Bulan penuh sedang bertenggek di dada langit. Ummu sedang
berjalan di taman yang terletak di pekarangan hotel itu. Seorang budak kecil
sedang memegang tangan Ummu. Budak lelaki itu kelihatan riang.
“Mama,”
panggil budak kecil.
“Berapa
kali kakak cakap jangan panggil kakak mama kan Karl?”
Budak
lelaki itu namanya Karl. Salah seorang penumpang pesawat Boeing 777-300ER yang terhempas di pulau aneh itu.
“Tapi
Karl anggap kakak macam mama Karl!” Suara pelat Karl yang berumur 4 tahun itu
kedengaran riang.
“Jangan..”
“Nak
panggil Mama jugak!” Suara Karl bergema di situ.
Ummu
tersenyum melihat gelagat Karl yang menghentak-hentak kakinya.
“Mama…”
panggil Karl lagi.
“Hari
ni Karl nak tidur dengan mama boleh tak?” pinta Karl.
“Boleh…”
jawab Ummu lagi.
“Mama
dukung Karl sampai bilik?” pinta Karl lagi.
Ummu
mengangguk sambil tersenyum. Ummu duduk bercangkung lalu Karl berlari ke
dakapan Ummu. Kemudian, Ummu mengangkat Karl lalu mendukungnya.
“Mana
mama Karl?” tanya Ummu sambil mendukung Karl.
“Kak
Ummu lah mama Karl. Apalah…” Karl merungut.
“Tak…
maksud kakak… mama… mana mama Karl yang betul?”
Riak
wajah Karl berubah sebaik sahaja pertanyaan itu hinggap di telinganya. Wajahnya
yang ceria itu masam.
“Kenapa
diam ni Karl? Cerita kat mama sikit…”
“Jangan
cakap pasal dia. Dia tu jahat. Suka pukul Karl!” Karl mengadu.
Ummu
terdiam. Budak comel yang berumur empat tahun itu ditatapnya. Apakah Karl telah
didera oleh ibunya sendiri? Patutlah Karl mahu memanggil dirinya sebagai mama.
Ummu tersenyum lalu menghadiahkan kucupan.
“Eeee…
apa ni mama! Tak sukalah orang cium-cium kita,” kata Karl dalam pelatnya sambil
meneyeh pipinya dengan tapak tangan. Ummu tergelak dengan telatah Karl itu.
“Karl
comel sangat,” ucap Ummu jujur.
Sedang
Ummu melangkah di lobi, tiba-tiba sahaja Karl menjerit teruja.
“Papa!”
jerit Karl ketika melihat Zaff sedang sambil dipapah oleh Dr Izwan.
Ummu
terkejut mendengarkan panggilan itu.
“Mama,
lepaskan Karl sekejap. Karl nak pergi kat papa,” tutur Karl.
Ummu
meletakkan Karl ke bawah sambil merenung segan ke arah Zaff yang tersenyum
apabil mendengarkan Karl membahaskan dirinya dan Ummu sebagai papa dan mama.
“Papa
dah baik sakit?” tanya Karl sambil berdiri bercekak pinggang di hadapan Zaff.
“Ya
sayang…” balas Zaff.
“Itulah.
Nakal sangat. Padan muka,” ucap Karl. Ummu kelihatan berdiri di hadapan Zaff.
“Dia
panggil awak Mama?” tanya Zaff.
Ummu
tunduk segan.
“Awak?”
ulang Dr Izwan.
“Shhy…”
balas Zaff.
“Terima
kasih sebab jaga dia masa saya sakit,” tutur Zaff lagi.
“Zaff…
aku… kena pergi. Karl dah nak tidur,” balas Ummu pantas, lalu mendukung Karl.
“Selamat
malam papa. Hari ni Karl tidur dengan mama!”
Dr
Izwan menyiku rusuk Zaff.
“Apa
ni… sakitlah,” rungut Zaff.
“Dia
suka kat kau,” ujar Dr Izwan.
“Mengarut!”
***
Saiful
sedang duduk di atas bumbung, mengambil giliran untuk berkawal dengan Afiq. Di
tangan Saiful kelihatan gitar yang dipinjam daripada Zaff. Afiq sekadar
merenung bosan Saiful membelek-belek gitar itu.
