah untuk mengejar Hazira. Nabil dengan gelengan
kepala terpaksa akur mengejar langkah kaki Zaff yang sudah mula
meninggalkannya. Nabil sebolehnya tidak mahu langsung terlibat dalam masalah.
Hazira
sudah memulas tombol pintu bilik Hafeez. Kelihatan Hafeez sedang terbaring
tidak sedarkan diri berhampiran dengan pintu. Namun, kelibat Hafeez tidak
langsung menarik perhatian Hazira sebaliknya Hazira melangkah lebih dalam,
untuk mencari kelibat hantu yang dikatakan oleh Zaff dan Nabil.
“Mana…
hantu?” tanya Hazira. Mata gadis itu melilau melihat kelilingnya.
Zaff dan
Nabil muncul di belakang Hazira. Hafeez yang pengsan itu dihampiri oleh Zaff
dan Nabil. Pipi Hafeez ditepuk perlahan.
“Bangun
Hafeez,” tutur Zaff.
Hafeez
membuka matanya perlahan-lahan. Sebaik sahaja wajah Zaff dan Nabil menjamah
matanya, terus dia bertukar ketakutan. Jarinya yang terketar-ketar itu diangkat
lalu ditundingkan ke arah belakang Zaff dan Nabil. Pantas Zaff dan Nabil
menoleh belakang, namun tiada apa-apa di situ.
“Kenapa?”
tanya Zaff.
Hafeez
tidak menjawab sebaliknya menolak Zaff dan Nabil ke tepi lalu membuka langkah
seribu.
“Dapatkan
Naim dan Dr Izwan. Aku nak pergi kejar dia!” arah Zaff.
Nabil
mengangguk lalu bangkit dan meninggalkan Zaff di situ.
***
Ummu
dan Afiq sedang memegang erat tangan Nazura. Dia perlu menghalang gadis yang
telah dirasuki oleh sesuatu itu untuk tidak melakukan perkara yang bodoh.
Hakiman pula sedang cekal berdiri di hadapan Nazura sambil membaca beberapa
keping ayat Al-Quran yang dipelajarinya sepanjang belajar di madrasah dahulu.
“Sekarang,
aku mahu tahu apa tujuan kau masuk dalam badan budak perempuan ini?” tanya
Hakiman tenang sambil memegang sebuah botol air yang mengandungi air yang baru
sahaja dibaca dengan ayat suci Al-Quran.
“Tak
usah kau mahu berlagak hero, Hakiman. Aku tahu segala kisah silam kau!”
Pertanyaaan yang dilontarkan oleh Hakiman dijawab oleh provokasi oleh Nazura.
“Aku
tak peduli masa silam aku… yang aku peduli ialah kau keluar dari badan budak
tu!” Hakiman menjawab dengan penuh ketegasan.
“Macam
mana dengan Suhaila? Anak kau dalam perut dia macam mana? Dah keluar atau
belum?” Makhluk di dalam badan Nazura terus melontarkan provokasi demi
provokasi.
“Macam
mana kau tahu…” Riak wajah Hakiman lantas berubah sebaik sahaja nama Suhaila
hinggap di telinganya.
“Aku
boleh nampak dalam kau, Hakiman. Aku tahu yang budak ni ada perasaan pada kau.
Dan aku tahu yang budak ni tahu pasal Suhaila. Budak perempuan yang pernah kau
buntingkan dulu!”
Air
mata Hakiman tiba-tiba menitik sebaik sahaja ingatannya mengenai Suhaila
menjelma di minda. Namun, pantas dikesat
oleh Hakiman. Dia membaca sepotong Ayat Qursi dan beberapa Surah 3 Qul lalu
menghembuskan ke dalam botol air yang dipegangnya.
“Dengan
izin ALLAH, aku seru kau kau keluar dari badan dia!” teriak Hakiman lalu
menuangkan air itu di atas kepala Nazura.
