Home Novel Thriller/Aksi The Lost World
Bab 14: Teman Sejati

Afiq cuba untuk menghidupkan jip itu namun gagal. Tangannya sudah menggigil apabila melihat seekor Velociraptor sudah berjaya meloloskan diri daripada ruang tingkap mereka melarikan diri.

“Fiq! Cepatlah!” arah Ummu di sebelah Acha.

“Kenapa jip ni buat hal pada waktu ini pulak!” Afiq membersut marah. Dia memusingkan kunci itu berulang kali.

Bam! Seekor Velociraptor menghempaskan tubuhnya mengenai tingkap jip Acha membuatkan jeritan spontan keluar dari mulut Acha. Afiq sempat mengunci jip itu. Velociraptor tadi berundur beberapa tapak ke belakang lalu menukar sasaran. Dia menyasarkan cermin belakang.

“Fiq! Dia datang dari belakang!” teriak Acha.

Prang! Bunyi kaca pecah memenuhi suasana. Velociraptor tadi mengjulurkan kepalanya masuk dari belakang. Afiq sedang menendang bertalu-talu kepala Velociraptor yang sedang

“Hati-hati Fiq!” teriak Ummu. Kedengaran bunyi gigi tajam Velociraptor berlaga sesama sendiri, mungkin kerana sangat teruja untuk menjadikan Acha sebagai makanan malamnya.

Tiba-tiba daripada hadapan, lompat lagi seekor Velociraptor. Dinosaur setinggi bahu manusia itu mendarat tepat di atas cermin kereta hadapan. Lalu kemudian, Velociraptor tersebut menghentak-hentakkan kepalanya berulang kali untuk memecahkan cermin jip.

“Jip ni tak boleh nak dihidupkan ke?” teriak Ummu yang sudah ketakutan.

Ya ALLAH, kau selamatkanlah kami, getus hati kecil Acha. Serentak itu, kedengaran bunyi hon berulang kali tidak jauh dari mereka. Afiq mengintai melalui ekor matanya dan kelihatan Dr Izwan sedang menjerit-jerit memanggil dua ekor Velociraptor yang mengepung jip Afiq.

Dua ekor Velociraptor itu menukar sasaran mereka. Dr Izwan sedang merenung tajam ke arah dua ekor Velociraptor yang sedang berdiri di hadapan jip yang dipandunya. Bunyi deruman enjin berkumandang, seolah-olah sedang memberi amaran bahawa Dr Izwan sedang bersedia untuk bertarung dengan haiwan pemangsa itu.

“Cicak hodoh… kau akan mati,” gumam Dr Izwan lalu menekan pedal. Jip itu menderum panjang lalu melanggar seekor Velociraptor. Kedengaran bunyi raungan kesakitan dinosaur itu.

Kemudian, Velociraptor yang tidak dilanggar meraung seperti meminta pertolongan. Serentak itu, Dr Izwan memusingkan jipnya lalu memecut laju meninggalkan perkarangan muzium itu. Kumpulan Velociraptor tadi mengejar selaju yang mungkin jip yang dipandu oleh Dr Izwan.

Selepas perkarangan muzium itu sunyi daripada sebarang dinosaur, ketika itulah jip Afiq berjaya dihidupkan. Apa lagi, menjerit puaslah Acha. Terus dia menekan pedal brek itu berulang kali lalu bermain seketika dengan jip tersebut.

***

Ummu membuka matanya. Kelihatan Afiq sedang tidur lena sambil mencodongkan sedikit kerusinya ke belakang. Balutan yang membalut kepala Afiq pula sudah semakin lusuh. Masuk malam itu, sudah dua minggu mereka terpisah dengan kumpulan Dr Izwan. Kelihatan hujan lebat sedang mencurah-curah turun di luar sana. Mujurlah kereta tersebut menjadi tempat perlindungan mereka.

“Kau dah bangun?” tutur Acha tiba-tiba dari belakang.

