Home Novel Thriller/Aksi The Lost World
Bab 17: Hotel Berhantu

Nazura sedang duduk di atas katil di biliknya sambil menangis teresak-esak. Kenapa pada saat mereka terperangkap di pulau aneh itu, dia dipertemukan dengan orang yang menjadi dalang hidupnya merana selama ini. Dan manusia itu fikir, dengan ucapan maaf sudah cukup menyembuhkan luka di dada?

Selama ini kemana ayahnya pergi? Dia ditinggalkan tanpa berita dengan ibunya. Ibunya ketika itu bagaikan orang yang hilang akal. Perasaan sayang ibunya bertukar benci, dan dirinya yang merupakan benda yang akan mengingatkan ibunya pada si ayah yang telah lama pergi menjadi mangsa deraan. Mujurlah, ketika Nazura mula menginjak usia remaja, dia berjaya melarikan diri daripada neraka dunia itu.

Ketika itu, dia membawa dirinya ke balai polis, menceritakan apa yang berlaku pada dirinya. Pada penghujungnya, Nazura dibawa tinggal di rumah kebajikan sementara ibunya ditangkap polis.

Bayangkanlah… manusia yang menjadi dalang hidupnya sengsara masih tidak malu mengaku dirinya sebagai… ayah? Ayah apa yang meninggalkan anak perempuannya? Ayah apa membuatkan dirinya kehilangan kasih sayang seorang ayah… dan juga ibu? Dan dia fikir, Nazura boleh terima dirinya bulat-bulat?

Air mata Nazura menitik jatuh, membasahi pipinya. Ya ALLAH, aku tak kuat menghadapi ujianmu ini, getus hati Nazura. Nazura kemudian baring di atas katilnya, cuba mencari ketenangan. Ketika itulah, matanya tertancap pada satu susuk tubuh yang sedang melayang di siling biliknya. Seorang wanita dalam keadaan berpakaian serba putih dan berambut hitam mengerbang sedang tersenyum dengan riak wajah yang menakutkan. Nazura pengsan kerana terkejut.

***

Di atas bumbung Hotel Dino, kelihatan tiga orang manusia yang masih berjaga ketika malam semakin larut. Setiap penghuni hotel misteri dan canggih itu mempunyai jadual mereka sendiri untuk melakukan pengawasan. Hidup di dunia yang penuh dengan haiwan yang sudah pupus dan berbahaya memaksa mereka sentiasa berjaga-jaga.

“Fiq… apa pendapat Fiq tentang Zaff?” Ummu membuka bicara.

Afiq yang sedang duduk di atas sebuah kerusi malas tiba-tiba menoleh ke arah Ummu.

“Saya tak ingat… kalau saya ingat, saya tentu boleh ceritakan sikit pasal dia,” gumam Afiq.

“Oh, saya lupa yang awak hilang ingatan,” balas Ummu yang sedang mundar-mandir di hadapan Afiq.

Hakiman yang sedang berdiri sambil memegang sebuah teropong yang mereka jumpai di dalam stor hotel itu sekadar tersenyum memerhatikan gelagat Afiq dan Ummu. Hakiman kemudian kembali memberi fokus kepada kawasan sekeliling hotel itu.

“Sejak bila Afiq dan Ummu ni bersaya awak pula ni?” tutur Hakiman, menyindir mereka berdua.

“Errr… sejak aku kenal dengan dia?” sahut Afiq.

Hakiman menggelengkan kepalanya.

“Aku ingat lagi Fiq. Kau ada cerita kat aku yang Ummu melarang kau gunakan perkataan tu. Katanya dia geli, nampak macam mengedik jer,” tutur Hakiman.

Afiq mengangkat keningnya sambil merenung Ummu yang tersengih.

“Tapi, masa aku baru bangun…”

Belum sempat Afiq menghabiskan kata-katanya, perhatian mereka teralih pada seorang gadis yang baru sahaja membuka pintu yang membawa mereka ke kawasan bumbung itu. Gadis itu hanya memakai pakaian tidurnya.

“Nazura… apa yang dia buat kat atas bumbung malam-malam ni?” tutur Hakiman sambil melihat Nazura menghampiri belebas dari jauh.

“Jangan-jangan dia nak…”

Afiq dan Hakiman saling berkongsi renungan. Kemudian, ketika kaki Nazura berada di atas udara, mereka berdua pantas membuka larian.

“Ingat ALLAH Nazura!” teriak Hakiman.

Afiq dan Hakiman melompat serentak, kemudian tangan kiri dan kanan Nazura sempat dicapai oleh mereka berdua. Nazura yang berkira-kira mahu terjun dari tingkat tiga hotel itu jatuh terlentang di atas lantai. Kelihatan Ummu menghampiri Afiq dan Hakiman dari belakang.