“Sakitlah!”
teriak makhluk di dalam badan Nazura sebelum Nazura pengsan tidak sedarkan
diri.
***
Saiful yang sedang dipapah oleh
Cik Mia ketika menaiki tangga terkejut melihat Hafeez sedang berlari deras ke
arahnya. Kemudian, tubuh sasa Saiful itu dipeluk oleh Hafeez dengan sangat
kejap.
“Kenapa
ni Hafeez?” tanya Cik Mia.
Belum
sempat Hafeez menjawab, Zaff muncul bersama Nabil, Naim dan Dr Izwan.
“Hafeez…
mengucap. Ingat ALLAH,” ucap Zaff sambil melangkah perlahan-perlahan ke arah
Hafeez yang tidak ubah seperti orang gila.
“Kau ni
dah kenapa?” tanya Naim sambil mengecilkan matanya merenung Hafeez yang masih
tidak mahu melepaskan pelukannya. “Dah macam gay aku tengok.”
“Saiful…
tolong aku. Ada hantu ikut aku. Aku percaya yang kau aje boleh tolong aku,”
bisik Hafeez sambil menangis teresak-esak.
“Hantu?”
ulang Saiful sambil melontarkan pandangan ke ruang kosong di belakang Zaff,
Naim dan Dr Izwan.
Kemudian,
Saiful tersenyum.
“Pocong?”
tanya Saiful.
Hafeez
mengangguk.
“Aku
pun nampak.”
Ucapan
Saiful tadi mengundang renungan pelik daripada Zaff, Nabil dan Dr Izwan.
“Ke
tepi,” ujar Saiful tenang sambil menolek Hafeez ke tepi lalu melangkah ke arah
ruang kosong di belakang Zaff.
“Aku
nak kau pergi,” tutur Saiful selepas berhenti di satu tempat.
Kemudian,
Saiful mengangguk seperti sedang berbicara dengan seseorang.
“Maafkan
budak-budak itu, mereka tak sengaja menyeru kau.” Zaff dan Nabil saling
berkongsi pandangan. Jadi, Saiful memang sedang berbicara dengan makhluk yang
mereka semua seru secara tidak sengaja? Tak akanlah…
“Nabil.
Panggilkan semua orang berkumpul di lobi. Aku nak jumpa. Mustahak,” tutur
Saiful tiba-tiba.
Nabil
mengeluh lagi. Kali ini, dengan helaan nafas kepenatan. Dia terpaksa berlari
dari setiap bilik ke bilik yang lain gara-gara penampakan makhluk halus di
Hotel Dino, sebuah hotel yang dipercayai milik penghuni pulau misteri itu.
***
Saiful
Hawiz sedang berdiri tepat di tengah-tengah lobi sambil Cik Mia setia menemaninya.
Hakiman yang basah dengan peluh itu sekadar memerhatikan Nazura yang tidak
sedarkan diri di atas ribaan Ummu. Sarjan Azmi pula berdiri resah di sebelah
Nazura.
Naim
pula tidak berhenti merenung Hafeez yang sedang bersembunyi di balik Saiful, seperti
sedang melihat sesuatu. Piqah dan Yasmin pula kelihatan bingung dengan apa yang
berlaku.
Seluruh
ahli kumpulan para survivor terhempasnya pesawat Boeing 777-300ER di pulau
misteri yang kaya dengan pelbagai cabaran dan dugaan itu sudah berkumpul seperti
mana yang diarahkan oleh Saiful.
Kelihatan
Saiful merenung Afiq yang sedang ditemani oleh Acha di satu sudut lobi. Angukan
daripada Afiq seperti restu untuk Saiful meneruskan pertjumpaan yang tidak
dirancang langsung itu.
“Kita
ada masalah besar…” Dingin sahaja suara Saiful memulakan bicara.
Cik Mia sedang memapah Saiful yang masih belum sembuh
sepenuhnya itu untuk berdiri tegak. Kelihatan tangan Saiful berbalut dengan
pembalut yang ditemui dalam peti kecemasan cemas hotel itu.