“Kau
pandai nyanyi?” tanya Afiq.
Saiful
menggelengkan kepalanya.
“Habis
tu kau nak buat apa dengan gitar tu?” tanya Afiq.
“Saje.
Cari ilham…” jawab Saiful.
Saiful
dan Afiq kembali membisu sebelum Saiful bersuara lagi.
“Aku
nak kita lantik seorang ketua antara kita. Yang akan mengetuai kita nanti. Nak
tak nak, kita kena tinggalkan tempat ini dan terokai pulau ini kalau kita nak
balik rumah,” jelas Saiful.
“Aku
pilih kau!” balas Afiq sambil tersenyum.
Saiful
menggelengkan kepalanya.
“Kenapa
kau tak nak?” tanya Afiq.
“Sebab
kau lebih layak…” balas Saiful.
Afiq
terlopong mendengarkan kata-kata Saiful itu.
“Kenapa…
aku?” tanya Afiq.
“Hati
kau kawan. Kau lebih pentingkan kawan-kawan kau, daripada diri kau. Itulah
sifat yang perlu ada pada seorang ketua. Aku tahu, kau akan pastikan kita semua
selamat bila kau jadi ketua kita semua nanti,” jelas Saiful.
“Azrin
dengan Azmi macam mana?” tanya Afiq.
“Azmi
cakap anak perempuan dia, Nazura tak akan terima. Azrin pulak cadangkan kita
buat undian. Siapa paling banyak dapat undi, dialah yang akan jadi ketua,”
terang Saiful lagi.
“Bila
nak buat?” tanya Afiq.
“Esok…”
balas Saiful.
***
“Okey,
siapa yang undi Fiq?” tanya Saiful.
Banyak
tangan yang diangkat ke udara, antaranya ialah Ummu, Zaff, Naim, Dr Izwan,
Husna, Kapten Azrin, dam Hazira. Apabila tiba giliran Azrin pula, yang paling
pantas tangan di udara ialah Hafeez manakala Taufiq memilih untuk tidak
mengundi mana-mana pihak.
“Jadi
semua setuju yang Fiq jadi ketua kita?”
Afiq
tergamam. Dia tidak menyangka dirinya dipilih sebagai ketua. Wajah Saiful yang
polos itu ditenungnya.
“Aku…
aku? Bukan ke korang semua benci kat aku?” tanya Afiq.
“Awak
hero. Buat apa kami nak benci pada hero?” tutur Ummu tiba-tiba.
“Saya
hero? Bila masa?” tanya Afiq sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Siapa
yang selamatkan kami daripada T-Rex? Siapa yang selamatkan kami daripada Echad?
Siapa yang selamatkan saya dengan Acha daripada T-Rex? Siapa yang bodohkan diri
dia terjun daripada gaung tu untuk saya? Siapa yang sanggup hilang kepalanya
untuk saya? Siapa yang sanggup selamatkan Naim daripada Petranodon? Kalau bukan
awak…” tutur Ummu.
“Saya…”
“Mungkin
dunia luar sana tak keluarkan potensi kau Fiq. Tapi, sejak kau terperangkap di
sini, kami mula nampak yang kau adalah seorang yang setia kawan. Kau pentingkan
kawan-kawan kau daripada diri kau sendiri. Kau sanggup mati untuk mereka,”
celah Naim pula.
“Naim,
terima kasih.”
“Aku tak
kisah kalau anak muda macam kau ketuai kami,” tutur Sarjan Azmi.
“Kau
berani budak. Untuk jadi seorang ketua di tempat macam ni, kita memerlukan
seorang yang berani macam kau,” ujar Kapten Azrin pula.
“Fiq…”
panggil Hazira tiba-tiba. Semua mata di situ beralih ke arahnya. Jarang gadis
itu bersuara. “Kau menarik…”
Kemudian
Hazira kembali mengelamun.
“Menarik?”
ulang Ummu sambil merenung tajam ke arah Afiq yang berasa pelik dengan ungkapan
Hazira.
“Awak
dengan dia ada apa-apa ke?” tanya pula Acha.