Hakiman dan Afiq terbaring letih di atas lantai manakala Nazura masih tidak bergerak sedari tadi. Nazura sekadar merenung kosong langit yang hitam.

“Awak tak apa-apa?” tanya Ummu ketika mendekati Nazura.

Nazura masih membisu. Huluran tangan daripada Ummu tidak diendahkan oleh Nazura. Hakiman bangkit dari baringnya. Dia duduk sambil menatap wajah Nazura.

“Kau fikir apa tadi? Bunuh diri? Kau tahu tak mereka yang bunuh diri, jasadnya tidak diterima bumi dan langit? Tempat untuk mereka yang bunuh diri ialah di neraka!” Hakiman menuturkan perkataan itu dengan tenang.

Nazura sekadar tersenyum sinis. Nazura tiba-tiba bangkit lalu melangkah ke arah belebas buat kali kedua. Hakiman dan Afiq berkongsi pandangan sekali lagi. Pantas mereka berdua bangkit lalu bergerak pantas di hadapan Nazura, cuba menghalang sebarang penggerakan Nazura.

“Kau ni dah kenapa?” marah Afiq.

“Kenapa kau nak persia-siakan umur remaja kau?” marah Hakiman.

Ummu pula sekadar melihat Afiq dan Hakiman.

“Jangan kacau aku!” Suara Nazura bertukar garau membuatkan dahi Hakiman berkerut aneh.

Afiq cuba memegang lengan Nazura namun sekali tepisan sahaja, Afiq terperosok di atas lantai. Serentak itu, mata Nazura bertukar merah membuatkan Hakiman beristghfar di dalam hati.

“Kau bukan Nazura. Tapi ada benda lain yang sedang menghuni tubuh kau,” gumam Hakiman.

***

Zaff dan Nabil sedang tergesa-gesa membuka langkah seribu merentasi koridor Hotel Dino. Kamera video Nabil terjatuh di tengah-tengah koridor.

Bam! Mereka berdua terlanggar seseorang. Zaff, Nabil dan Hazira sedang terbaring di atas lantai koridor sambil mengaduh kesakitan. Hazira kelihatan mengambil anak patung dinosaurnya.

“Kau Haz…” gumam Nabil sambil memegang kepalanya yang sakit itu.

“Kenapa lari macam nampak hantu?” Dingin sahaja suara Hazira.

“Memang hantu pun!” Nabil berdiri lalu menarik tangan Hazira, mahu mengajak Hazira supaya cabut sekali.

“Menarik… makhluk yang indah…” tutur Hazira lalu bangkit dan melangkah ke bilik Hafeez.

Zaff dan Nabil saling berkongsi pandangan. Hazira memang seorang gadis yang pelik.

“Kita kejar Haz…” ajak Zaff.

“Tapi…” gumam Nabil ketakutan.

“Haz tu kawan aku, kawan kau. Aku tak nak sesuatu yang buruk berlaku pada dia,” tambah Zaff lagi membuatkan Nabil terpaksa akur.

Zaff lantas berdiri lalu melangkah untuk mengejar Hazira. Nabil dengan gelengan kepala terpaksa akur mengejar langkah kaki Zaff yang sudah mula meninggalkannya. Nabil sebolehnya tidak mahu langsung terlibat dalam masalah.

Hazira sudah memulas tombol pintu bilik Hafeez. Kelihatan Hafeez sedang terbaring tidak sedarkan diri berhampiran dengan pintu. Namun, kelibat Hafeez tidak langsung menarik perhatian Hazira sebaliknya Hazira melangkah lebih dalam, untuk mencari kelibat hantu yang dikatakan oleh Zaff dan Nabil.

“Mana… hantu?” tanya Hazira. Mata gadis itu melilau melihat kelilingnya.

Zaff dan Nabil muncul di belakang Hazira. Hafeez yang pengsan itu dihampiri oleh Zaff dan Nabil. Pipi Hafeez ditepuk perlahan.

“Bangun Hafeez,” tutur Zaff.

Hafeez membuka matanya perlahan-lahan. Sebaik sahaja wajah Zaff dan Nabil menjamah matanya, terus dia bertukar ketakutan. Jarinya yang terketar-ketar itu diangkat lalu ditundingkan ke arah belakang Zaff dan Nabil. Pantas Zaff dan Nabil menoleh belakang, namun tiada apa-apa di situ.

“Kenapa?” tanya Zaff.

