Home Novel Thriller/Aksi The Lost World
Bab 25: Mangsa Dan Pemangsa

Hafeez tunduk sambil meneliti beberapa kesan tapak kaki dengan tangannya. Obor yang dipegangnya dipacak di sebelahnya. Lama Hafeez memerhati sebelum senyuman terukir di wajahnya. Hafeez mendongak lalu memandang ke hadapan. Tak syak lagi Zaff dan Ummu tidak jauh daripadanya.

“Hafeez...” panggil Afiq.

“Kenapa Afiq?” tanya Hafeez.

“Aku nak bila kita jumpa Zaff, kita adili dia secukupnya. Jangan ikutkan baran kau tu,” ucap Afiq membuatkan dahi Hafeez berkerut.

“Kau pun sama berpihak kepada dia?” tanya Hafeez sambil mencapai obor api yang dipacak di atas tanah lalu kembali berdiri.

“Aku cuma nak kau berfikiran waras...”

Belum sempat Afiq menghabiskan nasihatnya, Hafeez sudah menunjukkan isyarat diam kepada Afiq. Sungguh, telinganya merah menadah setiap ceramah yang dilontarkan oleh Afiq.

“Bukan masa untuk kau kasi ceramah kat aku. Yang penting, kita semua kena kejar si Zaff sebelum dia cabut lebih jauh!”

Afiq sekadar mengeluh kecewa tatkala Hafeez memarahi dirinya. Kemudian, Hafeez memberikan isyarat kepada beberapa orang pemuda Kampung Perebah yang terpilih untuk bersamanya menjejak Zaff dan Ummu.

“Mereka bergerak ke arah sana,” ujar Hafeez lalu mendahului yang lainnya. “Aku akan pastikan kau menyesal, budak!”

***

Zaff tiba-tiba menyuruh Ummu berhenti tiba-tiba. Anak telinganya dapat menangkap bunyi ranting kayu dipijak dalam kegelapan malam yang sunyi sepi itu. Spontan, tangan Ummu dicapainya. Mata Zaff terus tajam memerhati kelilingnya yang dihuni oleh kegelapan itu.

“Kenapa awak?” tanya Ummu.

“Dengar tak?”

Ummu menggelengkan kepalanya. Zaff kemudian kekal membisu sambil memasang telinganya. Beberapa ketika kemudian, dia tiba-tiba menarik tangan Ummu.

“Kenapa?” tanya Ummu.

“Mereka dah dapat jejak kita!” bisik Zaff.

“Dekat sana!” teriak salah seorang anak buah Hafeez tiba-tiba yang muncul dari belakang.

Serentak itu, Ummu dan Zaff saling membuka langkah seribu membelah semak samun dan lantai hutan. Sesekali Zaff melompat mengelakkan akar kayu yang sudah lama bermahajalela di tanah.

“Diaorang lari!” Kedengaran pula satu suara yang lain.

“Siapa yang dapat tangkap Zaff, aku akan hadiahkan dia emas bertimbun milik keluarga aku! Hidup ataupun mati, Zaff mesti berada di tangan aku menjelang subuh esok!” teriak Hafeez tiba-tiba sambil menghalakan obor apinya ke arah Zaff dan Ummu yang sedang berlari di hadapan mereka.

Serentak itu, anak-anak buah Hafeez yang berjumlah 7 orang kesemuanya berpecah mengikut haluan masing-masing, mencari jalan singkat untuk mengejar Zaff dan Ummu. Hafeez pula mengambil sebuah anak panah yang diikat di tepi pinggangnya.

“Kau nak buat apa?” tanya Afiq sambil sempat memegang pergelangan tangan Hafeez.

“Melemahkan Zaff!” gumam Hafeez.

“Tapi...” Afiq cuba menghalang.

“Kalau kau cuba lambatkan aku, kau pula yang akan jadi mangsa anak panah aku,” tutur Hafeez, mengancam.

Afiq terpaksa mengalah buat kali kedua sambil mengangkat tangannya di udara. Hafeez kelihatan mengambil busur yang tergantung di belakangnya, lalu meletakkan sebuah anak panah dan... anak panah itu dilepaskan membelah udara, laju menuju ke arah Zaff dan Ummu.

Bam! Zaff menolak tubuh Ummu ke tepi dan anak panah yang dilepaskan oleh Hafeez itu menghiris tepi perut Zaff lalu terbenam di situ. Darah merah kelihatan mula keluar dari perutnya. Zaff cuba bangkit sambil menekapkan tangannya di tempat yang terkena anak panah itu.