“Saya
tak tahu apa yang dia maksudkan,” luah Afiq jujur.
Kemudian,
kedua-dua orang gadis itu kembali melemparkan pandangan ke arah Hazira.
“Budak
pelik,” gumam Ummu dan Acha serentak sambil menjeling ke arah Hazira.
***
Zaff
memberikan isyarat supaya Ummu berhenti. Mata lelaki itu dapat menangkap
penggerakan sesuatu dari jauh. Hutan tebal yang tidak jauh daripada lokasi
Hotel Dino menjadi tempat pemburuan mereka. Zaff mahu memburu seorang diri
seperti yang selalu dilakukannya, tetapi Ummu berkeras mahu mengikutinya kali
ini.
“Dah
nampak?” tanya Ummu sambil mengambil sebatang anak panah yang digantungnya di
tubuh.
Zaff
menerimanya, lalu memegang anak panah itu, bersiap sedia.
“Sana..”
bisik Ummu.
Zaff
menarik tali busur panahnya, menyasarkan anak panahnya pada penggerakan di
sebalik semak samun.
“Panah!”
tutur Ummu.
Zaff
mahu melepaskan anak panahnya dan… muncul seorang lelaki dalam keadaan yang
calar balar dan berlumuran darah.
“Jangan
panah aku!” jerit lelaki itu.
Zaff
mengendurkan tali busurnya lalu berlari ke arah lelaki tadi.
“Tolong
aku… tolong aku…” ucap lelaki itu.
Ummu
pantas mendekati lelaki itu.
“Razali…
awak…”
Riak
wajah Zaff bertukar mendengarkan nama Razali. Razali akhirnya rebah ketika Ummu
memegang bahunya. Kepala jejaka berjambang itu jatuh di atas bahu Ummu. Ummu
kemudian melemparkan renungan ke arah Zaff, sambil memegang belakang Razali.
“Ada
kesan gigitan. Apa jadi dengan awak… Razali Ahmad?”
***
“Fiq…”
gumam Naim tiba-tiba ketika Afiq sedang berbaring di atas sofa di kawasan lobi
Hotel Dino.
“Apa
dia?” tanya Afiq.
“Kau
betul serius nak terus kekal dalam hotel ni?” tanya Naim.
Afiq
diam. Dia tahu apa yang Naim cuba maksudkan.
“Kau
tak terfikir ke nak berambus dari pulau ni? Sini bukan rumah kita…” tambah Naim
lagi.
“Aku
ada terfikir. Tapi, kau rasa ini ialah masa yang sesuai untuk kita tinggalkan
hotel ini dan cari rahsia pulau ni dan sekaligus cari jalan kembali?” balas
Afiq balik.
Naim
diam, berfikir sesuatu sebelum kembali bersuara.
“Ada
173 penumpang pesawat yang bersama dengan kita ketika pesawat kita terhempas.
Tapi hanya 20 orang sahaja bersama kita. Aku syak 2/3 penumpang pesawat tu dah
mati. Mungkin… kita satu-satunya komuniti manusia yang masih hidup di atas
pulau ni.”
“Kenapa
kau begitu yakin?” tanya Afiq.
“Dengar
sini… masa kita tiba kat tempat pesawat dua bulan lalu, ada sekurang-kurangnya
7 mayat yang terpaksa kita tanam. Kalau kita ambil apa yang Azrin cerita,
tentang sebahagian penumpang pesawat ni yang jadi gila dengan Yusha, mungkin
ada 15 yang mati dengan Velociraptor. Lepas tu fikirkan balik masa kita
tersempak dengan kumpulan Echad… aku percaya jumlah manusia yang bersama dengan
kumpulan Echad banyak. Sekurang-kurangnya, ada hampir 50 orang yang dah mati
sepanjang kita terperangkap di sini. Itu belum ambil kira jumlah manusia yang
ada di luar sana, yang tak bertuah macam kita… kalau berterusan macam ni, ini
bermakna komuniti manusia di atas pulau ini semakin pupus. Aku takut nanti…”
Naim tidak dapat menghabiskan kata-katanya.
“Aku
faham Naim…”
“Sebab
tu kita kena pergi dari sini!” Naim berkeras.