Hafeez tidak menjawab sebaliknya menolak Zaff dan Nabil ke tepi lalu membuka langkah seribu.

“Dapatkan Naim dan Dr Izwan. Aku nak pergi kejar dia!” arah Zaff.

Nabil mengangguk lalu bangkit dan meninggalkan Zaff di situ.

***

Ummu dan Afiq sedang memegang erat tangan Nazura. Dia perlu menghalang gadis yang telah dirasuki oleh sesuatu itu untuk tidak melakukan perkara yang bodoh. Hakiman pula sedang cekal berdiri di hadapan Nazura sambil membaca beberapa keping ayat Al-Quran yang dipelajarinya sepanjang belajar di madrasah dahulu.

“Sekarang, aku mahu tahu apa tujuan kau masuk dalam badan budak perempuan ini?” tanya Hakiman tenang sambil memegang sebuah botol air yang mengandungi air yang baru sahaja dibaca dengan ayat suci Al-Quran.

“Tak usah kau mahu berlagak hero, Hakiman. Aku tahu segala kisah silam kau!” Pertanyaaan yang dilontarkan oleh Hakiman dijawab oleh provokasi oleh Nazura.

“Aku tak peduli masa silam aku… yang aku peduli ialah kau keluar dari badan budak tu!” Hakiman menjawab dengan penuh ketegasan.

“Macam mana dengan Suhaila? Anak kau dalam perut dia macam mana? Dah keluar atau belum?” Makhluk di dalam badan Nazura terus melontarkan provokasi demi provokasi.

“Macam mana kau tahu…” Riak wajah Hakiman lantas berubah sebaik sahaja nama Suhaila hinggap di telinganya.

“Aku boleh nampak dalam kau, Hakiman. Aku tahu yang budak ni ada perasaan pada kau. Dan aku tahu yang budak ni tahu pasal Suhaila. Budak perempuan yang pernah kau buntingkan dulu!”

Air mata Hakiman tiba-tiba menitik sebaik sahaja ingatannya mengenai Suhaila menjelma di minda. Namun, pantas dikesat oleh Hakiman. Dia membaca sepotong Ayat Qursi dan beberapa Surah 3 Qul lalu menghembuskan ke dalam botol air yang dipegangnya.

“Dengan izin ALLAH, aku seru kau kau keluar dari badan dia!” teriak Hakiman lalu menuangkan air itu di atas kepala Nazura.

“Sakitlah!” teriak makhluk di dalam badan Nazura sebelum Nazura pengsan tidak sedarkan diri.

***

Saiful yang sedang dipapah oleh Cik Mia ketika menaiki tangga terkejut melihat Hafeez sedang berlari deras ke arahnya. Kemudian, tubuh sasa Saiful itu dipeluk oleh Hafeez dengan sangat kejap.

“Kenapa ni Hafeez?” tanya Cik Mia.

Belum sempat Hafeez menjawab, Zaff muncul bersama Nabil, Naim dan Dr Izwan.

“Hafeez… mengucap. Ingat ALLAH,” ucap Zaff sambil melangkah perlahan-perlahan ke arah Hafeez yang tidak ubah seperti orang gila.

“Kau ni dah kenapa?” tanya Naim sambil mengecilkan matanya merenung Hafeez yang masih tidak mahu melepaskan pelukannya. “Dah macam gay aku tengok.”

“Saiful… tolong aku. Ada hantu ikut aku. Aku percaya yang kau aje boleh tolong aku,” bisik Hafeez sambil menangis teresak-esak.

“Hantu?” ulang Saiful sambil melontarkan pandangan ke ruang kosong di belakang Zaff, Naim dan Dr Izwan.

Kemudian, Saiful tersenyum.

“Pocong?” tanya Saiful.

Hafeez mengangguk.

“Aku pun nampak.”

Ucapan Saiful tadi mengundang renungan pelik daripada Zaff, Nabil dan Dr Izwan.

“Ke tepi,” ujar Saiful tenang sambil menolek Hafeez ke tepi lalu melangkah ke arah ruang kosong di belakang Zaff.

“Aku nak kau pergi,” tutur Saiful selepas berhenti di satu tempat.

Kemudian, Saiful mengangguk seperti sedang berbicara dengan seseorang.

“Maafkan budak-budak itu, mereka tak sengaja menyeru kau.” Zaff dan Nabil saling berkongsi pandangan. Jadi, Saiful memang sedang berbicara dengan makhluk yang mereka semua seru secara tidak sengaja? Tak akanlah…

“Nabil. Panggilkan semua orang berkumpul di lobi. Aku nak jumpa. Mustahak,” tutur Saiful tiba-tiba.