“Awak...” gumam Ummu tidak percaya. Hafeez memang seorang pemanah yang hebat, dalam jarak yang sejauh itu, anak panah itu masih mampu menembusi dan terbenam di tepi perut Zaff.

“Sa...sakit...” gumam Zaff. “Pergi, tinggalkan saya. Saya...”

Jari telunjuk Ummu tiba-tiba menyentuh bibir Zaff.

“Saya dah janji nak bawa awak keluar dari tempat ni dan kembali kepada alam awak. Awak pun nak jumpa Ummu... Ummu di dunia awak, yang masih belum dimiliki oleh sesiapa,” gumam Ummu.

“Awak kena kuat...” gumam Ummu lagi.

Zaff merenung kedua-dua biji mata Ummu, kemudian seperti mendapat kekuatan melalui pandangan mata yang penuh berkaca itu, Zaff bangkit.

Prapp! Jeritan Zaff bergema di udara apabila dia menarik anak panah Hafeez yang terbenam di tepi perutnya itu. Darah kelihatan membasahi mata anak panah yang diperbuat daripada besi itu.

“Kita kena lari,” ujar Zaff sambil menekapkan tapak tangannya di perut.

Ummu mengangguk sambil tersenyum.

***

Zaff duduk sambil memegang perutnya. Dia menyerah akhirnya. Rasa sakit yang sedang menular di perutnya itu memang semakin berbisa. Pedihnya bukan kepalang dan peluh pula sedang membasahi wajah tampan Zaff itu.

“Mereka dah jauh...” ujar Ummu.

“Saya tak akan mampu bertahan... saya... nak minta maaf...”

Kali ini, tapak tangan Ummu pula menyentuh mulut Zaff, seperti tidak mahu Zaff menghabiskan kata-katanya. Ummu kemudian, mendongak melihat keadaan di atasnya.

“Kita panjat pokok tu. Mereka tak akan dapat cari kita kalau kita bersembunyi di atas sana,” ujar Ummu tiba-tiba.

Zaff mendongak, dan kemudian tersenyum, bersetuju dengan Ummu.

***

“Jejak mereka hilang...” gumam Hafeez sambil membersut marah.

Tiada seorang pun anak buah Hafeez yang berjumlah 7 orang itu dapat menjejaki ke mana hilangnya jejak Zaff. Hafeez pula mendongak, melihat keadaan dada langit yang semakin cerah. Subuh semakin menghampiri mereka. Namun, Zaff dan Ummu masih belum ketemu.

“Cari! Cari!” teriak Hafeez seperti orang gila.

Apa lagi, anak-anak buahnya terus menghilang dari mata Hafeez.

“Kau ni dah kenapa?”

“Aku tak boleh terima dia rampas Ummu macam tu aje daripada aku!” Mengigil Hafeez menuturkan perkataan itu, seperti dirasuk sesuatu.

“Dan kau nak buat apa kat Zaff?” tanya Afiq.

“Aku nak lihat kepala dia bercerai dari badan!” ucap Hafeez lagi.

Afiq meraup wajahnya, tidak sangka baran Hafeez sampai ke situ. Hafeez seperti tidak mampu berfikir menggunakan akal yang waras sebaliknya berkelakuan seperti orang gila. Kerana dendam...

***

Mata Zaff terpejam rapat. Ummu yang menumpang di dahan yang tidak jauh daripada dahan tempatnya berehat itu sudah tertidur keletihan. Cuma Zaff sahaja yang tidak mampu untuk melelapkan mata kerana kesakitan yang sedang dirasainya bukan kepalang. Peluh yang mengalir dari wajahnya kerana kesakitan sudah mampu membentuk lopak kecil kalau dikumpulkan.

“Zaff...” kedengaran suara seseorang memanggil Zaff. Zaff membuka matanya.

Yana sedang berdiri di hadapannya. Di bahagian dahan pokok yang paling rapuh membuatkan Zaff sudah mula gelabah.

“Jangan risau... berat saya tak dikira sebab saya hanya muncul dalam minda awak aje,” terang Yana, membuang terus rasa gabra yang tiba-tiba menyerang Zaff.

“Yana... aku dah semakin hampir untuk berambus dari alam bunian yang kau cakapkan ni,” ujar Zaff yang memaksa dirinya untuk cuba tersenyum.