“Macam
mana?” tanya Afiq.
“Aku
ada pinjam peta yang Saiful jumpa. Terdapat beberapa buah monument lain yang
ada di atas pulau ni yang kita belum jejak!”
“Kau
nak buat apa?” tanya Afiq yang belum dapat menangkap maksud yang cuba
disampaikan oleh Naim.
“Aku
harap ada benda-benda yang boleh kita jumpa kat sana. Sarjan Azmi adalah bekas
tentera, dia dulu bekerja di bahagian komunikasi. Dia beritahu aku semalam,
kalau dia jumpa beberapa benda yang dia nak, dia boleh buatkan satu alat yang
boleh hubungi tempat bertamadun yang terdekat,” jelas Naim lagi.
“Tempat
yang mana kau rasa yang kita akan dapatkan benda itu?” tanya Afiq.
“Fasiliti…
aku rasa tanda soal dalam peta tu merupakan apa aku tak tahu, barangkali
fasilityi rahsia. Mungkin tempat yang kita akan jumpa ni ialah jawapan tentang
pulau ni,” ujar Naim.
“Tapi,
tempat tu paling jauh dari sini,” jelas Afiq.
Naim
mengangguk.
“Bersiap-sedia
untuk perjalanan yang jauh,” ujar Naim lalu bangkit dari sofa tersebut.
“Fikirkan rancangan aku. Kau ialah ketua kami Fiq. Ini ialah ujian pertama
kau.”
“Ujian
pertama?” gumam Afiq.
***
Razali
Ahmad membuka matanya. Ummu sedang setia meletakkan kain basah di atas dahinya.
Razali pantas bangkit lalu melihat sekeliling. Dia sedang berada di dalam
sebuah gua. Keadaan di luar pula hujan lebat.
“Awak
dah bangun?” gumam Ummu.
Razali
menoleh ke arah Ummu. Riak wajahnya penuh dengan kejutan.
“Ummu…”
gumam Razali. “Awak masih hidup?”
Ummu
mengangguk sambil tersenyum.
“Terima
kasih kat Fiq dengan Zaff. Tanpa diaorang, saya mungkin tak akan hidup lagi…”
Razali
menoleh ke arah Zaff yang sekadar melemparkan pandangan ke arah lain.
“Aku
kena balik ke tempat ahli kumpulan aku. Diaorang tunggu aku!” Razali cuba
bangkit, namun Ummu terlebih dahulu menegah.
“Awak
sakit…” gumam Ummu.
“Berapa
orang ahli kumpulan kau?” tanya Zaff.
“7
orang!” balas Razali.
Zaff
kembali membisu sambil melemparkan pandangan ke arah luar gua.
“Berehat
dulu, sekurang-kurangnya untuk satu malam. Lepas tu kita teruskan perjalanan?”
ujar Ummu membuatkan Razali terpaksa akur.
“Hari
pun dah nak malam. Baik kau berehat,” kata Zaff.
Razali
kembali berbaring. Ada mata air tidak jauh daripada tempatnya berbaring dan
mata air itulah yang digunakan oleh Ummu untuk membasahkan sapu tangannya lalu
meletakkan di atas kepala Razali yang panas itu.
Zaff
sekadar merenung cemburu Razali yang sedang setia dijaga oleh Ummu. Zaff kenal
siapakah Razali Ahmad… lelaki yang pernah bertakhta suatu masa dahulu di hati
Ummu.
“Ummu…”
panggil Razali tiba-tiba.
Zaff
menoleh sekali lagi.
“Awak
bertambah cantik…” puji Razali tiba-tiba.
“Hahahaha…”
Zaff ketawa tiba-tiba membuatkan Ummu melemparkan renungan tajam.
“Kenapa?”
tanya Ummu.
“Tak
adalah. Cantik mana pun Ummu sekarang, dia adalah milik aku. Bukan kau.”
Selamba sahaja perkataan itu meluncur keluar daripada mulut Zaff membuatkan
kening Ummu terangkat.
“Saya…”
“Jadi
jangan kacau awek aku,” sambung Zaff lagi.
Ummu
tergamam. Zaff sekadar mengukirkan senyuman menawannya itu tatkala wajahnya
sedang ditatap oleh Ummu tidak percaya. Tak akanlah Zaff yang menuturkan
perkataan itu.