Nabil mengeluh lagi. Kali ini, dengan helaan nafas kepenatan. Dia terpaksa berlari dari setiap bilik ke bilik yang lain gara-gara penampakan makhluk halus di Hotel Dino, sebuah hotel yang dipercayai milik penghuni pulau misteri itu.

***

Saiful Hawiz sedang berdiri tepat di tengah-tengah lobi sambil Cik Mia setia menemaninya. Hakiman yang basah dengan peluh itu sekadar memerhatikan Nazura yang tidak sedarkan diri di atas ribaan Ummu. Sarjan Azmi pula berdiri resah di sebelah Nazura.

Naim pula tidak berhenti merenung Hafeez yang sedang bersembunyi di balik Saiful, seperti sedang melihat sesuatu. Piqah dan Yasmin pula kelihatan bingung dengan apa yang berlaku.

Seluruh ahli kumpulan para survivor terhempasnya pesawat Boeing 777-300ER di pulau misteri yang kaya dengan pelbagai cabaran dan dugaan itu sudah berkumpul seperti mana yang diarahkan oleh Saiful.

Kelihatan Saiful merenung Afiq yang sedang ditemani oleh Acha di satu sudut lobi. Angukan daripada Afiq seperti restu untuk Saiful meneruskan pertjumpaan yang tidak dirancang langsung itu.

“Kita ada masalah besar…” Dingin sahaja suara Saiful memulakan bicara.

Cik Mia sedang memapah Saiful yang masih belum sembuh sepenuhnya itu untuk berdiri tegak. Kelihatan tangan Saiful berbalut dengan pembalut yang ditemui dalam peti kecemasan cemas hotel itu.

“Ada beberapa orang rakan kita dengan tidak sengaja telah menyeru benda yang telah lama bersemadi dalam hotel ini,” ujar Saiful sambil memandang Zaff, Nabil, Hafeez dan Taufiq sepintas lalu.

“Benda? Maksud kau apa?” tanya Yasmin.

“Ada banyak roh dalam hotel ini. Roh yang tidak tenteram kerana mereka disemadikan dengan cara yang salah. Mereka meminta tolong aku untuk cari apa sahaja tinggalan mayat mereka, solatkan, mandikan serta tanam seperti cara orang Islam,” sambung Saiful lagi.

“Sekejap…” pintas Naim tiba-tiba.

“Ada apa-apa ke empat mata?” tanya Saiful dengan pandangan kaku ke arah wajah cengkung Naim itu.

“Kau nak beritahu kita orang yang kau baru aje bercakap dengan benda yang kau panggil hantu tu?” tanya Naim sambil berpeluk tubuh dengan kening yang terangkat.

“Tak penting…”

“Penting!” pintas Naim dengan nada suara yang tinggi.

“Kenapa?” Saiful masih kelihatan tenang.

“Benda macam ni bukan boleh dibuat main. Aku tak nak nanti kita percayakan kau dan sesuatu yang buruk terjadi pada kami, mungkin seorang penipu atau gila. Semua di sini kenal siapa kau Saiful Hawiz. Kau pelik… sangat pelik. Kenapa kami harus percayakan orang pelik macam kau?” bidas Naim.

“Kamu tak kenal siapa Saiful, lebih baik kamu diam!” Cik Mia tiba-tiba meledak amarahnya sambil menundingkan jarinya tepat ke arah wajah Naim.

“Saya tak peduli yang Cik Mia sukakan dia, Cik Mia dibutakan dengan rasa cinta itu. Tapi, saya masih realistik. Benda macam hantu ni tak wujud… saya percaya yang dia ada niat tak baik. Dia sedang rancangkan sesuatu…” Selamba sahaja Naim membidas Cik Mia, pensyarahnya itu.

“Saya percayakan dia!”

“Sekarang bukan soal percaya atau tidak, cik Mia,” gumam Dr Izwan yang memilih untuk memerhati sahaja suasana sekeliling sejak tadi. “Saya tak nak kita bazirkan masa cari benda yang tak wujud. Tak ada apa-apa yang bersemadi di sini. Dan saya tak nak kita orang dewasa ini takutkan budak-budak ni dengan benda tak wujud. Mereka terlalu penat mengharungi hidup, jauh dari keluarga mereka. Apa yang dilalui oleh Hafeez, Zaff, Nabil, Taufiq dan Nazura adalah kerana mereka terlalu letih. Saya dah analisis apa yang berlaku di sekeliling kita, sesuai dengan profession saya sebagai seorang doctor medik.