Ummu menoleh ke belakang.

“Baru aje,” gumam Ummu pendek.

“Lama dah ke kau kenal Fiq?” tanya Acha lagi.

Ummu sekadar mengangguk. Suasana kelihatan kekok antara mereka berdua.

“Macam mana kau kenal Fiq?”

5 tahun lepas…

Afiq sedang berdiri di tepi stesen bas, menunggu bas yang akan membawanya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Onn. Dia mengeluarkan sebatang rokok daripada seluarnya lalu menyalakan rokok tersebut.

Sedang dia asyik menunggu, mata Afiq tiba-tiba tertarik pada seorang gadis yang lengkap dalam pakaian uniform sekolah – baju kurung dan kain biru. Di bahu gadis tadi tergalas beg yang berlambang kartun ‘Dora The Explorer’. Afiq tersenyum melihat beg gadis itu.

“Macam budak-budak,” gumam Afiq.

Wajah gadi situ biasa. Serupa seperti perempuan Melayu yang lain, berkulit sawo matang. Orangnya berambut lurus sampai paras pinggang. Afiq memerhatikan sahaja tingkah gadis itu. Kemudian, kelihatan gadis tersebut mengeluarkan riben berwarna hitam lalu diikat rambutnya ekor gantung.

“Boleh tahan cantik juga dia ni,” tutur Afiq lagi.

Tiba-tiba gadis tadi menoleh ke arah Afiq. Menyedari dirinya diperhatikan oleh Afiq sedari tadi, maka seutus senyuman terkuntum di wajah gadis itu. Kelihatan lesung pipit terukir di hujung senyum itu.

Afiq benar-benar terpana pada lesung pipit itu. Dia terkaku untuk beberapa saat sebelum menyedari bahawa matanya sudah cukup menjamah segala sudut di wajah gadis itu. Pantas Afiq menundukkan wajahnya. Rokok tadi terus dihalakan ke arah mulutnya, berpura-berpura seperti tiada apa yang berlaku.

Sebuah bas berhenti di hadapan mereka. Afiq membiarkan gadis tadi untuk naik dahulu ke dalam bas itu. Dan ketika itu, tangan Afiq sedang mencari duit untuk membayar tiket bas dan… riak wajahnya lantas bertukar pucat.

Aku terlupa nak bawa duit!

“Awak!” panggil Afiq.

Gadis tadi yang berkira-kira mahu mencari tempat duduk kembali merenung Afiq.

“Ya, ada apa?” ucap gadis itu lembut.

“Saya lupa bawa duit. Boleh tak saya pinjam duit awak dulu 50 sen?” pinta Afiq sambil tersengih dan menggaru belakang kepalanya yang tidak gatal.

Gadis tadi tersenyum. Dia mencari sesuatu dalam poket baju kurungnya lalu menghulurkan sekeping not RM1 kepada Afiq.

“Sekejap…” tutur Afiq.

Wang tadi dihulurkan kepada pemandu bas. Kemudian, baki 50 sen dipulangkan kepada Afiq dan ketika itu, Afiq menghulurkan baki wang yang dipinjamkan kepada gadis tadi. Gadis tadi menggelengkan kepalanya sambil tersenyum.

“Simpan jer duit tu untuk balik nanti. Awak kan tak bawak duit?” tutur gadis tadi membuatkan Afiq tergamam. Ditatapnya wajah gadis tadi penuh makna.

Baiknya… Afiq mengejar langkah gadis itu dari belakang lalu mengambil tempat duduk di sebelahnya.

“Muhammad Afiq bin Zaki. Kawan-kawan aku panggil aku Fiq,” tutur Afiq.

“Ummu Habibah. Baru jer pindah kat kawasan sini. Sekolah sama dengan kau,” jawab Ummu.

“Mana kau tahu?” tanya Afiq.

“Lencana kat baju kau. SMK Dato’ Onn.”