“Sorry
Zaff. Aku tak tahu yang dia…” Zaff menggelengkan kepalanya.
“Tak
apa, bro. Aku faham,” balas Zaff. “Kisah kau dengan dia dah lepas. Aku tak
ambil hati pun.”
Sekali
lagi dahi Ummu berkerut melihat sikap Zaff yang tiba-tiba berubah. Dia bukan
lagi jejaka ‘cool’ yang digilai tetapi sedang dibakar api cemburu yang amat
sangat melihat Ummu yang setia menjaga Razali.
***
Afiq
mundar-mandir di ruangan Hotel Dino. Acha pula sedang memerhatikan Afiq yang
resah mengenangkan Zaff dan Ummu tak pulang-pulang meskipun hari sudah mula
menginjak malam dan hujan tidak menunjukkan tanda akan berhenti.
“Sabarlah
Fiq…” tutur Acha cuba menenangkan Afiq.
“Tapi
Ummu…”
“Aku
dah agak dah!” tutur Hafeez yang tiba-tiba muncul sambil bertongkat kayu yang
dibuat oleh Naim beberapa hari yang lepas.
“Kau
dah okey?” tanya Afiq.
Hafeez
mengangguk.
“Zaff
belum balik lagi?” tanya Hafeez yang sengaja tidak membangkitkan nama Ummu.
“Belum.
Aku risau sebab Ummu ada dengan dia,” tutur Afiq.
“Kau
risau bukan sebab Zaff tak balik, kan? Tapi sebab buah hati kau ada sekali
dengan dia?” Hafeez sudah mula membakar sumbu.
“Aku
risaukan Zaff…”
“Bohong!”
pintas Hafeez pula. “Kalaulah aku okey, aku akan keluar dan cari dia. Bukannya
aku duduk terperap kat dalam lobi ni. Kau… tak layak jadi ketua!”
“Kau…”
tutur Afiq geram sambil merenung wajah Hafeez.
“Kita tak
boleh keluar!” tutur seseorang tiba-tiba dari belakang. Hafeez dan Afiq
menoleh.
“Hujan
yang sangat lebat sedang turun. Dalam keadaan macam ni, sangat sukar untuk
proses pencarian. Kemungkinan besar, boleh banjir kerana kita sangat dekat
dengan kaki gunung. Air sungai mungkin akan melimpah keluar, dan
makhluk-makhluk aneh dari dalam sungai tu akan jadikan kita mangsa mereka.
Pokoknya, kita kena tunggu hujan berhenti!” Naim sedang melangkah sambil
membetulkan kaca matanya.
“Tak!
Biar aku pergi. Seorang diri!” tutur Afiq.
“Fiq…”
tutur Acha.
“Saya
kena pergi. Zaff dan Ummu seorang diri di luar sana,” tutur Afiq.
Hafeez
tersenyum puas.
“Semoga
kau mati,” tutur Hafeez di dalam hatinya sambil melemparkan pandangan ke arah
Afiq.
“Bahayalah
awak…” gumam Acha. “Saya tak akan benarkan awak…”
“Dia
tak akan keluar punya. Dia sembang aje tadi,” ucap Hafeez lagi.
Afiq
sekadar mendengus kasar. Dia menolak Hafeez ke tepi lalu melangkah ke arah
biliknya. Acha kelihatan mengejar Afiq dari belakang. Sempat juga Acha
melontarkan pandangan ke arah Hafeez.
“Panggil
Saiful sekarang. Hanya dia boleh halang Fiq,” tutur Naim. Acha mengangguk.
“Biarlah
dia mampus kat luar sana,” ujar Hafeez pula.
“So
childish…” gumam Naim lalu meninggalkan Hafeez keseorangan di situ.
***
Razali
Ahmad, lelaki berjambang halus pernah suatu masa dahulu bertakhta di hati Ummu
Habibah. Bak hero Hindustan, itulah persepsi pertama ketika Afiq memperkenalkan
Razali Ahmad kepada Ummu dulu.