Yana tidak mengendahkan apa yang diungkapkan oleh Zaff sebaliknya merenung simpati baju-T Zaff yang terdapat kesan tompokan darah yang sebesar tapak tangan manusia.

“Perut awak...” tutur Yana.

“Aku kena panah tadi. Diaorang tak nak aku pergi dari sini,” ujar Zaff.

“Sekejap... saya panggilkan Naim!” tutur Yana yang tiba-tiba terus lenyap dari pandangan Zaff.

“Yana? Yana?” panggil Zaff namun Yana hilang seperti habuk yang dibawa oleh angin.

***

Mata Yana bertukar putih untuk sementara waktu itu kembali seperti biasa. Pantas Yana mencari Naim. Naim sedang duduk tidak jauh daripada mereka, memerhatikan sahaja dari jauh bagaimana Yana cuba berkomunikasi dengan Zaff dari alam yang menurut Naim, merupakan sesuatu yang dikenali dalam dunia sains sebagai parallel universe.

“Kenapa?” tanya Naim.

“Zaff... Zaff perlukan bantuan. Dia terkena panahan anak panah orang dari alam sana!” Bersungguh-sungguh Yana cuba memujuk Naim. Semua mata di situ merenung ke arah Naim.

“Macam mana aku nak percayakan kau? Yang kau betul-betul boleh berkomunikasi dengan dia?” tanya Naim, yang masih kuat septikalnya.

“Ini demi nyawa seseorang. Aku tak ada masa nak buktikannya,” rayu Yana lagi.

Naim menatap wajah Yana, gadis buta itu. Matanya kelihatan kosong, tetapi tersurat di dalamnya kelebihan deria yang tidak dipunyai oleh manusia lain. Tangan Yana meraba-raba emncari tangan Naim, lalu menarik dan menggengam sekuat hatinya. Naim sekadar membiarkannya.

***

“Zaff...” Suara Naim bergema di kelilingnya. Pantas Zaff melilau cuba melihat keliling.

“Naim... macam mana...”

“Aku tak tahu macam mana, tapi Yana yang bawa aku ke sini. Aku tak boleh nampak kau, dan kau pun sama. Aku cuma boleh bercakap dengan kau. Cakap kat aku... besar mana luka kau?” tanya Naim.

“Sebesar jari hantu aku,” balas Zaff.

“Kau kat mana sekarang?” tanya Naim lagi.

“Ada kat atas sebuah pokok. Tengah bersembunyi daripada orang alam ni,” balas Zaff lagi.

“Bagitahu aku ciri-ciri pokok yang kau duduk tu...” tutur Naim.

Zaff melihat sekelilingnya. Zaff kemudian menerangkan secara terperinci kepada Naim ciri-ciri pokok tersebut daripada daun-daunnya, akar kayu dan buah-buahan yang terdapat di sekitar kawasan pokok itu.

“Bagus Zaff! Bagus!” Naim kelihatan teruja. “Terjun dari pokok tu sekarang jugak!”

Dahi Zaff berkerut mendengarkan arahan Naim itu. Dia mendongak, tidak puas hati. Bukan senang dia bersembunyi di situ, dan sekarang Naim menyuruh dirinya untuk keluar daripada tempat persembunyiannya? Apakah Naim benar-benar mahu membantunya?

“Kenapa?” tanya Zaff.

“Kalau kau nak rasa sakit kau berkurangan, aku sarankan kau turun!” kata Naim lagi.

Zaff terdiam untuk seketika, berfikir. Kemudian, Zaff memilih untuk mempercayai Naim. Dia turun dengan penuh hati-hati. Ummu masih lena di dahan pokok sebelah.

“Sekarang kau nak aku buat apa?” tanya Zaff.

“Gigit kulit akar kayu tempat kau berdiri,” suruh Naim.

“Kenapa? Tak logik...”

“Buat aje! Aku genius! Kau kena dengar cakap aku!”

Zaff semakin bingung. Dia merangkak lalu menggigit kulit akar kayu di bawahnya. Kemudian, dengan sekuat hatinya, Zaff menarik akar kayu itu dengan giginya, lalu membuatkan kulit akar kayu itu terkupas sendiri.

“Sekarang letakkan di perut kau. Benda itu yang paling mujarab untuk sembuhkan luka panahan,” terang Naim lagi.