Hari Ini…

Mata Afiq terbuntang luas. Serentak itu, perbualan Ummu dan Acha berhenti.

“Awak dah bangun?” tanya Ummu.

Afiq menoleh ke arah Ummu.

“Detik pertama saya kenal awak ialah masa kat stesen bas kan?” tanya Afiq.

Ummu mengangguk.

“Awak dah ingat?”

Afiq menggakukan kepalanya. 

“Dr Izwan ada cakap kalau awak mampu mengingat sedetik pun pasal kehidupan silam awak, itu ialah petanda awak tak alami amnesia kekal,” kata Ummu yang kelihatan sangat teruja.

“InsyaALLAH…” ucap Afiq pula.

“Dr Izwan suruh saya ceritakan pada awak tentang memori yang mungkin berharga buat awak. Mungkin itu dapat kembalikan memori awak balik,” tutur Ummu lagi.

“Okey, kalau macam tu, saya nak tahu siapa kawan baik saya,” ujar Afiq.

“Tengku Nizarif!” pantas nama jejaka itu meluncur keluar dari mulut Ummu.

“Kenapa dia kawan baik saya?” tanya Afiq.

Saat itu, Ummu tersenyum.

“Ini yang saya nak cerita kat awak.”

Afiq lantas memasang telinga, mendengarkan kisah Ummu dengan wajah yang tersenyum. Afiq yang hilang ingatan kelihatan sangat suka mengukirkan senyuman.

3 tahun yang lepas…

Afiq sedang terkepung oleh 7 orang lelaki cina di tepi jalan. Tangan Afiq pula sedang memegang sebatang kayu, menanti dirinya diserang. Seorang meluru ke arahnya lalu menghayunkan penumbuk. Tetapi, Afiq sempat mengelak lalu membantai belakang tubuh lelaki tadi. Apa lagi meraunglah jejaka itu sambil terlentang kesakitan. Kemudian masuk dua orang lelaki yang cuba menyerang Afiq, dan semuanya pantas dikerjakan oleh Afiq.

“Siapa lagi nak makan kayu aku ni?” teriak Afiq bengis. 4 orang lelaki cina itu mula kelihatan teragak-agak sambil melemparkan pandangan ke arah kawan mereka yang sudah mengerang di atas lantai.

Serentak itu, kelihatan sebuah kereta hitam meluncur laju dari hujung jalan dan berhenti tepat di hadapan Afiq. Cermin kelihatan perlahan-lahan terbuka, kelihatan seorang lelaki yang Afiq kenal merupakan seorang rakan kelas.

“Fiq! Masuk kereta aku cepat!” arah Zaff. Kelihatan Ummu sedang duduk di sebelahnya.

“Ummu, kau yang suruh dia datang selamatkan aku?” tanya Afiq.

“Siapa lagi nak selamatkan kau. Kau yang cari pasal dengan kumpulan kongsi gelap cina tu!” Ummu berkeras.

Afiq merengus kasar. Dia sempat menghayunkan kayu itu beberapa kali di udara untuk memberikan ruang untuknya melarikan diri. Kemudian, Afiq melompat ke dalam kereta Zaff. Lantas Zaff memecut laju.

“Diaorang kejar kita,” gumam Afiq sambil melihat belakang.

“Serahkan kepada aku, Tengku Nizarif. Mereka panggil aku Schumacher Malaysia,” tutur Zaff lalu menekan pedal keretanya. Apa lagi, pantas kereta tersebut mencelah di celahan kereta.

Beberapa kereta ahli kongsi gelap di belakang terpaksa berhenti kerana tidak mampu mengejar dan menyaingi gaya pemanduan Zaff yang cepat, pantas dan sangat berbahaya. Ummu beberapa kali menjerit melihatkan gaya pemanduan Zaff itu.