Razali,
ayatnya manis. Semanis gula yang dihurung oleh sang semut, Cuma bezanya Razali
dihurung para gadis di luar sana. Tampan dan bergaya, itulah Razali Ahmad.
Detik-detik indah bersama Razali dahulu masih segar di ingatan Ummu.
Ummu
tersenyum mengenangkan memorinya. Kisah cinta yang pernah bersemi dengan Razali
dahulu. Cara Razali Ahmad memikatnya dulu juga unik. Masakan gadis yang keras
hati sepertinya boleh cair.
Ummu
bangkit dari tidur. Hujan yang lebat sedari malam tadi belum lagi berhenti.
Razali sudah menghilang. Zaff masih membuta. Bunyi dengkuran Zaff memenuhi
kawasan gua itu.
“Zaff…
Razali hilang,” tutur Ummu.
“Lantak
dialah,” jawab Zaff tatkala Ummu mengejutnya bangkit dari tidur.
“Zaff!”
seru Ummu geram.
“Ya,
aku bangun ni!” balas Zaff sambil bangkit dari tidurnya.Sempat juga Zaff
menggosok matanya yang terselit tahi mata itu.
“Ada
apa?” tanya Ummu.
“Razali
hilang!” balas Ummu.
Zaff
melihat sekelilingnya. Benar kata Ummu, Razali tiada.
“Kita
cari dia!” cadang Ummu.
“Tapi…”
Zaff kelihatan berat hati.
Zaff
kelihatan mendekati mata air yang mengalir tidak jauh dari tempat dia tidur
lalu membasuh wajahnya. Serentak itu, seseorang muncul dari luar dalam keadaan
yang basah kuyup.
“Razali!
Mana awak pergi?” tanya Ummu.
“Pergi
cari makanan. Saya bangun aje, tengok awak dengan Zaff tidur. Saya terfikir
sebelum awak berdua bangun, baik saya pergi cari makanan,” ujar Razali sambil
membawa setngkai pisang.
“Mana
kau jumpa pisang-pisang tu?” tanya Zaff.
“Aku
balik ke kem aku tadi. Tak jauh dari sini. Terima kasih sebab sudi jaga aku,”
tutur Razali.
“Tapi
kenapa tak bagitahu aku semalam?” tanya Zaff. “Bolehlah kita orang hantar kau
ke sana.”
“Aku
cuma nak buangkan rasa rindu aku pada Ummu jer,” tutur Razali sambil sempat
menjeling ke arah Ummu yang merah wajahnya sebaik sahaja ucapan ‘rindu’ lahir
daripada mulut Razali.
“Tapi
dia…”
“Jangan
risau bro. Aku bukannya nak rampas milik kau pun. Sekadar berjumpa bekas
pemilik hati aku,” tutur Razali.
“Awak
dah baik?” tanya Ummu tatkala melihat Razali duduk sedang duduk sambil
menikmati pisang yang dijumpainya.
“Jangan
risau. Terima kasih kat awak. Oh, jomlah ke kem saya? Tak jauh dari sini,”
perlawa Razali sambil melemparkan sebiji pisang kepada Zaff.
“Tapi
hujan…”
“Saya
ada. Hujan ni pun tak dapat apa-apakan awak,” tutur Razali.
Zaff
tiba-tiba bangkit lalu melangkah keluar dari gua itu. Razali dan Ummu saling
berkongsi pandangan. Kemudian, Razali berlari keluar dalam hujan lalu
menghampiri Zaff yang sedang melangkah dalam keadana yang menggerutu.
“Kau ni
dah kenapa?” tanya Razali.
“Nak
balik,” tutur Zaff sambil tersenyum sinis.
“Aku
ayat sikit awek kau pun, dah jadi sengeng macam ni? Macam ni ke Tengku Nizarif?
Anak jantan yang aku kenal tu? Tak ada telur…” bisik Razali. Matanya sempat
menangkap kelibat Ummu sedang memerhatikan mereka berdua. Idea jahat timbul di
benak Razali.
Zaff
yang sudah kebasahan ditimpa air hujan tiba-tiba menolak Razali terbaring di
atas tanah. Kemudian, Zaff menghadiahkan beberapa tumbukan yang tepat membaham
pipi dan mata Razali. Ummu pantas berlari menghampiri Zaff dan Razali.