Pertama, kita lihat keadaan Nazura. Dia terlalu sedih kerana bertemu dengan ayahnya yang terpisah sejak kecil lagi. Nazura jadi terlalu sedih dan, halunisasi mula mengambil alih mindanya. Tak hairanlah dia kena histeria dan ketakutan macam tu. Dia sedang mencipta imaginasinya tersendiri,” terang Dr Izwan panjang lebar. Naim tiba-tiba mengangkat tangannya di udara, teruja untuk menyertai penjelasan Dr Izwan.

“Tentang apa yang terjadi Zaff and the gang pula penjelasannya sangat senang. Aku dah dengar cerita daripada Taufik tadi. Sebelum korang main benda mengarut seru roh tu, korang mulakan dengan cerita hantu, bukan?

Hafeez mungkin terlalu takut kerana mendengar kisah hantu daripada Zaff dan Taufiq. Dan dia mereka kisahnya sendiri, untuk menakutkan yang lain tanpa menyedari dia sebenarnya takutkan diri sendiri. Jadi, tak hairanlah dia nampak benda yang bukan-bukan,” tenang sahaja Naim menjelaskan teorinya.

“Dengar sini, bukan Hafeez aje yang nampak benda tu. Aku dengan yang lain-lain pun sama!” Zaff kelihatan mempertahankan Hafeez.

“Mungkin kerana kamu takut sekali…”

“Aku ada rakaman video. Aku sempat rakam muka dia!” Nabil bersuara tiba-tiba.

Kali ini, Naim dan Dr Izwan saling berkongsi pandangan.

“Nah, ambil ni,” kata Nabil sambil menyerahkan kamera videonya kepada Naim.

Naim menghidupkan kamera video itu, menonton dengan penuh kusyuk. Ketika rakaman memasuki babak penampakkan hantu di belakang Hafeez, kamera video tersebut terus terlepas dari pegangan tangan Naim. Dia tidak percaya melihat semua itu. Sekali lagi, dia merenung Dr Izwan untuk mendapatkan kepastian dan jawapan. Tapi ternyata kali ini, Dr Izwan mati hujah untuk terus menjadi septikal.

“Kamu berdua mungkin ialah man of science. Tapi, aku ialah man of faith. Kepercayaan aku sangat teguh pada rakan-rakan aku. Mereka tak akan menipu. Saiful, jelaskan pada aku rancangan kau yang seterusnya.” Afiq merasakan sudah tiba masanya untuk dia mencelah melontarkan kenyataan yang membuatkan riak wajah Dr Izwan dan Naim bertukar pucat.

“Aku sudah berbicara sama mereka. Mereka mohon disemadikan berdekatan dengan sebuah tanah perkuburan tidak jauh dari kawasan hotel ini. Tanah perkuburan itu dibina berpuluh tahun dahulu, ketika pulau ini masih berpenghuni… sekarang sudah terbiar. Kita perlu berjalan untuk mencarinya. Jadi, selepas kita menemui peninggalan jasad mereka yang disemadikan di dalam dinding hotel ini, aku perlukan sukarelawan antara kita, yang akan ikut aku lakukan segala upacara pengebumian Islam,” sambung Saiful selepas mendapati kebisuan mula berjangkit di antara mereka.

“Kita kena masuk kubur malam-malam macam ni?” tanya Hafeez.

Saiful mengangguk.

“Aku kena ada. Pilih aku. Aku tahu serba sikit urusan pengebumian dan sembahyang jenazah ni…” Hakiman menjadi orang pertama yang menawarkan diri.

“Aku akan sentiasa ada untuk kawan-kawan aku,” ucap Afiq sambil mengangkat tangannya di udara.

“Awak nak pergi?” tanya Acha.

Afiq mengangguk sambil tersenyum. Dia menatap wajah ayu Acha itu.

“Hati-hati…” gumam Acha.

Afiq tersenyum lagi.

“Saya janji pada awak yang saya akan kembali dengan selamat,” gumam Afiq.

“Perempuan boleh pergi tak?” tanya Ummu tiba-tiba.

“Asalkan dia dalam keadaan ‘suci’, tak ada masalah,” ujar Saiful.

“Count me in!” Ummu kelihatan riang.

“Kenapa dia…” Afiq kelihatan tidak puas hati.

“Siapa lagi?” Saiful memintas kata-kata Afiq.

Kelihatan Naim dan Zaff mengangkat tangannya di udara.

“Aku, Hakiman, Fiq, Ummu, Zaff dan Naim. Enam orang aje?” tanya Saiful.

“Aku nak ikut tapi anak perempuan aku belum sedarkan aku. Aku perlu ada di sisi dia,” ujar Sarjan Azmi tiba-tiba.

Saiful mengangguk mengerti.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.