Selepas yakin bahawa ahli kongsi gelap tadi tidak lagi mengejar mereka, barulah Zaff memberhentikan keretanya. Ummu mengurut lega apabila akhirnya dia lepas daripada belenggu resah melihat kereta yang dipandu oleh Zaff mencelah seperti pelesit di atas jalan raya.

“Kau hebat,” puji Afiq. “Kau buat adrenalin aku tak senang duduk!”

Zaff tersenyum mendengarkan pujian Afiq.

“Dia buat jantung aku nak tercabut aje!” bantah Ummu. Afiq tidak mempedulikan Ummu sebaliknya menghulurkan tangannya.

“Kenapa aku tak jadi kawan kau lebih awal?” tanya Afiq yang menanti tangannya untuk disambut oleh Zaff.

“Takdir menentukannya bro. Sahabat?”

Afiq mengangguk.

“Kita sahabat!”

Hari Ini…

“Macam itu jer kita orang jadi kawan?” tanya Afiq sambil mengerutkan dahinya.

“A’a. Awak cakap yang Zaff ni sekepala dengan awak. Mempunyai otak yang gila-gila,” cerita Ummu lagi.

“Saya tak sabar nak jumpa Tengku Nizarif,” ujar Afiq lagi.

Acha yang dari tadi memilih untuk diam tiba-tiba menyampuk.

“Betul ke awak tak ingat siapa saya?” tanya Acha tiba-tiba.

Afiq mengangguk. Wajah Acha bertukar masam tiba-tiba.

“Tak ingat satu apa pun?” tanya Acha.

“Tak. Awak, saya minta maaf tau. Tapi, kalau awak ceritakan kat saya pasal awak, mungkin saya boleh ingat siapa saya,” tutur Afiq.

Acha mengeluh kecewa.

3 Tahun Yang Lalu…

Acha sedang berdiri seorang diri sambil melihat gelagat manusia yang mahu mendaftar pada hari pertama minggu orientasi yang diberi nama Minggu Tekad Siswa. Ada pelbagai ragam manusia yang boleh dilihat oleh Acha.

Seorang lelaki tiba-tiba berhenti di sebelah Acha.

“Awak sorang ke?” tanya lelaki itu. Acha sekadar mengangguk.

“Anak yatim?” tanya lelaki itu.

Acha menggelengkan kepalanya.

“Ayah saya kat luar negara. Sibuk. Pemandu saya yang hantar saya,” tutur Acha tergagap-gagap. Dia tidak biasa berbual dengan lelaki.

“Ohh… mak saya baru jer balik tadi. Saya Afiq. Panggil saya Fiq,” tutur Afiq sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Acha.

“Maaf, awak bukan muhrim dan saya tak salam dengan mereka yang bukan muhrim,” tutur Acha meninggalkan Afiq yang kelihatan terpingga-pingga.

Namun, ketika Acha meninggalkan Afiq, hati kecil Acha bergetus kecil. Boleh tahan comel mamat tadi. Kemudian, senyuman terukir di wajah Acha. Dadanya berdebar aneh tiba-tiba.

***

Kelihatan fasilator yang terdiri daripada para pelajar senior Universiti Tun Dr Mahathir sedang membahagikan kumpulan. Para pelajar diminta menutup mata sementara fasilator yang bertugas akan menampal kertas yang tertulis 7 angka daripada 1 hingga tujuh nombor.

“Okey, semua pelajar boleh buka mata sekarang.” Kedengaran suara Abang Alaq yang merupakan ketua fasilator bergema di seluruh dewan. “Semua boleh ambil kertas yang tertampal di badan masing-masing. Dalam masa lima minit, saya mahu setiap orang daripada kamu cari mereka yang bernombor sama dengan kamu dan buat satu lingkaran. Kumpulan yang paling cepat akan mendapat markah tertinggi!”

Ketika itu, suasana Dewan 2020, dewan yang menempatkan para siswa dan siswa Universiti Tun Dr Mahathir untuk batch 2006 begitu hiruk pikuk. Masing-masing bergerak ke serata sudut untuk mencari mereka yang senombor dengan mereka.