“Apa ni
Zaff?” tanya Ummu ketika cuba meleraikan Zaff.
“Patutlah
Fiq benci kat kau!” teriak Zaff sambil menghadiahkan lagi tumbukan yang terus
ditadah oleh wajah Razali.
Pang!
Tamparan hebat mengenai wajah Zaff. Zaff terkesima sambil memegang pipinya.
Wajah Ummu ditenungnya tidak percaya. Kemudian, Zaff menjeling penuh jelik ke
arah Razali yang masih terbaring.
Selepas
beberapa ketika, barulah Ummu menyedari apa yang sudah dilakukannya. Raut wajah
Zaff yang penuh dengan riak terkejut itu ditatap sayu oleh Ummu. Sungguh, Ummu
tidak sengaja melakukan perkara itu.
“Kau
sengaja perangkap aku, bukan?” tutur Zaff.
“Aku
tak faham…” tutur Razali mempamerkan wajah tidak bersalahnya. Zaff mendegus
kasar lalu bangkit dari atas tubuh Razali dan melangkah meninggalkan Ummu dan
Razali dalam hujan lebat. Dia mahu membawa diri…
“Zaff!”
teriak Ummu namun Zaff sudah jauh meninggalkannya.
***
Zaff
sedang duduk berpeluk tubuh di tepi sungai. Air hujan yang membasahi wajahnya
langsung tidak diendahkan oleh Zaff. Air sungai yang deras itu diperhatikan
oleh Zaff dengan perasaan walang.
Oh
hati! Kenapalah kau boleh jatuh cinta pada dia? Dia hanyalah gadis biasa dan
orang setampan kau, boleh jatuh cinta dan memilih gadis yang lebih jelita
daripada dia! Tetapi, kenapa bayangan wajah kau seringkali menjelma dalam
fikiran aku? Kenapa sukar untuk aku lupakan kau? Kenapa kau seringkali hadir
dalam mimpi aku? Kenapa rindu aku tidak pernah bersempadan?
“Hai
sahabat…” tutur satu suara yang muncul dari belakang Zaff. Pantas Zaff menoleh
dan… Qarin sedang melangkah ke arah Zaff sambil mendepakan tangannya.
“Kenapa
kau datang?” tanya Zaff.
“Takdir
telah menentukan aku untuk berjumpa dengan sahabat lama macam kau,” ujar Qarin.
“Bila
aku jadi kawan kau?” tanya Zaff sambil berkerut dahinya.
Qarin
menggelengkan kepalanya.
“Tak
nak peluk aku?” tanya Qarin. Sedari tadi, Qarin asyik mendepakan tangannya.
Zaff
sekadar membisu.
“Kenapa
aku rasa macam kenal sangat kat kau? Kau siapa sebenarnya?” tanya Zaff sambil
mengecilkan matanya menatap topeng putih yang dipakai oleh Qarin. Kelihatan air
hujan bertakung pada topeng itu.
“Takdir
akan memberitahu kau suatu hari nanti,” jelas Qarin.
“Asyik-asyik
takdir. Kenapa kau datang jumpa aku ni?” tanya Zaff.
“Melunaskan
apa yang perlu berlaku hari ini,” gumam Qarin.
“Maksud
kau?” tanya Zaff.
Qarin
mengeluarkan sesuatu daripada poket seluar jeansnya. Sepucuk pistol dihalakan
ke arah Zaff.
“Ke…napa?”
tanya Zaff.
“Demi
Ummu…” ujar Qarin lalu melepaskan tembakan yang kemudiannya tepat mengenai dada
Zaff.
“Siapa
sebenarnya Ummu pada kau?” tutur Zaff yang sudah mula hilang upaya untuk
berdiri. Darah mula membuak-buak keluar dari mulutnya dan… Qarin menghadiahkan tendangan
yang kemudiannya tepat mengenai dada Zaff. Zaff terjatuh terlentang ke dalam
arus sungai yang mengalir deras di belakangnya.
“Selamat
tinggal Tengku Nizariff,” ujar Qarin sambil memerhatikan tubuh Zaff di bawa
oleh arus air sungai yang deras.