“Ada beberapa orang rakan kita
dengan tidak sengaja telah menyeru benda yang telah lama bersemadi dalam hotel
ini,” ujar Saiful sambil memandang Zaff, Nabil, Hafeez dan Taufiq sepintas
lalu.
“Benda? Maksud kau apa?” tanya
Yasmin.
“Ada banyak roh dalam hotel ini.
Roh yang tidak tenteram kerana mereka disemadikan dengan cara yang salah.
Mereka meminta tolong aku untuk cari apa sahaja tinggalan mayat mereka,
solatkan, mandikan serta tanam seperti cara orang Islam,” sambung Saiful lagi.
“Sekejap…” pintas Naim tiba-tiba.
“Ada apa-apa ke empat mata?”
tanya Saiful dengan pandangan kaku ke arah wajah cengkung Naim itu.
“Kau nak beritahu kita orang yang
kau baru aje bercakap dengan benda yang kau panggil hantu tu?” tanya Naim
sambil berpeluk tubuh dengan kening yang terangkat.
“Tak penting…”
“Penting!” pintas Naim dengan
nada suara yang tinggi.
“Kenapa?” Saiful masih kelihatan
tenang.
“Benda macam ni bukan boleh
dibuat main. Aku tak nak nanti kita percayakan kau dan sesuatu yang buruk
terjadi pada kami, mungkin seorang penipu atau gila. Semua di sini kenal siapa
kau Saiful Hawiz. Kau pelik… sangat pelik. Kenapa kami harus percayakan orang
pelik macam kau?” bidas Naim.
“Kamu tak kenal siapa Saiful,
lebih baik kamu diam!” Cik Mia tiba-tiba meledak amarahnya sambil menundingkan jarinya
tepat ke arah wajah Naim.
“Saya tak peduli yang Cik Mia
sukakan dia, Cik Mia dibutakan dengan rasa cinta itu. Tapi, saya masih
realistik. Benda macam hantu ni tak wujud… saya percaya yang dia ada niat tak
baik. Dia sedang rancangkan sesuatu…” Selamba sahaja Naim membidas Cik Mia,
pensyarahnya itu.
“Saya percayakan dia!”
“Sekarang bukan soal percaya atau
tidak, cik Mia,” gumam Dr Izwan yang memilih untuk memerhati sahaja suasana
sekeliling sejak tadi. “Saya tak nak kita bazirkan masa cari benda yang tak
wujud. Tak ada apa-apa yang bersemadi di sini. Dan saya tak nak kita orang
dewasa ini takutkan budak-budak ni dengan benda tak wujud. Mereka terlalu penat
mengharungi hidup, jauh dari keluarga mereka. Apa yang dilalui oleh Hafeez,
Zaff, Nabil, Taufiq dan Nazura adalah kerana mereka terlalu letih. Saya dah
analisis apa yang berlaku di sekeliling kita, sesuai dengan profession saya
sebagai seorang doctor medik.
Pertama, kita lihat keadaan
Nazura. Dia terlalu sedih kerana bertemu dengan ayahnya yang terpisah sejak
kecil lagi. Nazura jadi terlalu sedih dan, halunisasi mula mengambil alih
mindanya. Tak hairanlah dia kena histeria dan ketakutan macam tu. Dia sedang
mencipta imaginasinya tersendiri,” terang Dr Izwan panjang lebar. Naim
tiba-tiba mengangkat tangannya di udara, teruja untuk menyertai penjelasan Dr
Izwan.
“Tentang apa yang terjadi Zaff
and the gang pula penjelasannya sangat senang. Aku dah dengar cerita daripada
Taufik tadi. Sebelum korang main benda mengarut seru roh tu, korang mulakan
dengan cerita hantu, bukan?