“Nombor 7 dekat sini! Nombor 7 dekat sini!” teriak satu suara. Acha melihat kertasnya, tertulis nombor 7 dan lelaki yang berteriakkan nombor itu merupakan Afiq, jejaka yang menegurnya pagi tadi. Dengan senyuman terukir di wajahnya, Acha melangkah penuh semangat ke arah Afiq.

“Kau pun sama kumpulan dengan aku ke singa?” tanya Afiq tiba-tiba.

Sebaik sahaja nama singa hinggap di telinga Acha, terus merah muka gadis bertudung itu. Afiq kelihatan puas dapat mengenakan gadis itu. Afiq berjaya memulangkan paku buah keras yang dilemparkan oleh Acha kepadanya pagi tadi.

Selepas beberapa minit, kelihatan ahli kumpulan 7 sudah lengkap. Antara ahli yang dikenali ialah Ummu, Melur Juwita, Amirul Hafeez, Taufiq Ariffin, Saiful Hawiz dan Acha sendiri.

“Setiap kumpulan harus melantik seorang menjadi ketua. Dan ketua, pastikan selepas 30 minit, kamu akan siap dengan logo, motto dan wawasan kalian di universiti. Kamu diminta membentangkan hasil kerja kamu nanti di hadapan. Setiap kumpulan akan dibekalkan dengan sehelai kertas kajang dan kamu akan mencorakkan kertas kajang itu menurut kreativiti kamu masing-masing,” tutur Abang Alaq memberikan penjelasan.

“Err… siapa nak jadi ketua?” tanya Taufiq tiba-tiba.

Ahli kumpulan 7 yang seramai 15 orang itu memandang antara satu sama lain.

“Jangan ambil aku jadi ketua. Aku berkecuali dan tak nak ambil tahu,” gumam Saiful tiba-tiba.

Mereka sedang duduk bersila di dalam satu lingkaran. Masing-masing memakai sehelai baju yang diberi pecuma ketika pendaftaran pagi tadi.

“Ada cadangan?” Melur bersuara.

“Fiq!” tutur Ummu sambil menundingkan jarinya ke arah Afiq. Wajah Taufiq berkerut mendengarkan nama Afiq dibangkitkan.

“Aku?” tutur Afiq sambil terlopong memandang Ummu.

Ummu mengangguk.

“Cadangan lain?” tanya Taufiq.

Namun, suasana di situ membisu dan tiada nama lain yang dibangkitkan. Taufiq kelihatan monyok. Amirul Hafeez tiba-tiba mengangkat tangannya ke udara. Dia mengukirkan senyuman menawannya.

“Kalau perempuan…

“Panggil saya Ummu,” celah Ummu.

“Kalau perempuan yang secomel Ummu boleh setuju Fiq jadi ketua, saya tak ada masalah,” ujar Hafeez. Beberapa orang gadis di dalam kumpulan 7 berbisik antara satu sama lain melihat senyuman yang terukir di wajah Hafeez. Jejaka itu memang sangat tampan. Ummu pula kelihatan tidak selesa menjadi mangsa ayat cinta kasanova itu.

“Saya bercadang nak jadi ketua,” kata Taufiq yang kemudian membuatkan Saiful Hawiz yang diam tiba-tiba ketawa.

“Kenapa kau gelak?” tanya Taufiq bengang.

“Saja. Kali pertama aku tengok orang yang gila kuasa segila kau,” ujar Saiful selamba. Taufiq sekadar menggengam penumbuk. Dia tidak berani mencari gaduh dengan Saiful yang tinggi lampai dan berbadan tegap itu. Sekali hayunan tumbuk sahaja, Taufiq akan kalah.

“Siapa setuju Fiq jadi ketua?” tanya Ummu.

Kebanyakan tangan di situ terangkat ke udara kecuali tangan Saiful dan Taufiq.