Zaff mengangguk. Dia menundukkan kepalanya lalu meletakkan kulit akar kayu itu di tempat luka. Ditenyehnya berulang kali seperti arahan Naim. Serentak itu, terasa seperti sesuatu yang sejuk sedang mengalir di lukanya.

“Letak kulit akar kayu itu pada luka kau dalam lima minit lagi. Rasa sakit di luka kau akan berkurangan...”

“Lari!” tempik Ummu tiba-tiba membuatkan Naim terdiam.

Zaff pantas menoleh ke belakang dan kelihatan Ummu sedang dipeluk dari belakang oleh Hafeez. Sebilah golok sedang terhunus di leher Ummu. Kelihatan Afiq dan 7 orang pemuda Kampung Kali sedang berdiri di belakang Hafeez.

“Aku nak kau menyerah pada aku kalau kau nak tengok Ummu kau hidup!” teriak Hafeez tiba-tiba.

“Ummu ada kat sana ke?” Kedengaran suara Naim bergema, tetapi hanya Zaff sahaja yang boleh mendengarinya.

“Lepaskan dia...” tutur Zaff hilang kata-kata.

“Awak! Lari! Utara dari sini, awak jumpa Sungai Kali. Dan Sungai itu akan membawa awak pada air terjun. Terjun dari atas sana, dan awak akan keluar dari alam ni!” teriak Ummu.

“Kurang ajar punya betina!” tempik Hafeez tiba-tiba lalu menghiris leher Ummu dengan goloknya. Darah terpancut keluar daripada leher Ummu membuatkan Zaff terkesima. Air mata Ummu sedang mengalir tatkala darah sedang membuak keluar dari luka hirisan golok Hafeez.

“Maafkan saya Zaff... jagalah ‘saya’ di alam sana baik-baik,” gumam Ummu sebelum rebah ke tanah.

“Tidak!” teriak Zaff seperti orang gila.

“Tangkap dia pula!” teriak Hafeez.

“Kenapa Zaff?” suara Naim mengganggu Zaff lagi, namun tidak langsung diendahkan oleh Zaff.

Zaff berundur beberapa tapak ke belakang. Zaff mengacah beberapa kali untuk membuka langkah seribu. Ketika itu juga, anak buah Hafeez hampir sahaja membuka larian untuk mengejar Zaff. Permainan mangsa dan pemangsa mula bermula antara mereka... Zaff adalah mangsa yang sedang dikepung oleh 7 orang pemangsa...

“Ya ALLAH, berilah aku kekuatan...” tutur Zaff sambil merenung tajam langkah kaki anak buah Hafeez ketika dia semakin berundur ke belakang.

Tiba-tiba, Zaff melakukan pusingan yang sangat mengagumkan lalu mula membuka larian deras, membelah lantai hutan. Kelihatan 7 orang anak buah Hafeez sedang mengejar dari belakang.

“Kejarlah aku kalau korang hebat!” teriak Zaff sekuat hatinya.

***

Zaff tersandar keletihan. Dia tercungap-cungap. Naim tidak lagi bersuara, memandangkan dia sudah menjelaskan apa yang berlaku kepada Naim ketika membuka lariannya. Jelas bahawa anak-anak buah Hafeez tidak dapat menyaingi langkah kakinya lagi. Dia ialah jaguh lumba lari Universiti Tun Dr Mahathir.

“Sampai bila kau nak lari?” tanya Naim tiba-tiba. Jejaka yang berkaca mata itu jelas menggunakan Yana sebagai medium untuk terus berkomunikasi dengan Zaff.

“Sampai aku jumpa sungai yang Ummu cakap,” tutur Zaff.

“Kalau kau tertangkap?” tanya Naim lagi.

Zaff membisu, tidak mempunyai jawapan kepada soalan Naim itu.

“Buat sesuatu untuk melengahkan mereka,” tutur Naim lagi.

“Aku nak buat apa?” tanya Zaff yang berasa jengkel dengan Naim yang asyik mengarahnya sedari tadi.

“Bagitahu aku, apa yang kau lihat di sekeliling kau sekarang!” tanya Naim.

Mata Zaff melilau sekitar tempat dia bersembunyi itu. Kemudian, mata Zaff tertangkap pada satu Sarang yang sedang tergantung di atas sebuah pokok.

“Ada sarang tebuan...” jelas Zaff.