Hafeez mungkin terlalu takut
kerana mendengar kisah hantu daripada Zaff dan Taufiq. Dan dia mereka kisahnya
sendiri, untuk menakutkan yang lain tanpa menyedari dia sebenarnya takutkan
diri sendiri. Jadi, tak hairanlah dia nampak benda yang bukan-bukan,” tenang
sahaja Naim menjelaskan teorinya.
“Dengar sini, bukan Hafeez aje
yang nampak benda tu. Aku dengan yang lain-lain pun sama!” Zaff kelihatan
mempertahankan Hafeez.
“Mungkin kerana kamu takut
sekali…”
“Aku ada rakaman video. Aku sempat
rakam muka dia!” Nabil bersuara tiba-tiba.
Kali ini, Naim dan Dr Izwan
saling berkongsi pandangan.
“Nah, ambil ni,” kata Nabil
sambil menyerahkan kamera videonya kepada Naim.
Naim menghidupkan kamera video
itu, menonton dengan penuh kusyuk. Ketika rakaman memasuki babak penampakkan
hantu di belakang Hafeez, kamera video tersebut terus terlepas dari pegangan
tangan Naim. Dia tidak percaya melihat semua itu. Sekali lagi, dia merenung Dr
Izwan untuk mendapatkan kepastian dan jawapan. Tapi ternyata kali ini, Dr Izwan
mati hujah untuk terus menjadi septikal.
“Kamu berdua mungkin ialah man of science. Tapi, aku ialah
man of faith. Kepercayaan aku sangat teguh pada rakan-rakan aku. Mereka tak
akan menipu. Saiful, jelaskan pada aku rancangan kau yang seterusnya.” Afiq
merasakan sudah tiba masanya untuk dia mencelah melontarkan kenyataan yang
membuatkan riak wajah Dr Izwan dan Naim bertukar pucat.
“Aku sudah berbicara sama mereka.
Mereka mohon disemadikan berdekatan dengan sebuah tanah perkuburan tidak jauh
dari kawasan hotel ini. Tanah perkuburan itu dibina berpuluh tahun dahulu,
ketika pulau ini masih berpenghuni… sekarang sudah terbiar. Kita perlu berjalan
untuk mencarinya. Jadi, selepas kita menemui peninggalan jasad mereka yang
disemadikan di dalam dinding hotel ini, aku perlukan sukarelawan antara kita,
yang akan ikut aku lakukan segala upacara pengebumian Islam,” sambung Saiful
selepas mendapati kebisuan mula berjangkit di antara mereka.
“Kita kena masuk kubur
malam-malam macam ni?” tanya Hafeez.
Saiful mengangguk.
“Aku kena ada. Pilih aku. Aku
tahu serba sikit urusan pengebumian dan sembahyang jenazah ni…” Hakiman menjadi
orang pertama yang menawarkan diri.
“Aku akan sentiasa ada untuk
kawan-kawan aku,” ucap Afiq sambil mengangkat tangannya di udara.
“Awak nak pergi?” tanya Acha.
Afiq mengangguk sambil tersenyum.
Dia menatap wajah ayu Acha itu.
“Hati-hati…” gumam Acha.
Afiq tersenyum lagi.
“Saya janji pada awak yang saya
akan kembali dengan selamat,” gumam Afiq.
“Perempuan
boleh pergi tak?” tanya Ummu tiba-tiba.
“Asalkan
dia dalam keadaan ‘suci’, tak ada masalah,” ujar Saiful.
“Count
me in!” Ummu kelihatan riang.
“Kenapa
dia…” Afiq kelihatan tidak puas hati.
“Siapa
lagi?” Saiful memintas kata-kata Afiq.
Kelihatan
Naim dan Zaff mengangkat tangannya di udara.
“Aku,
Hakiman, Fiq, Ummu, Zaff dan Naim. Enam orang aje?” tanya Saiful.
“Aku
nak ikut tapi anak perempuan aku belum sedarkan aku. Aku perlu ada di sisi
dia,” ujar Sarjan Azmi tiba-tiba.
Saiful
mengangguk mengerti.