“Jadi, semua setuju Fiq jadi ketua?” tanya Ummu lagi.

***

Kelihatan seorang lelaki yang memakai baju-T berwarna biru, sesuai dengan pakaian formal peserta orientasi yang lain yang disarung dengan kemeja kotak-kotak tanpa berbutang sedang berdiri sambil menerangkan logo, motto dan wawasan kumpulan 6 di universiti. Afiq memerhatikan penuh minat gaya lelaki itu bercakap. Petah dan cukup tenang.

“Kami menggunakan logo ibu jari yang disertakan dengan lingkaran bintang. Apa yang dimaksudkan dengan ibu jari ini? Saya rasa ianya merupakan simbolik untuk symbol thumb up. Tetapi, mengikut kumpulan kami, lambang ibu jari juga membawa maksud bahawa kami akan buat sehabis baik untuk minggu orientasi nanti!” tutur lelaki itu sambil mengenyitkan matanya. Beberapa orang pelajar perempuan menjerit histeria lantas mengundang teguran daripada fasilator.

“Lambang bintang ini pula membawa maksud bahawa kami ini akan menyinar seperti bintang-bintang di angkasa,” tutur lelaki itu lagi. Ucapannya kali itu menundang tepukan gemuruh daripada seisi dewan.

“Motto kumpulan kami ialah Ikatan Paling Mampan Itu Persahabatan. Kami percaya, persahabatan antara ikatan yang paling kuat pernah ALLAH cipta di bumi selain daripada benang sutera. Sebuah pesawat pun belum tentu dapat memisahkan ikatan ini.

Bercakap mengenai wawasan, semestinya kami mengambil idola kami, Tun Dr Mahathir sebagai idola. Kita orang Malaysia terutama orang melayu jangan takut untuk memasang angan-angan. Persetankan kisah Jenin itu. Pada hemat saya, Jenin hanyalah kisah yang dibawa oleh penjajah untuk menakut-nakutkan orang kita untuk berwawasan. Tak salah untuk memasang angan-angan tetapi ianya mestilah disertakan dengan usaha. Tanya setiap orang berjaya pada hari ini, mereka pastinya mempunyai angan-angan.

Wawasan kami? Senang sahaja. Kami bertekad untuk menjadi produk terbaik untuk Universiti Tun Dr Mahathir dan memastikan universiti ini terus unggul sebagai salah satu daripada 5 universiti terbaik di Malaysia. Kami tekad untuk menjadi yang terbaik!”

“Terima kasih diucapkan kepada Tengku Nizarif,” gumam Abang Alaq. “Pidato yang sungguh berapi-api. Lepas ni bolehlah join MPP ya, Zaff?”

“Maaf, saya tak minat politik,” seloroh Zaff yang kemudiannya mengundang tawa dari seluruh isi dewan.

Kemudian, nombor dicabut buat sekian kali.

“Kumpulan yang kena membentangkan hasil kerja mereka ialah kumpulan… 5!” suara Abang Alaq memenuhi seisi dewan.

Kelihatan seorang lelaki yang sederhana tinggi naik ke atas pentas. Lelaki itu memakai kaca mata, berbaju kemeja kelabu yang kemas berserta dengan tali leher putih. Seluar slack hitam tersarung kemas di kakinya.

“Assalamualaikum semua. Nama saya Ahmad Naim bin Ahmad Rosdi. Saya seorang lelaki yang genius dan ujian IQ yang diambil oleh saya menunjukkan bahawa IQ saya mencecah 200. Kiranya saya ni orang melayu terpandai di kalangan kalian,” gumam Naim memulakan pembentangannya.

“Poyo gila…” gumam Ummu. Dia memerhatikan sahaja kertas kajang yang dipegang oleh ahli kumpulan Naim.

“Orang macam tu pun hidup ke kat atas dunia ni?” gumam Saiful tiba-tiba membuatkan semua ahli kumpulan 7 merenung ke arah jejaka misteri itu. Kemudian, Saiful kembali menekapkan telinganya dengan fon telinga, melayan perasaannya dengan alunan lagu Heavy Metal.