“Bagus. Gunakan benda tu sebagai senjata kau!” tutur Naim lagi.

“Macam mana?” tanya Zaff.

“Sebab tu aku ada di sini, Aku ni genius...”

***

“Mana korang! Datanglah sini!” Sayup-sayup kedengaran suara Zaff menjerit.

“Itu...” kata Hafeez.

“Ya, itu suara Zaff,” balas Afiq.

Dia mengelap peluh yang membasahi wajahnya. Hari sudah mula menginjak tengah hari. Matahari sedang terpacak di atas mereka dan Hafeez masih belum menyerah untuk mencari Zaff. Sudah Hafeez berjanji kepada dirinya sendiri bahawa dia akan habiskan nyawa Zaff, dalam keadaan yang paling menyayatkan hati. Biar Zaff mati dalam keadaan yang paling terseksa.

“Mana korang? Aku dah serik untuk lari. Kalau korang ada telur, datanglah jumpa aku!” Suara Zaff menyapa cuping telinga Hafeez lagi.

Serentak itu, anak-anak buah Hafeez bangkit lalu mencapai senjata mereka masing-masing, yang terdiri daripada golok dan parang.

“Berpecah, cari dia sekarang,” arah Hafeez.

Mereka yang berada di situ mengangguk. Sekali lagi, Afiq menggelengkan kepalanya. Apalah yang mahu dijawabnya sama Tok Junaidi nanti apabila mendapat tahu bahawa Ummu, anak sulungnya sudah menemui ajal di tangan Hafeez sendiri, si menantu yang sangat dipercayai.

“Cepat Afiq,” ajak Hafeez.

***

“Kau tak akan dapat lari lagi, pengkhianat,” gumam satu suara yang muncul dari belakang.

Zaff yang sudah bersalut lumpur hampir keseluruhan tubuhnya tiba-tiba menoleh ke arah Hafeez dan anak-anak buahnya. Di tangan Zaff terdapat sesuatu yang dilapik dengan daun pisang.

“Kenapa kau buat macam tu?” tanya Hafeez. Zaff sekadar tersenyum.

“Tiba masanya untuk pemangsa jadi mangsa,” gumam Zaff pula.

“Itu adalah...” tutur Afiq.

“Tebuan...” ujar Zaff lalu melemparkan daun pisang yang melindungi sarang tebuan di dalamnya.

“Tak guna! Cari sungai! Tak jauh dah!” teriak Hafeez mengarahkan anak buahnya. Ribuan tebuan keluar dari Sarang mereka dan mengejar Hafeez, Afiq dan anak-anak buah mereka.

“Sekarang, kau boleh ikut mereka ke sungai. Mereka sendiri tunjukkan jalan untuk kau,” kedengaran suara Naim menggumam.

“Terima kasih kat kau Naim. Kau memang betul-betul genius. Sangat-sangat genius...” tutur Zaff.

***

“Tak guna!” teriak Hafeez sambil memukul permukaan air sungai yang sedang mengalir di bawahnya.

Afiq sedang duduk melutut tidak jauh daripada mayat 3 orang anak buah Hafeez yang sudah tidak bernyawa. Kemudian, Afiq menoleh ke arah Hafeez yang sedang berendam dalam air sungai yang sedalam paras pinggang mereka itu.

“Cukup... berapa banyak nyawa lagi yang kau nak korbankan demi dendam kau?” tanya Afiq.

Hafeez membersut marah lalu naik ke daratan.

“Kalau kau tak nak tengok nyawa kau macam mayat-mayat tu, ikut cakap aku!”

Afiq merengus kasar. Dia mengambil golok di tangannya, lalu mengikut jejak langkah kaki Hafeez dari belakang. 3 orang antara mereka sudah mati menjadi mangsa sengatan tebuan. Jelas, Zaff yang mereka mahu cari gaduh itu bukan calang-calang lawan. Dia ada kedua-dua benda yang menjadikan dia lawan yang sempurna, fizikal dan mental.

***

“Aku nak buat apa sekarang ni Naim?” tanya Zaff tiba-tiba sambil bersandar di sebuah pokok. Dia mengintai belakangnya, kelihatan Hafeez masih belum mahu menyerah untuk menjadikan nyawanya sebagai galang ganti di atas maruah yang diinjak-injak.

“Masa untuk kau jadi pemburu pula,” kata Naim.

“Tapi macam mana?” tanya Zaff.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.