“Lambang otak ini melambangkan bahawa ahli kumpulan kami terdiri daripada mereka yang genius. Walaupun pada hakikatnya, hanya aku seorang sahaja yang melebihi paras IQ yang dilabelkan sebagai genius,” gumam Naim tanpa sebarang perasaan. Renungan bakal siswa dan siswa Universiti Tun Dr Mahathir melekat pada Naim.

“Motto kami ialah, ‘We’re Genius.’ Tetapi hakikatnya…”

Pembentangan Naim banyak berkisah mengenai dirinya. Seboleh-bolehnya, dia mahu mengaitkan semua yang ada di situ dengan dirinya. Sampai satu tahap, Abang Alaq terpaksa mencelah.

“Masa dah suntuk dah ni Naim. Kita kena bagi giliran kumpulan lain,” kata Abang Alaq membuatkan wajah Naim bertukar monyok.

“So childish…” Suara Naim menggumam tidak puas hati kedengaran sampai ke seluruh isi dewan. Namun, kelihatan Abang Alaq masih mampu mengawal perasaannya dengan tersenyum lebar walaupun disindir oleh Naim.

Sungguh, bagi Abang Alaq, batch 2005 itu memang sangat berbeza. Mereka terdiri daripada pelbagai ragam manusia. Melalui pemerhatiannya, banyak manusia yang pelik pada pandangan matanya. Tadi, dia tersempak dengan Hazira Gaddafi, pelajar perempuan yang lebih suka menumpukan masanya dengan berbicara dengan anak patung kesayangannya itu. Bahkan, ketika kumpulan lain sedang membuat persembahan, Hazira tidak memberikan tumpuan langsung sehingga terpaksa ditegur oleh fasilator yang bertugas.

“Tiba giliran kumpulan kita,” gumam Hafeez yang kelihatan sangat teruja.

Afiq bangkit sambil membimbing kertas kajang yang penuh dengan lakaran logo, motto serta wawasan kumpulan mereka seperti mana yang diarahkan oleh ketua fasilator, Abang Alaq.

Namun, ketika Afiq sedang memanjat tangga pentas, Hafeez tiba-tiba menyilangkan kakinya membuatkan Afiq jatuh tersembam. Taufiq ketawa kecil melihat apa yang berlaku manakala Afiq yang baru sahaja terjatuh bangkit dengan muka yang merah padam.

“Kau yang cari pasal dengan aku kan? Sebab tak dapat jadi ketua?” ujar Afiq tiba-tiba sambil menundingkan jarinya ke arah Taufiq. Ketawa kecil lelaki itu terus tamat di situ.

“Ya Fiq. Aku nampak tadi dia yang silangkan kaki dia,” kata Hafeez pula membuatkan Taufiq terlopong tidak percaya.

Afiq tiba-tiba menerkam batang tubuh Taufiq membuatkan Taufiq terlentang di atas lantai. Kemudian, sebuah tumbukan dilayangkan tepat membaham pipi Taufiq.

“Ini balasannya bila kau cari gaduh dengan aku,” tutur Afiq geram.

“Sial kau! Bila masa aku cari gaduh dengan kau! Budak Hafeez tu yang buat,” tempik Taufiq bengang. Afiq pantas menoleh ke arah Hafeez yang berlagak seperti tiada apa yang berlaku.

Beberapa orang fasilator berlari ke arah mereka bertiga cuba meleraikan pergelutan antara Afiq dan Taufiq. Afiq bangkit sambil membetulkan bajunya. Matanya tajam merenung Hafeez. Dia tidak mempedulikan kertas kajang yang koyak itu.

“Trouble maker…” tutur Saiful Hawiz dari jauh sambil tersenyum. Gelaran itu kemudian melekat dengan Afiq sehingga ke hari ini.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.